Thursday, December 29, 2022

Thuman Bhai raja Mamalik Mesir yang terakhir.



Thuman Bhai adalah pemerintah kerjaan Mamalik yang terakhir di Mesir. Nama penuhnya adalah Al-Asyraf Abu- Annasr Thuman Bhai. Beliau adalah raja yang ke 47  dari keturunan Mamalik Turki yang memerintah Mesir. Jika dilihat dari segi Mamalik keturunan Circassion (Merujuk kpd penduduk asli Utara Caucassion), beliau menempati bilangan ke 21 daripada Sultan-Sultan Mamalik Circassion. Inilah Danasti terakhir Mamalik yang memerintah Mesir dan Thuman Bhai adalah penamatnya. Thuman Bhai adalah satu-satunya Sultan Mamalik yang mati dibunuh dengan cara digantung di Gerbang Zuwailah di Kaherah oleh pemerintah Othmaniyyah (Salim I). Gerbang Zuwailah atau dinamakan juga Gerbang Mutawalli adalah tempat yang pernah menyaksikan digantungnya kepala Utusan Hulago Khan dari Tartar ketika dia datang mengancam untuk menyerang Mesir pada masa Sultan Saifuddin Qutuz berkuasa.

Thuman Bhai mengambil alih tahta Mesir setelah bapa saudaranya, Sultan Qansuwah Al-Ghuri mati terbunuh dalam perang Maraj Dabik pada tahun 922H=1516M iaitu perang melawan pasukan Khilafah Othmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Salim I. Sebelum keluar perang di Syam, Sultan Qansuwah Al-Ghuri telah melantik Thuman Bhai sebagai naibnya yang akan memegang kendali Mesir sehingga dia kembali. Ternyata Al-Ghuri pergi menemui mautnya di medan perang. 


Maka, para umara Mamalik memilih Thuman Bhai untuk jadi Sultan seterusnya. Sementara Thuman Bhai tidak bersedia dan menolak kerana tidak yakin sokongan rakyat dan para elit pemerintah terhadapnya. Namun, setelah diasak dengan sumpah depan mashaf dan dibai'ah juga oleh Ya'kob Al-Mustamsik Billah, iaitu bapa kepada Al-Muttawakkil 'Alallah III yang dianggap pewaris khilafah Abbasiyyah (Yang ketika itu dalam tawanan pasukan Othmaniyyah di Aleppo), maka Thuman Bhai pun setuju. 


Dia membawa pasukan tentera Mesir terjun ke medan Perang Ar-Ridaniyyah melawan askar Othmaniyyah dalam Perang 29 Zulhijjah 923H/1517M. Perang itu dimenangi askar Othmaniyyah dan ia membawa kepada ditangkapnya Thuman Bhai dan dihukum gantung. Selepas itu Mesir berada di bawah kekuasaan Daulah Khilafah Othmaniyyah. Dengan matinya Thuman Bhai, maka tamatlah kekusaan kerajaan Mamalik di Mesir yang berlangsung selama 267 tahun.

PERANG AR-RIDANIYYAH

Perang ini berlaku antara pasukan tentera Khilafah Othmaiyyah yang dipimpin oleh Sultan Salim I dengan pasukan tenetra Mamalik yang dipimpin oleh Thuman Bai. Perang ini adalah perang penentu, siapa yang akan menang dan berkuasa.

Ia berlaku pada  2 Januari 1517 di daerah Ar-Ridaniyyah iaitu berhampiran dengan perkampungan Abbasiyyah dalam Kota Kaherah. Pasukan tentera Othmaniyyah , buat pertama kalinya menggunakan senjata canggihnya iaitu Meriam besar berkuasa 5-10 das tembakan untuk sekali cucuhan.Othmaniyyah yang punya pengalaman bertahun-tahun melawan pasukan Eropah telah memajukan persenjataannya meninggalkan pencapaian persenjataan Mamalik.

Dalam peperangan ini, tentera Mamalik pimpinan Thuman Bai menggali parit sebagai benteng pertahanan. Sementara Thuman bai tidak cukup yakin dengan pertahanan parit itu, dia memerintahkan para pimpinan tentera di Ar-Ridaniyyah untuk meninggalkan Ridaniyyah buat mengambil posisi serangan belakang tentera Othmaniyyah. Namun, para pimpinan tentera Mamalik tidak sepakat dengan strategi itu kerana mereka meyakini keutuhan sisitem pertahanan parit mereka.

Dalam perang ini, pasukan Mamalik terpukul tewas sehingag mereka berkubu dalam kota. Pada mulanya Sultan Salim tidak berani untuk memasuki Kaherah memikirkan bahaya yang menanti. Namun, setelah memikirkannya tidak sudah, dia masuk juga selkepas 4 hari. Srangan hendap oleh Thuman Bai dilakukan ke atas tenetra Othmaniyyah. Namun, denagn menempatkan meriam di atas banguna tingga, tenetra Thuman Bai kelelahan dan tewas. Mereak akhirnya berundur ke Iskandariayah. Walaupun satu ketua kabilah di sana melindungi Thuman Bai pada mulanya, pada akhirnya dia berpihak kepada Khalifah Othmaniyyah. Thuman Bai ditangkap oleh pasukan tentera Othmaniyyah dan dibawa kepada Sultan Salim I

Sultan Salim I mengkagumni keberanian dan kebijakan Thuman Bai. Dikatakan bahawa Sultan Salim I berhasrat memaafkannya. Namun, orang kiri kanan Sultan menghasutnya agar Thuman Bai dibunuh demi keselamatan dan kejayaan pemerintahan Othmaniyyah di Mesir. Membiarkannya hidup akan mengancam masa depan pemerintahan Othmaniyyah. Maka . Sultan Salim I akhirnya setuju Tuhman Bai dihukum bunuh dan mayatnya digantung di Gerbang Zawailah.

Kejadian pembunuhan Thuiman Bai dengan caru gantung sampai mati itu dicatatkan berlaku pada 15 April 1517. Tiga hari mayatnya digantung di gerbang Zuwailah, kemudian ia dikebumikan di bawah kubah yang mana di sana dikebumikan juga pakciknya Qasuwah Al-Ghuri. Tempat itu terletak di Selatan kaherah dna merupakan salah satu tempat bersejarah di Mesir yang boleh dilawati hingga hari ini.

Catatan oleh ahli sejarah Mesir iaitu Ibn Iyas Al-Hanafi dalam bukunya Bada'iu Az-Zihur Fi Waqai'u Ad-Duhur menyebutkab bahawa apabila Thuman Bai dibunuh dengan cara digantung, maka menangislah rakyat Mesir. Ini kerana dalam usianya yang masih muda iaitu 44 tahun dan memerintah hanya 3 bulan 14 hari, dia merupakan pemimpin yang santun, sukla berbuat baik dan berani menghadapi cabaran perang walaupun  sendirian.

Walaupun Sultan Salim I berjaya menakluki Mesir dan menamatkan pemerintahan Mamalik padanya, Kesultanan Othmaniyyah menanggung kerugian yang tiada galang gantinya iaitu terbunuhnya orang kuat Sultan Salim yang bernama Sinan Basya.

Begitu penting individu bernama Sinan Basya buat Sultan Salim I sehingga dia berkata setelah kejayaannya memasuki Mesir:

" Kita telah menguasai Mesir, tetapi kita kehilangan Sinan Basya yang mana ia tidak dapat digantikan dengan mana-mana negeri pun (yang kita kuasai)".

