Showing posts with label Afrika Utara. Show all posts
Showing posts with label Afrika Utara. Show all posts

Wednesday, April 19, 2023

SULTAN ABU YUSUF YA'KOB AL- MANSUR AL-MARINI



Penguasa Muslim di Utara Afrika yang satu ini, sama namanya dengan seorang penguasa muslim Utara Afrika yang lain daripada kerajaan Al-Muwahhidin, iaitu Abu Yusuf Ya'kob Al-Mansur Al-Muwahhidi. Gelaran Al-Mansur Al-Marini diletakkan buat membezakan dengan Al-Mansur Al-Muwahhidi. Dua orang berbeza tetapi sama-sama menabur jasa besar dalam sejarah umat Islam, khasnya di bumi Andalus.

Namanya adalah Abu Yusuf Ya'kob bin Abdul Haq. Beliau lahir pada tahun 609H di Maghribi daripada Kabilah Bani Marin. Beliau menjadi Sultan Bani Marin yang mengalahkan Bani Abdul Wad dan menguasai Murakesh dan mengalahkan Kerajaan Muwahhidin pada tahun 668H. Sejarawan Islam menggambarkannya sebagai Sultan yang banyak berpuasa lagi banyak solat. Selalu berzikir dan banyak tafakkur. Siangnya diisi dengan zikir dan malamnya diisi dengan qiam. Dia sangat memuliakan orang soleh dan berbelas kasihan kepada orang miskin. Dia sangat tawadhu' kepada para agamawan dan sangat memelihara kemuliaan darah kaum muslimin. Beliau seorang yang mulia lagi pemurah . Sangat pahlawan di medan jihad. Senentiasa menang bila berperang dan banyak membuat futuhat.

Ketika dia berkuasa di Maghribi, pemerintahan kaum Muslimin di tanah Andalus sedang meniti di jurang berapi. banyak wilayah yang dulunya Islam berkuasa telah jatuh ke tangan Kristian. Grenada adalah antara thaghrah (  ثغرة ) kaum muslimin yang masih bertahan. ia berada di bawah pemerintahan Bani Ahmar. Pada tahun 671, Muhammad bin Al-Ahmar I dari kerajaan Bani Ahmar yang memerintah Granada di Andalusia meninggal dunia pada usia hampir 80 tahun. Dia digantikan anaknya Muhammad bin Muhammad  bin Ahmar yang digelar Al-Faqih. Dia merasa terancam dengan kerajaan kristian Castella yang dipimpin Alfonso 10. Alfonso 10 mula memecahkan perjanjian dan merampas beberapa wilayah perbatasan Grenada. Maka, bantuan Sultan Bani Marin dipinta oleh pemerintah Bani Ahmar itu.


Pada bulan Safar tahun 674, buat kali pertamanya Sultan Abu Yusuf Ya'kob Al-Marini ini menyemberang laut menuju di tanah Andalusia. Dia menyahut permohonan bantuan tersebut. Dia mengulangi tanggungjawab yang dulunya pernah dipikul oleh Yusuf Ibn Tasyafin dari kerajaan Murabitun dan Abu Yusuf Ya'kob Al-Muwahhidi dari kerajaan Muwahhidun. Kini, dia Sultan Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Marini menjejaki tapak-tapak perwira sebelumnya,  menyelamatkan tanah Andalusia dari digerogoti oleh tentera Kristian. 

Benarlah apa yang pernah diwasiatkan oleh Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Muwahhidi sebelum wafatnya. Bahawa Andalusia itu anak yatim yang perlu dibantu. Kalau tiada bapa angkat dari Maghribi datang menolong, sudah lama pemerintahan Islam di Andalusia lenyap. Pemerintah kota-kota di Andalusia tidak jelas halatujunya. Mereka tahu bahawa mereka dikelilingi oleh kemaraan pasukan Kristian, namun dalam masa yang sama mereka terus ghairah membangunkan istana-istana indah dan mewah dalam kota mereka.

Sultan Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Marini  berperang melawan tentera Kristian yang sedang melahap tanah-tanah yang pernah dikuasai kaum muslimin. 

