Thursday, May 4, 2023

Akidah Mu'attilah Jaham bin Safwan

 Jaham bin Safwan Abu Mihraz As- Samarqandi Ar-Rasibi, telah menyebutnya tentang oleh Imam Az-Zahabi:

الجهم بن صفوان أبو محرز السمرقندي الضال المبتدع رأس الجهمية، هلك في زمان صغار التابعين، وما علمت أنه روى شيئاً لكنه زرع شراً عظيماً

Jaham bin Safwan telah belajar dengan Al-Ja'du bin Dirham yang telah mati di tanagan Khalid bin Abdullah Al-Qasri pada tahun 105H. Kerana menyebarkan fahaman Mu'attilah , Jaham bin Safwan telah dibuang negeri ke Turmuz. Berbekalkan kemahiranya dalam Ilmu Kalam, dia menyebarkan kesesatannya di Turmuz hingga dia diikuti oleh sebilangan orang. Pemikirannya pun meresap hingga ke Balakh, sebuah kota yang besar di Khurasan pada zaman itu. Jaham bin Safwan suka berdebat dengan tokoh-tokoh yang ada di sana. Antaranya yang didebatinya adalah Muqatil bin Sulaiman (Tokoh Mufassir). Muqatil dikenali dengan akidah Musyabbihah Murji'ah sedangkan Jaham bin Safwan Mu'attilah.

Kata Imam Abu Hanifah:

أتانا من المشرق رأيان خبيثان: جهم معطل، ومقاتل مشبه

" Telah datang kepada kami dari sebelah Timur dua pandangan yang jelik iaitu pandangan Jaham si mu'attil dna Muqatil si musyabbih."
( Kitabul Arsy oleh Imam Az-Zahabi)

* Para ulama menerima tafsiran Muqatil , tetapi menolak periwatan hadisnya.Para imam hadis seperti Yahya bin Ma'in, Muhammad bin Sa'ad, Al-Bukhari, An-Nas'i dan Ibn Hibban menuduh Muqatil sebagai Pendusta.(Baca: Islamqa)

Catatan: Tuduhan ke atas Muqatil bin Sulaiman bahawa dia seorang Musyabbihah tidaklah boleh dipercayai sepenuhnya. Pertama, tuduhan tersebut datamng dari para penentangnya. Keduanya, response para ulama seperti Imam Abu Hanifah adalah atas apa yang sampai kepada mereka daripada riwayat-riwayat golongan muktazilah. Ketiga, Kitab-kitabnya yang ada tidak menggambarkan demikian. Keempat, dalam Tahzibul Kamal(Jil 28/MS 439 menyebutkan tentang jawapan Muqatil bila ditanya oleh khalifah. Beliau membaca surah Al-Ikhlas dan menyatakan itulah akidahnya.

Sewaktu di Turmuz, Jaham berkawan dengan Al-Harith bin Suraij , pemimpin kabilah Al-Azdi di Khurasan yang bangkit memberontak melawan Bani Umayyah.

Dia ditangkap oleh pasukan tentera pembanteras pemberontakan yang dipimpin oleh Abu Harbin Sullam bin Ahwaz bin Arbad bin Muharraz Al-Mazini At-Tamimi yang berkhidmat di bawah gabenor Khurasan yang bernama Nasir bin Sayyar Al-Kanani. Nasir bin Sayyar Al-Kanani dilantik jadi gabenor Khurasan oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik pada tahun 120M dan berlangsung sehingga dia digulingkan oleh gerakan bani Abbas.

Maka, Jaham bin Safwan telah ditangkap ketika ikut serta dalam pemberontakan Al-Harith bin Suraij terhadap pemerintahan Bani Umayyah di Khurasan. Jaham bin Safwan merayu agar dirinya dimaafkan kepada Sullam At-Tamimi. Namun, dengan tegas Sullam At-Tamimi berkatanya:

" Demi Allah, jika engkau berada dalam perutku, akan aku belah perutku untuk membunuhmu".

Maka Jaham bin  Safwan pun telah dibunuh pada tahun 128H. 

Alasan pembunuhannya itu bukan kerana keterlibatannya dalam gerakan khawarij menentang kerajaan Bani Umayyah. Ia adalah kerana menyebarkan kerosakan akidahnya dengan  fahaman "Mu'attilah" iaitu menafikan sifat Tuhan.

Jaham bin Safwan bukanlah kalangan ahli ilmu dan bukan juga kalangan ahli Ibadah. Bahkan, dikatakan dia tidak pernah sekalipun melaksanakan ibadah haji. Namun, dia punya kecerdikan dan petah berhujjah. Dia memanfaatkan akalnya dan tidak merujuk kepada wahyu. Jalannya adalah sepertimana jalan para ahli falsafah.

Akidah Mu'attilah Jaham bin Safwan:

Dia menafikan sifat-sifat yang menyerupakan Allah dengan makhluk seperti sifat tangan dan muka. Dia juga menafikan sifat-sifat Allah yang azali seperti Qudrat, Iradat dan llmu, lalu dia mengatakan bahawa sifat tersebut adalah bermaksud zat Allah itu sendiri dan bukan berasingan dengannya.Menurutnya:

ليس قادراً بقدرة غير ذاته، و ليس مريداً بإرادة غير ذاته، و ليس عالماً بعلم غير ذاته

Dia juga menafikan sifat KALAM atas dasar ia menyerupakan Allah dengan makhluk. Katanya KALAM Allah itu adalah Allah sendiri. Maka dari pemahaman sebegini, diangkatlah akidah bahawa Quran itu makhluk!

Demikianlah pula, Jaham bin Safwan menolak bahawa Allah dapat dilihat di akhirat dan dia berdalilkan Ayat Quran:

لا تدركه الأبصار

Akidah-akidah Jaham bin Safwan ini kemudian berkembang menjadi akidah Muktazilah. Namun, Jaham berbeza dengan Muktazilah dalam beberapa perkara seperti fahaman perbuatan hamba. Muktazilah kata hamba bebas tetapi jaham kata hamba mujbar (terpaksa). Manusia tiada kuasa. Allah yang berkuasa.

Syurga dan nerakan menurut Jaham bin Safwan, akan binasa KEDUA-DUANYA.

Tafsiran iman baginya seperti pemahaman kaum Murji'ah iaitu dengan hati. Walau mulut melafazkan kata kufur, yang penting hati.

Jaham bin  Safwan juga mendakwa Allah ada di semua tempat.

Ibn Khuzaimah dalam kitabnya At-Tauhid menyebutkan bahawa pada satu hari Jaham bin Safwan di atas jambatan di bandar Turmuz. Lalu orang bertanya kepadanya .

صف لنا ربك
" Sifatkan untuk kami Tuhanmu"


Lalu, dia balik rumah dna berkurung selama beberapa hari. Apabila keluar rumah dia pun berkata:

هو هذا الهواء مع كل شيء وفي كل شيء ولا يخلو منه شيء


Dia (Allah) adalah udara ini. Dia bersama segala sesuatu dan dalam segala sesuatu. Tidak sunyi dari Allah apapun!".



Kerana Jaham bin Safwan menyandarkan akidahnya kepada akal dan ilmu kalam, maka para ulama dari kalangan fuqaha dan ahli hadis sangat keras menentangnya. Mereka menghukumkannya sebagai kafir dan sesat kerana menyalahi Quran dan Hadis. Dia membawa pemahaman akidah baru dalam Islam.

Bacaan Tambahan: Marefa




No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....