Showing posts with label Daulah Fatimiyyah. Show all posts
Showing posts with label Daulah Fatimiyyah. Show all posts

Wednesday, September 27, 2023

Sejarah Maulid Nabiy

Sempenan bulan Maulidur Rasul ini, mari kita mengenali beberapa hal yang bersangkutan dengan apa yang disebut sebagai sambutan Maulidun Nabi. Satu hal yang tidak dipungkiri oleh par apengakaji sejarah adalah bahawa sambutan Maulidun Nabiy itu buat pertama kalinya diangkat menajadi sambutan atau perayaan adalah di zaman kekhalifahan Fatimiyyah di Mesir. Ketika Al-Mu'iz Li Dinillah menjadi Khalifah Fatimiyyah, dia meangasaskan sambutan Maulid Nabiy untuk rakyat Mesir. Sempena Sambutan tersebut, kerajaan mengedarkan kuih-kuih dan manisan khusus secara leluasa kepada rakyat  dan tujuannya adalah untuk membuatkan rakyat suka kepada kerajaan Syiah itu. Dengan itu , mudahlah jalan ke arah mendoktrinkan mazhab Syiah Ismailiyyah ke dalam jantung hati rakyat.

Jika kita amati, ternyata dalam masyarakat Syiah, sepanjang tahun penuh dnegan sambutan dan perayaan. Maka tidak hairanlah mereka merintis perayaan Maulidun Nabiy. Dalam ajaran Syiah ada sambutan Maulid Hasan, Husain, Ali, Fatimah, Awal Tahun, Hariu 'Asyura, Awal Rejab, Pertengahan Rejab, Awal dan pertengahan Sya'ban, Hari Ghadir, Hari Nuruz, Hari Ghitasy dan macam-macam lagi.

Catatan: Penubuhan Kerajaan Fatimiyyah di Mesir adalah pada tahun 322H. Ia adalah kerajaan yang menentang kerajaan Abbasiyyah di Baghdad dan diasaskan oleh Ubaidillah Al-Mahdi Al-Qaddah Al-Maimun yang mendakwa dirinya keturunan Ja'far Sodiq.

Jika diteliti kitab-kitab sirah, akan jelaslah bahawa tiada kesepakatan para ahlinya mengenai tarikh lahirnya nabi SAW. Apakah benar nabi lahir pada tanggal 12 Rabu'ul Awal?? Namun, yang dipastikan oleh para ahli sejarah Islam adalah kewafatan nabi SAW adalah bertepatan dengan tanggal 12 Rabi'ul Awal. Lahirnya Nabi SAW pada tanggal 12 Rabi'ul Awal adalah fakta yang meragukan , tetapi kewafatan nabi pada tarikh tersebut adalah fakta yang meyakinkan.

Justeru, memperingati tanggal 12 Rabi'ul Awal itu untuk hari lahir nabi SAW atau hari matinya?? Buruklah akhlak satu umat jika memperingati hari mati pemimpinnya dan mezahirkan kegembiraan sempena peristiwa matinya!

Ahli Falak yang bernama Syeikh Mahmud Basya dan juga Syeikh Mansur Fauzi menyatakan bahawa dari segi ilmu Falak, kelahiran nabi yang dimuktamadkan bahaw apada hari Isnin dan Bulan Rabi'ul Awal, jika dikaji, tidak bertepatan dengan tanggal 12 Rabi'ul Awal, tetapi lebih tepat 9 Rabi'ul Awal. Ia bersamaan dengan 22 April tahun 571 Masehi.

Sambutan Maulid Nabi yang dimulakan pada zaman Al-Muiz itu kemudiannya tidak lagi disambut semasa pemerintahan Khalifah Fatimiyyah yang bernama Al-Musta'li Billah.