Dalam satu peperangan yang dinamakan Perang Dununiyyah ( berlaku tahun 674H) (sempena nama general perang kerajaan Castella yang memimpin tenteranya melawan tentera Islam pimpinan Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Marini), Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur telah memenangi peperangan tersebut. Tentera Islam jumlahnya  kurang 10 ribu. tetapi dapat mengalahkan tentera Kristian yang jumlahnya ratusan ribu. Inilah ajaibnya sejarah jihad kaum muslimin! 6000 tentera Kristian dapat dibunuh manakala 7800 tentera kristian dapat ditawan. Panglima tentera Castella yang bernama Don Nonio De Lary turut terbunuh. Harta rampasan perang yang tidak terpermanai banyaknya dapat dipungut. Sejak kemenangan dalam Perang Arak (tahun 591H), perang inilah perulangan sejarah yang amat mengembirakan ummat Islam di Andalus.

Setelah memenagi dalam banyak siri peperangan di tanah Andalusia dan dapat menyekat kemaharajalelaan tentera kristian dan membantu raja Grenada iaitu Muhammad bin Al-Ahmar yang digelar Al-Faqih menyelamatkan kerajaannnya daripada kejatuhan, maka pasukan Abu Yusuf Yaakob akan pulang ke Maghribi. Namun, dengan takdir Allah pemerintah di Kota Almeria meninggal dan digantikan oleh anaknya yang masih muda belia. (Almeria adalah salah satu 3 daerah dalam pemerintahan Grenada. Dua lagi adalah Malaga dan Granada). Dia amat mengkagumi Sultan Abu Yusuf Ya'kob Al-Marini itu. Dia mahu menyerahkan keuasaan Almeria kepada Sultan Bani Marin dan ianya diterima oleh sang Sultan. Dia pun tinggalkan sejumlah 3000 askar di Almeria dan akan menghantar 3000 lagi dari maghribi untuk menempati Sem Torif. Ianya sebagai persediaan jika bantuan diperlukan lagi dan tentera Kristian buat onar semula. Sultan Abu Yusuf meninggalkan pasukannya  dan pulang ke ibu kota pemerintahannya di Murakesh.

Tetapi Muhamamd bin Al-Ahmar Al-Faqeh telah khianat. Dia bimbang nasibnya dan kerajaannya akan jadi seperti zaman Ibn Ubbad di masa Kerajaan Murabitun datang menolongnya menyelamatkan  tanah Andalusia dari jatuh ke tangan Kristian. Ibn Ubbad pada akhirnya dicabut kekuasaannya dan digiring sebagai tawanan ke Murakesh dan mati di sana. Seluruh kota di Andalus di diletakkan di bawah pemerintahan pusat kerajaan Murabitun di Murakesh. Maka, Ibn Ahmar Al-Faqih ini (Yang sebenarnya tidak pun faqih) bimbang nasibnya serupa dan sejarah akan berulang.

Lalu, datanglah fikiran jahat dalam kepalanya iaitu bersekutu dengan orang kafir yang pernah diperanginya bersama Sultan dari Bani Marin itu. Dia pergi kepada raja Castella dan minta tolong untuk menghalau  pasukan tentera kerajaan Mariniyyah yang berkampung di Semenanjung Torif. Lalu bersepakatlah tentera Kristian dari Castella dan tentera Grenada pimpinan rajanya yang muslim itu mengepung kedudukan tentera Bani Marin.

Khabar itu sampai kepada Sultan Abu Yusuf Ya'kob di Murakesh dan dia pun segera menggerakkan pasukannya menyemberang laut sekali lagi bagi tujuan menyelamatkan pasukan yang ditinggalkannnya. Berlakulah perang yang sengit dan berakhir dengan kekalahan tentera Castella. Mereka lari balik ke Utara dan tinggallah tentera Grenada yang perlu berdepan dengan tentera Bani Marin.

Apa akan jadi? Wala' dengan orang kafir dan orang kafir telah lari tinggalkan dia. Cis seribu cis untuk penguasa bodoh seperti Muhammad bin Ahmar al-Faqih itu!

Terpaksalah dia merayu minta maaf macam budak hinggusan kepada Sultan Bani Marin. Sultan yang berjiwa besar itu pun memaafkannya dan mengembalikannya ke  kerusi pemerintahan. Tidak dilucutkan pun!

