Kita mulakan dengan kisah seorang bernama Yahya bin Ibrahim Al-Judali. Kita panggil dia amir Yahya bin Ibrahim Al-Judali sebab dia seorang pemimpin kaum. Pemimpin adalah Amir. Dia adalah pemimpin kabilah Jaddalah, salah satu cabang dari Kabilah Sonhajah. Dia merasa risau melihat kabilahnya yang mengalami kemerosotan pemikiran, keimanan dan akhlak Islami. Di situ dia menginginkan sebuah Islah bagi mengangkat martabat serta menyelamatkan bangsanya. Namun, dia sendiri tidak mampu melakukannya dan memerlukan bantuan dan inspirasi.
Kerana itu, dia mengadakan rehlah melakukan ibadah haji ke Makkah pada tahun 427H .Selesai ibadah haji dan dia pulang, dia melencong ke Kota Qairawan. Di sana dia bertemu dengan seorang ulama Mazhab Maliki bernama Syeikh Abu Imran Al-Fasi. Dia tertarik dengan curahan ilmu dari Syeikh Abu Imran Al-Fasi itu dan berlakulah pertukaran pandangan antara dia dan Syeikh. Lalu diminta daripada Syeikh Abu Imran mengirinkan bersamanya seorang muridnya buat berdakwah di kalangan kaumnya. Namun, tiada siapa yang sanggup menempuh jalan membelah sahara yang luas dan jauh. Maka. Syeikh Abu Imran Al-Pasi menitipkan surat bersama Amir Yahya bin Ibrahim kepada seorang muridnya di Suoussa yang bernama Abū Muḥammad Wajjāj ibn Zallū al-Lamṭī. Surat itu mengandungi gesaan agar membantu amir Yahya bin Ibrahim dalam misi islahnya itu dan menjadikannya sebagai ladang pahala buatnya. Maka Syeikh Wajaj pun bentangkan hal itu kepada para muridnya. Dia kemudiannya memilih seorang muridnya yang terbaik, bernama Abdullah bin Yasin bin Mukuk Yasin bin Ali Al-Juzuli untuk memikul amanah dan tugas dakwah yang sangat penting itu.
Pada mulanya dia disambut dan diraikan. Ramailah orang datang menutut ilmu daripadanya termasuk tokoh-tokoh agama kalangan kabilah Al-Jazuli dan juga Sonhajah. Ada banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam pengamalan agama masyarakat. Di sinilah Syeikh Abdullah Yasin perlu punya tekad dan keberanian untuk membetulkannya. Misalnya, di kalangan masyarakat di sana ketika itu, mereka berkahwin lebih daripada 4 orang wanita. Ini tentu menyalahi Syarak dan Syeikh Abdullah Yasin merasa wajib membetulkannya. Ada banyak hal lain yang bertembung dengan pengajaran Syeikh Abdullah Yasin.
Demikianlah sunnah dakwah para nabi. Ia tidak berjalan di atas permaidani merah. Akan sentiasa ada musuh.
Ada seorang bernama Jauhar bin Sahim. Dia dan pengikutnya telah menghasut agar Syeikh Abdullah Yasin dihalau keluar dan dia berjaya membangkitkan amarah masyarakat dengan hasutan-hasutannya. Rumah Syeikh Abdulalh Yasin dirobohkan dan dia serta murid-muridnya terpaksa lari meninggalkan tempat tingal mereka dan pergi jauh.
Namun, adakah Syeikh Abdullah Yasin menyerah dalam menghadapi pendakian curam dalam dakwahnya ini? Apakah dia tersungkur dalam menghadapi suasana yang sedemikain sukar?
Tidak, dia adalah seorang dai'i yang berjiwa kental.
Pelbagai pilihan di depannya. Balik semula kepada gurunya Syeikh Wajjaj? Mengadu kepadanya? Atau mencari lokasi dakwah yang lain? Pergi ke Sudan dan berdakwah di sana pula. Ada beberapa pandangan sejarawan mengenai situasi di persimpangan itu. Namun, menurut seorang sejarawan bernama Al-Bakri, ketika Syeikh Abdullah bin Yasin berkira-kira hendak berhijrah ke kawasan lain meneruskan dakwahnya, amir Yahya bin Ibrahim nerayu kepadanya agar terus kekal dalam misi asal mereka. Misi melakukan Islah di kalangan masyarakat Al-Jazuli. Maka di cadangkan agar mereka pergi ke sebuah pulau di kuala sungai Senegal yang mengalir ke Laut Atlantik. Kata amir Yahya Ibrahim:
" Ayuhlah kita tinggal di sana, kita makan apa yang halal dari tumbuhannya dan hasil lautnya. Kita beribadat di sana sehinggalah kita mati".
