Friday, December 9, 2022

Kerajaan Tuluniyyah (254-292H=868-905M)

Sebelum ini, telah dicatatkan mengenai kewujudan dalam sejarah kisah perkahwinan terhebat dengan perbelanjaan besar seornag puteri kerajaan. Puteri itu bernama Qarunnada yang merupakan puteri kepada Khamarawaih bin Ahmad bin Tulun, penguasa kerajaan Tuluniyyah. Qatrunnada dikahwinkan dengan khalifah Abbasiyyah yang bernama Al-Mu'tadhid untuk tujuan politik. 

Dalam tulisan kali ini, kita akan mengenali apakah kerajaan Tuluniyyah itu. Bagaimana asalnya dan apakah kesudahannya.

Kerajaan Tuluniyyah diasaskan oleh Ahmad bin Tulun. Beliau adalah seorang pemimpin tentera berbangsa Turki yang berkhidmat untuk khalifah Abbasiyyah. Para khalifah Abbasiyyah pada memang menggunakan khidmat pegawai-pegawai berbangsa Turki untuk menjalankan pemerintahan. Asalnya Tulun merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh raja Bukhara kepada khalifah. Lalu, anak Tulun bernama Ahmad mendapat kepercayaan khalifah dan mengirimkannya ke Mesir untuk mentadbir bagi pihak khalifah. 

Pada saat khalifah Abbasiyyah disibukkan dengan operasi memadamkan pemberontakan yang dinamakan PEMBERONTAKKAN AZ-ZANJI, Ahmad bin Tulun membebaskan Mesir daripada kawalan pemerintahan pusat. Dia bertindak sebagai pemerintah tersendiri di Mesir. Sempadan kekuasaannya melebar ke Syam dan Hijaz. Kerajaan Tuluniyyah bolehlah dianggap kerajaan pertama yang mmerdekakan diri dari pemerintahan pusat khilafah. Kerajaan Tuluniyyah di bawah pimpinan Ahmad bin Tulun walaubagaimanapun tetap mengirimkan sejumlah cukai ke Baghdad setiap tahun, namun kekayaan Mesir lebih besar daripada perolehan khalifah Abbasiyyah di Baghdad.

Ahmad bin Tulun memerintah antara tahun 254-270H. Masa pemerintahannya, dia telah mengasaskan bandar AL-QATAA-1' dan menjadikannya sebagai pusat pemerintahannya. Beliau juga membina masjid yang hari ini ada di Kaherah yang bernama Masjid Ahmad bin Tulun. Ahmad bin Tulun dikenali seorang yang kuat beragama, hafaz Quran dan mendampingi para ahli ilmu. Banyaklah rancangan pembangunan Mesir yang dilakukannya menatijahkan kemakmuran dan kemanan buat negeri Mesir.

Setelah meninggalnya Ahmad bin Tulun pada tahun 10 Zulkaedah tahun 270H, takhta kerajaan diteruskan oleh anaknya Khamarawaih. Pada ketika ini, Khalifah Abbasiyyah di Baghdad, Khalifah Al-Muwaffiq berhasrat untuk mengambil alih kekuasaan Mesir. Khamarawaih dilihatnya tidak kompeten dan bukan jenis suka berperang. Maka pasukan tentera Khalifah pada mulanya berjaya menguasai Syam hingga ke sempadan Mesir. Ini menyebabkan Khamarawaih bertindakbalas dan memukul mundur pasukan khalifah hingga ke perbatasan Iraq. Namun, Khamarawaih kemudiannya menarik balik pasukannya pulang ke Mesir setelah mendapat perjanjian dengan khalifah untuk menyerahkan kekuasaan Mesir untuknya dan keturunannya selama 30 tahun.

Khamarawaih mahu memperbaiki hubungannya dengan khalifah Al-Mu'tadhid di Bagdad. UNtuk itu ditawarkannya anaknya Qatrunnada untuk dinikahi oleh anak khalifah. Namun, Al-Mu'tadhid yang mendengar tentang kecantikan Qatrunnada, mahu dia sendiri yang menikahi Qatrunnada. Pernikahan Qatrunnada menelan belanja jutaan. Untuk menyenangkan hati nakanya, Khamarawaih memperuntukan perbelanjaan besar dengan membina istana persinggahan sepanjang perjalanan antara Mesir hingga Baghdad. Ahli sejarah yang menceritakan pemborosan itu menggambarkan bahawa hamburan dana untuk itu di luar khayalan. Qatrunnada yang dibawa ke Baghdad bak bayi berjalan dalam buaian!

