Wednesday, April 19, 2023

SULTAN ABU YUSUF YA'KOB AL- MANSUR AL-MARINI



Penguasa Muslim di Utara Afrika yang satu ini, sama namanya dengan seorang penguasa muslim Utara Afrika yang lain daripada kerajaan Al-Muwahhidin, iaitu Abu Yusuf Ya'kob Al-Mansur Al-Muwahhidi. Gelaran Al-Mansur Al-Marini diletakkan buat membezakan dengan Al-Mansur Al-Muwahhidi. Dua orang berbeza tetapi sama-sama menabur jasa besar dalam sejarah umat Islam, khasnya di bumi Andalus.

Namanya adalah Abu Yusuf Ya'kob bin Abdul Haq. Beliau lahir pada tahun 609H di Maghribi daripada Kabilah Bani Marin. Beliau menjadi Sultan Bani Marin yang mengalahkan Bani Abdul Wad dan menguasai Murakesh dan mengalahkan Kerajaan Muwahhidin pada tahun 668H. Sejarawan Islam menggambarkannya sebagai Sultan yang banyak berpuasa lagi banyak solat. Selalu berzikir dan banyak tafakkur. Siangnya diisi dengan zikir dan malamnya diisi dengan qiam. Dia sangat memuliakan orang soleh dan berbelas kasihan kepada orang miskin. Dia sangat tawadhu' kepada para agamawan dan sangat memelihara kemuliaan darah kaum muslimin. Beliau seorang yang mulia lagi pemurah . Sangat pahlawan di medan jihad. Senentiasa menang bila berperang dan banyak membuat futuhat.

Ketika dia berkuasa di Maghribi, pemerintahan kaum Muslimin di tanah Andalus sedang meniti di jurang berapi. banyak wilayah yang dulunya Islam berkuasa telah jatuh ke tangan Kristian. Grenada adalah antara thaghrah (  ثغرة ) kaum muslimin yang masih bertahan. ia berada di bawah pemerintahan Bani Ahmar. Pada tahun 671, Muhammad bin Al-Ahmar I dari kerajaan Bani Ahmar yang memerintah Granada di Andalusia meninggal dunia pada usia hampir 80 tahun. Dia digantikan anaknya Muhammad bin Muhammad  bin Ahmar yang digelar Al-Faqih. Dia merasa terancam dengan kerajaan kristian Castella yang dipimpin Alfonso 10. Alfonso 10 mula memecahkan perjanjian dan merampas beberapa wilayah perbatasan Grenada. Maka, bantuan Sultan Bani Marin dipinta oleh pemerintah Bani Ahmar itu.


Pada bulan Safar tahun 674, buat kali pertamanya Sultan Abu Yusuf Ya'kob Al-Marini ini menyemberang laut menuju di tanah Andalusia. Dia menyahut permohonan bantuan tersebut. Dia mengulangi tanggungjawab yang dulunya pernah dipikul oleh Yusuf Ibn Tasyafin dari kerajaan Murabitun dan Abu Yusuf Ya'kob Al-Muwahhidi dari kerajaan Muwahhidun. Kini, dia Sultan Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Marini menjejaki tapak-tapak perwira sebelumnya,  menyelamatkan tanah Andalusia dari digerogoti oleh tentera Kristian. 

Benarlah apa yang pernah diwasiatkan oleh Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Muwahhidi sebelum wafatnya. Bahawa Andalusia itu anak yatim yang perlu dibantu. Kalau tiada bapa angkat dari Maghribi datang menolong, sudah lama pemerintahan Islam di Andalusia lenyap. Pemerintah kota-kota di Andalusia tidak jelas halatujunya. Mereka tahu bahawa mereka dikelilingi oleh kemaraan pasukan Kristian, namun dalam masa yang sama mereka terus ghairah membangunkan istana-istana indah dan mewah dalam kota mereka.

Sultan Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Marini  berperang melawan tentera Kristian yang sedang melahap tanah-tanah yang pernah dikuasai kaum muslimin. 

Dalam satu peperangan yang dinamakan Perang Dununiyyah ( berlaku tahun 674H) (sempena nama general perang kerajaan Castella yang memimpin tenteranya melawan tentera Islam pimpinan Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur Al-Marini), Abu Yusuf Yaakob Al-Mansur telah memenangi peperangan tersebut. Tentera Islam jumlahnya  kurang 10 ribu. tetapi dapat mengalahkan tentera Kristian yang jumlahnya ratusan ribu. Inilah ajaibnya sejarah jihad kaum muslimin! 6000 tentera Kristian dapat dibunuh manakala 7800 tentera kristian dapat ditawan. Panglima tentera Castella yang bernama Don Nonio De Lary turut terbunuh. Harta rampasan perang yang tidak terpermanai banyaknya dapat dipungut. Sejak kemenangan dalam Perang Arak (tahun 591H), perang inilah perulangan sejarah yang amat mengembirakan ummat Islam di Andalus.