Selepas tamatnya pemerntahan Mamalik dengan terbunuhnya Thuman Bai, maka pemerintah Othmaniyyah melamntik Khayir Bik menjadi gabenor Mesir yang memerintah bagi pihak Othmaniyyah.


Khatimah

Kesudahan yang menimpa Thuman Bhai adalah dikatakan lantaran perbuatan khianat orang-orang yang sebelumnya menyatakan setia kepadanya. Ada 4 individu yang disebut oleh para pengkaji :

1) Az-Zaini Barakat

2) Khayir Bik

3) Jan Bardai Al-Ghazali

4) Hasan bin Mar'i

Khayir Bik setelah Mamalik dikalahkan, dia dilantik oleh pemerintah Othmaniyyah jadi gabenor di Mesir. Namanya dicemuh dengan sebutan Kha'in Bik

Sementara Jan Bardai Al-Ghazali, dia telah dilantik menjadi Gabenor Damsyiq, tetapi pada masa Khalifah Sulaiman Al-Qanuni dia cuba melawan kerajaan Othmaniyyah dengan cubaan memerdekakan Syam dari Othmaniyyah. Akibatnya berlaku perang di Aleppo dan ketika itu Khayir Bik di Mesir enggan membantunya. Maka dia dibunuh dan  dipotong kepalanya pada tahun 927H =1521M.


Baca : Aljazeera.net



Tuesday, December 27, 2022

Sultan Salim I, Khalifah Othmaniyyah yang menamatkan pemerintahan Mamalik Mesir.

Ini adalah satu tela'ah tenteng sejarah di zaman Khilafah Othmaniyyah. Mudah-mudahan ada pelajaran yang dapat kita petik dari episod sejarah dan kita jadikan panduan. Apa kebaikan yang watak-watak dalm sejarah lakukan, kita jadikan sebagai contoh tauladan. Namun, jika mereka berbuat bejat, kejahatan, khianat dan mungkar, maka kita hendaklah letakkan ia sebagai batu sempadan.

Kali ini kita akan menelurusi riwayat seorangf khalifah Othmaniyyah yang bernama Sultan Salim I. Siapakah dia?

Sultan Salim I adalah anak kepada Sultan Bayazid II.

Para Sultan Othmaniyyah sejak awal penubuhan daulah menfokuskan perluasan empayar ke kawasan-kawasan menghala ke Eropah. Banyak kemenangan dicapai dengan haluan ini. Hatta, Sultan Muhammad Al-Fatih (   ) telah berjaya menakluk ibu kota Byzantine, Kostantinopel dan menjadikannya sebagai pusat pemerintahan Othmaniyyah. 

Namun, menjelang pemerintahan Sultan Salim I, tumpuan berubah. Baginda mengalihkan wajahnya ke sebelah timur pula. Ini menyebabkan kekuasaan daulah khilafah Othmaniyyah pada zamannya merangkum Eropah, Asia dan Afrika.

Sultan Salim I naik tahta pada 9 Safar tahun 918 H bersamaan dengan 25 April 1512 M menggantikan ayahnya yang turun tahta.

Pada ketika beliau naik tahta itu, ada dua masalah penting  yang berada di depannya dan menanti bagaimana dia menguruskannya. Dua perkara tersebut ialah:


1) Kebangkitan Kerajaan Syiah Sofawiyyah yang berpusat di Iran dan Iraq dan menjadi ancaman kepada daulah Othmaniyyah.

2) Pasukan Portugis yang menjadi ancaman di rantau Teluk Arab dan sedang mengancam tanah-tanah suci kaum muslimin.


Kerajaan Syiah Sofawiyyah mula bertapak pada awal kurun ke-10H. Ia diasaskan oleh  Ismail As-Sofawi pada tahun 907H=1502M. Pada masa itu khalifah Bayazid yang berkuasa. Dia bermula di Iran dan kemudiannya melebar ke Iraq.  Mazhab Syiah Ithna 'Asyariyyah dijadikan mazhab rasmi di Iran yang sebelumnya bermazhab Sunni. Dia juga menghantar para pendakyah ke seluruh kawasan pemerintahannya , bahkan sampai Antolia dalam kekuasaan Othmaniyyah untuk menyebarkan fahaman Syiah. Ini menyebabkan berlaku konflik dengan Othmaniyyah pada akhir pemerintahan Sultan Bayazid dan membawa kepada aksi ketenteraan apabila naiknya Sultan Salim I menjaid khalifah. Perang antara kerjaan Ortmaniyyah di zaman Salim I dengan kerajaan Sofawi tidak terelakan apabila kerajaan Sofawi mengamalkan dasar perluasan wilayah secara agresif. 

Kerajaan Sofawi menguasai wilayah yang berbatasan dengan kerjaan Othmaniyyah iaitu sehingga menjadi Tibriz sebagai ibu kota kerajaan Sofawiyyah. Sultan Salim I sewaktu jadi gabenor di Tarabzun telah berperang dengan adik Ismail Safawi dan dapat mengambil alih bebeapa kota di Armenia, tetapi ayahnya Sultan Bayazid II memerintahkannya mengembalikan semula kepada kerajaan Safawi. Inilah mulanya ketidakpuasan Salim I terhadap ayahnya dan melihat ayahnya sebagai khalifah yang lemah. Sultan Salim I juga marah kepada Ismail Safawi kerana dia membantu Ahmad bin Bayazid II, abangnya ketika abangnya itu bersaing dengannya dalam mengambil tahta kerjaan Othmaniyyah.

Dalam pertembungan ketenteraan ini, Sultan Salim I berjaya mengalahkan Ismail Safawi dan mengambil alih semula beberapa kawasan yang dikuasai kerajaan Syiah Sofawiyyah seperti Tibriz, Armenia, Tiblis, Riqqah dan Mosul. Setelah melemahkan ancaman Sofawi, Sultan Salim I menghalakan penyelesaian ke sebelah Timur pula.

Di Mesir pada ketika itu kerajaan Mamalik masih berkuasa. Kekuasaan mereka mencakup kawasan Syam (termasuk Baitul Maqdis) dan Tanah Hijaz (Makkah dan Madinah) dan raja yang berkuasa ketika itu bernama Sultan Qonsuwah Al-Ghuri. Pun begitu, kerajaan ini dalam keadaan lemah dan tidak mampu menangani ancaman bangsa Portugis yang ketika itu sedang berada di gerbang mendobrakkan kesucian tempat suci kaum muslimin. Sebab  itu, Sultan Salim I mengambil tanggungjawab sebagai khalifah Umat Islam untuk menyelesaikan urusan gawat kerajaan Mamalik ini. Perang meletus di tanah Syam (Perang Maraj Dabiq)  dengan pasukan Mamalik yang dipimpin Sultan Qonsuwah Al-Ghuri pada 25 Rejab 922H. Qansuwah Al-Ghuri terbunuh dalam perang ini dan kemudiannya Mesir pula diserang. Para pemebsar Mamalik, selepas terbunuhnya Sultan Qonsuwah Al-Ghuri meminta Thuman Bai mejadi Sultan Mamalik. Dia enggan menerima tanggungjawab tersebut, tetapi setelah diasak dan dijanjikan dengan sumpah taat setia oleh para umaraa Mamalik, akhirnya dia bersetuju. Sultan Salim I masuk ke Mesir  dan berlaku perang dengan Thuman Bai di Mesir (di medan Perang Ridaniyyah 29 Zulhijjah 922H). Pasukan Othmaniyyah menang dan kaherah dikuasai. Kerajaan Mamalik seterusnya dilenyapkan dari bumi Mesir.

