Showing posts with label Khawarij. Show all posts
Showing posts with label Khawarij. Show all posts

Sunday, February 19, 2023

MAZHAB KHAWARIJ IBADHI

Khawarij adalah satu aliran dalam Islam yang mula menampakkan dirinya selepas peristiwa Tahkim. Bermula dengan kelompok Al-Mahkamatul Ula, Khawarij berkembang dan berpecah kepada pelbagai firqah. Antara Firqah Khawarij yang muncul madalah Firqah Ibadhi. Firqah ini dinisbahkan kepada Abduulah bin Ibadh. 

Sesetengah penyelidik menyebutkan bahawa Khawarij Ibadhi ini bermula daripada para pengikut Jabir bin Zaid Al-Azdi, seorang yang berguru dengan Ibn Abbas serta meriwayatkan hadis daripada Saidatina Aisyah r.a. Beliau merupakan Imam dalam tafsir dan hadis di kalangan Tabi'in. Beliau tinggal di Basrah. Pada masa Hajjaj bin Yusuf menekan keluarga Mahlab bin Abi Safrah, mereka menjadikan Jabir bin Zaid sebagai tempat rujukan mereka  dalam menggerakkan penentangan kepada kezaliman Hajjaj.  

Ada pendapat mengatakan bahawa Abdullah bin Ibadhilah yang perancang sebenar aliran ini. Ada yang mengatakan bahawa nama Ibadhi itu adalah dipopularkan oleh bani Umayyah kerana hendak mengelakkan nisbah mazhab ini kepada seorang tabi'in yang mulia.


Abdullah bin Ibadh  merupakan seorang yang berasal dari Bani Tamim yang menghuni Yaman. Dia lahir pada zaman khalifah Mu'awityah dan meninggal pada akhir zaman Abdul Malik Marwan.

Kaum Ibadhi merujuk kitab Hadis yang tunggal di kalangan mereka iaitu kitab " Al-Jami'u As-Saheh Musnad Imam Ar-Rabi'  bin Habib". Mereka menganggap kitab hadis ini adalah yang paling Saheh selepas Al-Quran.

Di kalangan Ahli Sunnah, kewujudan insan bernama Ar-Rabi' bin Habib Al-Azdi yang menghuni Basrah pada kurun ke-2 Hijrah seperti  yang dikatakan Ibadhi itu diragukan. Apalagi ada Musnad yang disandarkan kepadanya. Dalam kitab-kitab rijal yang dikarang oleh kalangan ulama Ahli Sunnah, tiada nama Ar-Rabi' bin Habib Al-Azdi itu, padahal telah menjaid ihtimam para ulama dalam bidang ilmu hadis mencatat semua tokoh perawi dengan sifatnya.

Maka watak Ar-Rabi' bin Habib Al-Azdi ini adalah fiksyen dan kitab Hadis yang disandar kepadanya itu bukan ditulis pada zamannya dan ia ditulis kemudian dna disandarkan namanya.

Pada hari ini, kerajaan Oman meletakkan Ibadhi sebagai mazhab negara. Para mufti Oman adalah orang-orang yang bermazhab Ibadhi. Mengikut perangkaan terbaru, 70 peratus penduduk Oman adalah di atas mazhab Ibadhi.

Para pengikut Ibadhi juga ada di beberapa tempat lain seperti di Pergunungan Nufusah dan Zuwarah di Libya, Pulau Djerba di Tunisia, Wadi Mizab di Algeria, Kepullauan Zanzibar di Tanzania, Mali dan juga di Paris, ibu negara Perancis.

