Wednesday, April 26, 2023

Ubaidillah bin Ziyad terlibat dalam pembunuhan Saidina Hussain.

Dalam kes pembunuhan ke atas Saidina  Hussain bin Ali di Karbala, Ubaidillah bin Ziyad adalah orang yang paling berlumuran tangannya dengan darah cucunda Rasulullah SAW itu. Sejarah tidak pernah memadamkan jenayah terkutuk yang telah dilakukan oleh Ubaidillah bin Ziyad terhadap insan mulia dan sayyid pemuda ahli syurga itu. Dalam dunia sepanjang zaman, nama Ubaidillah bin Ziyad tidak ada secuit pujian buatnya. Kutukan bertimpa-timpa dan kelak di akhirat, perhitungan besar dan maha sukar menantinya. 

Sebenarnya , sesiapa yang menela'ah dan mendalami peristiwa itu, akan merasa lebih ta'jub lagi atas keterlibatan individu-individu lain bersama Ubaidillah bin Ziyad yang sebelumnya merupakan pedokong Saidina Ali. Bahkan, di antara mereka ada yang boleh dibilangkan sahabat nabi SAW dan juga anak-anak sahabat nabi SAW.

Ubadillah bin Ziyad bin Abihi dikenali sebagai Abu Hafsin dan merupakan gabenor negeri Iraq bagi Yazid bin Mu'awiyah. Beliau menjadi mula menjadi gabenor Basroh serta Khurasan pada tahun 55H pada masa pemerintahan Saudina Mu'awiyah dan usianya ketika itu baru 22 tahun. Dia memimpin fituhat di negeri-negeri "belakang sungai" dan ikut serta dalamnya beberapa sahabat nabi SAW.

Namun, dia tega memimpin pasukan mengepung Saidina Hussain serta kaum keluarganya di Karbala' pada tahun 61H. Dia menolak semua tawaran penyelesaian yang ditawarkan Saidina Hussain yang membuatkan Saidina Huusain lebih rela mati dalam keadaan bermaruah daripada menyerah dalam keadaan terhina.

Apabila Yazid bin Mua'wiyah meninggal dan naik Mua'wiyah bin Yazid sebagai khalifah, Ubaidillah bin Ziyad lari meninggalkan Iraq berlindung di Damsyiq. Bersamanya seorang yang bernama Amru bin Al-Hajjaj Az-Zubaidi. Ini kerana Ibn Zaubair yang berada di Makkah telah dibai'ah sebagai Khalifah dan dia mula meluaskan pegangannya ke bumi Iraq. 

*Amru bin Al-Hajjaj Az-Zubaidi masuk Islam pada zaman nabi SAW. Dia seorang yang berjasa kepada kaumnya Az-Zubaidi kerana ketika mereka mahu murtad pada zaman khalifah Abu Bakar, dia yang keras melarang mereka dan mengajak mereka berpegang teguh dengan Islam. Puak Az-Zubaidi diajak oleh Amru bin Ma'adi Yakrib untuk murtad( Akan tetapi kemudiannya dia kembali kepada Islam). Amru bin Al-Hajjaj Az-Zubaidi adalah seorang sahabat nabi, namun, pada zaman-zaman fitnah , dia telah terpalit tempiasnya. Dalam peristiwa Karbala, dia dihantar oleh Umar bin Saad bin Abi Waqqas untuk menghalang antara rombongan saidina Hussain dengan sungai Furat. Dia yang mengucapkan kata-kata perangsang buat tenteranya ketika di Karbala:

 أتدرون من تقاتلون فرسان المصر قومًا مستميتين لا يبرز إليهم منكم أحد فإنهم قليل وقل ما يبقون والله لو لم ترموهم إلا بالحجارة لقتلتموهم. يا أهل الكوفة الزموا طاعتكم وجماعتكم لا ترتابوا في قتل من مرق من الدين وخالف الإمام.

Hingga Hussain pun berkata kepadanya:

ياعمرو بن الحجاج أعلي تحرض الناس أنحن مرقنا من الدين أم أنتم والله لتعلمن لو قبضت أرواحكم ومتم على 

Dalam upaya menahan pasukan Hussain daripada mencapai air untuk diminum, dia telah membunuh seorang sahabat nabi yang mendokong Saidina Hussain bernama Muslim bin 'Aujasah. Ketika Pasukan Mukhtar -As-Tsaqafi memburu para culprit yang terlibat dalam pembunuhan Hussain, dia melarikan diri dan sehingga hari ini tidak diketahui di bumi mana dia dirugikan atau langit mana dia direjami., bak kata At-Tobari ketika menyebutkan mengenai peristiwa tahun 66H dalam Tarikhnya.

Setelah itu, Ubaidillah bin Ziyad memimpin pasukan seramai 15 ribu personal untuk melawan Mus'ab bin Az-Zubair yang dilantik oleh Abdullah bin Az-Zubair sebagai gabenor di Iraq. Abdullah bin Az-Zubair sendiri telah dibai'at sebagai khalifah di Makkah.. Namun, Ubaidillah bin Ziyad bertembung dengan musuh yang lain iaitu Golongan At-tawwabun yang dipimpin oleh Sulaiman bin As-Sard. Walau bagaimanapun, dia berjaya mengalahkan Golongan At-Tawwabun dan memadamkan pemberontakan mereka.

