Sunbaz adalah seorang pemimpin tentera yang beragama Majusi di Nisabur dan berwala'kan Abu Muslim Al-Khurasani. Dia dan Abu Muslim Al-Khurasani ada hubungan persahabatan yang erat. Ini kerana Abu Muslimlah yang menaikkannya ke pososi selesa dalam ketenteraan di Khurasan dan mengmanahkannya menjaga ketenteraan di Nisabur.
Maka apabila sampai kepadanya khabar bahawa Abu Muslim Al-Khurasni telah dibunuh oleh Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur, dia pun menjadi marah dan memutuskan untuk memberontak melawan Abu Jaafar Al-Mansur, sekaligus menuntut bela atas terbunuhnya Abu Muslim Al-Khurasani. Dia memimpin pasukannya dari Nisabur menuju Ar-Rayy.
Sumbaz mendapat sokongan daripada pengikut Mazdakiyyah dan juga Syiah. Perkembangan seterusnya memperlihatkan motif tersirat Sunbaz adalah menghancurkan Islam dan meletakkan objektif menghancurkan Kaabah..
Sunbaz, dalam rangka untuk membangkitkan semangat penyokongnya membuat cerita khurafat mengenai Abu Muslim Al-Khurasani. Katanya, Abu Muslim tidak mati kerana sewaktu dia hendak dibunuh oleh para pengawal Abu Jaafar, dia telah membaca "Asmaul A'zom' maka dia telah bertukar menjadi merpati putih dan terbang ke angkasa.
Lihat, demikianlah feel dan kelakuan orang-orang yang kalah dalam pertarungan. Mereka mencari jalan berbentuk mistik dan kerohanian untuk memperkuat jiwa mereka. Mereka cipta dongengan untuk mengikat kepercayaan para pengikut mereka. Demikianlah apa yang dilakukan oleh golongan Syiah dan para Ahli Sufi Tariqat yang mencipta khayalan untuk para pengikut. Khayalan mengenai kerajaan Al-Mahdi dan juga kerajaan para ahli Naubah! Syiah yang kalah dalam penindasan kerajaan beralih kepada cerita-cerita kerajaan ghaib Al-Mahdi. Para Sufi tariqat yang dikehendaki membuang dunianya kerana dogma kesufian melampau mereka, mencipta satu khayalan kerajaan para wali yang mempuyai hak tasarruf dan digolongkan sebagai ahli naubah dan dapat menunaikan istighathah para "cult".(Idea penulis)
Ibn Jarir dalam Tarikh Ar-Rusul Wal Muluk menyebutkan bahawa Sunbaz adalah seorang Majusi. Nizamul Muluk At-Tusi dalam kitabnya "Siyaar Al-Muluk" menyebutkan bahawa Sunbaz adalah seorang Mazdaki (iaitu satu cabang kepercayaan Puak Tsanawiyyah -Kumpulan yang mempercayai dualisma Tuhan iaitu Cahaya dan Kegelapan sebagai dua Tuhan dan percaya keazalian kedua-duanya). Agama ini lebih dahsyat daripada Majusi yang hanya percaya ketuhanan dan keazalian cahaya sahaja).
Sementara Al-Mas'udi dalam Murawwiju Az-Zahab menyifatkannya sebagai Kharmi iaitu agama yang mendakwa keimaman Abu Muslim dan dia tetap hidup dan akan kembali semula. Agama ini juga disebut dengan nama-nama lain seperti Al-Muhammarah, Al-Khaddasyiyyah, Ar-Rawandiyyah, Al-Babakiyyah dan juga dinamakan Al-Abu Al-Muslimiyyah. Mereka mengamalkan konsep ibahiyyah iaitu wanita dan harta dikongsi bersama. Setengah sejarawan mengatakan agama ini adalah akar kepada komunisme zaman moden.
Sesungguhnya Sunbaz adalah produk yang dihasilkan oleh Abu Muslim.
Dalam menghadapi pemberontakan Sunbaz ini, Khalifah Abu Jaafar mengirimkan pasukan yang terdiri beberapa puluh ribu tentera yang dipimpin oleh Jahwar bin Mirar Al-'Ajli. Sunbaz kalah perang dan lari ke Tibristan. Raja Tibristin yang bernama Khursyid yang telah bersekutu dengannya sebelum itu dan mendapat hadiah sebanyak 6 juta Dirham daripadanya, telah menghantarkan sepupunya yang bernama Tus untuk menyambutnya. Berlaku perselisihan antara Tus dengan Sunbaz atas sebab kebiadapan Sunbaz dan kesombongannya. Dalam keadaan Sunbaz yang tiada lagi kekuatan pasukan bersamanya, dia mahu dirinya dihormati dan itu tidak boleh diterima oleh Tus. Maka Tus telah membunuhnya.
Ada riwayat lain oleh Abu 'Ali Al-Bal'ami dalam kitabnya "Turjumah Tarikh At-Tobari" menyebutkan bahawa Sunbaz yang kalah perang lari ke Ar-Rayy dan kemudian ke Gorgan (Sebuah bandar di Iran hari ini) dan di sana dia telah dibunuh oleh Asbahbad Gorgan Hurmuz bin Al-Farrakhan atas arahan Khalifah Abu Jaafar.
Demikian berakhirnya pemberontakan Sunbaz.
Cuma sedikit tambahan, selepas berjaya memadamkan pemberontakan Sunbaz, berlaku perselisihan antara Jahwar bin Mirar Al-'Ajli dengan Khalifah Abu Jaafar. Ini adalah kerana ghanimah yang diperolehi oleh Juhur bin Mirar tidak dikirimkan kepada khalifah. Arahan khalifah agar diserahkan ghanimah perang itu tidak diendahkan oleh Jahwar. Maka khalifah hantar tentera yang dipimpin oleh Muhammad bin Asy-'Ast Al-Khuza'i untuk mengajarnya. Tentera itu dibantu pula oleh pasukan Umar bin Hafsin Al-Mahlabi. Pasukan khalifah bertembung dengan pasukan Jahwar di Ar-Rayy dan Asfahan. Kemenangan adalah milik pasukan khalifah dan Jahwar dibunuh serta kepalanya dikirimkan kepada khalifah.
Rujuk: https://www.ida2at.com/sunpadh-persian-movement-dreamed-of-destroying-kaaba/
No comments:
Post a Comment