Showing posts with label Tokoh Perang. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Perang. Show all posts

Tuesday, June 27, 2023

AL-ASY'ATH BIN QAIS

Dalam tulisan terdahulu di laman Khawatir Qomarullah, di bawah tajuk Qutailah binti Al-Asy'ath Bukan Isteri Rasulullah, disebutkan bahawa perkahwinannya dengan Rasulullah SAW adalah atas usul saudara lelakinya yang bernama Al-Asy'ath bin Qais. Beliau sebenarnya bernama Ma'diyakrab. Al-Asy'ath itu adalah sebuah gelaran buatnya dan akhirnya lebih terkenal dengan panggilan gelaran itu. Ia digelar al-Asy'ath kerana rambutnya selalu serabut serabai dan berdebu ( tak terurus).

Bapanya adalah seorang raja Kindah tetapi Kabilah Kindah tidak menyatu di bawahnya. Demikian bila Al-Asy'ath mewarisi bapanya, tidaklah kabilah Kindah mengakui kepimpinannya secara bulat. Ada perpecahan. Tidak seperti zaman Umru-ul Qais bin Hajar menjadi raja Kindah (yang juga penyair hebat Jahiliyyah), kabilah Kindah bersatu dibawahnya.

Kabilah Kindah adalah cabang daripada Arab Qohtan dan Kindah sering disebut dengan nama Kindah Al-Muluk (Raja-raja Kindah)

Kabilah Kindah ini disandarkan salasilahnya kepada Tsaur bin 'Afir bin 'Adi bin Al-Harith bin Murrah bin Udud bin Yasyjab bin Zaid bin 'Uraib bin  Zaid bin Kahlan bin Saba' bin Yasyjab bin Ya'rab bin Qohtan bin 'Abir bin Syalikh  bin  Arfakhsyad bin Sam bin Nuh A.S.

Namun, ada khilaf kalangan Ahli Sejarah Nasab Arab. Apakah Asal Kindah itu sememangnya Qohtan atau Adnan. Ini kerana, selepas pecahnya empangan Ma'arib, sesetangah kabilah Kindah itu berhijrah meninggalkan Saba'. Ada yang ke Hadramaut dan Bani Mu'awiyah menuju Bahrain dan menghuni di sana. Sebahagian kabilah Kindah itu menuju ke Utara dan mendoami satu kawasan yang di kemudian hari dikenal dengan nama Ghamar Zi Kindah iaitu negeri Bani Junadah bin Ma'ad di daerah Najd.

Baca: Sejarah Kindah

Al-Asy'ath lahir pada masa 23 tahun sebelum Hijrah nabi Ke Madinah.

Ketika hayat Rasulullah SAW , Al-Asy'ath datang bersama kabilahnya ke Madinah dan berbai'ah masuk Islam iaitu tahun ke 10H. Ketika itu usianya 33 tahun. Dia datang bersama sekita 60 hingga 80 penunggang. Jumlah rombongan-rombingan kabilah Arab yang datang ke Madinah bertemu Nabi SAW tidah pernah seramai rombongan Kindah tersebut. Ditambah pula dengan gaya dan pemakaian mereka yang menunjukkan kebesaran raja-raja Kindah. Al-Asy'ath sendiri memakai pakaian dan selendang kain suteri dan hal itu ditegur oleh Rasulullah SAW. Lalu, Al-Asy'ath mengoyak dan membuangnya. 

Kemudian Al-Asy'ath berkata kepada Rasulullah SAW: Bukankan tuan dari kalangan kami ? (yakni Kabilah Kindah)

Dalam Hadis riwayat Ibn Majah disebutkan:

عن الأشعث بن قيس قال: أتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في وفد كندة، ولا يروني إلا أفضلهم، فقلت: يا رسول الله، ألستم منا؟ فقال: نحن بنو النضر بن كنانة، لا نقفو أمنا، ولا ننتفي من أبينا. قال: فكان الأشعث بن قيس يقول: لا أوتي برجل نفى رجلا من قريش من النضر بن كنانة إلا جلدته الحد

Maksud nabi dengan perkataannya itu ialah bahawa baginda dan keturunan An-Nadhar tidak menjdikan ibu sebagai nasab lalu menafikan perana bapa sebagai penyambung nasab. Ini kerana nasab Nabi SAW dengan kabilah Kindah berhubung pada ibu Kilab bin Murrah.

Dikatakan juga maksudnya adalah sesiapa yang menjadikan nasab kepada ibu dan tidak kepada bapa, maka, itu adalah perbuatan menuduh zina ke atas ibu (qazaf) dan Rasulullah menafikan dia dari jenis orang yang seperti itu.

Berkata Ibn Al-Kalbi: Ibu Kilab bin Murrah adalah 'Alyaa bt Al-Harith Al-Harab bin Amru Al-Kindi.

Bacaan Tambahan: Rosoulullah.net

Namun, apabila Rasulullah wafat, mereka berpaling murtad. Dikatakan awalnya adalah penolakan terhadap[ kewajipan zakat.Ikut sama murtad adalah Bani Mua'wiyah, satu di antara cabang Kabilah Kindah)

(SALASILAH: Ma'diyakrab bin Qais bin Ma'diyakrab bin Muawiyah bin Jibillah bin Adi bin Rabi'ah bin Mu'awiyah Al-Akramin bin Al-Harith Al-Asghar bin Mu'awiyah bin Al-Harith Al-Akbar bin Tasur bin Murta' bin Mu'awiyah bin Kindah)

Al-Asy'th bin Qais berkahwin dengan Ummu Farwah binti Abi Quhafah ( Saudara perempuan Abu Bakar As-Siddiq) dan melahirkan anak iaitu: Muhammad , Ishak, Ismail, Habbanah, Ummu Qaribah dan Ja'dah.

Sementara isterinya yang lain bernama Bintu Jamadil Kindi melahirkan anak iaitu: Nu'man dan Al-Harith.