Usul itu diterima oleh Syeikh Abdullah bin Yasin. maka dia bersama 7 orang murid setianya mula tinggal di pulau itu. Dia dan muridnya membentuk ribat dan membangunkan kehidupan penuh ubudiyyah di sana. Selama 3 bulan kemudian, hal itu pun mula tersebar. Lalu ramailah yang berminat untuk menyertainya. Berbondong-bondonglah orang datang untuk menghirup gerimis keimanan di pulau yang berwalikan Abdullah bin Yasin.
Syeikh Abdullah bin Yasin pun membenihkan tarbiah buat mereka. Jumlah mereka pun mencecah 1000 orang dan kesetiaan dan walak mereka pun menjadi bulat terhadap Syeikh Abdullah bin Yasin. Fasa ini, Syeikh Abdullah Yasin pun menekankan peri pentingnya jihad. Pendekatan dalam menghadapi para penderhaka kepada Syariat Allah adalah diberi peluang bertaubat. Jika degil, siaplah menghadapi libasan pedang para Murabitun. Dengan cara ini, banyaklah kelompok yang menjadi duri dan tunggul-tunggul berceracak dalam medan dakwah dapat dibasmi.
Syeikh Abdullah bin Yasin satu ketika berkata kepada para Murabitun:
" Kita telah sampaikan hujjah kepada mereka dan kita sudah peringatkan. Kita sudah sampai ke peringkat diuzurkan. Lalu berjihadlah dan perangilah mereka dengan berkah Allah!".
Amir Yahya bin Ibrahim menjadi tangan kanan Syeikh Abdullah bin Yasin dalam kerja-kerja jihad an perang ini. Syeikh Abdullah bin Yasin adalah pemimpin kerohanian dan amir Yahya bihn Ibrahim adalah pemimpin kepolitikan. Dalam menggalas tugas besar ini, amir Yahya bin Ibrahim pun meninggal dan Syeikh Abdullah bin Yasin memerlukan seornag yang lain menjadi pemimpin dalam menggerakkan pasukan.
Maka dipilihnya seorang dari kabilah Lamtunah yang bernama Yahya bin Umar Al-Lamtuni untuk memimpin pasukan perang.
Kabilah Judalah pada mulanya mahu pemimpin pengganti di kalangan kabilah Judalah juga. Tetapi Abdullah bin Yasin menolak konsep peralihan kepimpinan sedemikian. Peralihan kepimpinan adalah secara Syura. Semua kabilah bermesyuarat dan ketika itu ketokohan Yahya bin Umar Al-Lamtuni menonjol. Seorang pemimpin dari kabilah Lamtunah. Maka dialah yang diangkat mengetui kabungan kabilah-kabilah Sonhajah.
Kabilah Sonhajah dikenali juga sebagai Kabilabh Al-Mulathimin (Kabilah yang berkerudung muka)
Dalam satu misi peperangan jihadnya dalam tahun 448H, Yahya bin Umar telah gugur syahid. Syeikh Abdullah bin Yasin sebagai imam dan syeikh Murabitun menunjukkan saudara kepada Yahya iaitu Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni untuk mengambil alih urusan perang dan jihad para Murabitin. Beliau seorang yang saleh lagi warak. Beliau mengangkat anak saudaranya yang bernama Yusuf bin Tasyafin menjadi pembantunya dalam urusan tersebut.
Yusuf bin Tasyafin inilah nanti kelak akan muncul sebagai tokoh besar pendiri kerajaan Murabitun yang hebat.
Abu Bakar bin Umar memimpin dengan baik sekali. Banyak bandar baru jatuh ke tangannya. Bandar Taroudant yang dikuasai golongan Khawarij Al-Bajliyyah nisbah kepada Ali bin Abdullah Al-Bajli juga dapat ditakluki. Golongan Khawarij ini wujud sejak zaman Ubaidillah Al-Mahdi Al-Fatimi lagi dan menjadi saingan kuat kepadanya. Para pengikutnya mewarisi pegangannya dan bertapak di Taroudant. Maka sebahagian besar kawasan Maghrib telah dapat dikuasai tentera Murabitun yang dipimpin oleh pemimpinnya yang bernama Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni.
Syeikh Abdullah bin Yasin menjalankan tugasnya berdakwah ke kota-kota yang belum takluk kepada Murabitun dengan cara dakwah bis silmi. Dia telah mendapat persetujuan kabilah-kabilah yang pelbagai di Aghmat untuk taat kepada Abu Bakar bin Umar.
