Showing posts sorted by relevance for query bin mirar. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query bin mirar. Sort by date Show all posts

Saturday, December 24, 2022

Daulah Bani Al-Aghlab

 Kerajaan ini muncul di  Utara Afrika pada masa kekhilafahan Harun Ar-Rasyid. Tepatnya pada tahun 184H. Pengasasnya adalah Ibrahim bin Al-Aghlab At-Tamimi. Beliau adalah seorang Arab berketurunan Bani Tamim. Oleh itu, kerajaan ini adalah kerajaan Arab. 

Ayah Ibrahim bernama Al-Aghlab bin Salim bin 'Iqal As-Sa'di At-Tamimi. Beliau adalah antara pendokong gerakan bawah tanah Bani Abbasiyyah, dan bawahan kepada Abu Muslim Al-Khurasani. Bila Bani Abbasiyyah berkuasa, dia diberi peranan untuk ke Utara Afrika bersama dengan Muhammad bin Al-Asy'ath Al-Khuza'i*1 (Bezakan dengan seorang lagi yang bernama Muhamamd bin Al-Asy'ath yang merupakan seorang general askar Mus'ab bin Zubair yang memimpin pasukan mengalahkan Muktar As-Tsaqafi) untuk memadamkan pemberontakan puak Khawarij di sana. Misi tersebut berjaya dicapai dan kekuasaan Abbasiyyah dapat kembali dipacakkan di bumi Afrika Utara. Qairawan sebagai kota penting di Utara Afrika dapat dirampas daripada pihak Khawarij.

Namun, ancaman Khawarij terhadap kekuasaan Abbasiyyah tidak terus padam. Tahun 148H, Muhammad bin Al-As'ath telah dikalahkan dan dia mati terbunuh. Perjuangan menentang Khawarij itu dilanjutkan oleh Al-Aghlab bin Salim dengan perakuan khalifah. Usaha gigihnya memakan masa yang panjang dan jerih yang bukan sedikit. Beliau akhirnya mati terkena panah pada tahun 150H. Saat itu anaknya Ibrahim baru berusia 10 tahun.

Khalifah Abbasiyyah tidak tinggal diam. Gabenor dihantar untuk memimpin pasukan buat menegakkan keamanan di bumi utara Afrika. Misi utama adalah memadamkan pemberontakan Khawarij. Di samping itu wujud masalah semangat kepuakan yang melampau. gabenor-gebenor kerajaan yang dikirim, ada yang dibunuh, dihalau dan ada yang disingkirkan oleh pemuka-pemuka di sana. Hingga Harun Ar- Rasyid  mengirimkan Muhammad bin Muqatil Al-'Aki sebagai gabennor. Dia tidak dapat melawan pemberontakan yang dipimpin oleh Tamam bin Tamim At-Tamimi. Dia dikalahkan tetapi ketika Ibrahim bin Aghlab sudah jadi seorang yang hebat , gagah dan berpengaruh. Dengan bantuannya, Ibn Muqatil dapat dikembalikan dan Tamam bin Tamim dikalahkan. Bila khalifah tahu kejayaan Ibrahim bin Aghlab itu, dia pun gantikan Ibn Muqatil dengan Ibrahim bin Aghlab sebagai gebenor Utara Afrika. Ibrahim dianggap sebagai raja Afrika yang bakal mewariskan kerajaan untuk anak keturunannya. Asalkan, nama Khalifah disebut dalam khutbah sebagai tanda walak kepada kerajaan pusat.

