Showing posts with label Al-Murabitun. Show all posts
Showing posts with label Al-Murabitun. Show all posts

Thursday, March 2, 2023

ZAINAB AN-NAFZAWIYYAH-Apakah benar dia wanita di belakang kejayaan Yusuf bin Tasyafin?

Beliau adalah isteri kepada Yusuf bin Tasyafin. Sebelum dinikahi oleh Yusuf bin Tasyafin, dia adalah isteri kepada Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni. 

Nama sebenarnya adalah Zainab bin Ishak Al-Hawari. Ayahnya adalah seorang saudagar. yang keluarganya berasal dari Qairawan.

Sebelum itu, dia isteri kepada Luqut bin Yusuf  bin Ali Al-Magrawi seorang pemimpin saki baki kerajaan Al-Maghrawiyyah, sebuah daulah Amazigh yang pernah berkuasa di Utara Maghribi. Ia berkuasa selepas tamatnya Daulah Al-Idrisiyyah,  tetapi tempoh daulah ini  tidak lama kekuasaannya  iaitu antara 987M-1070M. ( kurang 100 tahun).

Luqut  Beliau adalah dari Bani Ifran yang telah mengalahkan puak Ourika di Aghmat. Aghmat itu adalah sebuah wilayah tanah rendah (bukan bergunung ganang) yang terdiri dari dua bahagian. Satu dinamakan Aghmat Ailan dan satu lagi dinamakan Aghmat Ourika.

Ketika itu Zainab An-Nafzawiyyah adalah isteri kepada pemimpin Ourika, yang bernama Yusuf bin Ali bin Abd Rahman bin Watasy. 

Ketika Murabitun masuk menguasai Aghmat, Luqut bin Yusuf bin Ali Al-Maghrawi lari dan bersembunyi di Tadla, satu kawasan di tengah Maghribi dan utara pergunungan Atlas. Tahun itu ialah 449H. Pada tahun 450H, Murabitun menyerang negeri wilayah-wilayah puak Masmudah, Tadla pun diserang dan Luqut bin Yusuf bin Ali Al-Maghrawi mati dalam serbuan kali ini.

Itulah nama-nama suami Zainab An-Nafzawiyyah sebelum dia menjadi isteri kepada Yusuf bin Tasyafin. Riwayat-riwayat sejarah dilihat berlebihan dalam menggambarkan pengaruh Zainab An-Nafzawiyyah dalam mengatur politik dan pemerintahan Yusuf bin Tasyafin. Umpamanya ketika Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni, pemimpin Murabitun yang telah oergi berjihad dai kawasan Sahara pulang ke Maghrib, ketika itu Zainab An-Nafzawiyyah telah menjadi isteri Yusuf bin Tasyafin. Dia, kononnya memberi nasihat kepada Yusuf bin Tasyafin agar jangan bersikap rendah diri dan tawadhuk kepada bekas ketuanya itu. Dinasihatkan Yusuf bin Tasyafin sambut kepulangan Abu Bakar bin Umar dengan perarakan tentera dan hendaklah Yusuf bin Tasyafin kekal di atas kudanya. Kononnya khabar tentang kemenangan Yusuf bin Tasyafin di wilayah sebelah utara Maghribi telah sampai kepada Abu Bakar bin Umar. Sebab itulah dia pulang dari misi Saharanya. Dia ingin ambil alih posisi asalnya yang ketika itu diamanahkan kepada Yusuf bin Tasyafin. Maka nasihat Zainab An-Nafzawiyyah itu pun diikuti oleh Yusuf bin Tasyafin. Melihat kekuasaan dan pengaruh Yusuf bin tasyafin ke atas Murabitun sudah begitu kuat, maka Abu Bakar bijn Umar pun tidak jadi menuntut haknya sebagai pemimpin Murabitun di Maghrib.

Beitulah cerita diselitkan bagaimana Zainab An-Nafzawiyyah menggunakan kecerdikan akal politiknya untuk mengangkat dan menonjolkan Yusuf bin Tasyafin. Cerita sebegini boleh dipertikaikan apabila kita benar-benar kenal siapa Yusuf bin Tasyafin dan orang bagaimanakah yang bernama Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni itu. Orang soleh, ikhlas , zuhud dan tidak memburu dunia hasil didikan Abdullah bin Yasin, masakan ditempelkan perangai yang tamak duniawi sedemikian. 