* Sulaiman bin As-Sard adalah sahabat nabi dan dia masuk Islam depan nabi SAW. Mulanya namanya Yasar, lalu nabi tukar namanya jadi Sulaiman. Tatkala Iraq telah jatuh ke tangan kaum Muslimin pada masa khalifah Umar, dia bermastautin di Kufah dan membina rumah di sana. Sewaktu ali jadi Khalifah, dia menjadi pendokong kuat Saidina Ali dan dalam Perang As-Siffin dia telah membunuh Hausyab bin Takhmah Zu Zalim Al-Alhani dalam perang tanding.( Baca: Siapa Hausyab) Dia adalah antara orang yang mengutuskan surat kepada Saidina Hussain di Kota Madinah dan menjanjikan pembelaannya di Iraq. Apabila Hussain dikepung di Karbala, dia tidak mampu untuk menolong Hussain, maka dia sangat menyesal dan kerana itu dia menubuhkan kelompok orang-orang yang bertaubat( At-Tawwabun) daripada perbuatan mereka tidak membantu Husssain di Karbala. Maka. pasukan yang dipimpinnya bertembung dengan pasukan Ubaidillah bin Ziyad dalam perang yang dikenali Perang Ainul Wardah dan telah kalah. Sulaiman bin As-Sard sendiri terbunuh dalam perang itu oleh panahan seorang yang bernama Yazid bin Al-Husain bin An-Numair. Kala itu, usianya sudah 93 tahun. Kepalanya telah dibawa kepada Marwan bin Al-Hakam.

 

Akan tetapi, dua tahun kemudian, iaitu tahun 67H, dia menemui lawan lain yang membencinya dan menyimpan dendam kepadanya atas jenayahnya ke atas Saidina Hussain bin Ali. Lawan tersebut adalah pasukan tentera Al-Mukhtar bin Abi Ubaid As-Tsaqafi yang dipimpin oleh bawahannya yang bernama Ibrahim bin Al-Asytar. Peperangan terjadi di satu tempat berhampiran Sungai Al-Khazir di Mosul. Peperangan ini dimenangi oleh pasukan Ibrahim bin Al-Asytar dan Ubaidillah bin Ziyad dapat dibunuh olehnya. Kepalanya dipotong dan dikirimkan kepada Al-Mukhtar bin Abi Ubaid As-Tsaqafi di Kufah. Bersama kepalanya, dikirimkan juga kepala Hussain bin Numair , Syurahbil bin Zil Kala' dan sebilangan pemimpin lain yang bersekongkol dengan mereka.

* Al-Mukhtar bin Abi Ubaid As-Tsaqafi itu, di mata kaum Syiah, sangat disanjung kerana telah menuntut bela atas kematian Hussain. Namun di kalangan Ahlu Sunnah, dia dilihat sebagai pendusta. Dialah yang dimaksudkan dalam hadis:

إن في ثقيف كذابًا ومُبِيرًا 

Sesungguhnya di kalangan Tsaqif (Kabilah asal Taif) ada seorang jadi pendusta (Mukhtar bin Abi Ubaid) dan ada seorang jadi penzalim ( Hajjaj bin Yusuf)


Al-Mukhtar bin Abi Ubaid tersebut, telah mengangkat dirinya setaraf para nabi apabila mengaku mendapat wahyu dan malaikat Jibrail dan Mikail sering mengunjunginya. Dia juga adalah pengasas kepada Mazhab Syiah Kaisaniyyah yang menganggap Muhamamd Al-Hanafiyyah bin Ali sebagai imam dan mazhab Kaisaniyyah ini dinisbahkan kepada seornag bernama Kaisan yang merupakan hamba kepada Ali. Dia mendakwa mendapat ilmu rahsia batin dan ta'wil daripada Saidina Ali dan anaknya Muhammad Al-Hanafiyyah.

Sejarah menyaksikan bahawa mereka yang telah terlibat dalam pembunuhan Hussain bin Ali r.a tidak selamat. Mereka mendapat balasan mereka. Mereka diburu dan dibunuh. Selain Ubaidillah bin Ziyad, telah dibunuh balas juga , Umar bin Saa'd bin Abi Waqqas, Syamar bin Zil Jausyin, Harmalah bin Kahil Al-Asadi, Abdurrahman bin Sa'id bin Qais Al-Kindi, Sinan bin Abi Anas, Khuli bin Yazid Al-Asbahi dan Hussain bin Numair.

Ubaidillah bin Ziyad adalah orang yang mengetuai gerombolan pembunuhan Hussain di Karbala. Orang yang mengangkat pedang dan membunuh Saidina Hussain adalah Syamar bin Zil Jausyin.

Semua nama-nama yang berkongsi darah Hussain itu telah merugikan agama mereka. Alangkah baiknya pendirian seorang ketua batalion askar Ubaidillah bin Ziyad yang bernama AL-HURR BIN YAZID AT-TAMIMI. Walaupun mulanya dia berada di pihak Ubaidillah bin Ziyad, dia mengambil pendirian untuk beralih mendokong Hussain dan berjuang bersamanya hingga gugur syahid. Rahmatullah wasalamuhu alaihi wa adkhalahu jannatah!

Baca: wiki

Demikian berakhirnya riwayat orang yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Saidina Hussain di Karbala.

No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....