Khamarawaih memperbanyakan hamba-hamba untuk misinya itu dan malangnya antara hambanya itulah kemduiannya telah membunuhnya. Itu terjadi pada tahun 282H ketika dia berada di Damsyiq.

Selepas matinya Khamarawaih, hilanglah kemegahan kerajaan Tuluniyyah yang diasaskan oleh Ahmad bin Tulun. Ada tiga waris kerajaan yang menyambung kesinambungan kerajaan Tuluniyyah selepas Khmarawaih, namun tempohnya tidak dapat melebihi 10 tahun. Pemberontakan di sana sini.

Pertamanya selepas Khamarawaih, anaknya menggantikannya . Anaknya itu ialah Abu Al-Asakir Jaisy (282-284H). Ketika ambil alih tahta, dia masih kanak-kanak yang hidupnya bermain sahaja. daerah Syam mula melepaskan diri dari Mesir. Ketua-ketua tenteranya berang dengan kelemahan Abu Asakir ini. Para ulama juga enggan membai'ahnya. Akhirnya dia disingkirkan dan dipenjara. Kemudian, adiknya masih kecil, belum sampai 14 tahun diangkat ke tahta. Namanya Abu Musa Harun. Dia jadi raja antara 284-292H. Pada masa inilah puak Qaramitah mula muncul di Syam (tahun 286H) dan menguasai di sana sini. Abu Musa harun cuba menyingkirkan bahaya Qoramitah ini dari bumi Syam, tetapi tidak berjaya.

Dalam masa yang sama pula, khalifah Abbasiyyah, Al-Muktafi mahu menguasai Mesir. Dia mengirimkan tentera yang dipimpin oleh Muhammad bin Sulaiman Al-Hanifi Al-Katib untuk hancurkan kerajaan Tuluniyyah. Pertempuran terjadi dan Abu Musa Harun lari ke Abbasah. Namun, dua orang pakciknya, Syaiban bin Ahmad  dan Adi bin Ahmad membunuhnya. Ketua-ketua pasukan tentera tidak menyetuju perbuatan kedua-duanya itu. Oleh itu bila Syaiban bin Ahmad diangkat meneruskan kekuasaan Tuluniyyah, dia tidak disokong oleh pihak tentera. Mereka malah menjemput pasukan tentera Abbasiyyah yang dipimpin oleh Muhammad bin Sulaiman Al-Hanifi Al-Katib untuk datang ke Qota'i'. Maka Qota'i' dibakar habis dan musnahlah segala pencapaian kerajaan Tuluniyyah .Apa yang tinggal untuk tatapan sejarah hanyalah Masjid Ahmad bin Tulun yang boleh dilihat hingga hari ini.

Setelah itu Muhammad bin Sulaiman Al-Hanifi Al-Katib yang memerintah Mesir bagi pihak kerajaan Abbasiyyah. Selepasnya, naik general tentera yang lain bernama Isa An-Nusyari. Pada masa Isa An-Nusyari inilah Mesir didatangi oleh seorang buruan politik bernama Ubaidilalh Al-Mahdi. Walau ada arahan dari khalifah agar orang bernama Ubaidillah Al-Mahdi itu ditangkap, Isa An-Nusyari gagal menjalankannya sehingga Ubadillah Al-Mahdi dapat melarikan diri hingga ke Utara Afrika dan di sanalah kemudiannya dia menubuhkan kerajaan. Kerajaan itu kembali menjadi musuh dan merampas Mesir dari Kerajaan Abbasiyyah. Itu kerajaan Fatimiyyah.


Maka lenyaplah kerajaan Tuluniyyah. Demikian, lenyaplah juga pada fasa-fasa berikutnya beratus kerajaan yang pernah tegak di dada sejarah. Silih berganti muncul kerajaan lain. Kerajaan yang kekal dan abadi hanyalah KERAJAAN ALLAH!


No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....