Seterusnya, Syarif Makkah pun berbai'ah mengakui khalifahan Sultan Salim. Beliau menyerahkan kunci Ka'bah kepada Khalifah bersama dengan barang-barang tinggalan nabi seperti panjinya, beberapa helai rambutnya, busur dan panah serta lain-lain. Maka, Salim I adalah khalifah Othmaniyyah yang pertama kalinya digelar sebagai KHADIMUL HARAMAIN . Maka kerajaan Othmaniyyah dapat menguasai Syam, Hijaz, Mesir dan juga berikutnya Yaman. Dengan itu perairan laut Merah berada di bawah kawalan Duulah Othmaniyyah dan pergerakan kapal-kapal dagang negera Barat, khasnya Portugis dapat dikawal dan ancaman mereka dapat dipadamkan. Kerana penguasaannya sebelah Barat dan Timur , dia dijuluki ISKANDAR pada zamannya.

Beliau mengambil kerajaan dari ayahnya Sultan Bayazid yang sedang berdepan dengan ancaman tebuk atap oleh musuh dalamm selimut golongan Syiah yang berwalak kepada kerajaan Sofawiyyah. Beliau mewariskan kerajaan yang kuat dan luas kepada anaknya Sulaiman Al-Qanuni.



Bacaan:



Sultan Bayazid II adalah anak kepada Sultan Muhammad Al-Fatih. Sultan Bayazid ada 8 anak lelaki. 5 daripadanya mati kecil. Tinggal 3 iaitu: Qurqud, Ahmad dan Salim. Tiga puteranya ini punya kecenderungan yang berbeza. Qurqud minat kepada ilmu pengetahuan, sastera dan kesenian. Kerana itu dia rapat dengan para ulama dan cerdik pandai bidangnya. Dia tidak rapat dengan para tentera dan tidak berminat kepada peperangan dan ini menyebabkan para tentera tidak menyukainya. Sementara Ahmad pula disukai oleh para pembesar dan kenamaan dalam negeri. Sadrul A'zom ( Gelaran buat Perdana Menteri) , Ali Basya Al-Khadim sangat rapat dengannya. Sementara Salim pula, jiwanya adalah jiwa perang. Dia disukai di kalangan pasukan tentera khususnya Pasukan Inkisyari. Demi kemaslaahatan negara, agar tidak berlaku perselisihan kalangan elit pemerintah dalam kerajaan, ketiga-tiga anaknya  dipisahkan dengan dengan Qurqud dijadikan gabenor wilayah Sorukhan dan  Ahmad di Amasia dan Salim di Tarabzun.

Sesungguhnya, sebelum Salim I menggapai tahta, banyak krisis yang berlaku. Pertamanya dengan ayahnya sendiri Sultan Bayazid II.  Dia pernah dinafikan ayahnya dari possisinya sebagai gebennor Tarabazun. Dia pernah berperang dengan ayahnya hingga akibat tekanan tentera, Sultan Bayazid terpaksa  melantik Salim I sebagai penggantinya dan meninggalkan Ahmad dan Ququd.Tentera tidak suka kepada Ahmad atas alasan Ahmad berhubung dengan Ismail I bin Haidar dari kerajaan Safawiyyah untuk merebut tahta.

Selepas jadi khalifah, Salim terpaksa ambil tindakan ke atas saudara-saudaranya  itu. Mereka ditangkap dan dihukum bunuh, Termasuk juga anak-anak saudaranya yang boleh mengancam kedudukannya.

Inilah kisah geser politik yang sangat bahaya dan menelan korban tanpa mengira siapa dan apa hubungan kerabatnya sekalipun.

Semak: Marefa





Monday, December 26, 2022

Pengkhianatan Syawir bin Mujiz, Wazir Fatimiyyah.

Di Mesir, pada masa khalifah Fatimiyyah yang digelar Al-'Adhid lidinillah bertahta, berlaku perselisihan antara komander tentera yang bernama Dhorgham bin 'Amir Al-Lakhmi dengan Wazir kerajaan yang bernama Syawir bin Mujir As-Sa'di.  Lalu, dalam persaingan itu, kalahlah Syawir dan kedudukannya pun hilang. Dia tidak lagi jadi wazir kerajaan, sebaliknya Dhorghamlah yang memegang kendali kerajaan di bawah khalifah Fatimiyyah yang lemah.

Nama penuh Syawir adalah Abu Syuja' Syawir bn Mujir bin Nizar bin 'Asya-ir As- Sa'di Al-Hawazini. Salasilahnya sampai kepada kepada Abu Zuaib Abdullah iaitu bapa kepada Halimatun Sa'adiyyah, ibu susu Rasulullah SAW.

Dalam situasi sedemikian, pergilah dia ke Syam bertemu dengan seorang sultan pemerintah yang adil bernama Nuruddin Mahmud Zinki buat meminta bantuan menghadapi komander tentera yang bernama Dhorgham ini. Masalah politik Mesir itu dihadapkan kepada Sultan Nuruddin Mahmud Zinki. Setelah memahami masalah yang sedang berlaku di Mesir, Sultan Nuruddin bersetuju untuk membantu Syawir mendapat kembali jabatannya. Namun ada syaratnya. Syaratnya ialah Cukai penghasilan Mesir, 1/3 daripadanya hendaklah diserahkan kepada Sultan Nuruddin Zinki. Perbelanjaan tentera bantuan hendaklah ditanggung oleh Mesir. Dan Sultan Nuruddin Zinki akan mengirimkan pemimpin yang akan mengikut arahannya ke Mesir dan membantunya menstabilkan politik Mesir. 

Syawir yang sudah tidak sabar untuk kembali mendapat jabatannya menyetujui. Lalu, dia pun berhasillah. Dhorgham dapat disingkirkan. Syawir jadi wazir kembali. Namun, Asaduddin Syirkuh yang ditemani Salhuddin Ayyubi sebagai wakil Sultan Zinki tinggal di Mesir.

Boleh sudah kuasa kembali ke tangan, Syawir pun mahu menyingkirkan pasukan Sultan Zinki itu dari bumi Mesir. Apa yang dia lakukan? Perlakuannya sungguh cemar dan terkutuk. Dia bersekongkol dan minta mantuan pula dari pasukan tentera Salib dari Perancis. Tentera Perancis dibawa masuk ke Mesir dengan tujuan mengatasi pasukan bantuan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki.

Pengkhianat ! Khianat adalah jenayah yang tidak menerima maaf. 

Akhirnya Syawir mendapat balasannya....dia dihukum bunuh dan yang membunuhnya adalah Salehuddin Ayyubi dengan restu daripada khalifah Al-'Adhid lidinillah. Ini kerana dia telah membuat satu kenduri dan menjemput Asaduddin Syirkuh dan Salehuddin Ayyubi. Dia telah meletakkan racun dalam makanan.Anak Syawir tidak bersetuju dengan tindakan bapanya dan melaporkan kepada Asaduddin. Apabila mereka tidak datang ke kendurinya itu, dia sendiri pergi mahu berjumpa Asaduddin Syirkuh dan kepergiannya itu adalah seperti menyerahkan nyawanya.