Catatan: Al-Musta'li billah adalah putera kepada Khalifah Al-Mustansir Billah. Kemtian Khalifah Al-Mustansir Billah menimbulkan perselisihan kalangan Fatimiyyah. Ada yang mahu Nizar, anaknya Al-Mustansir yang seornag lagi sebagai peganti. Namun Nizar tewas dalam perebutan politik itu dan dia disenyapkan dalam penjara. Namun fikrah firqah tidak dapat dimatikan. Anaknya yang bernama Al-Hadi melarikan diri ke Asia Tengah dan  memimpin gerakan firqah Syiah Ismailiyyah Nizariyyah yang mendapat sokongan Hasan As-Sobah, pengasas pasukan Hasyasyin.

Bila kerajaan fatimiyyah ditumbangkan oleh Salehuddin Al-Ayubi, tiada lagi acara sambutan Maulid Nabi di Mesir. Politik Salehuddin adalah untuk mengajar rakyat berjihad melawan serangan pasukan Salibiyyah dan bukan masanya didodoi dengan kasidah-kasidah yang mengkhayalkan.

Bila tamat kerajaan Ayyubiyyah, naik kerajaan Mamalik, perayaan Maulid Nabi dihidupkan kembali. Para penguasa Mamalik mengambil jalan bermudahanah dengan rakyat yang menyambut acara itu sehingga menjadikan ia popular dan besar kembali.

Rujuk Almasryalyoum

Baca: Aliman

Pihak pemerintah, termasuk Abbasiyyah dan kemudiannya Othmaniyyah, melihat ada keuntungan politik daalam mengangkat sambutan Maulidun Nabi, maka mereka pun memberi galakan dan terlibat memeriahkannya. Inilah yang kemudiannya memarakkan lagi sambutan maulidun nabi ke dalam dunia Islam!




Friday, February 17, 2023

Al-Aziz Billah, Khalifah Daulah Fatimiyyah Yang Ke-5

Al-Aziz Billah, namanya adalah Nizar bin Ma'ad bin Ismail. Beliau naik menjadi khalifah Fatimiyyah di Mesir setelah kematian ayahnya Al-Mu'iz Li Dinillah. Pada masanya, diwujudkan jawatan wazir khalifah dan wazir pertamanya adalah Yusuf bin Kallas.

Beliau lahir pada tahun 344H (Sumber: Siyar A'lam)

Beliau menggantikan ayahnya naik tahta pada tahun 365H

Al-Aziz Bilah seorang yang banyak membangunkan Mesir.  Dialah yang membina istana Lu'luah

Al-Aziz telah berkahwin dengan seorang wanita Nasrani yang bermazhab Milkaniyyah (mazhab Geraja Qostantin). Dengannya dia dapat anak perempuahn yang dikenali sebagai Siti Al-Malik Melalui pengaruh isterinya, dia melantik dua saudara lelaki isterinya itu sebagai Mitran (Jawatan seperti Qadi  dalam kristian). Mereka adalah  Uristus (Sebagai Mitran di  Baitul Maqdis) dan Arsaniyus (Mitran di Kaherah). Untuk puterinya yang bernama Siti Al-Malik itu dibina untuknya istana khusus dan diberikan kemewahan yang melimpah ruah

Al-Aziz Billah memerintah selama 21 tahun dan meninggal di Belbes, Timur Mesir pada 28 Ramadhan 386H ketika usianya 44 tahun.

Anaknya Al-Hakim Bi Amrillah menggantikannya.


(Akan dikemaskini satu masa nanti-InsyaAllah)

Thursday, February 16, 2023

Bertapaknya Kerajaan Fatimiyyah di Mesir.

Tahun 297H, Kerajaan Abbasiyyah yang dipusat di Baghdad mengirimkan panglima perang berbangsa Turki, namanya Takin ke Mesir. Penghantaran ini adalah untuk menstabilkan Mesir yang baru bebas dari cengkaman Kerajaan Tuluniyyah yang telah pernah membebaskan diri dari kerajaan Abbasiyyah. Tugas panglima Takin adalah memastikan Mesir sentiasa berada di bawah kekuasaan kerajaan Abbasiyyah.