Al-Asy'ath terlibat menyertai Perang Yarmuk dan mendapat musibah pada matanya dalam perang itu. Dia terjun dalam Perang Al-Qadisiyyah dan Perang di Asfahan bersama Nu'man bin Muqrin. Semasa Khalifah Uthman bin Affan, dia dihantar ke Azerbaijan menjadi gabenor di sana.Dia menjadi pemimpin utama kalangan pasukan Ali dalam Perang As-Siffin.

Al-Asy'ath bin Qais meninggal tahun 40/41H. Dikatakan juga dia meninggal selepas 40 malam Khalifah Ali bin Abu Talib terbunuh. Hasan bin Ali menguruskan jenazah dan mensolati jenazahnya. Ketika itu Hasan adalah menantunya kerana telah mengahwini anak perempuannya yang bernama Ja'dah atau disebutkan juga Ju'aidah.

PERANAN KETURUNANNYA

Muhammad bin Al-Asy'ath , anaknya itu, pada masa Ziyad bin Abihi menjadi gabenor Bani Ummayyah di Iraq, telah dihantar menjadi gabenor di Tibristan. Apabila Abdullah bin Az-Zubair dilantik sebagai khalifah oleh penduduk Hijaz(selepas wafatnya Mua'wiyah) dan Mus'ab bin Az-Zubair adiknya dikirim sebagai gabenor di Iraq, Muhammad bin Al-As'Ath itu bergabung menyokong Mus'ab dan berlaku perang dengan Al-Mukhtar As-Tsaqafi. Dalam Perang yang dinamakan Perang Al-Mizar, terbunuh Al-Mukhtar As-Tsaqafi dan terbunuh juga Muhammad bin Al-Asy'ath. 

Kaum Syiah mencela Muhammad bin Al-Asy'ath kerana keterlibatannya dalam Peristiwa Karbala yang menyaksikan Saidina Hussain bin Ali dibunuh dan juga sebagai pembunuh Muslim bin Aqil (wakil Hussain ke Iraq ). Kerana onar anaknya itu, Syiah juga memutarbelitkan cerita tentang Al-Asy'ath dan melaknati juga ayahnya itu.

Kemudian Muhammad bin Al-Asy'ath itu ada anak bernama Abdurrahman bin Muhammad bin Al-Asy'ath yang juga ada catatan penting mengenainya dalam sejarah di mana dia berperanan sebagai general perang Bani Umayyah di bawah gabenor Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Dia membuka banyak wilayah seperti Sijistan dan wilayah sebelah Turki. Namun, kemduiannya dia berpaling menentang Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi dan seterunya mencabar Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Dia merasakan dirinya sebagai keturunan raja Kindah yang hebnat dalam sejarah Arab lebih berhak menjadi khalifah. Perangnya melawan Hajjaj mendapat sokongan ramai ulama termasuk Tabi'in hebat seperti Said bin Jubair dan Muhammad bin Sa'ad bin Abi Waqqas. Akan tetapi dalam satu peperangan yang dinamakan Perang Al-Jamajim, Abdurrahman akhirnya ditewaskan dan lari menjadi buruan ke wialayah Turki , kemudiannya mati dibunuh (ada riwayat mengatakan bunuh diri) pada tahun 85H.

Bacaan : Wiki


Wednesday, April 26, 2023

Ubaidillah bin Ziyad terlibat dalam pembunuhan Saidina Hussain.

Dalam kes pembunuhan ke atas Saidina  Hussain bin Ali di Karbala, Ubaidillah bin Ziyad adalah orang yang paling berlumuran tangannya dengan darah cucunda Rasulullah SAW itu. Sejarah tidak pernah memadamkan jenayah terkutuk yang telah dilakukan oleh Ubaidillah bin Ziyad terhadap insan mulia dan sayyid pemuda ahli syurga itu. Dalam dunia sepanjang zaman, nama Ubaidillah bin Ziyad tidak ada secuit pujian buatnya. Kutukan bertimpa-timpa dan kelak di akhirat, perhitungan besar dan maha sukar menantinya. 

Sebenarnya , sesiapa yang menela'ah dan mendalami peristiwa itu, akan merasa lebih ta'jub lagi atas keterlibatan individu-individu lain bersama Ubaidillah bin Ziyad yang sebelumnya merupakan pedokong Saidina Ali. Bahkan, di antara mereka ada yang boleh dibilangkan sahabat nabi SAW dan juga anak-anak sahabat nabi SAW.

Ubadillah bin Ziyad bin Abihi dikenali sebagai Abu Hafsin dan merupakan gabenor negeri Iraq bagi Yazid bin Mu'awiyah. Beliau menjadi mula menjadi gabenor Basroh serta Khurasan pada tahun 55H pada masa pemerintahan Saudina Mu'awiyah dan usianya ketika itu baru 22 tahun. Dia memimpin fituhat di negeri-negeri "belakang sungai" dan ikut serta dalamnya beberapa sahabat nabi SAW.

Namun, dia tega memimpin pasukan mengepung Saidina Hussain serta kaum keluarganya di Karbala' pada tahun 61H. Dia menolak semua tawaran penyelesaian yang ditawarkan Saidina Hussain yang membuatkan Saidina Huusain lebih rela mati dalam keadaan bermaruah daripada menyerah dalam keadaan terhina.

Apabila Yazid bin Mua'wiyah meninggal dan naik Mua'wiyah bin Yazid sebagai khalifah, Ubaidillah bin Ziyad lari meninggalkan Iraq berlindung di Damsyiq. Bersamanya seorang yang bernama Amru bin Al-Hajjaj Az-Zubaidi. Ini kerana Ibn Zaubair yang berada di Makkah telah dibai'ah sebagai Khalifah dan dia mula meluaskan pegangannya ke bumi Iraq. 