(Sambung kemudian)


Bacaan: Memahami erti Khawarij di zaman moden

Friday, February 10, 2023

Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi

Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi adalah nama tokoh Khawarij yang muncul buat pertama kalinya dalam sejarah. Ulama sejarah bernama Imam Abu Muzaffar Al-Asfarayini menyebutkan firqah Khawarij pertama yang muncul dalam sejarah adalah selepas majlis Tahkim pada tahun 38H. Firqah Khawarij itu dikenali sebagai Al-Mahkamah Al-Ula. Dari kalangan tentera Saidina Ali bin Abi Talib telah keluar kelompok yang tidak menyetujui tindakannya menerima perdamaian dengan Saidina Mu'awiyah yang ditandai dengan termeterainya Tahkim di Daumatul Jandal. Mereka mengasingkan diri ke Haruriyyah dan kumpulan ini dikenali juga sebagai Khawarij Haruriyyah. Jumlah mereka mencapai angka sekitar 12 ribu orang. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Al-Kawwa' dan Syibs bin Rib'i.  Saidina Ali telah pergi menemui mereka dan berlaku hujah menghujah. Abdullah bin Al-Kawwa' sedar kesilapannya dan kembali taat kepada Saidina Ali. Ikut bersamanya sejumlah 1 ribu Khawarij yang bertaubat. 

Namun, bakinya terus berdegil. Mereka berkumpul di Nahwawan di bawah pimpinan Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi dan seorang lagi yang dikenali sebagai Hurqus bin Zuhair Al-Bajli (Zul Tsadyah). Kumpulan ini telah membunuh  Abdullah bin Khabab bin Al-Irth serta keluarganya  dengan kejam. Beliau adalah anak kepada seorang sahabat nabi SAW. Khawarij banyak membuat kerosakan dan pembunuhan kejam ke atas orang yang tidak sependapat mereka.

Perbuatan mereka itu menyebabkan Saidina Ali bin Abi Talib memimpin pasukan seramai 4 ribu orang. Saidina Ali dengan kemahiran dan ketinggian ilmunya, telah berhujjah dengan puak Khawarij sehingga dia mampu membuatkan 8 ribu orang Khawarij Nahrawan menyesal dan bertaubat dan kembali taat kepadanya. 8 ribu baki Khawarij tetap dalam kebatilan mereka dan merekalah kumpulan yang diperangi Saidina Ali kemudiannya. Saidina Ali berkata:

Tidak akan terbunuh kalangan kita melainkan 10 orang dan tidak akan selamat dari kalangan mereka melainkan 10 orang.

Dalam Perang itu, mati terbunuh Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi dalam perang tanding. Manakala Hurqus bin Zuhair lari menyembunyikan diri tetapi dapat ditangkap dan dibawa kepada Saidina Ali lalu dihukum bunuh.

Maka, tokoh bernama Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini menurut ulama Sunni dan Syi'ah adalah orang yang tiada Sabqah( keawalan masuk Islam), tiada Suhbah (persahabatan dengan nabi) dan tiada Fiqh( kefahaman dalam agama). Sumber-sumber sejarah tidak merekodkan namanya sebagai sahabat Nabi. Hanya, catatan oleh At-Tobari (M: 310H) dalam kitabnya Tarikh Ar-Rusul Wal Muluk menyatakan bahawa pada zaman khalifah Umar,  beliau mengirimkan bala tentera bantuan ke Parsi dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas dan dalam pasukan bantuan itu turut serta Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi. Khalifah Umar memesan kepada Saad bin Abi Waqqas agar menyerahkan pimpinan antara sayap tenteranya kepada Abdulalh bin Wahab Ar-Rasibi. Rekod sejarah ini menyebabkan ada kalangan tertentu menghujahkan bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini sahabat nabi kerana Umar Al-Khattab tidak menyerahkan pimpinan tentera pada zamannya melainkan kepada sahabat nabi.

Kitab-kitab sirah tidak merekodkan mengenai Abdullah bin Wahab A-Rasibi mengenai apa-apa penglibatannya dalam lapangan politik atau lainnya selain apa yang dicatat oleh At-Tobari. Namanya seolah-oleh tidak penting disebut dan dia bukan siapa-siapa dalam tempoh antara terbunuhnya Umar Al-Khattab hinggalah kisah Khawarij di zaman Ali bin Abi Talib. Apa yang ada dalam catatan Imam Zahabi (M: 748H) menerusi kitabnya Mizanul I'tidal, beliau menyatakan bahawa Abdulllah bin Wahab Ar-Rasibi ini "adrakal jahiuliyyah" (sempat hidup zaman jahiliyyah). Sementara Ibn Hajar Al-Asqalani (M;852) dalam kitabnya Al-Isobah Fi Tamyizis Sohabah menyebutkan bahawa beliau ada idrak yang difahami sempat hidup zaman nabi yang mungkin bertemu nabi dan masuk Islam.