Satu hal lagi, Zainab An-Nafzawiyyah menikah dengan Yusuf  bin Tasyafin bukan sejak awal kebangkitan Yusuf bin Tasyafin. ianya sudah dihujung-hujung. Bersama Yusuf bin Tasyafin, dia punya seornag anak bernama TAMIM bin Yusuf. Yusuf bin Tasyafin juga sudah menikah sebelum Zainab An-Nafzawiyyah dengan wanita yang dikenal kalangan Murabitun antaranya ialah yang bernama Qomar, ibu kepada Ali bin Yusuf. Anaknya yang kemudiannya jadi putera mahkota yang menggantikan Yusuf bin Tasyafin walaupun dari segi usia, dia lebih muda daripada Tamim.

Kalau berpengaruhnya Zainab An-Nafzawiyyah dalam urusan politik Yusuf bin Tasyafin, kenapa anaknya yang bernama Tamin itu tidak ditonjolkan menjadi pengganti Yusuf bin Tasyafin???

Apa yang mahu ditekankan di sini, cerita pengaruh Zainab An-Nafzawiyyah ke atas Yusuf bin Tasyafin adalah riwayat sejarah yang meragukan dan lebih kepada rekaan. Tidak kiralah betapa masyhurnya riwayat tersebut di  kalangan para sejarawan!

Sementelahan, sebagaimana disebutkan oleh Ibn Abi Zura' dalam Raudhul Qirtos, MS 86, Zainab An-Nafzawiyyah hidupnya tidak lama. Dia meninggal tahun 464H sedangkan pulangnya Abu Bakar bin Umar dari misi Saharanya adalah pada tahun 465H.


Tuesday, February 28, 2023

Takah-takah kebangkitan kerajaan Al-Murabitun

Kita mulakan dengan kisah seorang bernama Yahya bin Ibrahim. Kita panggil dia amir Yahya bin Ibrahim sebab dia seorang pemimpin kaum. Pemimpin adalah Amir. Dia adalah pemimpin kabilah Jaddalah, salah satu cabang dari Kabilah Sonhajah. Dia merasa risau melihat kabilahnya yang mengalami kemerosotan pemikiran, keimanan dan akhlak Islami. Di situ dia menginginkan sebuah Islah bagi mengangkat martabat serta menyelamatkan bangsanya. Namun, dia sendiri tidak mampu melakukannya dan memerlukan bantuan dan inspirasi. 

Kerana itu, dia mengadakan rehlah melakukan ibadah haji ke Makkah pada tahun 429H .Selesai ibadah haji dan dia pulang, dia melencong ke Kota Qairawan. Di sana dia bertemu dengan seorang ulama Mazhab Maliki bernama Syeikh Ibu Imran Al-Pasi. Dia tertarik dengan curahan ilmu dari Syeikh Abu Imran Al-Pasi itu dan berlakulah pertukaran pandangan antara dia dan Syeikh. Syeikh Abu Imran Al-Pasi menitipkan surat bersama Amir Yahya bin Ibrahim kepada seorang muridnya di Suoussa yang bernama Wajjaj bin Zalwu Al-Lumti. Surat itu mengandungi gesaan agar membantu amir Yahya bin Ibrahim dalam misi islahnya itu dan menjadikannya sebagai ladang pahala buatnya. Maka Syeikh Wajaj pun bentangkan hal itu kepada para muridnya. 

Seorang muridnya yang bernama Abdullah bin Yasin bin Mukuk Yasin bin Ali Al-Juzuli telah menyanggupi untuk mengikut amir Yahya bin Ibrahim pulang ke negerinya untuk berdakwah di sana. Pada mulanya dia disambut dan diraikan. Ramailah orang datang menutut ilmu daripadanya termasuk tokoh-tokoh agama kalangan kabilah Al-Jazuli  dan juga Sonhajah. Ada banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam pengamalan agama masyarakat. Di sinilah Syeikh Abdullah Yasin perlu punya tekad dan keberanian untuk membetulkannya. Misalnya, di kalangan masyarakat di sana ketika itu, mereka berkahwin lebih daripada 4 orang wanita. Ini tentu menyalahi Syarak dan Syeikh Abdullah Yasin merasa wajib membetulkannya. Ada banyak hal lain yang bertembung dengan pengajaran Syeikh Abdullah Yasin.

Demikianlah sunnah dakwah para nabi. Ia tidak berjalan di atas permaidani merah. Akan sentiasa ada musuh.

Ada seorang bernama Jauhar bin Sahim. Dia dan pengikutnya telah menghasut agar Syeikh Abdullah Yasin dihalau keluar dan dia berjaya membangkit amarah masyarakat dengan hasutan-hasutannya. Rumah Syeikh Abdulalh Yasin dirobohkan dan dia serta murid-muridnya terpaksa lari meninggalkan tempat tingal mereka dan pergi jauh.