Kemuncak kegemilangan kerajaan ini berada pada zaman kekuasaan Abdullah I bin Ibrahim dan saudara lelakinya yang bernama Ziadatullah I bin Ibrahim. Pada masa mereka, kekuasaan kerajaan Aglabiyyah melebar hingga ke Sicily dan persisiran pantai Itali. Kecermerlangan kerajaan ini berlanjut hingga zaman pemerintahan Muhammad I bin Aghlab di mana pada masanya tentera kerajaan Aghlabiyyah berjaya menggoncang gerbang Kota Rom dan menyebabkan Pope Yohanes VIII sanggup membayar jizyah. Sepanjang kurun ke-3H, armada kerajaan Aghlabiyyah menguasai Laut Mediteranean dan mereka membentuk markaz kawalan perairan di Pulau Malta. Kapal dagang Eropah yang lalu perlu membayar cukai kepada pasukan armada Aghlabiyyah.

Kerajaan ini sentiasa mewalakkan dirinya kepada khalifah Abbasiyyah sepanjang masa ia berdiri. Dalam pada itu, kemunculan kerajaan Tuluniyyah di Mesir dan Kerajaan Rastamiyyah di Aljazair menjadi pesaing kepadanya dan sering berlaga dan terjadi perang. Kerajaan Aghlabiyyah pada masa Ibrahim bin Ahmad Al-Aghlabi berjaya mengalahkan kedua-dua kerajaan yang berdampingan itu. 

Kerajaan Aghlabiyyah dapat bertahan sehingga tahun 296H. Akhirnya kemunculan kerajaan Ubaidiyyah dapat mengatasinya dan menamatkan riwayatnya. Raja terakhir kerjaan Aghlabiyyah, Ziyadatullah III telah dikalahkan oleh pasukan Ubaidiyyah dan dia lari menyelamatkan diri ke Syam dan kemudiannya mati di Baitul Maqdis.


Raja-raja Daulah Aghlabiyyah: Rujuk:https://www.marefa.org/%D8%AF%D9%88%D9%84%D8%A9_%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%BA%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%A9



*1: Muhammad bin Al-Asy'ath Al-Khuza'i ialah Abu Ja'far Muhammad bin Al-Asy'ath bin Uqbah bin Uhban bin Al-Akwa' Mukallimu Az-Zi'bi bin Ubbad bin Rabi'ah bin Ka'ab bin Umayyah bin Yaqazoh bin Khuzaimah bin Malik bin Sulaman bin Aslam bin Afdha Al-Khuza'i dari kabilah Kuza'ah yang terkenal. Beliau merupakan orang kuat Abu Muslim Al-Khurasani. . Dia dilantik sebagai gabenor wilayah Parsi. Ketika Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur telah membunuh Abu Muslim Al-Khurasani, berlaku pemberontakan Sumbaz. Pemberomntakan itu dipadamkan oleh khalifah dengan mengirimkan tentera dipimpin oleh Jahwar bin Mirar Al-Ajli (Rujuk: https://attawarikh-almukhtarat.blogspot.com/search?q=bin+mirar). Namun, setelah menang atas Sumbaz, Jahwar kemudiannya berpaling tadah melawan khalifah. Khalifah mengirimkan Muhammad bin Al-Asy'th Al-Khuza'i dan dibantu pula oleh Umar bin Hafsin Al-Mahlabi.


Saturday, September 24, 2022

Umar bin Hafsin Al-Mahlabi

Umar bin Hafsin Al-Mahlabi adalah salah seornag Jenderal angkatan tentera Daulah Abbasiyyah yang hebat dan berjasa. Beliau adalah dari keluarga Mahlab bin Abi Safrah yang mana bintang keluarga ini telah bersinar sejak zaman awal terbinanya Daulah Umayyah lagi. Ketika berlaku pemberontahan Jahwar bin Mirar Al-'Ajli di wilayah sebelah Timur, beliau diperintahkan oleh Khalifah Abu Jaafar untuk turun tangan memadamkan apinya. Dia berjaya menyelesaikannya bersama pasukan yang dipimpin oleh Muhammad bin Al-Asy'ast Al-Khuza'i. Setelah itu dia diberi amanah untuk memimpin pasukan tentera Abbasiyyah ke sebelah Barat, iaitu wilayah-wilayah sebelah Utara Afrika. Kala itu puak Khawarij sedang menginjak kehormatan daulah di sana.

