Thursday, February 16, 2023

Bertapaknya Kerajaan Fatimiyyah di Mesir.

Tahun 297H, Kerajaan Abbasiyyah yang dipusat di Baghdad mengirimkan panglima perang berbangsa Turki, namanya Takin ke Mesir. Penghantaran ini adalah untuk menstabilkan Mesir yang baru bebas dari cengkaman Kerajaan Tuluniyyah yang telah pernah membebaskan diri dari kerajaan Abbasiyyah. Tugas panglima Takin adalah memastikan Mesir sentiasa berada di bawah kekuasaan kerajaan Abbasiyyah.

Tahun 297 H juga menyaksikan naiknya ke atas tahta kekuasaan seorang yang bernama Ubaidillah Al-Mahdi di wilayah Utara Afrika. Beliau menjadi pemerintah pertama kerajaan Ubaidiyyah yang pada masa-masa berikut bertukar jenama menjadi kerajaan Fatimiyyah.

Mesir menjadi sasaran perebutan kuasa. Ubaidilalh Al-Mahdi yang telah memacakkan kekuasaannya di Utara Afrika tidak melihat masa depan yang cemerlang di wilayah tersebut untuknya. Di sana, tokoh-tokoh ulama Maliki menjadi batu penghalang buat Ubaidillah menebarkan kuasanya. Dalam masa yang sama, Mesir menawarkan peluang cerah untuk menjadi pusat sebuah pemerintahan yang berjaya. Ia straregik dari segi perdagangan dan juga keagamaan. Mesir adalah laluan para pedagang untuk ke perairan laut merah dan siapa yang memegang Mesir akan dapat menguasai ketiga-tiga tanah suci Islam. 

Tahun 302H, iaitu 5 tahun selepas Ubaidillah Al-Mahdi naik tahta, satu pasukan tentera Ubaidillah yang dipimpin oleh panglimanya yang bernama Habbasah bin Yusuf Al-Katami Al-Amazighi berjaya menguasai wilayah Burqah ( Cyrenaica- Wilayah sebelah Timut Libya hari ini) yang bersempadan dengan barat Mesir.

Panglima Takin di Mesir menyedari bahaya yang sedang mengancam Mesir lalu menggerakkan pasukan untuk berhadapan dengan kemaraan pasukan Ubaidillah itu. Di sana meletus perang dan pasukan panglima Takin tewas. Maka, tentera Ubadillah Al-Mahdi mara sehingga ke Iskandariyyah. Panglima Takin mengirim permohonan bantuan ke Baghdad. Khalifah Al-Muqtadir dari Daulah Abbasiyyah pun mengirinkan pasukan tentera bantuan dan sekali lagi perang meletus dan korban yang banyak berjatuhan dari kedua-dua belah pihak. Namun, dalam perang kali ini, tentera Abbasiyyah menang dan tentera Ubaidillah Al-Mahdi yang dipimpin Habbasah tewas. Iskandariyyah dapat diselamatkan dan wilayah Burqah diambil kembali. Habbasah terpaksa berundur balik ke Maghribi dalam keadaan kalah teruk. 

Ini adalah cubaan pertama kerajaan Ubaidiyyah untuk berkuasa di Mesir. Cubaan yang gagal.

Ubaidillah Al-Mahdi tidak menyerah dengan kegagalan itu. Lima tahun kemudian satu pasukan yang lebih besar terdiri daripada tentera puak Katamah, Arab Afrika dan Bangsa Barbar dikirimkan. Pasukan ini dibantu oleh armada laut terdiri daripada 100 buah kapal. Anak Ubaidillah Al-Mahdi yang merupakan putera mahkotanya, bernama Abu Qosim Al-Qaim (Al-Qaim bi Amrillah) memimpin pasukan itu. Pasukan ini telah berjaya mengalahkan pasukan Abbasiyyah dan menguasa Barat Mesir, termasuk Iskandariyyah.Jatuh juga ke tangan tentera Ubaidillah kawasan Al-Fayyum dan As- So'id.

Namun, kerajaan Abbasiyyah tidak duduk diam. Ketenteraannya diperkemas dan pasukan Ubaidillah yang dipimpin anaknya itu dihadapi semula dan dua tahun kelepas kejayaan tentera Ubaidillah Al-Mahdi itu, kekalahan pula datang bertandang. Tentera Abbasiyyah berjaya menghalau tentera Al-Qaim. Maka, sekali lagi mereka menghadapi kegagagalan dan pulang ke Maghrib.