*Amru bin Al-Hajjaj Az-Zubaidi masuk Islam pada zaman nabi SAW. Dia seorang yang berjasa kepada kaumnya Az-Zubaidi kerana ketika mereka mahu murtad pada zaman khalifah Abu Bakar, dia yang keras melarang mereka dan mengajak mereka berpegang teguh dengan Islam. Puak Az-Zubaidi diajak oleh Amru bin Ma'adi Yakrib untuk murtad( Akan tetapi kemudiannya dia kembali kepada Islam). Amru bin Al-Hajjaj Az-Zubaidi adalah seorang sahabat nabi, namun, pada zaman-zaman fitnah , dia telah terpalit tempiasnya. Dalam peristiwa Karbala, dia dihantar oleh Umar bin Saad bin Abi Waqqas untuk menghalang antara rombongan saidina Hussain dengan sungai Furat. Dia yang mengucapkan kata-kata perangsang buat tenteranya ketika di Karbala:

 أتدرون من تقاتلون فرسان المصر قومًا مستميتين لا يبرز إليهم منكم أحد فإنهم قليل وقل ما يبقون والله لو لم ترموهم إلا بالحجارة لقتلتموهم. يا أهل الكوفة الزموا طاعتكم وجماعتكم لا ترتابوا في قتل من مرق من الدين وخالف الإمام.

Hingga Hussain pun berkata kepadanya:

ياعمرو بن الحجاج أعلي تحرض الناس أنحن مرقنا من الدين أم أنتم والله لتعلمن لو قبضت أرواحكم ومتم على 

Dalam upaya menahan pasukan Hussain daripada mencapai air untuk diminum, dia telah membunuh seorang sahabat nabi yang mendokong Saidina Hussain bernama Muslim bin 'Aujasah. Ketika Pasukan Mukhtar -As-Tsaqafi memburu para culprit yang terlibat dalam pembunuhan Hussain, dia melarikan diri dan sehingga hari ini tidak diketahui di bumi mana dia dirugikan atau langit mana dia direjami., bak kata At-Tobari ketika menyebutkan mengenai peristiwa tahun 66H dalam Tarikhnya.

Setelah itu, Ubaidillah bin Ziyad memimpin pasukan seramai 15 ribu personal untuk melawan Mus'ab bin Az-Zubair yang dilantik oleh Abdullah bin Az-Zubair sebagai gabenor di Iraq. Abdullah bin Az-Zubair sendiri telah dibai'at sebagai khalifah di Makkah.. Namun, Ubaidillah bin Ziyad bertembung dengan musuh yang lain iaitu Golongan At-tawwabun yang dipimpin oleh Sulaiman bin As-Sard. Walau bagaimanapun, dia berjaya mengalahkan Golongan At-Tawwabun dan memadamkan pemberontakan mereka.

* Sulaiman bin As-Sard adalah sahabat nabi dan dia masuk Islam depan nabi SAW. Mulanya namanya Yasar, lalu nabi tukar namanya jadi Sulaiman. Tatkala Iraq telah jatuh ke tangan kaum Muslimin pada masa khalifah Umar, dia bermastautin di Kufah dan membina rumah di sana. Sewaktu ali jadi Khalifah, dia menjadi pendokong kuat Saidina Ali dan dalam Perang As-Siffin dia telah membunuh Hausyab bin Takhmah Zu Zalim Al-Alhani dalam perang tanding.( Baca: Siapa Hausyab) Dia adalah antara orang yang mengutuskan surat kepada Saidina Hussain di Kota Madinah dan menjanjikan pembelaannya di Iraq. Apabila Hussain dikepung di Karbala, dia tidak mampu untuk menolong Hussain, maka dia sangat menyesal dan kerana itu dia menubuhkan kelompok orang-orang yang bertaubat( At-Tawwabun) daripada perbuatan mereka tidak membantu Husssain di Karbala. Maka. pasukan yang dipimpinnya bertembung dengan pasukan Ubaidillah bin Ziyad dalam perang yang dikenali Perang Ainul Wardah dan telah kalah. Sulaiman bin As-Sard sendiri terbunuh dalam perang itu oleh panahan seorang yang bernama Yazid bin Al-Husain bin An-Numair. Kala itu, usianya sudah 93 tahun. Kepalanya telah dibawa kepada Marwan bin Al-Hakam.

 

Akan tetapi, dua tahun kemudian, iaitu tahun 67H, dia menemui lawan lain yang membencinya dan menyimpan dendam kepadanya atas jenayahnya ke atas Saidina Hussain bin Ali. Lawan tersebut adalah pasukan tentera Al-Mukhtar bin Abi Ubaid As-Tsaqafi yang dipimpin oleh bawahannya yang bernama Ibrahim bin Al-Asytar. Peperangan terjadi di satu tempat berhampiran Sungai Al-Khazir di Mosul. Peperangan ini dimenangi oleh pasukan Ibrahim bin Al-Asytar dan Ubaidillah bin Ziyad dapat dibunuh olehnya. Kepalanya dipotong dan dikirimkan kepada Al-Mukhtar bin Abi Ubaid As-Tsaqafi di Kufah. Bersama kepalanya, dikirimkan juga kepala Hussain bin Numair , Syurahbil bin Zil Kala' dan sebilangan pemimpin lain yang bersekongkol dengan mereka.

* Al-Mukhtar bin Abi Ubaid As-Tsaqafi itu, di mata kaum Syiah, sangat disanjung kerana telah menuntut bela atas kematian Hussain. Namun di kalangan Ahlu Sunnah, dia dilihat sebagai pendusta. Dialah yang dimaksudkan dalam hadis:

إن في ثقيف كذابًا ومُبِيرًا 

Sesungguhnya di kalangan Tsaqif (Kabilah asal Taif) ada seorang jadi pendusta (Mukhtar bin Abi Ubaid) dan ada seorang jadi penzalim ( Hajjaj bin Yusuf)


Al-Mukhtar bin Abi Ubaid tersebut, telah mengangkat dirinya setaraf para nabi apabila mengaku mendapat wahyu dan malaikat Jibrail dan Mikail sering mengunjunginya. Dia juga adalah pengasas kepada Mazhab Syiah Kaisaniyyah yang menganggap Muhamamd Al-Hanafiyyah bin Ali sebagai imam dan mazhab Kaisaniyyah ini dinisbahkan kepada seornag bernama Kaisan yang merupakan hamba kepada Ali. Dia mendakwa mendapat ilmu rahsia batin dan ta'wil daripada Saidina Ali dan anaknya Muhammad Al-Hanafiyyah.