Pemimpin puak Khawarij di sana adalah Abu Hatim Al-Khariji. Dia dan pasukannya selalu menimbulkan gejolak dan negeri. Sebuah bandar yang dibina oleh Umar bin  Hafsin di sana diserang dan dibakar ranap. Kemudian, Umar bin Hafsin membina bandar Tangiers (Kekal hingga kini) dan Puak Khawarij mengepungnya. Namun Umar bin Hafsin dapat mengalahkan mereka dan menghancurkan kekuatan mereka. 

Abu Hatim Al-Khariji tidak berhenti menyusun rancangan untuk mengalahkan Umar bin Hafsin dan pada satu tahap, dia berjaya mengepung Umar bin Hafsin di Qairawan. Setelah berperang dengan gagah berani akhirnya Umar bin Hafsin gugur syahid di sana.

Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur kemudiannya mengirimkan pasukan lain yang lebih besar ke Utara Afrika, juga daripada keluarga Mahlab bin Abi Safrah bernama Yazid bin Hatim Al-Mahlabi (Beliau adalah gabenor Azerbaijan ketika pemberontakan Jahwar bin Mirar Al-'Ajli). Berlaku perang hebat di Pergunungan Nufusah yang menyaksikan Abu Hatim Al-Khariji terbunuh.

Friday, September 23, 2022

PEMBERONTAKAN SUNBAZ

Sunbaz adalah seorang pemimpin tentera yang beragama Majusi di Nisabur dan berwala'kan  Abu Muslim Al-Khurasani. Dia dan Abu Muslim Al-Khurasani ada hubungan persahabatan yang erat. Ini kerana Abu Muslimlah yang menaikkannya ke pososi selesa dalam ketenteraan di Khurasan dan mengmanahkannya menjaga ketenteraan di Nisabur.

Maka apabila sampai kepadanya khabar bahawa Abu Muslim Al-Khurasni telah dibunuh oleh Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur, dia pun menjadi marah dan memutuskan untuk memberontak melawan Abu Jaafar Al-Mansur, sekaligus menuntut bela atas terbunuhnya Abu Muslim Al-Khurasani. Dia memimpin pasukannya dari Nisabur menuju Ar-Rayy.

Sumbaz mendapat sokongan daripada pengikut Mazdakiyyah dan juga Syiah. Perkembangan seterusnya memperlihatkan motif tersirat Sunbaz adalah menghancurkan Islam dan meletakkan objektif menghancurkan Kaabah..

Sunbaz, dalam rangka untuk membangkitkan semangat penyokongnya membuat cerita khurafat mengenai Abu Muslim Al-Khurasani. Katanya, Abu Muslim tidak mati kerana sewaktu dia hendak dibunuh oleh para pengawal Abu Jaafar, dia telah membaca "Asmaul A'zom' maka dia telah bertukar menjadi merpati putih dan terbang  ke angkasa.

Lihat, demikianlah feel dan kelakuan orang-orang yang kalah dalam pertarungan. Mereka mencari jalan berbentuk mistik dan kerohanian untuk memperkuat jiwa mereka. Mereka cipta dongengan untuk mengikat kepercayaan para pengikut mereka. Demikianlah apa yang dilakukan oleh golongan Syiah dan para Ahli Sufi Tariqat yang mencipta khayalan untuk para pengikut. Khayalan mengenai kerajaan Al-Mahdi dan juga kerajaan para ahli Naubah! Syiah yang kalah dalam penindasan kerajaan beralih kepada cerita-cerita kerajaan ghaib Al-Mahdi. Para Sufi tariqat yang dikehendaki membuang dunianya kerana dogma kesufian melampau mereka, mencipta satu khayalan kerajaan para wali yang mempuyai hak tasarruf dan digolongkan sebagai ahli naubah dan dapat menunaikan istighathah para "cult".(Idea penulis)