Namun, adakah Syeikh Abdullah Yasin menyerah dalam menghadapi pendakian curam dalam dakwahnya ini? Apakah dia tersungkur dalam menghadapi suasana yang sedemikain sukar?

Tidak, dia adalah seorang dai'i yang berjiwa kental. 

Pelbagai pilihan di depannya. Balik semula kepada gurunya Syeikh Wajjaj? Mengadu kepadanya? Atau mencari lokasi dakwah yang lain? Pergi ke Sudan dan berdakwah di sana pula. Ada beberapa pandangan sejarawan mengenai situasi di persimpangan itu. Namun, menurut seorang sejarawan bernama Al-Bakri, ketika Syeikh Abdullah bin Yasin berkira-kira hendak berhijrah ke kawasan lain meneruskan dakwahnya, amir Yahya bin Ibrahim nerayu kepadanya agar terus kekal dalam misi asal mereka. Misi melakukan Islah di kalangan masyarakat Al-Jazuli. Maka di cadangkan agar mereka pergi ke sebuah pulau di kuala sungai Senegal yang mengalir ke Laut Atlantik. Kata amir Yahya Ibrahim:

" Ayuhlah kita tinggal di sana, kita makan apa yang halal dari tumbuhannya dan hasil lautnya. Kita beribadat di sana sehinggalah kita mati".

Usul itu diterima oleh Syeikh Abdullah bin Yasin. maka dia bersama 7 orang murid setianya mula tinggal di pulau itu. Dia dan muridnya membentuk ribat dan membangunkan kehidupan penuh ubudiyyah di sana. Selama 3 bulan kemudian, hal itu pun mula tersebar. Lalu ramailah yang berminat untuk menyertainya. Berbondong-bondonglah orang datang untuk menghirup gerimis keimanan di pulau yang berwalikan Abdullah bin Yasin.

Syeikh Abdullah bin Yasin pun membenihkan tarbiah buat mereka. Jumlah mereka pun mencecah 1000 orang dan kesetiaan dan walak mereka pun menjadi bulat terhadap Syeikh Abdullah bin Yasin. Fasa ini, Syeikh Abdullah Yasin pun menekankan peri pentingnya jihad. Pendekatan dalam menghadapi para penderhaka kepada Syariat Allah adalah diberi peluang bertaubat. Jika degil, siaplah menghadapi libasan pedang para Murabitun. Dengan cara ini, banyaklah kelompok yang menjadi duri dan tunggul-tunggul berceracak dalam medan dakwah dapat dibasmi.

Syeikh Abdullah bin Yasin satu ketika berkata kepada para Murabitun:

" Kita telah sampaikan hujjah kepada mereka dan kita sudah peringatkan. Kita sudah  sampai ke peringkat diuzurkan. Lalu berjihadlah dan perangilah mereka dengan berkah Allah!".

Amir Yahya bin Ibrahim menjadi tangan kanan Syeikh Abdullah bin Yasin dalam kerja-kerja jihad an perang ini. Syeikh Abdullah bin Yasin adalah pemimpin kerohanian dan amir Yahya bihn Ibrahim adalah pemimpin kepolitikan. Dalam menggalas tugas besar ini, amir Yahya bin Ibrahim pun meninggal dan Syeikh Abdullah bin Yasin memerlukan seornag yang lain menjadi pemimpin dalam menggerakkan pasukan.

Maka dilpilihnya seorang dari kabilah Lamtunah yang bernama Yahya bin Umar Al-Lamtuni untuk memimpin pasukan perang.

Kabilah Judalah pada mulanya mahu pemimpin pengganti di kalangan kabilah Judalah juga. Tetapi Abdullah bin Yasin menolak konsep peralihan kepimpinan sedemikian. Peralihan kepimpinan adalah secara Syura. Semua kabilah bermesyuarat dan ketika itu ketokohan Yahya bin Umar Al-Lamtuni menonjol. Seorang pemimpin dari kabilah Lamtunah. Maka dialah yang diangkat mengetui kabungan kabilah-kabilah Sonhajah.

Kabilah Sonhajah dikenali juga sebagai Kabilabh Al-Mulathimin (Kabilah yang berkerudung muka)

Dalam satu misi peperangan jihadnya dalam tahun 448H, Yahya bin Umar telah gugur syahid. Syeikh Abdullah bin Yasin sebagai imam dan syeikh Murabitin menunjukkan saudara kepada Yahya iaitu Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni untuk mengambil alih urusan perang dan jihad para Murabitin. Beliau seorang yang saleh lagi lagi warak.  Beliau mengangkat anak saudaranya yang bernama Yusuf bin Tasyafin menjadi pembantunya dalam urusan tersebut.