Tahun 297 H juga menyaksikan naiknya ke atas tahta kekuasaan seorang yang bernama Ubaidillah Al-Mahdi di wilayah Utara Afrika. Beliau menjadi pemerintah pertama kerajaan Ubaidiyyah yang pada masa-masa berikut bertukar jenama menjadi kerajaan Fatimiyyah.

Mesir menjadi sasaran perebutan kuasa. Ubaidilalh Al-Mahdi yang telah memacakkan kekuasaannya di Utara Afrika tidak melihat masa depan yang cemerlang di wilayah tersebut untuknya. Di sana, tokoh-tokoh ulama Maliki menjadi batu penghalang buat Ubaidillah menebarkan kuasanya. Dalam masa yang sama, Mesir menawarkan peluang cerah untuk menjadi pusat sebuah pemerintahan yang berjaya. Ia straregik dari segi perdagangan dan juga keagamaan. Mesir adalah laluan para pedagang untuk ke perairan laut merah dan siapa yang memegang Mesir akan dapat menguasai ketiga-tiga tanah suci Islam. 

Tahun 302H, iaitu 5 tahun selepas Ubaidillah Al-Mahdi naik tahta, satu pasukan tentera Ubaidillah yang dipimpin oleh panglimanya yang bernama Habbasah bin Yusuf Al-Katami Al-Amazighi berjaya menguasai wilayah Burqah ( Cyrenaica- Wilayah sebelah Timut Libya hari ini) yang bersempadan dengan barat Mesir.

Panglima Takin di Mesir menyedari bahaya yang sedang mengancam Mesir lalu menggerakkan pasukan untuk berhadapan dengan kemaraan pasukan Ubaidillah itu. Di sana meletus perang dan pasukan panglima Takin tewas. Maka, tentera Ubadillah Al-Mahdi mara sehingga ke Iskandariyyah. Panglima Takin mengirim permohonan bantuan ke Baghdad. Khalifah Al-Muqtadir dari Daulah Abbasiyyah pun mengirinkan pasukan tentera bantuan dan sekali lagi perang meletus dan korban yang banyak berjatuhan dari kedua-dua belah pihak. Namun, dalam perang kali ini, tentera Abbasiyyah menang dan tentera Ubaidillah Al-Mahdi yang dipimpin Habbasah tewas. Iskandariyyah dapat diselamatkan dan wilayah Burqah diambil kembali. Habbasah terpaksa berundur balik ke Maghribi dalam keadaan kalah teruk. 

Ini adalah cubaan pertama kerajaan Ubaidiyyah untuk berkuasa di Mesir. Cubaan yang gagal.

Ubaidillah Al-Mahdi tidak menyerah dengan kegagalan itu. Lima tahun kemudian satu pasukan yang lebih besar terdiri daripada tentera puak Katamah, Arab Afrika dan Bangsa Barbar dikirimkan. Pasukan ini dibantu oleh armada laut terdiri daripada 100 buah kapal. Anak Ubaidillah Al-Mahdi yang merupakan putera mahkotanya, bernama Abu Qosim Al-Qaim (Al-Qaim bi Amrillah) memimpin pasukan itu. Pasukan ini telah berjaya mengalahkan pasukan Abbasiyyah dan menguasa Barat Mesir, termasuk Iskandariyyah.Jatuh juga ke tangan tentera Ubaidillah kawasan Al-Fayyum dan As- So'id.

Namun, kerajaan Abbasiyyah tidak duduk diam. Ketenteraannya diperkemas dan pasukan Ubaidillah yang dipimpin anaknya itu dihadapi semula dan dua tahun kelepas kejayaan tentera Ubaidillah Al-Mahdi itu, kekalahan pula datang bertandang. Tentera Abbasiyyah berjaya menghalau tentera Al-Qaim. Maka, sekali lagi mereka menghadapi kegagagalan dan pulang ke Maghrib.