Ibn Jarir dalam Tarikh Ar-Rusul Wal Muluk menyebutkan bahawa Sunbaz adalah seorang Majusi. Nizamul Muluk At-Tusi dalam kitabnya "Siyaar Al-Muluk" menyebutkan bahawa Sunbaz adalah seorang Mazdaki (iaitu satu cabang kepercayaan Puak Tsanawiyyah -Kumpulan yang mempercayai dualisma Tuhan iaitu Cahaya dan Kegelapan sebagai dua Tuhan dan percaya keazalian kedua-duanya). Agama ini lebih dahsyat daripada Majusi yang hanya percaya ketuhanan dan keazalian cahaya sahaja). 

Sementara Al-Mas'udi dalam Murawwiju Az-Zahab menyifatkannya sebagai Kharmi iaitu agama yang mendakwa keimaman Abu Muslim dan dia tetap hidup dan akan kembali semula. Agama ini juga disebut dengan nama-nama lain seperti Al-Muhammarah, Al-Khaddasyiyyah, Ar-Rawandiyyah, Al-Babakiyyah dan juga dinamakan Al-Abu Al-Muslimiyyah. Mereka mengamalkan konsep ibahiyyah iaitu wanita dan harta dikongsi bersama. Setengah sejarawan mengatakan agama ini adalah akar kepada komunisme zaman moden.

Sesungguhnya Sunbaz adalah produk yang dihasilkan oleh Abu Muslim.

Dalam menghadapi pemberontakan Sunbaz ini, Khalifah Abu Jaafar mengirimkan pasukan yang terdiri beberapa puluh ribu tentera yang dipimpin oleh Jahwar bin Mirar Al-'Ajli. Sunbaz kalah perang dan lari ke Tibristan. Raja Tibristin yang bernama Khursyid yang telah bersekutu dengannya sebelum itu dan mendapat hadiah sebanyak 6 juta Dirham daripadanya, telah menghantarkan sepupunya yang bernama Tus untuk menyambutnya. Berlaku perselisihan antara Tus dengan Sunbaz atas sebab kebiadapan Sunbaz dan kesombongannya. Dalam keadaan Sunbaz yang tiada lagi kekuatan pasukan bersamanya, dia mahu dirinya dihormati dan itu tidak boleh diterima oleh Tus. Maka Tus telah membunuhnya.

Ada riwayat lain oleh Abu 'Ali Al-Bal'ami dalam kitabnya "Turjumah Tarikh At-Tobari" menyebutkan bahawa Sunbaz yang kalah perang lari ke Ar-Rayy dan kemudian ke Gorgan (Sebuah bandar di Iran hari ini) dan di sana dia telah dibunuh oleh Asbahbad Gorgan Hurmuz bin Al-Farrakhan atas arahan Khalifah Abu Jaafar.

Demikian berakhirnya pemberontakan Sunbaz.

Cuma sedikit tambahan, selepas berjaya memadamkan pemberontakan Sunbaz, berlaku perselisihan antara  Jahwar bin Mirar Al-'Ajli dengan Khalifah Abu Jaafar. Ini adalah kerana ghanimah yang diperolehi oleh Juhur bin Mirar tidak dikirimkan kepada khalifah. Arahan khalifah agar diserahkan ghanimah perang itu tidak diendahkan oleh Jahwar. Maka khalifah hantar tentera yang dipimpin oleh Muhammad bin Asy-'Ast Al-Khuza'i untuk mengajarnya. Tentera itu dibantu pula oleh pasukan Umar bin Hafsin Al-Mahlabi. Pasukan khalifah bertembung dengan pasukan Jahwar di Ar-Rayy dan Asfahan. Kemenangan adalah milik pasukan khalifah dan Jahwar dibunuh serta kepalanya dikirimkan kepada khalifah.


Rujuk: https://www.ida2at.com/sunpadh-persian-movement-dreamed-of-destroying-kaaba/


IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...