Menjelang tahun 332H, Mesir diperintah oleh Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid (Kerajaan Al-Ikhsyidiyyah). Kerajaan ini sangat cekap mentadbir Mesir dan keadilan rakyat ditegakkan. Namun, ada pendengki yang iri. Mereka bersekongkol dengan Ubaidiyyah. Ubaidiyyah pun kirim pasukan untuk menguasai Mesir sekali lagi. Ini kali ketiga. Akan tetapi Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid  tidak lalai. Dia telah pun bersedia dengan kemungkinan ancaman Ubaidiyyah. Perang berlaku di daerah Buhairah, barat laut Mesir dan pasukan Ubaidiyyah lagi sekali dapat dikalahkan!

Tahun 334H, Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid meninggal dan anaknyanya Anujur menggantikannya. Walaupun begitu kekuasan sebenar di tangan Kafur Al-Ikhsyid, bekas hamba kepada Muhammad bin Tughuj Al-Ikhsyid. Sehinggalah Kafur Al-Ikhsyid menguasai sepenuhnya selepas kematian Anujur dan memegang kendali Mesir hingga tahun 357H.  Selama tempoh itu, kerajaan Ubadiyyah tidak berani menyerang Mesir kerana pemerintahan Kafur yang cekap dan kuat. Mata-mata Ubaidiyyah sentiasa di Mesir dan mereka tidak menemui ruang kelamahan yang boleh mereka gunakan.

Apabila Kafur Al-Ikhsyid meninggal tahun  357H, maka mata-mata Ubaidiyyah di Mesir melaporkan bahawa batu penghalang telah tiada dan itulah masanya pemerintah kerajaan Ubaidiyyah di Tunisia waktu itu, Al-Mu'iz Li Dinillah, mengambil Mesir. Beliau mulai naik tahta pada tahun 341H *. Mereka meyifatkan bahawa Kafuur adalah batu hitam (hajaral aswad) yang menjadi benteng penghalang hasrat menakluki Mesir . Kini hajaral aswad telah tiada maka peluang terbuka luas untuk Mesir ditakluki.

* Urutan Khalifah Fatimiyyah Sebelum Al-Muiz: 1) Al-Mahdi-2) Al-Qaim-3) Almansur-4) Al-Muiz.

Selepas Kafur meninggal, tiada waris keluarga Ikhsyidi yang layak. Maka, wazir Abu Al-Fadhli Jaafar bin Al-Furat yang memegang kendali pemerintahan. Beliau tidak cukup kuat untuk menguasai tentera dan menyelesaikan masalah ekonomi dan politik Mesir yang bergolak. Inflasi juga meningkat di Mesir. Beberapa kalangan warga Mesir yang sesak nafas dengan masalah ekonomi ini,  mengirimkan utusan kepada Al-Mu'iz Li Dinillah untuk datang ke Mesir dan menguasainya. Wazir Abu Al-Fahdli juga berdepan dengan pembangkang kerajaan yang diketuai oleh Ya'akob Kallas yang menjawat jawatan setiausaha Dewan yang merupakan asal Yahudi Iraq yang masuk Islam dan mendapat jawatan di zaman Kafur. Wazir cuba menangkapnya , akan tetapi dia dapat melarikan diri ke Utara Afrika dan bergabung dengan Al-Mu'iz. Beliau yang pernah berada dalam pentadbiran Mesir mendedahkan kelemahan ketenteraan Mesir.

Ya'kob bin Kallas ini menurut sumber-sumber disifatkan Yahudi yang memeluk Islam dan mengikut mazhab Syiah ISmailiyyah. Dia kemudiannya dilantik menjadi menjadi menteri kerajaan Fatimiyyah di Mesir dan terus menjawat jawatan itu sehingga ke zaman anak Al-Muiz iaitu Al-Aziz.