Ibn Hazmin (M:456H) menyatakan dalam kitabnya Jamharatul Ansabil Arab bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi bukan kalangan sahabat tetapi kalangan Tabi'in dan diangkat menjadi pemimpin khawarij lalu terbunuh pada hari Nahrawan. Beliau lebih tegas lagi menyifatkan tentang Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini dalam kitabnya Al-faslu Fil Milali Wal Ahwa' Wan Nihal dengan mengatakan bahawa dia adalah seorang Badwi totok yang tiada kebaikan sama sekali.

Ibn Abi Ya'la (M: 526H) menyebutkan dalam Tobaqat Al-Hanabilah mengenai perkataan Ibn Abbas ketika dia datang kepada puak Khawarij dan berhujjah dengan mereka. Katanya:

أتيتُكُم من عندِ صحَابَةِ النَّبيِّ مِنَ المهاجِرينَ والأنصارِ… ولَيسَ فيكُم منهُم أحَد

" Aku datang kepada kalian dari para sahabat nabi kalangan Muhajirin dan Ansar dan mereka itu tiada di kalangan kamu seorang pun".

Kata-kata menunjukkan bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi bukan kalangan sahabat nabi.

Demikian catatan-catatan yang boleh ditemui dalam sumber-sumber sejarah untuk mengenali Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini. Walaupun penafian bahawa dia sahabat nabi menjadi sikap rata-rata tokoh sejarah, namun perwatakannya yang rajib beribadat tidak dibohongi. Ibn Kathir( M: 774H) menyebutkan dalam Al-Bidayah Wan Nihayah:

كان عبد الله بن وهب الراسبي قد قحلت مواضع السجود منه من شدة اجتهاده وكثرة السجود، وكان يقال له: ذو البينات

"ِAbdullah bin Wahab Ar-Rasibi itu, telah kering kamatu tempat sujudnya lantaran banyak dan bersungguh-sungguhnya dia sujud dan dia digelar Zul-bayyinat".


Namun, di kalangan Mazhab Ibadhi yang kini berkuasa di Oman, Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi adalah sahabat nabi dan mereka memujinya dan menyebutkannya dengan radhiallahu anhu. Mereka menjadikan catatan At-Tobari mengenai perlantikannya memimpin sayap tentera menyerang Parsi pada zaman Umar Al-Khattab adalah dalil bahawa dia adalah sahabat nabi yang mulia.

Wallahu A'lam!




Wednesday, September 28, 2022

TUJUH PUAK KHAWARIJ UTAMA DAN AKIDAH KHAWARIJ

 Kumpulan Khawarij terbahagi kepada 7 puak yang utama iaitu:

1) Al-Muhakkamah al-Ula

2) Al-Azariqah

3) An-Najdat

4) As-Sofariyyah

5) Al-'Ijaridah

6) Al-Ibadhiah

7) As-Tsa'alibah


Daripada 7 puak ini berpecahlah kepada puka-puak kecil yang berbagai-bagai. Semuanya sepakat "MENGKAFIRKAN SAIDINA ALI BIN ABI TALIB DAN SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN". Merka juga kafirkan mereka yang terlibat dalam perang Jamal, Majlis Tahkim, dan yang merestuinya serta yang menganggap benar salah satu antara dua pihak yang terlibat dalam Tahkim. Mereka juga mewajibkan "khuruj" atas pemimpin yang zalim.

Imam An-Nawawi dalah Syarah Saheh Muslim menyatakan pendirian mazhab Syafie mengenai kedudukan golongan Khawarij:


 وَمَذْهَب الشَّافِعِيّ وَجَمَاهِير أَصْحَابه الْعُلَمَاء أَنَّ الْخَوَارِج لَا يَكْفُرُونَ , وَكَذَلِكَ الْقَدَرِيَّة وَجَمَاهِير الْمُعْتَزِلَة وَسَائِر أَهْل الْأَهْوَاء 

شرح مسلم" (7/160) 

"Golongan Khawarij tidak dikafirkan. Demikian golongan Qodariyah, dan Jumhur Muktazilah serta seluruh Ahli Bid'ah".