Baca: 

1) Kisah-kisah khianat pemimpin Islam

2) https://dorar.net/history/event/2125


KESULTANAN DELHI

Kesultanan Delhi adalah sebuah kerajaan Islam yang memerintah sebahagian besar Benua Kecil India melewati tempoh 320 tahun iaitu dari tahun 1206 hingga 1526M. Kesultanan ini menyaksi pemerintahan 5 keluarga kerajaan iaitu:

1) Keluarga Mamalik (Para Hamba)
2) Keluarga Al-Khalji
3) Keluarga Tughlag
4) Keluarga As-Sayyid
5) Keluarga Lodhi

Wilayah kekuasaan kesultanan ini, jika diamati berdasarkan peta masa kini ialah meliputi India, Bangladesh, Pakistan dan Selatan Nepal.

Kerajaan ini terbentuk dari serpihan Kerjaan Ghuri yang pernah menguasai sebahagian besar wilayah sebelah Utara India pada masa kegemilangannya. Pengasasnya adalah bermula sebagai komander tentera berbangsa turki yang berkhidmat di bawah Kerajaan Ghuri, iaitu Qutbuddin Aibak.

Sultan Muhammad Ghuri telah mengutuskan tentera yang dipimpin oleh hambanya yang bernama Qutbuddin Aibak itu ke utara India untuk meluaskan kekuasaannya. Qutbuddin Aibak telah berjaya dan menawan Delhi lalu dijadikan Delhi sebagai pusat kekuasaannya. Bermula dari kejayaannya itu, dia mengasaskan sebuah Kesultanan di Delhi.

Pada tahun 1210M, Qutbuddin Aibak digantikan oleh anaknya Aram Syah. Namun Aram Syah tidak lama memerintah. Hanya sekitar 8 bulan sahaja. Para pembesar kerajaan dan alim ulama tidak menyukainya dan menganggapnya tidak kompeten dalam memegang teraju pemerintahan. Maka, mereka menjemput seorang komander tentera berbangsa Turki yang berpangkat Atabik (Satu kedudukan utama dalam ketenteraan bangsa Turki), namanya Syamsuddin Iltutmish. Dia pun menyerang Delhi dan mengambil alih pemerintahan Delhi dan Aram Syah terbunuh dalam konflik itu. Maka berakhirlah pemerintahan Mamalik

Syamsuddin Iltutmish itu mulanya merupakan hamba kepada Qutbuddin Aibak dan kemudiannya dibebaskan dan dikahwinkan dengan puterinya.

Syamsuddin Iltutmish memerintah dengan baik dan dia suka menegakkan keadilan. Dia membuat peraturan mana-mana orang yang dizalimi dalam kerajaannya, boleh datang memakai pakaian yang berwarna dan berdiri di depamn Masjid Besar Kota Delhi. Ini kerana kebiasaan orang di Delhi ketika itu, bila hari Jumaat mereka datang ke masjid dengan berpakaian serba putih. Beliau juga memerintahkan dibina dua patung singa di depan istananya dan direntangkan lonceng antara keduanya. Sesiapa yang dizalimi boleh datang dan menggoncangkan lonceng tersebut dan Sultan akan melayaninya walau pada waktu istirehat.




Syamsuddin Iltutmish meninggal tahun tahun 634H=1236M. Beliau meninggalkan 4 orang anak iaitu: Ruknuddin Fairuz Syah (putera mahkota), 'Izuddin, Mu'izuddin, Nasiruddin dan Razia. Razia merupakan adalah satu-satunya putrinya. Maka, anak sulungnya yang bernama Ruknuddin Fairuz Syah menggantikan Syamsuddin Iltutmish. Pemerintahan Ruknuddin dimulakan dengan membunuh saudara lelakinya yang dilihat sebagai pesaingnya dalam tahta iaitu Izzuddin. Sementara Ruknuddin Fairus Syah itu sendiri tidak peka denganhal elwal pemerintahan dan ditambah pula dengan peranan ibunya yang bernama Turkan Syah. Ibunya seorang yang cemburu dan kejam, menghasutnya agar melenyapkan para pesaingnya. Selepas membunuh saudara lelakinya, dia juga mahu membunuh adik perempuannya yang bernama Razia. Namun Razia telah lari menuju masjid Besar Kota Delhi dengan memaikai pakaian berwarna sebagaimana tradisi orang yang dizalimi pada zaman ayahnya. Dia mengadu kepada para pembesar dan tokoh-tokoh kerajaan atas niat jahat abangnya. Mereka pun beramai-ramai ke istana dan menagkap Ruknuddin Fairuz Syah dan dibawa kepada Razia. Razia mengatakan: "Sang pembunuh hendaklah dibunuh balas". Maka, Ruknuddin Fairuz Syah pun dibunuh setelah bertahta hanya 6 bulan 28 hari. Oleh kerana dua saudara lelakinya yang bernama Mu'izuddin dan Nasiruddin masih kecil, maka Razia diangkat menjadi Sultanah Delhi. Ketika itu usianya 31 tahun. Dia memerintah selama 4 tahun.





Razia menjadi Sultanah di Delhi antara tahun 634-637H= 1236-1240M. Razia, walau seorang perempuan, dia amat terlatih dalam soal politik pemerintahan dan ketenteraan. Namun, para Mamalik Delhi tidak menyukai perempuan memerintah. Di antara yang tidak senang dengan pemerintahan Razia kerana dia seorang perempuan adalah Raja Kota Bathinda dari daerah Punjab yang bernama Raja Akhtaruddin Altunia. Semasa kecil, Altunia adalah teman sepermanan Razia. Namun, dia telah menyusun pakatan untuk menumbangkan Razia dan mengangkat saudara lelaki Razia bernama Muizuddin Bahram Syah sebagai Sultan Delhi. Ditambah pula Razia ada kekasih berbangsa Parsi yang bernama JAMALUDDIN YAQUT yang merupakan ketua pasukan berkuda.  Lalu, meletuslah perang dan pemberontakan oleh Altunia menentang Razia. Razia telah ditewaskan dan ditawan dalam penjara di Barthinda. Lalu naik tahta saudara lelakinya yang Muizuddin Bahram Syah. Altunia kemudian merasa bersalah dan membebaskan Razia. Dia kemudian mengahwini Razia dan mengatur perlawanan untuk merebut kembali kekuasaan Delhi dari Muizuddin. Namun, sekali berkuasa , bukan sebnang hendakl dirampas semula. Pasukan Altunia-Razia dikalahkan dan mereka terpaksa melarikan diri. Ada riwayat sejarah menyebutkan bahawa mereka dibunuh oleh seorang Hindu yang menawan mereka. Tapi riwayat masyhur menyebutkan bahawa Muizuddin Bahram Syah yang telah menangkap mereka dan membunuh Razia.

Kemudianya pemerintahan keturunan Mamalik ini dilanjutkan oleh beberapa Sultan lagi seperti Ghiyathuddin Bulbun yang memerintah agak lama antara tahu 1266 hingga 1287. Kemudian diganti oleh Mu'izuddin Kaiqubaz yang baru berusia 17 tahun. Dia melantik Jalaluddin Fairuz Al-Khalji sebagai komander tentera. Namun, komander tentera itulah yang kemudiannya  bertindak membunuhnya. 