Panglima tentera kerajaan Ubaidiyyah yang bernama Jauhar bin Abdullah Ar-Rumi As-Soqli memimpin pasukan tentera memasuki Mesir pada 15 Rabi'ul Awal 358H. Pemerintah Ubaidiyyah sewaktu itu, Al-Mu'iz Lidinilllah telah membelanjakan dana yang banyak untuk kejayaan tentera ini iaitu 24,000,0000 dinar emas. Beberapa sumber sejarah menganggarkan jumlah tentera Daulah Ubaidiyyah  ini  mencecah 100 ribu anggota. Al-Muqrizi menyeb utkan bahawa angkatan tentera yang sedemikian besar disambut kedatangannya oleh pemuka-pemuka Mesir dan tidak pernah ada tentera sebesar itu yang menginjak bumi Mesir sejak tentera Iskandar Al-Maqdumi manaklu Mesir dengan tenteranya. Tentera Al-Muiz lah yang memecah rekodnya.

Pada Sya'ban 358, Jauhar As-Soqli menakluki Mesir. Beliau memasuki Masjid Jamik Amru bin Al-As dan merasmikan penambaan lafaz baru dalam azan iaitu " Hayya 'Ala Kharil Amal" sebagaimana sifat azan Syiah. Doa-doa dalam khutbah pun dibacakan untuk Al-Mu'iz dan tidak lagi Khalifah Abbasiyyah. Beliau mengasaskan sebuah bandar baru di utara Fustat dan diberi nama Al-Mansuriyyah. Nama itu ditukar menjadi Kaherah apabila Al-Muiz tiba. Lalu, dijemputlah Al-Muiz yang ketika itu sedang di Tunisia untuk datang ke Mesir dan beliau menyahutnya dengan penuh gembira. Puji-pujian pun dikumandangkan para penyair kepadanya seperti penyair bernama Muhammad bin Hani' Al-Andalusi. Kata Beliau:


يقول بنو العباس قد فُتحت مصر … فقُل لبني العباس قد قُضي الأمر

وقد جاوز الإسكندرية جوهرٌ … تطالعه البشرى ويقدمه النصر


Dua tahun setelah terbangunnya kerajaan Fatimiyyah di Mesir, Jauhar As-Saqli pun dipecat dari semua kedudukannya dan dia tidak lagi diberi peranan dalam pemerintahan sehinggalah dia meninggal tahun 384H. Jika ditoleh ke belakang, apa yang dilakukan oleh Al-Mu'iz ke atas jauhar As-Soqli adalalah ulangan sejarah apa yang dibuat oleh datuknya Ubaidillah Al-Mahdi ke atas pendakyah utama yang membawa penubuhan kerajaan Ubaidiyyah iaitu Abu Adullah As-Syi'i.

Revolusi memakan anak-anaknya. Ulang kembali kata-kata itu agar anda memahami dengan baik pengalaman-pengalaman sejarah.


Meneliti kisah penguasaan kerajaan Fatimiyyah ke atas Mesir ini, kita perlu faham bahawa kekuatan dan kecerdikan adalah unsur yang penting menentukan kejayaan sesebuah pemerintahan. Kelekaan dan ketidaksiagaan ketenteraan adalah punca jatuhnya pemerintahan. Sementara itu, tidak dilupakan, kecekapan mata-mata dan maklumat merupakan unsur yang banyak membantu tembusnya Fatimiyyah ke jantung Mesir dan kejayaannya menyingkir penguasaan Abbasiyyah ke atsnya. Maka, dicatatlah bahawa Al-Muiz Li Dinillah adalah khalifah Fatimiyyah yang pertama memacakkan namanya di bumi Mesir. Dia mewarisi kerajaannya kepada keturunannya sehinggalah datang takdir Allah yang sentiasa menukar ganti pemegang kendali kerajaan di tangan sesiapa yang Dia kehendaki!

Kerajaan Fatimiyyah itu akhirnya ditumbangkan oleh Salehuddin Al-Ayyubi pada tahun 567H/1171M. Khalifah terakhirnya adalah Al-'Adhid Li Dinillah.

Allah la ilaha illa HU...


Rujukan Bacaan: Al-Jazeera


Catatan Tambahan:

  1. Al-Mu'iz Lidinillah , selepas dia masuk ke Mesir, dia cuma sempat 2 tahun 9 bulan memerintah. Tempoh pemerintahannya keseluruhan termasuk sewaktu di Maghrib ialah 23 tahun.
  2. Pengganti Al-Mu'iz adalah anaknya Al-Aziz Billah






No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....