Syeikh Abdurrahman bin Saleh Mahmud ketika ditanya apakah hukumnya golongan Khawarij, adakah mereka kafir? Maka katanya:


 اختلف العلماء في كفرهم ، والصحيح أنهم لا يكفرون ؛ فقد سئل عنهم علي بن أبي طالب رضي الله عنه : أكفار هم ؟ قال : " من الكفر فروا " ، فهم وقعوا في بدعة التكفير ، فلا نقع نحن في بدعة التكفير فنكفرهم ، هذا هو القول الراجح إن شاء الله تعالى ، وإن كان يطلق على بدعهم أنها بدع كفرية

شرح كتاب لمعة الاعتقاد (7 /26)


Ulama berkhilaf namun yang saheh, mereka tidak kafir. Saidina Ali ketika ditanya mengenai mereka, menyatakan mereka tidak akfir tetapi mereka golongan yang lari daripada kekafiran. Jika mereka suka mengkafirkan ornag lain, maka jangalah kita pula kadi sepertti mereka, mengkafirkan mereka. Inilah pendirian yang jelas dan rajih sungguhpun bid'ah mereka itu boleh dinisbahkan sebagai bid'ah kufur".

Beberapa akidah bid'ah mereka ialah:
  1. Iman tidak bertambah maupun berkurang.
  2. Meninggalkan kewajipan membawa kepada kekufuran.
  3. Tabarru' (berlepas diri daripada khalifah Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib)
  4. Buat dosa besar, jadi kafir!
  5. Tidak melihat keperluan berbangsa Quraisy untuk jadi Imam, bahkan sesiapa sahaja layak sebagai imam jika dia adil.Bahkan bagi Khawarij An-najdat, imam tidak perlu dan manusia boleh hidup sebagaimana adanya dan jika rasa perlu ketua, bolehlah pilih seorang imam buat mereka.
  6. Mengangkat senjata melawan sesiapa yang menyesihi mereka sekalipun kalangan muslimin.
  7. Mengingkari kisah Yusuf dengan alasan kisah ini membawa unsur cinta asyik dan tidak layak ada dalam Quran-Sikap ini ada dalam kumpulan Khawarij Al-'Ijaridah.
  8. Mengatakan wanita berhaid wajib Qodha solat.
  9. Menggugurkan hukum hudud rejam bagi penzina lelaki dan hukum qazaf bagi lelaki dan kekalkan hukum pesalah Qozaf perempuan.

Dalam hadis nabi telah dinyatakan sifat-sifat Khawarij. Secara ringkasnya, sifat tersebut adalah seperti berikut:

1) Sedikit kefahaman tentang Quran
2) Banyak zuhud tetapi rosak akidah.
3) Lunak dengan ornag kafir tetapi keras terhadap orang Islam.
4) Mentah dan bodoh (Sigharul Asnan wa Sufahaul Ahlam)
5) 







Tuesday, September 27, 2022

KHAWARIJ SOFARIYYAH

Sofariyyah adalah satu firqah khawarij yang bergerak aktif di kawasan Utara Afrika. Pemimpinnya yang paling terkenal adalah Maisarah Al-Mutaghari dan firqah ini telah berjaya membina kerajaan yang dinamakan Daulah Bani Midrar.

Dinamakan Sofariyyah kerana kelompok ini adalah pengikut kepada Abdullah bin As-Soffar As-Sa'di iaitu salah seorang sahabat Nafi' bin Al-Azraq (pemimpin Khawarij Azariqah). Ketika Nafi' meninggalkan Mekah dan mufaraqah dengan Ibn Zubair, menuju ke Basrah dan melawan Ibn Zubair, maka pengikut Abdullah bin As-Soffar ini tidak ikut serta. Mereka tidak terlibat dalam memberontak melawan kekhalifahan Ibn Zubair. Maka, kerana itu, mereka dikafirkan oleh puak Azariqah. Kerana itu juga mereka digelar puak Al-QA'DAH.