Berselang tahun tahun iaitu pada tahun 684H, Sultan Abu Yusuf ini sekali lagi datang ke Andalusia dan berperang dengan tentera-tentera Nasrani. Dia memenangi peperangan dan buat perjanjian damai dengan mereka. Dia minta sebagai syarat perjanjian damai agar khazanah ilmiah berbentuk buku-buku karya ulama yang tertinggal dalam wilayah yang dikuasai tentera nasrani (Cardoba dan Isybilia) di pulangkan kepadanya. Dia bukan minta harta, tetapi minta karya para ulama yang hilang dari tangan orang Islam. 

Berkat wawasannya itu, sampai hari ini kita dapat merasai tinggalan ilmu ulama-ulama Andalus. Jika tidak kerana apa yang dilakukan oleh Sultan Abu Yusuf Ya'kob Al-Marini ini, hilanglah khazanah ilmu ulama Andalus daripada kita orang Islam. Khazanah ilmulah   yang paling dan  amat berharga buat tamaddun manusia. Hari ini, manuskrip-manuskrip daripada  Andalus itu tersimpan di Muzium Kota Fas, Maghribi.

Alhamdulillah....terima kasih buat Sultan Abu Yusuf Al-Mansur Al-Marini. Allah muliakanmu sepanjang zaman. Ganjaran syurga menantimu di akhirat, Insya Allah. Moga Allah letakkan kami bersama orang-orang hebat ini di akhirat kerana berkat cinta kami kepada mereka.

Kehinaan dan kerendahan buat Ibn Ahmar dan anak-anaknya yang menjadi dedalu pengkhianat di dahan sejarah agung Umat Islam!

Al-wailu Thummal wailu!


Bacaan: Islamstory

Thursday, December 8, 2022

GEMBALA UNTA LEBIH BAIK DARIPADA GEMBALA BABI

Kerajaan Bani Umayyah  yang berpusat di Kota Damsyiq tersungkur rebah pada tahun 132H. Khalifahnya yang terakhir, Marwan bin Muhammad ( Marwan Al-Himar) kalah dalam perang Az-Zab Al-Kabir yang menyaksikan runtuhnya puing-puing kerajaan bani Umayyah. Berikutan dengan itu, siri-siri pembunuhan kejam dan permbersihan politik digencarkan oleh para pemimpin kerajaan baru iaitu Bani Abbasiyyah. Saki baki keluarga Bani Umayyah yang dilihat berpotensi untuk menjadi ancaman di masa depan diburu dan dibunuh. 

Namun, Allah mentakdirkan seorang putera masa depan Bani Umayyah terselamat. Beliau adalah Abdurrahman bin Mu'awiyah bin Hisyam bin Abdul Malik. Beliau dapat melarikan diri demi menyelamatkan nyawanya. Kisah meriwayatkan bagaimana dia berenang menyemberang sungat Furat demi sebuah pelarian menyelamatkan nyawa dari kebuasan politik. Kala itu usianya masih belasan tahun.  Belia jadi buruan politik yang dikehendaki dan menyamar dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Dari Tanah Syam, beliau membawa nestrapanya ke Mesir hingga ke Tanah Maghrib. Beliau menyemberang lautan melalui Selat Gibraltar dan mendarat di Andalus yang saat itu berada di bawah pemerintahan para gabenor yang sentiasa berdepan dengan pemberontakan di sana sini. Fasa itu dinamakan fasa "'Ahdul Wulat".

Dengan kehebatan Abdurrahman, dia dapat mengambil alih posisi dan mententaramkan tanah Andalusia. Tidak hairan, Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur di Kota Baghdad mengakui Abdurrahman sebagai "helang Quraisy". KIsah pengkelanaannya sungguh menakjubkan. Namun atas segalanya. ia adalah susunan sebuah takdir Allah SWT.