Setelah itu muncullah pula keluarga kesultanan yang kedua iaitu Keluarga Al-Khalji. Ia bermula tahun 1290M. Ketika jadi Sultan Delhi pertama keluarga Al-Khalji, umurnya sudah menjangkau 70 tahun. Semasa pemerintahannya, pasukan Moghol cuba menyerang India, namun beliau berjaya mengalahkan Moghul. Setelah beliau, anak Saudaranya yang juga suami puterinya iaitu 'Alauddin Muhammad Al-Khalji menjadi Sultan kedua daripada keluarga Al-Khalji. Dia telah khianat dengan bapa suudaranya yang sangat baik kepadanya. Pada ketika isteri bapa saudaranya itu cuba mengumpulkan para pendokong suaminya untuk melantik anaknya yang bernama Ruknuddin Ibrahim sebagai pengganti, 'Alauddin Muhammad pun masuk dan menguasai Delhi. Ruknuddin Ibrahim lari menyelamatkan diri ke Multan. 'Alauddin Muhammad pun mengistiharkan dirinya sebagai Sultan Delhi yang seterusnya. Dia memerintah antara tahun 1296M  hingga 1316M.

'Alauddin Muhammad seorang Sultan yang cekap dan kuat. Dia dapat menyusun pentadbiran yang baik dan ketenteraan yang hebat. Dia berjaya menampan serangan Moghul yang kembali cuba masuk ke India. Dia juga banyak meluaskan kekuasaan Islam di bumi India sehingga pada zamannya, buat pertama kalinya seluruh benua India dapat ditegakkan  pemerintahan Kesultanan Islam yang berpusat di Delhi.

Sesudah meninggalnya 'Alauddin Muhammad, kendali urusan negeri banyak di tangan seorang kepercayaannya yang bernama KAFUR.  Kafur meletakkan anak 'Alauddin Muhammad yang masih kecil di atas tahta dan dialah pemain sebenar. Ini memarakkan gejolak dalam istana dan akhirnya kafir dibunuh lalu naik tahta anak 'Alauddin yang paling sulung iaitu Qutbuddin Mubarak Syah Al-Khalji pata tahun 1316M

Qutbuddin Mubarak Syah Al-Khalji adalah Sultan ke-4 keluarga Al-Khalji dan yang terakhir. Dia menyingkirkan adik lelakinya yang bernama Syihabuddin yang ketika itu baru berusia 6 tahun. Dia mencungkil mata adiknya itu dan masukannya ke dalam penjara. Qutbuddin Mubarak Syah kurang mempedulikan urusan pemerintahan dan urusan banyak diserahkan kepada orang kepercyaannya, seorang pemimpin tentera bernama Khasru Khan. Tapi apa yang berlaku, akhirnya orang kepercayaannya itu bangkit menentangnya dan membunuhnya pada bulan Rabi'ul Awal tahun 720H bersaman tahun 1321M.

Dengan matinya Qutbuddin Mubarak Syah Al-Khalji itu, tamatlah pemerintahan keluarga Al-Khalji ke atas Kesultanan Delhi. Naiklah pula Khasru Khan jadi Sultan Delhi pada tahun 1321M. Khasru Khan asalnya beragama hindu tetapi masuk Islam. Namun, citra hindunya tidak lenyap. Dia telah menangkap perempuan-perempuan Qutbuddin Mubarak Syah dan dibahagi-bahagikan kepada para pengikutnya yang beragama hindu. Dia juga mengharamkan lembu disembelih kerana meraikan kepercayaan agama Hindu. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan para pemvbesar di Delhi. Mereka mendapatkan pertolongan Ghiyathuddin Tughlaq untuk memimpin mereka menentang Khasru Khan. Akhirnya, selepas 5 bulan berkuasa, pada bulan Sya'ban tahun 721H bersamaan 1321M Khasru Khan telah mati dibunuh.

Dengan itu bermulalah pula pemerintahan keluarga Tughlaq ke atas Kesultanan Delhi.

Ghiyathuddin Tughlaq mulanya hanyalah tentera biasa. Berkat kesungguhannya, ndia naik pangkat dan diberi kepercayaan oleh Sultan 'Alauddin Al-Khalji sehingga dia dipilih menjadi gabenor di satu daerah bernama Depalpur (Dalam Pakistan hari ini). Dia dihantar oleh Sultan 'Alauddin Muhammad untuk menghadapi tentera Moghul yang dipimpin oleh Jaghathai dan dia berjaya mengekangnya. Bahkan dapat meluaskan kawasan taklukan ke Uch Syarif, Multan dan Sind. Dalam situasi sedemikian, matilah 'Alauddin dan tahtanya tidak menentu di kalangan anak-anaknya. Bila Anaknya yang bernama Qutbuddin Mubarak Syah dibunuh dan Khasru Khan naik tahta, Ghiyathuddin Tughlaq diminta bantuan oleh para pembesar muslim Dulhi untuk memadamkan fitnah Khasru Khan. Ini kerana Khasru Khan punya pendirian yang melampau dalam bertasamuh dengan agama Hindu. Maka Ghiyathuddin Tughlaq (digelar juga Ghazi Malik) dibantunya anaknya Fakhru Malik dengan sokongan tentera dari Multan dan Sind, dapat menyingkirkan Khasru Khan. 

Tahun 1320M Ghiyathuddijn Tughlaq naik tahta Kesultanan Delhi sebagai Sultan pertama keluarga Tughlaq. Dia memerintah hingga tahun 1325M. Dalam masa pemerintahanya, dia banyak berperang dan menakluk Dalam satu misi ketenteraannya dia mendapat kemalangan jatuh ditimpa kayu bersama anaknya Mahmud Khan. Ada dakwaan oleh Ibn Batuta bahawa anaknya yang bernama Fakhru Malik (Muhammad Syah Tughlaq) adalah perancang belakang tabir kejadian itu dengan niat membunuh ayahnya .

Tahta seterusnya di tangan Muhammad Syah Tughlaq. Beliau seorang yang mendalami ilmu perubatan dan mahir dalam beberapa bahasa seperti bahasa Indus, Parsi, Turki, Arab dan Sanskrit. Dia juga terkenal sebagai penumpah darah dan suka membunuh lawannya atas sebab-sebab yang sepele. Cerita mengenai sikapnya banyak diriwayatkan oleh Ibn Batutah. Pada zamannya tentera Moghul menyerang India lagi tetapi Muhammad Tughlaq berikan mereka hadiah yang banyak sehingga Moghul pulang sahaja tanpa menyerang wilayah kekuasaan Kerajaan Delhi.. Masa pemerintahannya  berlanjut hingga tahun 1351 M. Beliau meninggal kerana sakit.

Selepas itu tahta berada di tangan sepupunya yang bernama Fairuz Syah Tughlaq yang memerintah antara tahuh 1352M  hingga 1388 M. Daerah kekuasaannya mengecil berbanding sebelumnya kerana banyak kekacauan dalam wilayah yang tidak dapat diselesaikan. Fairuz Syah Tughlaq ini dikenali dalam sejarah sebagai Muhattim At-Tamathil (Pembantai Patung Berhala). Pada masa kekuasaannya, dia membuat dua kali percubaan untuk menakluk Bangladesh. Satu masa kekuasaan di sana oleh  Ilyas Syah( 1353-1354) dan satu lagi masa pemerintahan oleh Iskandar Syah ( 1359-1360). Namun, kedua-dua cubaannya gagal dan akhirnya Bagladesh diberikan hak kemerdekaan dan pemerintahan sendiri.