Sejarah menyaksikan bahawa mereka yang telah terlibat dalam pembunuhan Hussain bin Ali r.a tidak selamat. Mereka mendapat balasan mereka. Mereka diburu dan dibunuh. Selain Ubaidillah bin Ziyad, telah dibunuh balas juga , Umar bin Saa'd bin Abi Waqqas, Syamar bin Zil Jausyin, Harmalah bin Kahil Al-Asadi, Abdurrahman bin Sa'id bin Qais Al-Kindi, Sinan bin Abi Anas, Khuli bin Yazid Al-Asbahi dan Hussain bin Numair.

Ubaidillah bin Ziyad adalah orang yang mengetuai gerombolan pembunuhan Hussain di Karbala. Orang yang mengangkat pedang dan membunuh Saidina Hussain adalah Syamar bin Zil Jausyin.

Semua nama-nama yang berkongsi darah Hussain itu telah merugikan agama mereka. Alangkah baiknya pendirian seorang ketua batalion askar Ubaidillah bin Ziyad yang bernama AL-HURR BIN YAZID AT-TAMIMI. Walaupun mulanya dia berada di pihak Ubaidillah bin Ziyad, dia mengambil pendirian untuk beralih mendokong Hussain dan berjuang bersamanya hingga gugur syahid. Rahmatullah wasalamuhu alaihi wa adkhalahu jannatah!

Baca: wiki

Bacaan tambahan: Ensiklopedia Al-jazeera

Demikian berakhirnya riwayat orang yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Saidina Hussain di Karbala.

Sunday, February 26, 2023

TAHIR BIN AL-HUSSAIN, JENERAL PERANG AL-MAKMUN

Tahir bin Al-Hussain juga dikenang sebagai pengasas dinasti Tahiriyyah di Khurasan yang berlangsung antara tahun 205H hingga 258H

Khalifah Al-Amin putera Khalifah Harun Ar-Rasyid dengan isterinya Siti Zubaidah naik tahta khilafah selepas kematian Harun Ar-Rasyid. Sebelum meninggal dunia pada tahun 193H, Khalifah Harun Ar-Rasyid telah membuat surat wasiat untuk menetapkan penggantinya. Dia telah menyusun penggantinya bermula daripada Al-Amin , kemudiannya Al-Makmun dan kemudian Al-Mu'tamin.  Pada Masa Al-Amin naik menajdi khalifah, Al-Makmun telah diberi kuasa oleh Harun Ar-Rasyid sebagai gabenor atas wilayah Khurasan.  Al-Makmun ini adalah anak pertama Harun Ar-Rasyid. Cuma dia bukan anak Hasyimiyyah seperti Al-Amin. Al-Makmun adalah anak kepada hamba Harun Ar-Rasyid yang berbangsa Parsi. Nama ibu Al-Makmun itu adalah Marajil. Sementara Al-Amin pula adalah anak kepada Zubaidah binti Abu Jaafar Al-Mansur, khalifah kedua Abbasiyyah.

Apabila Al-Amin naik tahta, dia dipegarui oleh wazirnya yang bernama Al-Fadhlu bin Ar-Rabi' agar melucutkan jawatan Al-Makmun dan digantikan dengan anaknya yang bernama Musa bin Al-Amin dan digelar An-Natiq Bil Haq. Hal itu masuk ke fikiran Al-Amin dan dia pun memecatkan Al-Makmun. Tentu sekali perbuatannya itu mencetus kemarahan Al-Makmun.

Dua beradik sebapa berlainan ibu itupun berperanglah antara satu sama lain. Al-Amin mengirmkan pasukan tentera yang ramai dengan dipimpin oleh Ali bin Isa bin Mahan ke Khurasan. Ali bin Isa ini memang menyimpan dendam kepada penduduk Khurasan kerana dahulu, di zaman Harun Ar-Rasyid dia diadukan penduduk Khurasan kepada khalifah sehingga dia ditangkap dan dipenjarakan. Jumlah tenteranya melebihi 40 orang. Sementara Al-Makmun yang ada di Khurasan mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Tahir bin Al-Hussain dengan tenteranya hanya sekitar 4 ribu orang sahaja. Pertempuran berlaku di Ar-Ray.

Di sinilah nama TAHIR BIN AL-HUSSAIN menjadi tokoh penting. Dengan kecekapan, keberanian serta tekadnya yang jitu, tenteranya yang sedikit itu dapat mengalahkan tentera Khalifah Al-Amin.Ali bin Isa bin Mahan terbunuh. Kekalahan askar Al-Amin membawa kepada penguasaan bandar-bandar di Parsi oleh pasukan tentera Tahir bin Al-Hussain seperti bandar Al-Ahwaz, Ar-Ray, Al-Wasit dan Al-Mada-in. Kemudiannya tenteranya menyerbu Iraq dan mengepung Kota Bagdad. Tahir bin Al-Hussain sendiri telah berjaya membunuh Al-Amin pada tahun 198H.

Namun, setelah kejayaan itu dan Al-Makmun naik menjadi khalifah, hubungan Tahir bin Al-Hussain dengan khalifah Al-Makmun tidak berjalan mulus. Ada kecurigaan antara keduanya. Tahir minta agar dia ditugaskan ke Khurasan. Al-Makmun bersetuju dan dia pun diangkat jadi wakil khalifah di Khurasan pada tahun 205H. Akan tetapi Al-Makmun memasang pengintip kerana bimbang Tahir akan membawa Khurasan merdeka daripadanya.