Abdurrahman mewariskan sebuah daulah yang kuat untuk anak cucunya. Dia bertahta selama 33 tahun. Pada fasa berikutnya, kerajaan Bani Umayyah mencipta kemakamuran dan perluasan yang memancarkan cahaya terang ke seluruh Eropah. Ia menjadi pencetus peradaban yang dikenang sehingga kini. Hingga, pada zaman Abdurrahman An-nasir, dia mengambil gelaran Khalifah kerana kondisi kekhilafahan Abbasiyyah saat itu sangat lemah. Apatah lagi, di Mesir telah berdiri khalifah Fatimiyyah yang bermazhab Syiah Ismailiyyah.

Para khalifah Bani Umayyah bersilih ganti hinggalah zaman Al-Hakam Al-Mustansir Billah. Pengaruh seorang hamba  perempuannya   yang bernama Subuh Al-basytakiyyah telah mempercepatkan kejatuhan dinasti Bani Umayyah. Beliau menjadi dalang di balik naiknya anaknya yang bernama Hisyam Al-Mu'ayyad atas tahta. Kala itu, Sang hajib bernama Al-Mansur bin Amir menjadi pemegang kuasa sebenar.  dia memang berjasa dan hebat. Tetapi sesudahnya, penggantinya adalah orang yang tercela dan merosakkan kerajaan. Para umara bani Umayyah pula bersengketa dan bergaduh hingga mempercepatkan tamatnya riwayat kerajaan Bani Uamyyah di Andalus..

Apabila sudah demikian, berpecah belahlah kerajaan menjadi wilayah-wilayah kecil yang dikendalikan oleh raja-raja yang banyak. Itulah zaman yang disebut sebagai 'Ahdu Mulukut Tawaif. Pada masa inilah kerajaan Kristian dari Leon dan Castella yang diketuai oleh Raja Alfonso V memperkotak katikkan para raja-raja Muslim yang tamak dan mementingkan diri itu. Dia mengugut dan melaga-lagakan sesama mereka.



Dalam kemelut keruntuhan iman, moral dan wala' kepada Islam ini, muncul satu nama yang penting dari kalangan raja-raja kecil di Andalus. Dia adalah Al-Mu'tamid bin Ubbad, raja Isybilia ( Sevilla). Beliau cuba menghimpunkan semua raja muslim di Andalus agar berpadu melawan kemaraan raja Al-Fonso V. Namun, mereka menyatakan kelemahan dan ketidakmampuan untuk mendepani kemaraan raja kristian itu. Itulah yang menyebabkan Al-Mu'tamid bin Ubbad mencadangkan agar diminta pertolongan kepada seorang penguasa muslim yang masyhur namanya di Utara Afrika, dari di Kota Murakesh. Beliau bernama Yusuf bin Tasyafin, raja dan penguasa bagi kerajaan Murabitun.

Para raja muslim Andalus mulanya keberatan kerana takut hilang kuasa kalau Yusuf binTasyafin masuk ke Andalusia untuk menolong mereka. Namun, Al-Mu'tamid bin Ubbad menegaskan dengan kata-katanya yang masyhur dan terukir dalam memori sejarah dengan pujian:

رَعْيُ الجِمال خَيْرٌ من رَعْيِ الخَنازِيْر

" Gembala unta lebih baik daripada gembala babi!".


Maka pertolongan Yusuf bin Tasyafin dipohon. Seorang pemimpin hebat dan ada kesedaran utuh tentang menjaga wilayah umat Islam. Dengan semangat itu, membawa Yusuf bin Tasyafin menyemberang laut ke Andalusia demi meyelamatkan maruah umat Islam. Terjadilah Perang Zallaqah pada tahun 479 H yang menyaksikan kemenangan gilang gemilang pasukan Islam dan tumpasnya pasukan Alfonso V. Sebagai tanda keikhlasannya membantu, selepas itu itu Yusuf bin Tasyafin pun menarik keluar semua tenteranya dari bumi Andalusia.

Namun, setelah Yusuf bin Tasyafin meninggalkan bumi Andalusia, para raja muslim di sana kembali bersengketa dan menjadi pengkhianat satu sama lain. Ini membawa kepada penyemberangan kali ke-2 Yusuf bin Tasyafin pada tahun 481H dan seterusnya kali ke-3 tahun 483H yang mengakibatkan tamatnya zaman Kerajaan Tawaif dan Andalusia kemudianya ditadbir oleh kerajaan Murabitun dari Murakesh. Al-Mu'tamid sendiri telah mendapat apa yang dia ibaratkan dalam kata-katanya iaitu menjadi gembala unta lebih dia sukai. Dia ditawan oleh kerajaan Murabitun dan dibawa balik ke Murakesh dan dipenjarakan di Aghmat, sebuah kota di selatan Murakesh. Disanalah dia meninggal dan dikebumikan.