Menjelang tahun 332H, Mesir diperintah oleh Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid (Kerajaan Al-Ikhsyidiyyah). Kerajaan ini sangat cekap mentadbir Mesir dan keadilan rakyat ditegakkan. Namun, ada pendengki yang iri. Mereka bersekongkol dengan Ubaidiyyah. Ubaidiyyah pun kirim pasukan untuk menguasai Mesir sekali lagi. Ini kali ketiga. Akan tetapi Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid  tidak lalai. Dia telah pun bersedia dengan kemungkinan ancaman Ubaidiyyah. Perang berlaku di daerah Buhairah, barat laut Mesir dan pasukan Ubaidiyyah lagi sekali dapat dikalahkan!

Tahun 334H, Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid meninggal dan anaknyanya Anujur menggantikannya. Walaupun begitu kekuasan sebenar di tangan Kafur Al-Ikhsyid, bekas hamba kepada Muhammad bin Tughuj Al-Ikhsyid. Sehinggalah Kafur Al-Ikhsyid menguasai sepenuhnya selepas kematian Anujur dan memegang kendali Mesir hingga tahun 357H.  Selama tempoh itu, kerajaan Ubadiyyah tidak berani menyerang Mesir kerana pemerintahan Kafur yang cekap dan kuat. Mata-mata Ubaidiyyah sentiasa di Mesir dan mereka tidak menemui ruang kelamahan yang boleh mereka gunakan.

Apabila Kafur Al-Ikhsyid meninggal tahun  357H, maka mata-mata Ubaidiyyah di Mesir melaporkan bahawa batu penghalang telah tiada dan itulah masanya pemerintah kerajaan Ubaidiyyah di Tunisia waktu itu, Al-Mu'iz Li Dinillah, mengambil Mesir. Beliau mulai naik tahta pada tahun 341H *. Mereka meyifatkan bahawa Kafuur adalah batu hitam (hajaral aswad) yang menjadi benteng penghalang hasrat menakluki Mesir . Kini hajaral aswad telah tiada maka peluang terbuka luas untuk Mesir ditakluki.

* Urutan Khalifah Fatimiyyah Sebelum Al-Muiz: 1) Al-Mahdi-2) Al-Qaim-3) Almansur-4) Al-Muiz.

Selepas Kafur meninggal, tiada waris keluarga Ikhsyidi yang layak. Maka, wazir Abu Al-Fadhli Jaafar bin Al-Furat yang memegang kendali pemerintahan. Beliau tidak cukup kuat untuk menguasai tentera dan menyelesaikan masalah ekonomi dan politik Mesir yang bergolak. Inflasi juga meningkat di Mesir. Beberapa kalangan warga Mesir yang sesak nafas dengan masalah ekonomi ini,  mengirimkan utusan kepada Al-Mu'iz Li Dinillah untuk datang ke Mesir dan menguasainya. Wazir Abu Al-Fahdli juga berdepan dengan pembangkang kerajaan yang diketuai oleh Ya'akob Kallas yang menjawat jawatan setiausaha Dewan yang merupakan asal Yahudi Iraq yang masuk Islam dan mendapat jawatan di zaman Kafur. Wazir cuba menangkapnya , akan tetapi dia dapat melarikan diri ke Utara Afrika dan bergabung dengan Al-Mu'iz. Beliau yang pernah berada dalam pentadbiran Mesir mendedahkan kelemahan ketenteraan Mesir.

Ya'kob bin Kallas ini menurut sumber-sumber disifatkan Yahudi yang memeluk Islam dan mengikut mazhab Syiah ISmailiyyah. Dia kemudiannya dilantik menjadi menjadi menteri kerajaan Fatimiyyah di Mesir dan terus menjawat jawatan itu sehingga ke zaman anak Al-Muiz iaitu Al-Aziz.