Pada 20 jamadil Akhir tahun 207H, hari Jumaat, Tahir bin Al-Hussain telah melakukan sesuatu yang menimbulkan tuduhan atasnya menderhaka kepada Al-Maklmun. Dia tidak mendoakan untuk khalifah di atas mimbar sewaktu khutbah sebagaimana kebiasaannya. Mata-mata Al-Makmun menyampaikan berita itu kepada khalifah dan pada hari itu juga Tahir bin Al-Hussain ditemui mati dalam kamarnya.

Ada desas desus mengatakan kematiannya disebabkan diracun oleh orang-orang Al-Makmun. Ada yang menyebutkan matinya Tahir adalah disebabkan demam. Hanya Allah yang tahu apakah hakikat sebenar.

Selepas itu, posisi Tahir bin Al-Hussain digantikan dengan gabenor baru iaitu anak Tahir bin Al-Hussain bernama Talhah (208-213H).Dengan itu pemerintahan wilayah Khurasan berada di tangan keluarga Tahir bin Al-Husain. Mereka memerintah dengan bebas, namun pada nama, mereka berada di bawah kekuasaan Bagdad. Dari semasa ke semasa mereka terlibat mengirimkan pasukan bantuan untuk misi ketenteraan khalifah. Ketika bangkt memberontak Nasir bin Syabsin di Utara Aleppo, Abdullah bin Tahir memmimpin pasukannya ke sana dan menawan Nasir bin Syabsin dan menyerankannya kepada khalifah. Pada masa Al-Mu'tasim jadi khalifah, beliau juga bertindak bagi pihak khalifah memadamkan pemberontakan di Tibristan. Pemerintahan keluarga Tahir bin Al-Hussain ini disebutkan sebagai Kerajaan Tohiriyyah. Mereka terus berdiri sebagai sebuah pemerintahan yang taat kepada khalifah Abbasiyyah. Seramai 4 orang penguasa lagi selepas Tahir bin Al-Hussain. Kedudukan mereka berakhir pada masa Muhamamd bin Tahir bin Abdullah bin Tahir bin Al-Hussain pada tahun 258H . Dengan itu, naik dinasti baru dengan nama Kerajaan Sofariyyah.



Thursday, December 29, 2022

Thuman Bhai raja Mamalik Mesir yang terakhir.



Thuman Bhai adalah pemerintah kerjaan Mamalik yang terakhir di Mesir. Nama penuhnya adalah Al-Asyraf Abu- Annasr Thuman Bhai. Beliau adalah raja yang ke 47  dari keturunan Mamalik Turki yang memerintah Mesir. Jika dilihat dari segi Mamalik keturunan Circassion (Merujuk kpd penduduk asli Utara Caucassion), beliau menempati bilangan ke 21 daripada Sultan-Sultan Mamalik Circassion. Inilah Danasti terakhir Mamalik yang memerintah Mesir dan Thuman Bhai adalah penamatnya. Thuman Bhai adalah satu-satunya Sultan Mamalik yang mati dibunuh dengan cara digantung di Gerbang Zuwailah di Kaherah oleh pemerintah Othmaniyyah (Salim I). Gerbang Zuwailah atau dinamakan juga Gerbang Mutawalli adalah tempat yang pernah menyaksikan digantungnya kepala Utusan Hulago Khan dari Tartar ketika dia datang mengancam untuk menyerang Mesir pada masa Sultan Saifuddin Qutuz berkuasa.

Thuman Bhai mengambil alih tahta Mesir setelah bapa saudaranya, Sultan Qansuwah Al-Ghuri mati terbunuh dalam perang Maraj Dabik pada tahun 922H=1516M iaitu perang melawan pasukan Khilafah Othmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Salim I. Sebelum keluar perang di Syam, Sultan Qansuwah Al-Ghuri telah melantik Thuman Bhai sebagai naibnya yang akan memegang kendali Mesir sehingga dia kembali. Ternyata Al-Ghuri pergi menemui mautnya di medan perang. 


Maka, para umara Mamalik memilih Thuman Bhai untuk jadi Sultan seterusnya. Sementara Thuman Bhai tidak bersedia dan menolak kerana tidak yakin sokongan rakyat dan para elit pemerintah terhadapnya. Namun, setelah diasak dengan sumpah depan mashaf dan dibai'ah juga oleh Ya'kob Al-Mustamsik Billah, iaitu bapa kepada Al-Muttawakkil 'Alallah III yang dianggap pewaris khilafah Abbasiyyah (Yang ketika itu dalam tawanan pasukan Othmaniyyah di Aleppo), maka Thuman Bhai pun setuju. 


Dia membawa pasukan tentera Mesir terjun ke medan Perang Ar-Ridaniyyah melawan askar Othmaniyyah dalam Perang 29 Zulhijjah 923H/1517M. Perang itu dimenangi askar Othmaniyyah dan ia membawa kepada ditangkapnya Thuman Bhai dan dihukum gantung. Selepas itu Mesir berada di bawah kekuasaan Daulah Khilafah Othmaniyyah. Dengan matinya Thuman Bhai, maka tamatlah kekusaan kerajaan Mamalik di Mesir yang berlangsung selama 267 tahun.

PERANG AR-RIDANIYYAH

Perang ini berlaku antara pasukan tentera Khilafah Othmaiyyah yang dipimpin oleh Sultan Salim I dengan pasukan tenetra Mamalik yang dipimpin oleh Thuman Bai. Perang ini adalah perang penentu, siapa yang akan menang dan berkuasa.