Thursday, October 27, 2022

Jagalah Yatim dan Aitam-Wasiat Ya'akob Al-Mansur

Tatkala hampir matinya Yaakob bin Yusuf Al-Mansur Al-Muwahhidi berwasiat:


 أوصيكم بتقوى الله و باليتيمة و بالأيتام ، فقال أحد الحاضرين، ومن اليتيمة و الأيتام ؟ فقال اليتيمة الأندلس و الأيتام سكانها المسلمون...

"Aku berpesan kepada kalian agar sentiasa bertakwa kepada Allah dan agar sentiasa menjaga anak yatim (Yatimah) dan anak-anak yatim (Aitam). Maka salah seorang yang hadir ketika itu bertanya: Siapakah Yatimah dan siapa pula aitam? Maka katanya: Yatimah itu adalah negeri Andalus dan Aitam itu adalah penduduknya yang beragama Islam!".


Mari kita kenali tokoh ini. Siapakah dia?

Beliau adalah pemerintah ke-3 kerajaan Al-Muwahhidun di Utara Afrika. Beliau menggentikan posisi ayahnya Yusuf bin Abdul Mukmin (Pemerintah ke-2 Muwahhidun) pada tahun 1184M dan memerintah hingga tahun wafatnya di Murakesh pada tahun 1198M.

Beliau adalah penjaga kepada tokoh Ibn Rusyid (Al-Hafid) seorang ahli falsafah Andalus dan juga Muhammad Al-Waghlisi, seorang tokoh ulama mazhab Maliki Asy'ari.

Beliau adalah penguasa muslim yang memimpin pasukan jihad melawan tentera Kristian yang diketua Al-Fonso 8 dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Arak (  الأراك ) yang menyaksikan kemenangan pasukan kaum Muslimin. Selepas itu beliau digelar sebagai Al-Mansur. Dia juga digelar Al-Mansur Al-Muwahidi untuk membezakan dengan seorang lagi yang sama namanya dan pernah melakar sekarah di Utara Afrika iaitu Abu Yusuf Yaakob  Al-Mansur  Al-Marini. Beliau adalah pengasas Kerajaan Banu Marin dan orang yang membuat pukulan maut menamatkan saki baki kerajaan Muwahhidin pada tahun 668H.

Boleh baca mengenai Sultan Abu Yusuf Al-Mansur Al-Marini di sini.




Muhammad bin Tumart (Meninggal: 524H)

Dikenali dengan sebutan Ibn Tumart. Beliau adalah seorang pendakwah Islam dan juga seorang tokoh ulama Islam yang berpolitik serta aktif di Utara Afrika pada penghujung kurun ke-11 M dan awal kurun ke-12M. Beliau dianggap sebagai pengasas kepada kerajaan Muwahhidun, satu kerajaan yang pernah mewarnai pemerintahan di kawasan Utara Afrika antara tahun 1121-1269M.

Abdul Mukmin bin Ali Al-Kumi menjadi muridnya.

Tahun 512 Ibn Tumart masuk ke Kota Murakesh, Kota pemerintahan kerajaan Murabitun. Di sana dia menyebarkan dakwahnya amar ma'ruf dan nahi mungkar kerana beliau melihat kemungkaran banyak berlaku di Murakesh. Maka berlaku kegalauan masyarakat terhadap dakwah yang membawa kepada dia dihalau keluar dari Murakesh. Lalu dia pergi ke Aghmat dan di sana dia diba'ah oleh Abdul Mukmin Al-Kumi bersama 10 pengikutnya dan dimasyhurkan sebagai Al-Mahdi Al-Muntazor. 