Panglima tentera kerajaan Ubaidiyyah yang bernama Jauhar bin Abdullah Ar-Rumi As-Soqli memimpin pasukan tentera memasuki Mesir pada 15 Rabi'ul Awal 358H. Pemerintah Ubaidiyyah sewaktu itu, Al-Mu'iz Lidinilllah telah membelanjakan dana yang banyak untuk kejayaan tentera ini iaitu 24,000,0000 dinar emas. Beberapa sumber sejarah menganggarkan jumlah tentera Daulah Ubaidiyyah  ini  mencecah 100 ribu anggota. Al-Muqrizi menyeb utkan bahawa angkatan tentera yang sedemikian besar disambut kedatangannya oleh pemuka-pemuka Mesir dan tidak pernah ada tentera sebesar itu yang menginjak bumi Mesir sejak tentera Iskandar Al-Maqdumi manaklu Mesir dengan tenteranya. Tentera Al-Muiz lah yang memecah rekodnya.

Pada Sya'ban 358, Jauhar As-Soqli menakluki Mesir. Beliau memasuki Masjid Jamik Amru bin Al-As dan merasmikan penambaan lafaz baru dalam azan iaitu " Hayya 'Ala Kharil Amal" sebagaimana sifat azan Syiah. Doa-doa dalam khutbah pun dibacakan untuk Al-Mu'iz dan tidak lagi Khalifah Abbasiyyah. Beliau mengasaskan sebuah bandar baru di utara Fustat dan diberi nama Al-Mansuriyyah. Nama itu ditukar menjadi Kaherah apabila Al-Muiz tiba. Lalu, dijemputlah Al-Muiz yang ketika itu sedang di Tunisia untuk datang ke Mesir dan beliau menyahutnya dengan penuh gembira. Puji-pujian pun dikumandangkan para penyair kepadanya seperti penyair bernama Muhammad bin Hani' Al-Andalusi. Kata Beliau:


يقول بنو العباس قد فُتحت مصر … فقُل لبني العباس قد قُضي الأمر

وقد جاوز الإسكندرية جوهرٌ … تطالعه البشرى ويقدمه النصر


Dua tahun setelah terbangunnya kerajaan Fatimiyyah di Mesir, Jauhar As-Saqli pun dipecat dari semua kedudukannya dan dia tidak lagi diberi peranan dalam pemerintahan sehinggalah dia meninggal tahun 384H. Jika ditoleh ke belakang, apa yang dilakukan oleh Al-Mu'iz ke atas jauhar As-Soqli adalalah ulangan sejarah apa yang dibuat oleh datuknya Ubaidillah Al-Mahdi ke atas pendakyah utama yang membawa penubuhan kerajaan Ubaidiyyah iaitu Abu Adullah As-Syi'i.

Revolusi memakan anak-anaknya. Ulang kembali kata-kata itu agar anda memahami dengan baik pengalaman-pengalaman sejarah.


Meneliti kisah penguasaan kerajaan Fatimiyyah ke atas Mesir ini, kita perlu faham bahawa kekuatan dan kecerdikan adalah unsur yang penting menentukan kejayaan sesebuah pemerintahan. Kelekaan dan ketidaksiagaan ketenteraan adalah punca jatuhnya pemerintahan. Sementara itu, tidak dilupakan, kecekapan mata-mata dan maklumat merupakan unsur yang banyak membantu tembusnya Fatimiyyah ke jantung Mesir dan kejayaannya menyingkir penguasaan Abbasiyyah ke atsnya. Maka, dicatatlah bahawa Al-Muiz Li Dinillah adalah khalifah Fatimiyyah yang pertama memacakkan namanya di bumi Mesir. Dia mewarisi kerajaannya kepada keturunannya sehinggalah datang takdir Allah yang sentiasa menukar ganti pemegang kendali kerajaan di tangan sesiapa yang Dia kehendaki!