Ia berlaku pada  2 Januari 1517 di daerah Ar-Ridaniyyah iaitu berhampiran dengan perkampungan Abbasiyyah dalam Kota Kaherah. Pasukan tentera Othmaniyyah , buat pertama kalinya menggunakan senjata canggihnya iaitu Meriam besar berkuasa 5-10 das tembakan untuk sekali cucuhan.Othmaniyyah yang punya pengalaman bertahun-tahun melawan pasukan Eropah telah memajukan persenjataannya meninggalkan pencapaian persenjataan Mamalik.

Dalam peperangan ini, tentera Mamalik pimpinan Thuman Bai menggali parit sebagai benteng pertahanan. Sementara Thuman bai tidak cukup yakin dengan pertahanan parit itu, dia memerintahkan para pimpinan tentera di Ar-Ridaniyyah untuk meninggalkan Ridaniyyah buat mengambil posisi serangan belakang tentera Othmaniyyah. Namun, para pimpinan tentera Mamalik tidak sepakat dengan strategi itu kerana mereka meyakini keutuhan sisitem pertahanan parit mereka.

Dalam perang ini, pasukan Mamalik terpukul tewas sehingag mereka berkubu dalam kota. Pada mulanya Sultan Salim tidak berani untuk memasuki Kaherah memikirkan bahaya yang menanti. Namun, setelah memikirkannya tidak sudah, dia masuk juga selkepas 4 hari. Srangan hendap oleh Thuman Bai dilakukan ke atas tenetra Othmaniyyah. Namun, denagn menempatkan meriam di atas banguna tingga, tenetra Thuman Bai kelelahan dan tewas. Mereak akhirnya berundur ke Iskandariayah. Walaupun satu ketua kabilah di sana melindungi Thuman Bai pada mulanya, pada akhirnya dia berpihak kepada Khalifah Othmaniyyah. Thuman Bai ditangkap oleh pasukan tentera Othmaniyyah dan dibawa kepada Sultan Salim I

Sultan Salim I mengkagumni keberanian dan kebijakan Thuman Bai. Dikatakan bahawa Sultan Salim I berhasrat memaafkannya. Namun, orang kiri kanan Sultan menghasutnya agar Thuman Bai dibunuh demi keselamatan dan kejayaan pemerintahan Othmaniyyah di Mesir. Membiarkannya hidup akan mengancam masa depan pemerintahan Othmaniyyah. Maka . Sultan Salim I akhirnya setuju Tuhman Bai dihukum bunuh dan mayatnya digantung di Gerbang Zawailah.

Kejadian pembunuhan Thuiman Bai dengan caru gantung sampai mati itu dicatatkan berlaku pada 15 April 1517. Tiga hari mayatnya digantung di gerbang Zuwailah, kemudian ia dikebumikan di bawah kubah yang mana di sana dikebumikan juga pakciknya Qasuwah Al-Ghuri. Tempat itu terletak di Selatan kaherah dna merupakan salah satu tempat bersejarah di Mesir yang boleh dilawati hingga hari ini.

Catatan oleh ahli sejarah Mesir iaitu Ibn Iyas Al-Hanafi dalam bukunya Bada'iu Az-Zihur Fi Waqai'u Ad-Duhur menyebutkab bahawa apabila Thuman Bai dibunuh dengan cara digantung, maka menangislah rakyat Mesir. Ini kerana dalam usianya yang masih muda iaitu 44 tahun dan memerintah hanya 3 bulan 14 hari, dia merupakan pemimpin yang santun, sukla berbuat baik dan berani menghadapi cabaran perang walaupun  sendirian.

Walaupun Sultan Salim I berjaya menakluki Mesir dan menamatkan pemerintahan Mamalik padanya, Kesultanan Othmaniyyah menanggung kerugian yang tiada galang gantinya iaitu terbunuhnya orang kuat Sultan Salim yang bernama Sinan Basya.

Begitu penting individu bernama Sinan Basya buat Sultan Salim I sehingga dia berkata setelah kejayaannya memasuki Mesir:

" Kita telah menguasai Mesir, tetapi kita kehilangan Sinan Basya yang mana ia tidak dapat digantikan dengan mana-mana negeri pun (yang kita kuasai)".

Selepas tamatnya pemerntahan Mamalik dengan terbunuhnya Thuman Bai, maka pemerintah Othmaniyyah melamntik Khayir Bik menjadi gabenor Mesir yang memerintah bagi pihak Othmaniyyah.


Khatimah

Kesudahan yang menimpa Thuman Bhai adalah dikatakan lantaran perbuatan khianat orang-orang yang sebelumnya menyatakan setia kepadanya. Ada 4 individu yang disebut oleh para pengkaji :

1) Az-Zaini Barakat

2) Khayir Bik

3) Jan Bardai Al-Ghazali

4) Hasan bin Mar'i

Khayir Bik setelah Mamalik dikalahkan, dia dilantik oleh pemerintah Othmaniyyah jadi gabenor di Mesir. Namanya dicemuh dengan sebutan Kha'in Bik

Sementara Jan Bardai Al-Ghazali, dia telah dilantik menjadi Gabenor Damsyiq, tetapi pada masa Khalifah Sulaiman Al-Qanuni dia cuba melawan kerajaan Othmaniyyah dengan cubaan memerdekakan Syam dari Othmaniyyah. Akibatnya berlaku perang di Aleppo dan ketika itu Khayir Bik di Mesir enggan membantunya. Maka dia dibunuh dan  dipotong kepalanya pada tahun 927H =1521M.


Baca : Aljazeera.net



Sunday, December 25, 2022

ABDURRAHMAN AL-GHAFIQI

Nama penuh beliau ialah Abdurrahman bin Abdullah bin Makhsyin bin Zaid bin Jibillah bin Zahir bin Al-A'iz bin Ghafiq bin As-Syahid bin Al-Qamah bin 'Ak bin Adnan.