Setelah memenagi dalam banyak siri peperangan di tanah Andalusia dan dapat menyekat kemaharajalelaan tentera kristian dan membantu raja Grenada iaitu Muhammad bin Al-Ahmar yang digelar Al-Faqih menyelamatkan kerajaannnya daripada kejatuhan, maka pasukan Abu Yusuf Yaakob akan pulang ke Maghribi. Namun, dengan takdir Allah pemerintah di Kota Almeria meninggal dan digantikan oleh anaknya yang masih muda belia. (Almeria adalah salah satu 3 daerah dalam pemerintahan Grenada. Dua lagi adalah Malaga dan Granada). Dia amat mengkagumi Sultan Abu Yusuf Ya'kob Al-Marini itu. Dia mahu menyerahkan keuasaan Almeria kepada Sultan Bani Marin dan ianya diterima oleh sang Sultan. Dia pun tinggalkan sejumlah 3000 askar di Almeria dan akan menghantar 3000 lagi dari maghribi untuk menempati Sem Torif. Ianya sebagai persediaan jika bantuan diperlukan lagi dan tentera Kristian buat onar semula. Sultan Abu Yusuf meninggalkan pasukannya  dan pulang ke ibu kota pemerintahannya di Murakesh.

Tetapi Muhamamd bin Al-Ahmar Al-Faqeh telah khianat. Dia bimbang nasibnya dan kerajaannya akan jadi seperti zaman Ibn Ubbad di masa Kerajaan Murabitun datang menolongnya menyelamatkan  tanah Andalusia dari jatuh ke tangan Kristian. Ibn Ubbad pada akhirnya dicabut kekuasaannya dan digiring sebagai tawanan ke Murakesh dan mati di sana. Seluruh kota di Andalus di diletakkan di bawah pemerintahan pusat kerajaan Murabitun di Murakesh. Maka, Ibn Ahmar Al-Faqih ini (Yang sebenarnya tidak pun faqih) bimbang nasibnya serupa dan sejarah akan berulang.

Lalu, datanglah fikiran jahat dalam kepalanya iaitu bersekutu dengan orang kafir yang pernah diperanginya bersama Sultan dari Bani Marin itu. Dia pergi kepada raja Castella dan minta tolong untuk menghalau  pasukan tentera kerajaan Mariniyyah yang berkampung di Semenanjung Torif. Lalu bersepakatlah tentera Kristian dari Castella dan tentera Grenada pimpinan rajanya yang muslim itu mengepung kedudukan tentera Bani Marin.

Khabar itu sampai kepada Sultan Abu Yusuf Ya'kob di Murakesh dan dia pun segera menggerakkan pasukannya menyemberang laut sekali lagi bagi tujuan menyelamatkan pasukan yang ditinggalkannnya. Berlakulah perang yang sengit dan berakhir dengan kekalahan tentera Castella. Mereka lari balik ke Utara dan tinggallah tentera Grenada yang perlu berdepan dengan tentera Bani Marin.

Apa akan jadi? Wala' dengan orang kafir dan orang kafir telah lari tinggalkan dia. Cis seribu cis untuk penguasa bodoh seperti Muhammad bin Ahmar al-Faqih itu!

Terpaksalah dia merayu minta maaf macam budak hinggusan kepada Sultan Bani Marin. Sultan yang berjiwa besar itu pun memaafkannya dan mengembalikannya ke  kerusi pemerintahan. Tidak dilucutkan pun!

Berselang tahun tahun iaitu pada tahun 684H, Sultan Abu Yusuf ini sekali lagi datang ke Andalusia dan berperang dengan tentera-tentera Nasrani. Dia memenangi peperangan dan buat perjanjian damai dengan mereka. Dia minta sebagai syarat perjanjian damai agar khazanah ilmiah berbentuk buku-buku karya ulama yang tertinggal dalam wilayah yang dikuasai tentera nasrani (Cardoba dan Isybilia) di pulangkan kepadanya. Dia bukan minta harta, tetapi minta karya para ulama yang hilang dari tangan orang Islam. 

Berkat wawasannya itu, sampai hari ini kita dapat merasai tinggalan ilmu ulama-ulama Andalus. Jika tidak kerana apa yang dilakukan oleh Sultan Abu Yusuf Ya'kob Al-Marini ini, hilanglah khazanah ilmu ulama Andalus daripada kita orang Islam. Khazanah ilmulah   yang paling dan  amat berharga buat tamaddun manusia. Hari ini, manuskrip-manuskrip daripada  Andalus itu tersimpan di Muzium Kota Fas, Maghribi.

Alhamdulillah....terima kasih buat Sultan Abu Yusuf Al-Mansur Al-Marini. Allah muliakanmu sepanjang zaman. Ganjaran syurga menantimu di akhirat, Insya Allah. Moga Allah letakkan kami bersama orang-orang hebat ini di akhirat kerana berkat cinta kami kepada mereka.

Kehinaan dan kerendahan buat Ibn Ahmar dan anak-anaknya yang menjadi dedalu pengkhianat di dahan sejarah agung Umat Islam!

Al-wailu Thummal wailu!


Bacaan: Islamstory

No comments:

Post a Comment

Imam Mak-hul ( مكحول )

Nama penuhnya adalah Makhul bin Abdullah . Dikenali juga Makhul bin Abi Muslim Al-Huzali. Disebutkan juga namanya ialah Syahrab bin Syazil b...