Selepas Fairuz Syah, tahta diwariskan kepada cucunya yang bernama Tughlaq Khan. Dia naik tahta tahun 1388 M. Beliau menjadi Sultan ke-4  keluarga Tughlaq. Namun, kemudiannya dia dimakzulkan dari tahta dan digantikan dengan Abu Bakar Syah.

Abu Bakar Khan bin Zofar Khan bin Fairuz Syah Tughlaq naik tahta menggantikan Tughlaq khan yang tidak kompeten dan leka serta tidak mengambil tahu soal pemerintahan. Dalam peristiwa rampasan kuasa itu, Tughlaq Khan cuba melarikan diri dari istana bersama pengikutnya tetapi  dapat ditangkap dan dibunuh.

Perjalanan kesultanan ini masih panjang dan aku tidak mampu lagi mengikutinya. Apa yang jelas, bagi yang menelaah naik turun parra Sultan di Delhi ini, banyak kejadian bunuh, khianat, tidak kenal saudara, bahkan bapa sendiri. Demi secuit kekuasaan yang fana, banyaklah para Sultan yang menghancurkan akhirat mereka.

Moga Allah jauhkan aku dari onak-onak keumaraan yang menipu ini!

(Bersambung)

Sunday, December 25, 2022

ABDURRAHMAN AL-GHAFIQI

Nama penuh beliau ialah Abdurrahman bin Abdullah bin Makhsyin bin Zaid bin Jibillah bin Zahir bin Al-A'iz bin Ghafiq bin As-Syahid bin Al-Qamah bin 'Ak bin Adnan.

Beliau adalah seorang komander tentera kerajaan Bani Umamyyah yang memimpin pasukan Islam menyerang negeri-negeri di tanah Andalus. Tenteranya bertembung dengan tentera Prancis yang dipimpin oleh Charles Martel dalam perang yang dikenali dalam sejarah Islam sebagai Bilatus Shuhadaa atau disebut juga "Battle of Tours". Perang ini berlaku pada tahun 114H=732M.  Tentera muslimin kalah dalam perang ini dan Abdurrahman Al- Ghafiqi gugur syahid.

Abdurrahman Al-Ghafiqi ini boleh dibilang sebagai tokoh generasi tabi'in. Imam Az-Zahabi menyifatkannya sebagai Amir Andalus dan Gabenor di sana bagi pihak khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Kata Al-Humaidi, belia seorang soleh, punya sejarah pemerintahan yang indah, banyak berjihad memerangi Rom dan sangat adil dalam pembahagian ghanimah.

Abdurrahman Al-Ghafiqi adalah generasi awal masuk Andalus iaitu bersama Musa bin Nusair pada tahun 93H. Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah, baginda mengirim Samah bin Malik Al-Khulani sebagai gabenor ke Andalus. Samah bin Malik telah menstabilkan pemerintahan Andalus dan dia meluaskan kekuasaan hingga ke wilayah Septimania, iaitu di Selatan Prancis. Ia adalah sebagai langkah untuk menyerang dan menguasai Prancis. 

Samah bin Malik menyerang kerajaan  Aquitaine dan menyerang ibu kotanya Toulousa. Apabila raja Aquitaine, Odo The Great  tahu kemaraan Samah bin Malik itu , dia menyiapkan angkatan perang yang besar buat menghadapinya. Perang meletus dahsyat dan korban di kedua-dua belah pihak sangat banyak. Perang itu disebut dengan nama Perang Toulouse. Tentera Islam menunjukkan keberanian jihad yang teguh. Namun, Samah bin Malik gugur syahid dalam perang ini dan  tentera Islam mula lemah semangat dan akhirnya berundur balik ke Septimania. Kejadian ini berlaku pada tahun 721M. Tentera muslimin telah bersetuju memilih Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai komander baru menggantikan Samah. Dalam keadaan sedemikian, demi menyelamatkan baki tentera Islam yang selamat, Abdurrahman Al-Ghafiqi mengambil jalan bawa balik pasukan muslimin ke Andalus semula. Kaum Muslimin di Andalus yang kehilangan gabenor menunjukkan Abdurrahman  Al-Ghafiqi sebagai pengganti kepimpinan Andalus. Ianya sementara menunggu gabenor baru dari kerajaan pusat di Damsyiq.

Ini boleh dikatakan kali pertama Abdurrahman Al-Ghafiqi memegang jabatan kepimpinan Anbdalus. Dalam tempoh itu Abdurrahman Al-Ghafiqi telah menjalankan langkah mengawal tatakelola Andalus dan memadamkan beberapa penentamngan di wilayah sebelah utara Andalus serta menetapkan hukum di Septimania. Dia memegang teraju pemerintahan hinggalah datang gabenor baru lantikan Damsyiq iaitu  Ambasah bin Suhaim Al-Kalbi. 

Ambasah kemudiannya mempersiapkan angkatan baru pada tahun 724M untuk menyelesaikan misi yang tertangguh. Beliau kembali ke mengukuhkan kedudukan di Septimania.  Beberapa kota yang berdekatan dapat dikuasai dan ini menggentarkan Odu The Greate  yang menjadi Duke Of Aquitaine yang memaksanya mengadakan perjanjian damai dengan Ambasah. Dengan itu Islam dapat menapak di Selatan Prancis.

Malangnya, ketika Ambasah dalam perjalanan kembali ke Selatan (Andalus) dia diserang hendap oleh pasukan Prancis dan dia cedera hingga membawa kepada matinya. Dengan itu, Ambasah hanya sempat menjadi gabenor sekita setahun sahaja. Tahun itu ialah tahu 725M.

Selepas kematian Ambasah, keadaan Andalus tidak stabil. Dalam 5 tahun berikutnya, beberapa gabenor baru dihantar, namun wujud persaingan antara kabilah Arab Yamaniyyah dengan Madhoriyyah yang menyebabkan keadaan tidak aman dan lemahnya kekuasaan kaum muslimin di Andalus. Dalam keadaan itu, di damsyiq Hisyam bin Abdul Malik naik sebagai khalifah dan dia menghantar dekri melnatik Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai gabenor Andalus yang baru pada tahun 731M. Ini merupakan lantikannya kepada posisi kepinan Andalus buat kali yang kedua.

Perlantikan Abdurrahman Al-Ghafiqi mendapat menarik sokongan kaum muslimin Arab Andalus dan mereka menyatu di bawah kepimpinannya. Beliau mengukuhkan kerjaaan , menperketatkan kawalan sempadan dan memadamkan mana-mana cubaan pemberontakan. Dalam pada itu Raja Odu dari kerajaan Aquitaine sedang dalam dilema. Antara ancaman Charles Martel dari utara dan Pasukan Islam dari Selatan. Untuk menghadapi dilema  ini, dia mengambil langkah buat perjanjian damai dengan pasukan kaum muslimi yang dipimpin oleh Abdurrahman Al-Ghafiqi.