Beliau adalah seorang komander tentera kerajaan Bani Umamyyah yang memimpin pasukan Islam menyerang negeri-negeri di tanah Andalus. Tenteranya bertembung dengan tentera Prancis yang dipimpin oleh Charles Martel dalam perang yang dikenali dalam sejarah Islam sebagai Bilatus Shuhadaa atau disebut juga "Battle of Tours". Perang ini berlaku pada tahun 114H=732M.  Tentera muslimin kalah dalam perang ini dan Abdurrahman Al- Ghafiqi gugur syahid.

Abdurrahman Al-Ghafiqi ini boleh dibilang sebagai tokoh generasi tabi'in. Imam Az-Zahabi menyifatkannya sebagai Amir Andalus dan Gabenor di sana bagi pihak khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Kata Al-Humaidi, belia seorang soleh, punya sejarah pemerintahan yang indah, banyak berjihad memerangi Rom dan sangat adil dalam pembahagian ghanimah.

Abdurrahman Al-Ghafiqi adalah generasi awal masuk Andalus iaitu bersama Musa bin Nusair pada tahun 93H. Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah, baginda mengirim Samah bin Malik Al-Khulani sebagai gabenor ke Andalus. Samah bin Malik telah menstabilkan pemerintahan Andalus dan dia meluaskan kekuasaan hingga ke wilayah Septimania, iaitu di Selatan Prancis. Ia adalah sebagai langkah untuk menyerang dan menguasai Prancis. 

Samah bin Malik menyerang kerajaan  Aquitaine dan menyerang ibu kotanya Toulousa. Apabila raja Aquitaine, Odo The Great  tahu kemaraan Samah bin Malik itu , dia menyiapkan angkatan perang yang besar buat menghadapinya. Perang meletus dahsyat dan korban di kedua-dua belah pihak sangat banyak. Perang itu disebut dengan nama Perang Toulouse. Tentera Islam menunjukkan keberanian jihad yang teguh. Namun, Samah bin Malik gugur syahid dalam perang ini dan  tentera Islam mula lemah semangat dan akhirnya berundur balik ke Septimania. Kejadian ini berlaku pada tahun 721M. Tentera muslimin telah bersetuju memilih Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai komander baru menggantikan Samah. Dalam keadaan sedemikian, demi menyelamatkan baki tentera Islam yang selamat, Abdurrahman Al-Ghafiqi mengambil jalan bawa balik pasukan muslimin ke Andalus semula. Kaum Muslimin di Andalus yang kehilangan gabenor menunjukkan Abdurrahman  Al-Ghafiqi sebagai pengganti kepimpinan Andalus. Ianya sementara menunggu gabenor baru dari kerajaan pusat di Damsyiq.

Ini boleh dikatakan kali pertama Abdurrahman Al-Ghafiqi memegang jabatan kepimpinan Anbdalus. Dalam tempoh itu Abdurrahman Al-Ghafiqi telah menjalankan langkah mengawal tatakelola Andalus dan memadamkan beberapa penentamngan di wilayah sebelah utara Andalus serta menetapkan hukum di Septimania. Dia memegang teraju pemerintahan hinggalah datang gabenor baru lantikan Damsyiq iaitu  Ambasah bin Suhaim Al-Kalbi. 

Ambasah kemudiannya mempersiapkan angkatan baru pada tahun 724M untuk menyelesaikan misi yang tertangguh. Beliau kembali ke mengukuhkan kedudukan di Septimania.  Beberapa kota yang berdekatan dapat dikuasai dan ini menggentarkan Odu The Greate  yang menjadi Duke Of Aquitaine yang memaksanya mengadakan perjanjian damai dengan Ambasah. Dengan itu Islam dapat menapak di Selatan Prancis.

Malangnya, ketika Ambasah dalam perjalanan kembali ke Selatan (Andalus) dia diserang hendap oleh pasukan Prancis dan dia cedera hingga membawa kepada matinya. Dengan itu, Ambasah hanya sempat menjadi gabenor sekita setahun sahaja. Tahun itu ialah tahu 725M.

Selepas kematian Ambasah, keadaan Andalus tidak stabil. Dalam 5 tahun berikutnya, beberapa gabenor baru dihantar, namun wujud persaingan antara kabilah Arab Yamaniyyah dengan Madhoriyyah yang menyebabkan keadaan tidak aman dan lemahnya kekuasaan kaum muslimin di Andalus. Dalam keadaan itu, di damsyiq Hisyam bin Abdul Malik naik sebagai khalifah dan dia menghantar dekri melnatik Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai gabenor Andalus yang baru pada tahun 731M. Ini merupakan lantikannya kepada posisi kepinan Andalus buat kali yang kedua.

Perlantikan Abdurrahman Al-Ghafiqi mendapat menarik sokongan kaum muslimin Arab Andalus dan mereka menyatu di bawah kepimpinannya. Beliau mengukuhkan kerjaaan , menperketatkan kawalan sempadan dan memadamkan mana-mana cubaan pemberontakan. Dalam pada itu Raja Odu dari kerajaan Aquitaine sedang dalam dilema. Antara ancaman Charles Martel dari utara dan Pasukan Islam dari Selatan. Untuk menghadapi dilema  ini, dia mengambil langkah buat perjanjian damai dengan pasukan kaum muslimi yang dipimpin oleh Abdurrahman Al-Ghafiqi.

Dalam pada itu, ada satu watak yang muncul menjadi duri dalam daging menggangu siasah Abdurrahman Al-Ghafiqi. Beliau disebut dengan nama Manusah. Dikatakan namanya Uthman bin Naisa' atau Uthman bin Abi Nas'ah Al-Khus'ami. Beliau adalah seorang pemimpin muslim berbangsa Barbar yang memerintah wilayah Cerdanya sejak tahun-tahun awal kemasukan Islam ke Semenanjung Iberia. Pada masa Ambasah jadi gabenor lagi, Manusah ini telah meberontak dan bersekuta dengan Odu The Great. Beliau berkahwin dengan anak Odu The Great. Sikapnya berlangsung sampai masa Abdurrahman Al-Ghafiqi mengambil ali kekuasaan atas Andalus. Kerja-kerja jahat MAnusah disedari oleh Abdurrahman Al-Ghafiqi dan beliau  mengirimkan pasukan yang dipimpin oleh seorang pemimpin Barbar muslim yang lain bernama Ibn Zayyan. Manusah lari berlindung kubu kawasan pergunungan, namun Ibn Zayyan dapat memburunya dan akhirnya menangkapnya dan membunuhnya. Isterinya yang merupakan puteri Odu The Great ditawan dan dikirimkan ke Damsyiq.

