Sunday, February 26, 2023

TAHIR BIN AL-HUSSAIN, JENERAL PERANG AL-MAKMUN

Tahir bin Al-Hussain juga dikenang sebagai pengasas dinasti Tahiriyyah di Khurasan yang berlangsung antara tahun 205H hingga 258H

Khalifah Al-Amin putera Khalifah Harun Ar-Rasyid dengan isterinya Siti Zubaidah naik tahta khilafah selepas kematian Harun Ar-Rasyid. Sebelum meninggal dunia pada tahun 193H, Khalifah Harun Ar-Rasyid telah membuat surat wasiat untuk menetapkan penggantinya. Dia telah menyusun penggantinya bermula daripada Al-Amin , kemudiannya Al-Makmun dan kemudian Al-Mu'tamin.  Pada Masa Al-Amin naik menajdi khalifah, Al-Makmun telah diberi kuasa oleh Harun Ar-Rasyid sebagai gabenor atas wilayah Khurasan.  Al-Makmun ini adalah anak pertama Harun Ar-Rasyid. Cuma dia bukan anak Hasyimiyyah seperti Al-Amin. Al-Makmun adalah anak kepada hamba Harun Ar-Rasyid yang berbangsa Parsi. Nama ibu Al-Makmun itu adalah Marajil. Sementara Al-Amin pula adalah anak kepada Zubaidah binti Abu Jaafar Al-Mansur, khalifah kedua Abbasiyyah.

Apabila Al-Amin naik tahta, dia dipegarui oleh wazirnya yang bernama Al-Fadhlu bin Ar-Rabi' agar melucutkan jawatan Al-Makmun dan digantikan dengan anaknya yang bernama Musa bin Al-Amin dan digelar An-Natiq Bil Haq. Hal itu masuk ke fikiran Al-Amin dan dia pun memecatkan Al-Makmun. Tentu sekali perbuatannya itu mencetus kemarahan Al-Makmun.

Dua beradik sebapa berlainan ibu itupun berperanglah antara satu sama lain. Al-Amin mengirmkan pasukan tentera yang ramai dengan dipimpin oleh Ali bin Isa bin Mahan ke Khurasan. Ali bin Isa ini memang menyimpan dendam kepada penduduk Khurasan kerana dahulu, di zaman Harun Ar-Rasyid dia diadukan penduduk Khurasan kepada khalifah sehingga dia ditangkap dan dipenjarakan. Jumlah tenteranya melebihi 40 orang. Sementara Al-Makmun yang ada di Khurasan mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Tahir bin Al-Hussain dengan tenteranya hanya sekitar 4 ribu orang sahaja. Pertempuran berlaku di Ar-Ray.

Di sinilah nama TAHIR BIN AL-HUSSAIN menjadi tokoh penting. Dengan kecekapan, keberanian serta tekadnya yang jitu, tenteranya yang sedikit itu dapat mengalahkan tentera Khalifah Al-Amin.Ali bin Isa bin Mahan terbunuh. Kekalahan askar Al-Amin membawa kepada penguasaan bandar-bandar di Parsi oleh pasukan tentera Tahir bin Al-Hussain seperti bandar Al-Ahwaz, Ar-Ray, Al-Wasit dan Al-Mada-in. Kemudiannya tenteranya menyerbu Iraq dan mengepung Kota Bagdad. Tahir bin Al-Hussain sendiri telah berjaya membunuh Al-Amin pada tahun 198H.

Namun, setelah kejayaan itu dan Al-Makmun naik menjadi khalifah, hubungan Tahir bin Al-Hussain dengan khalifah Al-Makmun tidak berjalan mulus. Ada kecurigaan antara keduanya. Tahir minta agar dia ditugaskan ke Khurasan. Al-Makmun bersetuju dan dia pun diangkat jadi wakil khalifah di Khurasan pada tahun 205H. Akan tetapi Al-Makmun memasang pengintip kerana bimbang Tahir akan membawa Khurasan merdeka daripadanya.

Pada 20 jamadil Akhir tahun 207H, hari Jumaat, Tahir bin Al-Hussain telah melakukan sesuatu yang menimbulkan tuduhan atasnya menderhaka kepada Al-Maklmun. Dia tidak mendoakan untuk khalifah di atas mimbar sewaktu khutbah sebagaimana kebiasaannya. Mata-mata Al-Makmun menyampaikan berita itu kepada khalifah dan pada hari itu juga Tahir bin Al-Hussain ditemui mati dalam kamarnya.

Ada desas desus mengatakan kematiannya disebabkan diracun oleh orang-orang Al-Makmun. Ada yang menyebutkan matinya Tahir adalah disebabkan demam. Hanya Allah yang tahu apakah hakikat sebenar.

Selepas itu, posisi Tahir bin Al-Hussain digantikan dengan gabenor baru iaitu anak Tahir bin Al-Hussain bernama Talhah (208-213H).Dengan itu pemerintahan wilayah Khurasan berada di tangan keluarga Tahir bin Al-Husain. Mereka memerintah dengan bebas, namun pada nama, mereka berada di bawah kekuasaan Bagdad. Dari semasa ke semasa mereka terlibat mengirimkan pasukan bantuan untuk misi ketenteraan khalifah. Ketika bangkt memberontak Nasir bin Syabsin di Utara Aleppo, Abdullah bin Tahir memmimpin pasukannya ke sana dan menawan Nasir bin Syabsin dan menyerankannya kepada khalifah. Pada masa Al-Mu'tasim jadi khalifah, beliau juga bertindak bagi pihak khalifah memadamkan pemberontakan di Tibristan. Pemerintahan keluarga Tahir bin Al-Hussain ini disebutkan sebagai Kerajaan Tohiriyyah. Mereka terus berdiri sebagai sebuah pemerintahan yang taat kepada khalifah Abbasiyyah. Seramai 4 orang penguasa lagi selepas Tahir bin Al-Hussain. Kedudukan mereka berakhir pada masa Muhamamd bin Tahir bin Abdullah bin Tahir bin Al-Hussain pada tahun 258H . Dengan itu, naik dinasti baru dengan nama Kerajaan Sofariyyah.



No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....