Kerajaan Fatimiyyah itu akhirnya ditumbangkan oleh Salehuddin Al-Ayyubi pada tahun 567H/1171M. Khalifah terakhirnya adalah Al-'Adhid Li Dinillah.

Allah la ilaha illa HU...


Rujukan Bacaan: Al-Jazeera


Catatan Tambahan:

  1. Al-Mu'iz Lidinillah , selepas dia masuk ke Mesir, dia cuma sempat 2 tahun 9 bulan memerintah. Tempoh pemerintahannya keseluruhan termasuk sewaktu di Maghrib ialah 23 tahun.
  2. Pengganti Al-Mu'iz adalah anaknya Al-Aziz Billah






Monday, December 26, 2022

Pengkhianatan Syawir bin Mujiz, Wazir Fatimiyyah.

Di Mesir, pada masa khalifah Fatimiyyah yang digelar Al-'Adhid lidinillah bertahta, berlaku perselisihan antara komander tentera yang bernama Dhorgham bin 'Amir Al-Lakhmi dengan Wazir kerajaan yang bernama Syawir bin Mujir As-Sa'di.  Lalu, dalam persaingan itu, kalahlah Syawir dan kedudukannya pun hilang. Dia tidak lagi jadi wazir kerajaan, sebaliknya Dhorghamlah yang memegang kendali kerajaan di bawah khalifah Fatimiyyah yang lemah.

Nama penuh Syawir adalah Abu Syuja' Syawir bn Mujir bin Nizar bin 'Asya-ir As- Sa'di Al-Hawazini. Salasilahnya sampai kepada kepada Abu Zuaib Abdullah iaitu bapa kepada Halimatun Sa'adiyyah, ibu susu Rasulullah SAW.

Dalam situasi sedemikian, pergilah dia ke Syam bertemu dengan seorang sultan pemerintah yang adil bernama Nuruddin Mahmud Zinki buat meminta bantuan menghadapi komander tentera yang bernama Dhorgham ini. Masalah politik Mesir itu dihadapkan kepada Sultan Nuruddin Mahmud Zinki. Setelah memahami masalah yang sedang berlaku di Mesir, Sultan Nuruddin bersetuju untuk membantu Syawir mendapat kembali jabatannya. Namun ada syaratnya. Syaratnya ialah Cukai penghasilan Mesir, 1/3 daripadanya hendaklah diserahkan kepada Sultan Nuruddin Zinki. Perbelanjaan tentera bantuan hendaklah ditanggung oleh Mesir. Dan Sultan Nuruddin Zinki akan mengirimkan pemimpin yang akan mengikut arahannya ke Mesir dan membantunya menstabilkan politik Mesir. 

Syawir yang sudah tidak sabar untuk kembali mendapat jabatannya menyetujui. Lalu, dia pun berhasillah. Dhorgham dapat disingkirkan. Syawir jadi wazir kembali. Namun, Asaduddin Syirkuh yang ditemani Salhuddin Ayyubi sebagai wakil Sultan Zinki tinggal di Mesir.

Boleh sudah kuasa kembali ke tangan, Syawir pun mahu menyingkirkan pasukan Sultan Zinki itu dari bumi Mesir. Apa yang dia lakukan? Perlakuannya sungguh cemar dan terkutuk. Dia bersekongkol dan minta mantuan pula dari pasukan tentera Salib dari Perancis. Tentera Perancis dibawa masuk ke Mesir dengan tujuan mengatasi pasukan bantuan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki.

Pengkhianat ! Khianat adalah jenayah yang tidak menerima maaf. 

Akhirnya Syawir mendapat balasannya....dia dihukum bunuh dan yang membunuhnya adalah Salehuddin Ayyubi dengan restu daripada khalifah Al-'Adhid lidinillah. Ini kerana dia telah membuat satu kenduri dan menjemput Asaduddin Syirkuh dan Salehuddin Ayyubi. Dia telah meletakkan racun dalam makanan.Anak Syawir tidak bersetuju dengan tindakan bapanya dan melaporkan kepada Asaduddin. Apabila mereka tidak datang ke kendurinya itu, dia sendiri pergi mahu berjumpa Asaduddin Syirkuh dan kepergiannya itu adalah seperti menyerahkan nyawanya.