Perjalanan menancapkan kesatuan dan wehdah di wilayah Maghrib ini bukanlah mudah. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi. Salah satu halangan besar yang terpaksa dihadapi adalah penentangan kabilah Barghawata. Mereka adalah kabilah besar yang menguasai bahagian besar dari Maghrib.
Barghawata ini asalnya adalah percampuran kabilah-kabilah Barbar yang berbagai-bagai dan menjadi pengikut kepada seorang nabi palsu bernama Saleh bin Tarif yang tinggal di Tamesna, satu kota di Maghrib. Beliau mengaku nabi pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Asal beliau adalah satu kota bernama Barnat di Andalus. Maka pengikut Saleh bin Tarif itu dikenali sebagai Barnati. Maka di kalangan orang Arab disebut dengan lahjah Arab sebagai Barghawati.
Saleh bin Tarif itu adalah seorang yang asalnya Yahudi , tinggal di Barnat, Andalus. Kemudian dia berhijrah ke Timur dan mempelajari bermacam ilmu sihir. Lalu dia berdomisil di Tamesna, Maghribi. Di sana masyarakatnya tenggelam dalam kejahilan. Maka Saleh bin Tarif menampilkan diri sebagai orang Zuhud dan mendakwa dirinya sebagai nabi dan membawa syariat baru. Peristiwa dia mendakwa jadi nabi itu berlaku sekitar tahun 125H.
Inilah masyarakat Barghawata yang telah terfitnah dengan ajaran palsu Saleh bin Tarif dan keturunannnya. Kehidupan orang Islam di sana menjadi hina dan seperti buih laut. Perang dan pembunuhan menjadi lumrah. Apabila pasukan Murabitun menguasai Tamesna, syariat Islam ditegakkan dan najis ajaran sesat nabi palsu yang yang bertapak lebih 300 tahun itu pun dapat disamak.
(Rujuk: Nabi Palsu Saleh bin Tarif)
Disebutkan dalam riwayat al-Qirṭās oleh ʿAlī ibn ʿAbd Allāh ibn Abī Zarʿ al-Fāsī , antara ajaran agama nabi palsui Saleh bin Tarif ialah:
- berpuasa pada Rajab,
- tidak berpuasa pada Ramadan,
- lima solat pada waktu malam dan lima pada waktu siang,
- bentuk wuduk yang berbeza,
- lima sujud pada akhir solat,
- zakat tertentu terhadap hasil tanaman,
- hukum perkahwinan dan perceraian yang berbeza,
- beberapa jenis makanan yang diharamkan,
- dan sebuah kitab yang dikatakan mempunyai 80 surah.
Kaum Barghawatah dipimpin oleh Abū Ḥafṣ ʿAbd Allāh ibn Abī ʿUbayd Muḥammad ibn Maqlad ibn al-Yasaʿ ibn Ṣāliḥ ibn Ṭarīf, iatu seorang yang mewarisi legasi Tarif bin Saleh. Dalam perang melawan kaum Barghawata inilah Syeikh Abdullah bin Yasin mendapat kecederaan yang mengakibatkannya gugur syahid. Tahun itu ialah 451H. Tepatnya hari Ahad, 24 Jumādā al-Awwal 451H. Kuburnya ada dui Kriflah di kawasan Tamasna dan kini ada masjid di tempat dia dimakamkan itu. Sebelum wafatnya dia berwasiat agar para Murabitun bersatu padu dan sentiasa berani memperjuangkan kebenaran Islam. Dengan wafatnya Abdullah bin Yasin, kepimpinan para Murabitun itu sepenuhnya berada di tangan Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni.
Maka kepimpinan sepenuhnya berada di tangan Abu Bakar bin Umar. Beliau seorang memang layak memimpin. Hidupnya sibuk dengan jihad. Maka, tentang kaum Barghawatah itu, pada akhirnya mereka dapat dikalahkan oleh para Murabitun di bawah kepimpinan Abu Bakar bin Umar. Kekuatan Murabitun yang bertambah kukug pada fasa-fasa setersunya melenyapkan terus ajaran Tarif bin Saleh dan kerajaan Barghawatah yang menjadi agama nabi palsu itu sebagai petunjuknya.
Ada pun mengenai hal Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni itu pula, pada satu ketika dia diminta bantuan oleh kalangan penduduk kawasan padang pasir. Mereka telah terjerumus dalam pergaduhan sesama mereka. Demi meleraikan pergaduhan tersebut , dia bertolak ke sana dengan separuh tentera Murabitun ke sama dan kepimpinan baki Murabitun di Sijilmasah diserahkan kepada Yusuf bin Tasyafin. Inilah titik di mana Yusuf bin Tasyafin menapak kejayaan dalam kepimpinannya sehingga pencapaiannya mengatasi seniornya sendiri.
No comments:
Post a Comment