Dikatakan juga Sofariyyah itu diambil daripada nama pemimpin mereka yang bernama Ziyad bin Al-Asfar. 

Ada juga mengatakan Sofariyyah itu diberikan sempena warna kulit mereka yang menjadi kekuningan kerana banyaknya mereka berjaga malam untuk beribadat!

Golongan Khawarij dari semua cabangnya menganggap Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi sebagai pemimpin utama. Beliau adalah penggerak pertama dalam kelompok Khawarij Nahrawan.  

Para ulama sirah sepakat menyebutkan Abu Bilal Mirdas bin Adiyyah adalah khawarij pertama dari cabang Sofariyyah.

Baca:


Akidah Khawarij Sofariyyah:

1) Menyalahi akidah Khawarij Azariqah dalam bab azab akhirat buat kanak-kanak. Mereka berpegang bahawa kanak-kanak tidak kafir dan tidak kekal dalam neraka.

2) Mereka tidak mengkafirkan golongan yang enggan menyertai peperangan Khawarij menentang penguasa.

3) Mereka tidak menggugurkan hukuman Rejam buat penzina muhson.

4) Taqiyyah dibenarkan dalam kata-kata dan tidak dibernarkan dalam tindakan.

5) Hukum buat orang yang melakukan dosa besar jadi kafir menurut mereka ada beza jenis dosa besar itu. Dosa besar yang ada hudud, tidak jadi kafir. Cuma dosa besar yang tidak dinyatakan hukum hudud, seperti tidak solat, dan lari dari medan perang, maka kafirlah pelakunya.

6) Mereka mengharuskan kahwin dengan wanita muslimah bukan kelompol mereka atas jalan taqiyyah sahaja dan tidak boleh secara nyata.

7)Kufur ada dua iaitu: Kufur nikmat dan kufur rububiyyah.


Saturday, September 24, 2022

Umar bin Hafsin Al-Mahlabi

Umar bin Hafsin Al-Mahlabi adalah salah seornag Jenderal angkatan tentera Daulah Abbasiyyah yang hebat dan berjasa. Beliau adalah dari keluarga Mahlab bin Abi Safrah yang mana bintang keluarga ini telah bersinar sejak zaman awal terbinanya Daulah Umayyah lagi. Ketika berlaku pemberontahan Jahwar bin Mirar Al-'Ajli di wilayah sebelah Timur, beliau diperintahkan oleh Khalifah Abu Jaafar untuk turun tangan memadamkan apinya. Dia berjaya menyelesaikannya bersama pasukan yang dipimpin oleh Muhammad bin Al-Asy'ast Al-Khuza'i. Setelah itu dia diberi amanah untuk memimpin pasukan tentera Abbasiyyah ke sebelah Barat, iaitu wilayah-wilayah sebelah Utara Afrika. Kala itu puak Khawarij sedang menginjak kehormatan daulah di sana.

Pemimpin puak Khawarij di sana adalah Abu Hatim Al-Khariji. Dia dan pasukannya selalu menimbulkan gejolak dan negeri. Sebuah bandar yang dibina oleh Umar bin  Hafsin di sana diserang dan dibakar ranap. Kemudian, Umar bin Hafsin membina bandar Tangiers (Kekal hingga kini) dan Puak Khawarij mengepungnya. Namun Umar bin Hafsin dapat mengalahkan mereka dan menghancurkan kekuatan mereka. 

Abu Hatim Al-Khariji tidak berhenti menyusun rancangan untuk mengalahkan Umar bin Hafsin dan pada satu tahap, dia berjaya mengepung Umar bin Hafsin di Qairawan. Setelah berperang dengan gagah berani akhirnya Umar bin Hafsin gugur syahid di sana.

Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur kemudiannya mengirimkan pasukan lain yang lebih besar ke Utara Afrika, juga daripada keluarga Mahlab bin Abi Safrah bernama Yazid bin Hatim Al-Mahlabi (Beliau adalah gabenor Azerbaijan ketika pemberontakan Jahwar bin Mirar Al-'Ajli). Berlaku perang hebat di Pergunungan Nufusah yang menyaksikan Abu Hatim Al-Khariji terbunuh.

IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...