Baca: 

1) Kisah-kisah khianat pemimpin Islam

2) https://dorar.net/history/event/2125


Monday, September 26, 2022

Khalifah terakhir Kerajaan Fatimiyyah

Kerajaan Fatimiyyah tegak berdiri di Negeri Mesir. Ia adalah sebuah kerajaan yang berteraskan aliran Syiah Isma'iliyyah, iaitu satu pecahan utama aliran Syiah. Selepas kematian Jaafar Sadiq, pengikut Syiah berpecah berdasarkan panutan masing-masing. Mereka yang memanut Musa Al-Kazim sebagai imam ikutan, dinamakan Imamiyyah. Namun, yang memanut Ismail salah seorang anak Jaafar Sadiq juga dinamakan Isma'iliyyah. Kononnya, dari keturunannyalah munculnya seornag yang bernama Ubaidillah Al-Mahdi yang menjadi Khalifah pertama kerajaan Ubadiyyah di Maghribi. Berdirinya kerajaan Ubaidiyyah ini adalah awal kepada munculnya kerajaan Fatimiyyah.

Sehingga Khalifah ketiga kerajaan Ubaidiyyah ini, medan kekuasaan mereka adalah negeri-negeri di Utara Afrika. Apabila kekuasaan dipegang oleh khalifah ke-4 yang bernama Al-Muiz Lidinillah (953-975M), Mesir dapat dikuasai dan dengan itu pusat kekuasaan berpindah ke Mesir. Sebuah bandar baru bernama Kaherah telah dibina sebagai pusat kekuasaan mereka. Sejak itu, para khalifah kerajaan ini pun berada di Mesir dan kerajaan ini dinamakan Daulah Fatimiyyah.

Silih berganti khalifahnya sehinggalah sampai kepada khalifah yang ke-14 dengan gelaran Khalifah Al-'Adidh Lidinillah. Beliau memerintah antara tahun 1160 sehingga 1171M. Beliau merupakan khalifah yang terakhir dalam senarai pemerintahan khalifah kerajaan Fatimiyyah di Mesir. Dengan kata lain, ia adalah akhir kepada kekuasaan kerajaan Syiah Isma'iliyyah di Mesir.

Nama sebenar Al-'Adidh lidinillah ialah Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Al-Hafiz lidinnah. Menurut Al-Maqrizi, beliau dilahirkan pada hari Selasa, tanggal 10 Muharam tahun 546H danm diangkat menjadi khalifah pada 13 Rejab tahun 555H. Umurnya sewaktu menjadi khalifah adalah 9 tahun.

Al-Muqrizi menceritakan dalam kitabnya 'Itti'azul hunafa' mengenai peristiwa yang berlaku tahun 555H bagaimana naiknya Al-'Adidh ke jawatan khalifah. Katanya, selepas matinya Khalifah ke-13 iaitu Al-Faiz bidinillah, wazir kerajaan fatimiyyah ketika yang bernama Tala'i ibn Ruzzik dengan upayanya telah mengangkat Abdullah bin Yusuf bin Al-Hafiz lidinillah menduduki tahta dan diberi gelaran Al-'Adidh lidinillah.

Kerana usianya yang masih kecil, urusan pemerintahan dikendalikan oleh para wazir. Pada akhir pemerintahannya, saat kerajaan Fatimiyyah akan tumbang, jawatan wazir kerajaan direbuti antara dua orang iaitu Syawir dan Dhir Gham. Masing cari sokongan daripada kuasa luar. Syawir minta tolong daripada Raja Syam iaitu Nuruddin Mahmud Zinki, manakala Dhir Gham minta tolong kepada raja Baitul Maqdis yang kafir ketika itu dalam kekuasaan Kristian Salibi.