Abdurahman Al-Ghafiqi kemudiannya mara ke utara menyemberang Pergunungan Peyrenees masuk ke kota-kota di Selatan Perancis seperti Arles yang berada di pinggir Sungai Rhone. Pasukan Odu The Great dikalahkan dalam Perang Bordeaux. Kemudian Abdurrahman menyemberang sungai La Garrone dan menakluk kota Bordeaux . Kemudian beliau menju Bourgogne dan menawan Lyon dan Besancon. Seterusnya beliau menyemberang sungai Loire, sungai terbesar di Prancis untuk menuju ibu kota Perancis. Tentera muslimin berjaya mengaut ghanimah yang sangat banyak. Odu The Great yang kalah perang pergi bergabung dan minta tolong dengan Charles Martel. 

Charle Martel mengumnpulkan tentera besar dari bangsa Gallia dan Jerman.  Tenteranya dikerah menghadapi tentera Abdurrahman Al-Ghafiqi dan bertemu di satu lembah antara bandar Tours dan Poitiers. Perang berlangsung 7 hari. Perang ini disebut dalam Sejarah Islam dengan Perang Balatus syuhadaa dan dalam sejarah Eropah dikenali dengan Battle Of Tours.Setelah berperang sengit 7 hari, pada hari terakhir berlaku kekacauan dalam pasukan kaum muslimin. Dikatakan sebahagian pasukan Charles martel telah dikirim untuk membakar harta-harta ghanimah yang dikumpul oleh tentera Abdurrahman Al-Ghafiqi  menyebabkan kalangan tentera berpatah balik dan barisan hadapan menjadi longgar. Sebahagian sejarawan Islam menolak riwayat sedemikian yang menggambarkan ketamakan tentera Islam ke atas harta Ghanimah, namun, ada yang menerima cerita itu sebagai satu kemungkinan kerena sehebat generasi sahabat nabi pun berdepan dengan masalah yang sama dalam peristiwa kekalahan Perang Uhud.

Abdurrahman Al-Ghafiqi cuba menyusun kembali pasukannay namun dalam situasi tersebut dia mengalami kecederaan  terkana panah yang membawa kepada meninggalnya. Tarikh gugurnya beliau syahid adalah pada 27 Sya'ban 114H. Hal ini menimbulkan khilaf kalangan pasukannya sama ada untuk teruskan perang atau berundur. Maka, keputusan diambil berundur dan dikatakan anggota yang terluka terpaksa ditinggalkan kerana banyak sangat. Tahu-tahulah apa nasib mereka. Kasihan...tapilah itulah pengorbanan para pejuang.

Umat Islam hari ini wajib mengingat kehebatan para leluhur yang begitu pemberani, membela Islam dan menghadapi dunia tanpa ragu-ragu.

Percubaan yang gagal ini menghentikan kemaraan pasukan kaum muslimin. Pemimpin Andalus yang berikut sesudah zaman Abdurrahman Al-Ghafiqi tidak lagi sehebat beliau dalam usaha menusuk ke jantung Eropah. Itulah cubaan pertama dan terakhir para mujahid Islam menyerbu kota-kota Eropah. Andaikan, kalau misi berhasil dan panji Islam dapat dipacak di Kota Paris, maka Islam akan bersemarak di Eropah. Runtuhlah Byzantine dan Kota Kostantinopel akan tersungkur lebih awal berbanding apa yang telah berlaku dalam sejarah.

Namun Allah SWT punya rahsianya. Terimalah hakikat bahawa umat Islam gagal menakluk Eropah dan penyerbuan itu. Jika pasukan Islam kuat dan bersemangat, pasukan kafir juga kuat dan bersemangat. Antara Haq dan batil saling berlaga. Roda berpusing dan hari-hari bersilih. Mungkin Allah ingin cara yang lain Islam menguasai dunia. Generasi hari ini dapat memahami sebahagian rahsia Allah apabila melihat negeri-negeri di Eropah berkumandang suara Islam. Bangsa Eropah memeluk Islam tanpa serangan berdarah tetapi dengan dakwah dan uswah.

Alhamdulillah atas segala nikmat Allah SWT. Kami redhalah Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai jalan hidup kami dan nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasul kami.

Kenanglah nama Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai adalah satu-satunya komander muslimin yang berjaya membawa masuk pasukannya ke bahagian yang paling jauh ke wilayah Prancis.Walaupun cubaannya gagal, ia adalah satu catatan sejarah yang seharusnya jadi inspirasi generasi pewaris perjuangan. Bahawa ummat Islam tidak miskin tokoh dan pahlawan. Carilah pahlawan Islam sebagai inspirasi dan lemparkan ke longkang kumbahan para pahlawan palsu dan fantasi yang diciptakan  orang-orang kafir. Superman, Aquaman, Spiderman, Batman, Ultraman, Antman dan berapa banyak lagi hero ciptaan, dalam dunia realiti mereka tidak wujud sama sekali. Namun, hero-hero Islam telah wujud dalam dunia realiti dan sejarah mereka tidak dapat dinafikan.


Rujukan bacaan:

https://arabicpost.net

Bacaan tambahan:

  1. https://islamstory.com
  2. https://kisahmuslim.com/2979-kisah-tabiin-abdurrahman-al-ghafiqi-gubernur-andalusia.html



IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...