Dalam pada itu, ada satu watak yang muncul menjadi duri dalam daging menggangu siasah Abdurrahman Al-Ghafiqi. Beliau disebut dengan nama Manusah. Dikatakan namanya Uthman bin Naisa' atau Uthman bin Abi Nas'ah Al-Khus'ami. Beliau adalah seorang pemimpin muslim berbangsa Barbar yang memerintah wilayah Cerdanya sejak tahun-tahun awal kemasukan Islam ke Semenanjung Iberia. Pada masa Ambasah jadi gabenor lagi, Manusah ini telah meberontak dan bersekuta dengan Odu The Great. Beliau berkahwin dengan anak Odu The Great. Sikapnya berlangsung sampai masa Abdurrahman Al-Ghafiqi mengambil ali kekuasaan atas Andalus. Kerja-kerja jahat MAnusah disedari oleh Abdurrahman Al-Ghafiqi dan beliau  mengirimkan pasukan yang dipimpin oleh seorang pemimpin Barbar muslim yang lain bernama Ibn Zayyan. Manusah lari berlindung kubu kawasan pergunungan, namun Ibn Zayyan dapat memburunya dan akhirnya menangkapnya dan membunuhnya. Isterinya yang merupakan puteri Odu The Great ditawan dan dikirimkan ke Damsyiq.

Abdurahman Al-Ghafiqi kemudiannya mara ke utara menyemberang Pergunungan Peyrenees masuk ke kota-kota di Selatan Perancis seperti Arles yang berada di pinggir Sungai Rhone. Pasukan Odu The Great dikalahkan dalam Perang Bordeaux. Kemudian Abdurrahman menyemberang sungai La Garrone dan menakluk kota Bordeaux . Kemudian beliau menju Bourgogne dan menawan Lyon dan Besancon. Seterusnya beliau menyemberang sungai Loire, sungai terbesar di Prancis untuk menuju ibu kota Perancis. Tentera muslimin berjaya mengaut ghanimah yang sangat banyak. Odu The Great yang kalah perang pergi bergabung dan minta tolong dengan Charles Martel. 

Charle Martel mengumnpulkan tentera besar dari bangsa Gallia dan Jerman.  Tenteranya dikerah menghadapi tentera Abdurrahman Al-Ghafiqi dan bertemu di satu lembah antara bandar Tours dan Poitiers. Perang berlangsung 7 hari. Perang ini disebut dalam Sejarah Islam dengan Perang Balatus syuhadaa dan dalam sejarah Eropah dikenali dengan Battle Of Tours.Setelah berperang sengit 7 hari, pada hari terakhir berlaku kekacauan dalam pasukan kaum muslimin. Dikatakan sebahagian pasukan Charles martel telah dikirim untuk membakar harta-harta ghanimah yang dikumpul oleh tentera Abdurrahman Al-Ghafiqi  menyebabkan kalangan tentera berpatah balik dan barisan hadapan menjadi longgar. Sebahagian sejarawan Islam menolak riwayat sedemikian yang menggambarkan ketamakan tentera Islam ke atas harta Ghanimah, namun, ada yang menerima cerita itu sebagai satu kemungkinan kerena sehebat generasi sahabat nabi pun berdepan dengan masalah yang sama dalam peristiwa kekalahan Perang Uhud.

Abdurrahman Al-Ghafiqi cuba menyusun kembali pasukannay namun dalam situasi tersebut dia mengalami kecederaan  terkana panah yang membawa kepada meninggalnya. Tarikh gugurnya beliau syahid adalah pada 27 Sya'ban 114H. Hal ini menimbulkan khilaf kalangan pasukannya sama ada untuk teruskan perang atau berundur. Maka, keputusan diambil berundur dan dikatakan anggota yang terluka terpaksa ditinggalkan kerana banyak sangat. Tahu-tahulah apa nasib mereka. Kasihan...tapilah itulah pengorbanan para pejuang.

Umat Islam hari ini wajib mengingat kehebatan para leluhur yang begitu pemberani, membela Islam dan menghadapi dunia tanpa ragu-ragu.

Percubaan yang gagal ini menghentikan kemaraan pasukan kaum muslimin. Pemimpin Andalus yang berikut sesudah zaman Abdurrahman Al-Ghafiqi tidak lagi sehebat beliau dalam usaha menusuk ke jantung Eropah. Itulah cubaan pertama dan terakhir para mujahid Islam menyerbu kota-kota Eropah. Andaikan, kalau misi berhasil dan panji Islam dapat dipacak di Kota Paris, maka Islam akan bersemarak di Eropah. Runtuhlah Byzantine dan Kota Kostantinopel akan tersungkur lebih awal berbanding apa yang telah berlaku dalam sejarah.

Namun Allah SWT punya rahsianya. Terimalah hakikat bahawa umat Islam gagal menakluk Eropah dan penyerbuan itu. Jika pasukan Islam kuat dan bersemangat, pasukan kafir juga kuat dan bersemangat. Antara Haq dan batil saling berlaga. Roda berpusing dan hari-hari bersilih. Mungkin Allah ingin cara yang lain Islam menguasai dunia. Generasi hari ini dapat memahami sebahagian rahsia Allah apabila melihat negeri-negeri di Eropah berkumandang suara Islam. Bangsa Eropah memeluk Islam tanpa serangan berdarah tetapi dengan dakwah dan uswah.

Alhamdulillah atas segala nikmat Allah SWT. Kami redhalah Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai jalan hidup kami dan nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasul kami.

Kenanglah nama Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai adalah satu-satunya komander muslimin yang berjaya membawa masuk pasukannya ke bahagian yang paling jauh ke wilayah Prancis.Walaupun cubaannya gagal, ia adalah satu catatan sejarah yang seharusnya jadi inspirasi generasi pewaris perjuangan. Bahawa ummat Islam tidak miskin tokoh dan pahlawan. Carilah pahlawan Islam sebagai inspirasi dan lemparkan ke longkang kumbahan para pahlawan palsu dan fantasi yang diciptakan  orang-orang kafir. Superman, Aquaman, Spiderman, Batman, Ultraman, Antman dan berapa banyak lagi hero ciptaan, dalam dunia realiti mereka tidak wujud sama sekali. Namun, hero-hero Islam telah wujud dalam dunia realiti dan sejarah mereka tidak dapat dinafikan.


Rujukan bacaan:

https://arabicpost.net

Bacaan tambahan:

  1. https://islamstory.com
  2. https://kisahmuslim.com/2979-kisah-tabiin-abdurrahman-al-ghafiqi-gubernur-andalusia.html



Saturday, December 24, 2022

Amru bin Ma'di Yakrab

Beliau adalah Abu Tsaur Amru bin Ma'di Yakrab Az-Zubaidi Al-Muzhaji. Belia masuk Islam pada zaman Rasulullah  SAW. Namun, setelah wafatnya Rasulullah SAW, dia murtad, akan tetapi kemudiannya kembali kepada Islam.

Beliau merupakan seornag penyair, ahli berkuda, pemberani dan tuan punya pedang Arab yang terkenal bernama SOMSOMAH. Beliau menyertai perang jihad pada masa kekhilafahan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Beliau ikut serta dalam perang Yarmuk dan Al-Qadisiyyah. Beliau menunjukkan keberanian luar biasa dalam peprang itu dan dikatakan beliaulah yang telah membunuh Rustam Farakhzad, panglima Parsi yang terkenal itu.