Yusuf bin Tasyafin inilah nanti kelak akan muncul sebagai tokoh besar pendiri kerajaan Murabitun yang hebat.

Abu Bakar bin Umar memimpin dengan baik sekali. Banyak bandar baru jatuh ke tangannya. Bandar Taroudant yang dikuasai golongan Khawarij Al-Bajliyyah nisbah kepada Ali bin Abdullah Al-Bajli juga dapat ditakluki. Golongan Khawarij ini wujud sejak zaman Ubaidillah Al-Mahdi Al-Fatimi lagi dan menjadi saingan kuat kepadanya. Para pengikutnya menwarisi pegangannya dan bertapak di Taroudant. Maka sebahagian besar kawasan Maghrib telah dapat dikuasai tentera Murabitun yang dipimpin oleh pemimpinnya yang bernama Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni.

Syeikh Abdullah bin Yasin menjalankan tugasnya berdakwah ke kota-kota yang belum takluk kepada Murabitun dengan cara dakwah bis silmi. Dia telah mendapat persetujuan kabilah-kabilah yang pelbagai di Aghmat untuk taat kepada Abu Bakar bin Umar.

Perjalanan menancapkan kesatuan dan wehdah di wilayah Maghrib ini bukanlah mudah. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi. Salah satu halangan besar yang terpaksa dihadapi adalah penentangan kabilah Barghawata. Mereka adalah kabilah besar yang menguasai bahagian besar dari Maghrib.

Barghawata ini asalnya adalah percampuran kabilah-kabilah Barbar yang berbagai-bagai dan menjadi pengikut kepada seorang nabi palsu bernama Saleh bin Tarif yang tinggal di Tamesna, satu kota di Maghrib.  Beliau mengaku nabi pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Asal beliau adalah satu kota bernama Barnat di Andalus. Maka pengikut Saleh bin Tarif itu dikenali sebagai Barnati. Maka di kalangan orang Arab disebut dengan lahjah Arab sebagai Barghawati.

Saleh bin Tarif itu adalah seorang yang asalnya  Yahudi , tinggal di Barnat, Andalus. Kemudian dia berhijrah ke Timur dan mempelajari bermacam ilmu sihir. Lalu dia berdomisil di Tamesna, Maghribi. Di sana masyarakatnya tenggelam dalam kejahilan. Maka Saleh bin Tarif menampilkan diri sebagai orang Zuhud dan mendakwa dirinya sebagai nabi dan membawa syariat baru. Peristiwa dia mendakwa jadi nabi itu berlaku sekitar tahun 125H. 

Inilah masyarakat Barghawata yang telah terfitnah dengan ajaran palsu Saleh bin Tarif dan keturunannnya. Kehidupan orang Islam di sana menjadi hina dan seperti buih laut. Perang dan pembunuhan menjadi lumrah. Apabila pasukan Murabitun menguasai Tamesna, syariat Islam ditegakkan dan najis ajaran sesat nabi palsu yang lepas itu itu dapat disamak.

(Rujuk: Nabi Palsu Saleh bin Tarif)

Dalam perang melawan kaum Barghawata inilah Syeikh Abdullah bin Yasin mendapat kecederaan yang mengakibatkannya gugur syahid. Tahun itu ialah 451H. 

Maka kepimpinan sepenuhnya berada di tangan Abu Bakar bin Umar. Beliau seorang memang layak memimpin. Hidupnya sibuk dengan jihad. 

Pada satu ketika dia diminta bantuan oleh kalangan penduduk kawasan padang pasir. Mereka telah terjerumus dalam pergaduhan sesama mereka. Demi meleraikan pergadunah tersebut , dia bertolak ke sana dengan separuh tentera Murabitun ke sama dan kepimpinan baki Murabitun di Sijilmasah diserahkan kepada Yusuf bin Tasyafin. Inilah titik di mana Yusuf bin Tasyafin menapak kejayaan dalam kepimpinannya sehingga pencapaiannya mengatasi seniornya sendiri.

Abu Bakar bin Umar sebelum pergi melanjutkan perjuangan di daerah padang pasir, dia menceraikan isterinya Zainab An-Nafzawiyyah dan mewasiatkan agar Yusuf bin Tasyafin menikahinya selepas habis iddah. Ini kerana dia ke medan jihad yang dia mencari syahid di sana. Maka tidak wajar dia meninggalkan isterinya yang masih muda dan cantik dalam keadaan tergantung tidak bertali. Inilah sikap tidak cintakan dunia yang dimiliki oleh peribadi Abu Bakarbin Umar.




IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...