Thursday, December 8, 2022

GEMBALA UNTA LEBIH BAIK DARIPADA GEMBALA BABI

Kerajaan Bani Umayyah  yang berpusat di Kota Damsyiq tersungkur rebah pada tahun 132H. Khalifahnya yang terakhir, Marwan bin Muhammad ( Marwan Al-Himar) kalah dalam perang Az-Zab Al-Kabir yang menyaksikan runtuhnya puing-puing kerajaan bani Umayyah. Berikutan dengan itu, siri-siri pembunuhan kejam dan permbersihan politik digencarkan oleh para pemimpin kerajaan baru iaitu Bani Abbasiyyah. Saki baki keluarga Bani Umayyah yang dilihat berpotensi untuk menjadi ancaman di masa depan diburu dan dibunuh. 

Namun, Allah mentakdirkan seorang putera masa depan Bani Umayyah terselamat. Beliau adalah Abdurrahman bin Mu'awiyah bin Hisyam bin Abdul Malik. Beliau dapat melarikan diri demi menyelamatkan nyawanya. Kisah meriwayatkan bagaimana dia berenang menyemberang sungat Furat demi sebuah pelarian menyelamatkan nyawa dari kebuasan politik. Kala itu usianya masih belasan tahun.  Belia jadi buruan politik yang dikehendaki dan menyamar dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Dari Tanah Syam, beliau membawa nestrapanya ke Mesir hingga ke Tanah Maghrib. Beliau menyemberang lautan melalui Selat Gibraltar dan mendarat di Andalus yang saat itu berada di bawah pemerintahan para gabenor yang sentiasa berdepan dengan pemberontakan di sana sini. Fasa itu dinamakan fasa "'Ahdul Wulat".

Dengan kehebatan Abdurrahman, dia dapat mengambil alih posisi dan mententaramkan tanah Andalusia. Tidak hairan, Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur di Kota Baghdad mengakui Abdurrahman sebagai "helang Quraisy". KIsah pengkelanaannya sungguh menakjubkan. Namun atas segalanya. ia adalah susunan sebuah takdir Allah SWT.

Abdurrahman mewariskan sebuah daulah yang kuat untuk anak cucunya. Dia bertahta selama 33 tahun. Pada fasa berikutnya, kerajaan Bani Umayyah mencipta kemakamuran dan perluasan yang memancarkan cahaya terang ke seluruh Eropah. Ia menjadi pencetus peradaban yang dikenang sehingga kini. Hingga, pada zaman Abdurrahman An-nasir, dia mengambil gelaran Khalifah kerana kondisi kekhilafahan Abbasiyyah saat itu sangat lemah. Apatah lagi, di Mesir telah berdiri khalifah Fatimiyyah yang bermazhab Syiah Ismailiyyah.

Para khalifah Bani Umayyah bersilih ganti hinggalah zaman Al-Hakam Al-Mustansir Billah. Pengaruh seorang hamba  perempuannya   yang bernama Subuh Al-basytakiyyah telah mempercepatkan kejatuhan dinasti Bani Umayyah. Beliau menjadi dalang di balik naiknya anaknya yang bernama Hisyam Al-Mu'ayyad atas tahta. Kala itu, Sang hajib bernama Al-Mansur bin Amir menjadi pemegang kuasa sebenar.  dia memang berjasa dan hebat. Tetapi sesudahnya, penggantinya adalah orang yang tercela dan merosakkan kerajaan. Para umara bani Umayyah pula bersengketa dan bergaduh hingga mempercepatkan tamatnya riwayat kerajaan Bani Uamyyah di Andalus..

Apabila sudah demikian, berpecah belahlah kerajaan menjadi wilayah-wilayah kecil yang dikendalikan oleh raja-raja yang banyak. Itulah zaman yang disebut sebagai 'Ahdu Mulukut Tawaif. Pada masa inilah kerajaan Kristian dari Leon dan Castella yang diketuai oleh Raja Alfonso V memperkotak katikkan para raja-raja Muslim yang tamak dan mementingkan diri itu. Dia mengugut dan melaga-lagakan sesama mereka.



Dalam kemelut keruntuhan iman, moral dan wala' kepada Islam ini, muncul satu nama yang penting dari kalangan raja-raja kecil di Andalus. Dia adalah Al-Mu'tamid bin Ubbad, raja Isybilia ( Sevilla). Beliau cuba menghimpunkan semua raja muslim di Andalus agar berpadu melawan kemaraan raja Al-Fonso V. Namun, mereka menyatakan kelemahan dan ketidakmampuan untuk mendepani kemaraan raja kristian itu. Itulah yang menyebabkan Al-Mu'tamid bin Ubbad mencadangkan agar diminta pertolongan kepada seorang penguasa muslim yang masyhur namanya di Utara Afrika, dari di Kota Murakesh. Beliau bernama Yusuf bin Tasyafin, raja dan penguasa bagi kerajaan Murabitun.

Para raja muslim Andalus mulanya keberatan kerana takut hilang kuasa kalau Yusuf binTasyafin masuk ke Andalusia untuk menolong mereka. Namun, Al-Mu'tamid bin Ubbad menegaskan dengan kata-katanya yang masyhur dan terukir dalam memori sejarah dengan pujian:

رَعْيُ الجِمال خَيْرٌ من رَعْيِ الخَنازِيْر

" Gembala unta lebih baik daripada gembala babi!".


Maka pertolongan Yusuf bin Tasyafin dipohon. Seorang pemimpin hebat dan ada kesedaran utuh tentang menjaga wilayah umat Islam. Dengan semangat itu, membawa Yusuf bin Tasyafin menyemberang laut ke Andalusia demi meyelamatkan maruah umat Islam. Terjadilah Perang Zallaqah pada tahun 479 H yang menyaksikan kemenangan gilang gemilang pasukan Islam dan tumpasnya pasukan Alfonso V. Sebagai tanda keikhlasannya membantu, selepas itu itu Yusuf bin Tasyafin pun menarik keluar semua tenteranya dari bumi Andalusia.

Namun, setelah Yusuf bin Tasyafin meninggalkan bumi Andalusia, para raja muslim di sana kembali bersengketa dan menjadi pengkhianat satu sama lain. Ini membawa kepada penyemberangan kali ke-2 Yusuf bin Tasyafin pada tahun 481H dan seterusnya kali ke-3 tahun 483H yang mengakibatkan tamatnya zaman Kerajaan Tawaif dan Andalusia kemudianya ditadbir oleh kerajaan Murabitun dari Murakesh. Al-Mu'tamid sendiri telah mendapat apa yang dia ibaratkan dalam kata-katanya iaitu menjadi gembala unta lebih dia sukai. Dia ditawan oleh kerajaan Murabitun dan dibawa balik ke Murakesh dan dipenjarakan di Aghmat, sebuah kota di selatan Murakesh. Disanalah dia meninggal dan dikebumikan.


No comments:

Post a Comment

Firqah As-Syaikhiyyah

Dari Firqah Syiah Imam 12, lahir satu aliran pemikirna yang diasaskan oleh Ahmad bin Zainuddin Al-Ihsa'i. Para pengikutnya dinamakan Sya...