Beliau memiliki tubuh yang tinggi dan sado. Terkanallah perkataan khalifah Umar Al-Khattab yang kagum dengan fizilkalnya itu:

 الحمد لله الذي خلقنا وخلق عَمْراً



"Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan kami dan juga menciptakan Amru"
\
Amru bin Ma'di Yakrab telah gugur syahid dalam perang Nahawand iaitu salah satu perang penentu antara tentera Islam dengan Parsi. Ia berlaku pada masa khalifah Umar Al-Khattab. 

Amru bin Ma'di Yakrab juga dikenal dengan nama Al-Asy'ath bin Qais. Beliaulah ayah kepada Muhamamd bin Al-Asy'ath yang merupakan pemimpin pasukan tentera Mus'ab bin Zubair memerangi Mukhtar ATsaqafi.

Siapakah Mukhtar As-Tsaqafi itu? 

Kita akan kenalinya nanti.

Daulah Bani Al-Aghlab

 Kerajaan ini muncul di  Utara Afrika pada masa kekhilafahan Harun Ar-Rasyid. Tepatnya pada tahun 184H. Pengasasnya adalah Ibrahim bin Al-Aghlab At-Tamimi. Beliau adalah seorang Arab berketurunan Bani Tamim. Oleh itu, kerajaan ini adalah kerajaan Arab. 

Ayah Ibrahim bernama Al-Aghlab bin Salim bin 'Iqal As-Sa'di At-Tamimi. Beliau adalah antara pendokong gerakan bawah tanah Bani Abbasiyyah, dan bawahan kepada Abu Muslim Al-Khurasani. Bila Bani Abbasiyyah berkuasa, dia diberi peranan untuk ke Utara Afrika bersama dengan Muhammad bin Al-Asy'ath Al-Khuza'i*1 (Bezakan dengan seorang lagi yang bernama Muhamamd bin Al-Asy'ath yang merupakan seorang general askar Mus'ab bin Zubair yang memimpin pasukan mengalahkan Muktar As-Tsaqafi) untuk memadamkan pemberontakan puak Khawarij di sana. Misi tersebut berjaya dicapai dan kekuasaan Abbasiyyah dapat kembali dipacakkan di bumi Afrika Utara. Qairawan sebagai kota penting di Utara Afrika dapat dirampas daripada pihak Khawarij.

Namun, ancaman Khawarij terhadap kekuasaan Abbasiyyah tidak terus padam. Tahun 148H, Muhammad bin Al-As'ath telah dikalahkan dan dia mati terbunuh. Perjuangan menentang Khawarij itu dilanjutkan oleh Al-Aghlab bin Salim dengan perakuan khalifah. Usaha gigihnya memakan masa yang panjang dan jerih yang bukan sedikit. Beliau akhirnya mati terkena panah pada tahun 150H. Saat itu anaknya Ibrahim baru berusia 10 tahun.

Khalifah Abbasiyyah tidak tinggal diam. Gabenor dihantar untuk memimpin pasukan buat menegakkan keamanan di bumi utara Afrika. Misi utama adalah memadamkan pemberontakan Khawarij. Di samping itu wujud masalah semangat kepuakan yang melampau. gabenor-gebenor kerajaan yang dikirim, ada yang dibunuh, dihalau dan ada yang disingkirkan oleh pemuka-pemuka di sana. Hingga Harun Ar- Rasyid  mengirimkan Muhammad bin Muqatil Al-'Aki sebagai gabennor. Dia tidak dapat melawan pemberontakan yang dipimpin oleh Tamam bin Tamim At-Tamimi. Dia dikalahkan tetapi ketika Ibrahim bin Aghlab sudah jadi seorang yang hebat , gagah dan berpengaruh. Dengan bantuannya, Ibn Muqatil dapat dikembalikan dan Tamam bin Tamim dikalahkan. Bila khalifah tahu kejayaan Ibrahim bin Aghlab itu, dia pun gantikan Ibn Muqatil dengan Ibrahim bin Aghlab sebagai gebenor Utara Afrika. Ibrahim dianggap sebagai raja Afrika yang bakal mewariskan kerajaan untuk anak keturunannya. Asalkan, nama Khalifah disebut dalam khutbah sebagai tanda walak kepada kerajaan pusat.

Kemuncak kegemilangan kerajaan ini berada pada zaman kekuasaan Abdullah I bin Ibrahim dan saudara lelakinya yang bernama Ziadatullah I bin Ibrahim. Pada masa mereka, kekuasaan kerajaan Aglabiyyah melebar hingga ke Sicily dan persisiran pantai Itali. Kecermerlangan kerajaan ini berlanjut hingga zaman pemerintahan Muhammad I bin Aghlab di mana pada masanya tentera kerajaan Aghlabiyyah berjaya menggoncang gerbang Kota Rom dan menyebabkan Pope Yohanes VIII sanggup membayar jizyah. Sepanjang kurun ke-3H, armada kerajaan Aghlabiyyah menguasai Laut Mediteranean dan mereka membentuk markaz kawalan perairan di Pulau Malta. Kapal dagang Eropah yang lalu perlu membayar cukai kepada pasukan armada Aghlabiyyah.

Kerajaan ini sentiasa mewalakkan dirinya kepada khalifah Abbasiyyah sepanjang masa ia berdiri. Dalam pada itu, kemunculan kerajaan Tuluniyyah di Mesir dan Kerajaan Rastamiyyah di Aljazair menjadi pesaing kepadanya dan sering berlaga dan terjadi perang. Kerajaan Aghlabiyyah pada masa Ibrahim bin Ahmad Al-Aghlabi berjaya mengalahkan kedua-dua kerajaan yang berdampingan itu. 

Kerajaan Aghlabiyyah dapat bertahan sehingga tahun 296H. Akhirnya kemunculan kerajaan Ubaidiyyah dapat mengatasinya dan menamatkan riwayatnya. Raja terakhir kerjaan Aghlabiyyah, Ziyadatullah III telah dikalahkan oleh pasukan Ubaidiyyah dan dia lari menyelamatkan diri ke Syam dan kemudiannya mati di Baitul Maqdis.


Raja-raja Daulah Aghlabiyyah: Rujuk:https://www.marefa.org/%D8%AF%D9%88%D9%84%D8%A9_%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%BA%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%A9



*1: Muhammad bin Al-Asy'ath Al-Khuza'i ialah Abu Ja'far Muhammad bin Al-Asy'ath bin Uqbah bin Uhban bin Al-Akwa' Mukallimu Az-Zi'bi bin Ubbad bin Rabi'ah bin Ka'ab bin Umayyah bin Yaqazoh bin Khuzaimah bin Malik bin Sulaman bin Aslam bin Afdha Al-Khuza'i dari kabilah Kuza'ah yang terkenal. Beliau merupakan orang kuat Abu Muslim Al-Khurasani. . Dia dilantik sebagai gabenor wilayah Parsi. Ketika Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur telah membunuh Abu Muslim Al-Khurasani, berlaku pemberontakan Sumbaz. Pemberomntakan itu dipadamkan oleh khalifah dengan mengirimkan tentera dipimpin oleh Jahwar bin Mirar Al-Ajli (Rujuk: https://attawarikh-almukhtarat.blogspot.com/search?q=bin+mirar). Namun, setelah menang atas Sumbaz, Jahwar kemudiannya berpaling tadah melawan khalifah. Khalifah mengirimkan Muhammad bin Al-Asy'th Al-Khuza'i dan dibantu pula oleh Umar bin Hafsin Al-Mahlabi.


IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...