Beberapa waktu setelah itu Ibn Tumart berdominisil di Tilmisan dan kemudian di Kota Fas. Dia mengajar di sebuah masjid di sana dan membentuk jamaah murid-murid. Mereka menjadi tegas dalam membanteras kemaksiatan dan menghancurkan kelab-kelab yang memainkan alat muzik serta kedai-kedai muzik. Pemerintah Kota Fas pun himpunkan fara fuqaha membincangkan kaedah dakwah Ibn Tumart dan berlaku perdebatan dengannya.

Ibn Tumart mendakwa dia keturunan Husain bin Ali cucunda Rasulullah SAW. Kerana itu dia mengaku sebagai Al-Mahdi yang dijanjikan dan dia juga mendoktrinasikan kepada para pengikutnya fikrah bahawa dia adalah maksum. Pusaran dakwahnya adalah mengutamakan ketauhidan dan dia membawa method Asy'ari dan orang yang menyalahi methodologi akidahnya dicop sebagai "Mujassimah" dan "Musyabbihah".

Ibn Tumart dan dakwah tauhidnya menolak fikrah mazhab. Ketika itu Mazhab Maliki menguasai cara beragama penduduk Islam di Utara Afrika. Ibn Tumart membentuk satu pola berfikir yang tidak tertambat dengan mana-mana mazhab. Dia ambil fikrah "ismah" dari mazhab Syiah. Dia juga mencedok fikrah khawarij yang menghukumkan para penentang mereka hendaklah diperangi dan wajib memberontak melawan pemerintah yang zalim. Pada akhirnya, lari dari Mazhab dalam fekah akhirnya membentuk mazhab baru iaitu Mazhab Muwahhidun. Mazhab agama yang berorientasi politik!

Apakah ciri-ciri mazhab yang berorientasikan politik itu?

Jatuh Murabitun Naik Muwahhidun

Nak tubuh satu-satu kerajaan, bukan mudah. Banyak korban yang berjatuhan. Mari kita tela'ah satu episod sejarah. Sejarah munculnya kerajaan Muwahhidun yang merobohkan kerajaan Murabitun di Utara Afrika.

Kisah jatuh bangun kerajaan dalam sejarah mengajar kita satu pelajaran penting. Di depan fitnah kekuasaan, tidak ada orang yang layak mesucikan dirinya!

Baca:

https://islamonline.net/archive/%D8%AF%D9%88%D9%84%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%88%D8%AD%D8%AF%D9%8A%D9%86-%D9%85%D9%84%D8%A7%D9%85%D8%AD-%D8%A8%D8%AF%D8%A7%D9%8A%D8%A9/


Sunday, September 25, 2022

Hamim Ibnu Mannallah

Lelaki ini adalah seorang yang berasal dari Maghribi, dari kabilah Ghimarah. Sebab itu dia juga disebut sebagai Hamim Al-Ghimari. 

Dia mengaku nabi dan dalam masa yang sama mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Dia membawa syariat baru antaranya mengurangkan solat 5 waktu menjadi dua waktu sahaja, iaitu solat Subuh dan Maghrib. Dia juga menghalalkan babi betina, mengharamkan telur burung. Dia menggugurkan  kefardhuan haji, kewajipan wuduk, bersuci dan mengangkat hadas. Dia mengharamkan makan ikan kecuali setelah disembelih

Ibn Khaldum mencatatkan dalam tarikhnya bahawa peristiwa dia mengaku nabi itu berlaku pada tahun 313H di gunung Hamim tidak jauh daripada Tataouine. Ibn Hamim juga menuliskan sebuah kitab yang dikatakan olehya Quran dalam bahasa Amazigh:
 
Antara ayat dalam kitabnya itu:


يا من يخلى البصر، ينظر في الدنيا، خلني من الذنوب يا من أخرج موسى من البحر آمنت بحاميم وبأبيه أبي خلف من الله وآمن رأسي وعقلي وما يكنّه صدري، وما أحاط به دمي ولحمي، وآمنت تبانعنت [3] عمّة حاميم أخت أبي خلف من الله

Dia ada seorang saudara perempuan bernama Dabu dan merupakan seorang ahli sihir yang diminta tolong orang pada musim-musim kemarau

Dia mati dibunuh pada tahun 315H di tangan tentera Khalifah Umayyah dari Andalusia, Abdurrahman bin Nasir /idinillah 



IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...