Nuruddin Mahmud menyambut permintaan Syawir itu dan mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Asaduddin Syirkuh dan anak saudaranya, Salehuddin Al-Ayubi. Setelah berjaya menyelesaikan konflik itu, Asaduddin mula berfikir alangkah baiknya kalau Mesir disatukan dengan Syam dan Halab untuk berdepan dengan tentera Salib di Baitil Maqdis. Ketika itu, tentera Salib juga bercadang untuk menguasai Mesir. Al-'Adidh lidinillah minta bantuan kepada Asaduddin Syirkuh untuk berhedapan dengan ancaman Salibi itu. Ini membawa kepada Asadudin menguasai jawatan sebagai wazir kerajaan. Ini adalah hamparan buat Salehuddin Al-Ayubi untuk menguasai Mesir kemudiannya.

KISAH MENGENAI KESUDAHAN KERAJAAN FATIMIYYAH

Ibn Khalikan menceritakan bahawa bahawa orang-orang Mesir menyebutkan bahawa pada masa awal berdirinya kerajaan Fatimiyyah, mereka minta cadangan daripada tokoh ulama mereka untuk menyenaraikan gelaran-gelaran yang bakal diberikan kepada khalifah-khalifah yang dilantik, Maka disenaraikan beberapa gelaran dan mereka sepakat bahawa gelaran terakhir sekali adalah Al-'Adidh lidinillah. Kesepakatan ini mengherankan kerana ia berbetulan dengan peristiwa yang terjadi kemudiannya.

Ibn Khalikan juga menceritakan bahawa dia dengar ulama Mesir menceritakan mengenai mimpi Al-'Adidh. Dia melihat dalam mimpinya keluar seekor kala dari sebuah masjid yang dia kenal lalu kala itu menggigitnya. Lalu dia minta orang menta'bir mimpinya itu. Ahli ta'bir mimpi mengatakan daripada masjid itu akan keluar seseorang yang akan menyakitinya. Lalu, diperintahkan cari siapa orang yang ada dalam masjid itu. Petugas pun menemukan seornag lelaki Sufi yang tinggal di dalamnya. Dia dibawa kepada Al-'Adidh dan disoal beberapa soalan. Tentang dari mana, bila dan untuk apa dia datang. Soalan-soalan itu dijawab dengan baik. Bila Al-Adidh melihat bahawa tiada bahaya apapun pada lelaki itu, dia pun dilepaskan sembari berkata: Ya Syeikh, doakan untuk saya! 

Lelaki itu pun kembalilah ke masjid.

Apabila Salehuddin Al-Ayubi berjaya mengusai Mesir dan ingin menangkap Al-Adidh, beliau minta pandangan para ulama. Lalu, lelaki Sufi yang tinggal dalam masjid itu memberi fatwa keharusannya dan banyaklah serangannya ke atas Al-Adidh lidinillah. Kelihatan mimpi Al-Adidh itu benar.

Lelaki Sufi tang dimaksudkan itu ialah Najmuddin Al-Khabusyani. 

Kata Imam Az-Zahabi dalam Siyar A'lam An-Nubala mengenainya: Dia adalah seorang ulama besar yang zuhud. 

Kata As- Sakhawi: "Beliau adalah ulama yang banyak menjawab para ahli bid'ah dan pejuang kuat akidah Asyariyyah di negeri Mesir".

Sehinggakan dia pernah mengarahkan agar seorang yang bernama Ibn Al-Kizani yang dikebumikan bersebelahan kubur Imam Syafie digali mayatnya dipindahkan ke tempat lain. Ini kerana menurutnya orang itu adalah seorang musyabbihah dan tidak layak dikuburkan bersama Imam Syafie rahimahullah.


Siapakah Ibn Al-Kizani?


IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...