Friday, February 10, 2023

Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi

Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi adalah nama tokoh Khawarij yang muncul buat pertama kalinya dalam sejarah. Ulama sejarah bernama Imam Abu Muzaffar Al-Asfarayini menyebutkan firqah Khawarij pertama yang muncul dalam sejarah adalah selepas majlis Tahkim pada tahun 38H. Firqah Khawarij itu dikenali sebagai Al-Mahkamah Al-Ula. Dari kalangan tentera Saidina Ali bin Abi Talib telah keluar kelompok yang tidak menyetujui tindakannya menerima perdamaian dengan Saidina Mu'awiyah yang ditandai dengan termeterainya Tahkim di Daumatul Jandal. Mereka mengasingkan diri ke Haruriyyah dan kumpulan ini dikenali juga sebagai Khawarij Haruriyyah. Jumlah mereka mencapai angka sekitar 12 ribu orang. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Al-Kawwa' dan Syibs bin Rib'i.  Saidina Ali telah pergi menemui mereka dan berlaku hujah menghujah. Abdullah bin Al-Kawwa' sedar kesilapannya dan kembali taat kepada Saidina Ali. Ikut bersamanya sejumlah 1 ribu Khawarij yang bertaubat. 

Namun, bakinya terus berdegil. Mereka berkumpul di Nahwawan di bawah pimpinan Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi dan seorang lagi yang dikenali sebagai Hurqus bin Zuhair Al-Bajli (Zul Tsadyah). Kumpulan ini telah membunuh  Abdullah bin Khabab bin Al-Irth serta keluarganya  dengan kejam. Beliau adalah anak kepada seorang sahabat nabi SAW. Khawarij banyak membuat kerosakan dan pembunuhan kejam ke atas orang yang tidak sependapat mereka.

Perbuatan mereka itu menyebabkan Saidina Ali bin Abi Talib memimpin pasukan seramai 4 ribu orang. Saidina Ali dengan kemahiran dan ketinggian ilmunya, telah berhujjah dengan puak Khawarij sehingga dia mampu membuatkan 8 ribu orang Khawarij Nahrawan menyesal dan bertaubat dan kembali taat kepadanya. 8 ribu baki Khawarij tetap dalam kebatilan mereka dan merekalah kumpulan yang diperangi Saidina Ali kemudiannya. Saidina Ali berkata:

Tidak akan terbunuh kalangan kita melainkan 10 orang dan tidak akan selamat dari kalangan mereka melainkan 10 orang.

Dalam Perang itu, mati terbunuh Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi dalam perang tanding. Manakala Hurqus bin Zuhair lari menyembunyikan diri tetapi dapat ditangkap dan dibawa kepada Saidina Ali lalu dihukum bunuh.

Maka, tokoh bernama Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini menurut ulama Sunni dan Syi'ah adalah orang yang tiada Sabqah( keawalan masuk Islam), tiada Suhbah (persahabatan dengan nabi) dan tiada Fiqh( kefahaman dalam agama). Sumber-sumber sejarah tidak merekodkan namanya sebagai sahabat Nabi. Hanya, catatan oleh At-Tobari (M: 310H) dalam kitabnya Tarikh Ar-Rusul Wal Muluk menyatakan bahawa pada zaman khalifah Umar,  beliau mengirimkan bala tentera bantuan ke Parsi dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas dan dalam pasukan bantuan itu turut serta Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi. Khalifah Umar memesan kepada Saad bin Abi Waqqas agar menyerahkan pimpinan antara sayap tenteranya kepada Abdulalh bin Wahab Ar-Rasibi. Rekod sejarah ini menyebabkan ada kalangan tertentu menghujahkan bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini sahabat nabi kerana Umar Al-Khattab tidak menyerahkan pimpinan tentera pada zamannya melainkan kepada sahabat nabi.

Kitab-kitab sirah tidak merekodkan mengenai Abdullah bin Wahab A-Rasibi mengenai apa-apa penglibatannya dalam lapangan politik atau lainnya selain apa yang dicatat oleh At-Tobari. Namanya seolah-oleh tidak penting disebut dan dia bukan siapa-siapa dalam tempoh antara terbunuhnya Umar Al-Khattab hinggalah kisah Khawarij di zaman Ali bin Abi Talib. Apa yang ada dalam catatan Imam Zahabi (M: 748H) menerusi kitabnya Mizanul I'tidal, beliau menyatakan bahawa Abdulllah bin Wahab Ar-Rasibi ini "adrakal jahiuliyyah" (sempat hidup zaman jahiliyyah). Sementara Ibn Hajar Al-Asqalani (M;852) dalam kitabnya Al-Isobah Fi Tamyizis Sohabah menyebutkan bahawa beliau ada idrak yang difahami sempat hidup zaman nabi yang mungkin bertemu nabi dan masuk Islam.

Ibn Hazmin (M:456H) menyatakan dalam kitabnya Jamharatul Ansabil Arab bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi bukan kalangan sahabat tetapi kalangan Tabi'in dan diangkat menjadi pemimpin khawarij lalu terbunuh pada hari Nahrawan. Beliau lebih tegas lagi menyifatkan tentang Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini dalam kitabnya Al-faslu Fil Milali Wal Ahwa' Wan Nihal dengan mengatakan bahawa dia adalah seorang Badwi totok yang tiada kebaikan sama sekali.

Ibn Abi Ya'la (M: 526H) menyebutkan dalam Tobaqat Al-Hanabilah mengenai perkataan Ibn Abbas ketika dia datang kepada puak Khawarij dan berhujjah dengan mereka. Katanya:

أتيتُكُم من عندِ صحَابَةِ النَّبيِّ مِنَ المهاجِرينَ والأنصارِ… ولَيسَ فيكُم منهُم أحَد

" Aku datang kepada kalian dari para sahabat nabi kalangan Muhajirin dan Ansar dan mereka itu tiada di kalangan kamu seorang pun".

Kata-kata menunjukkan bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi bukan kalangan sahabat nabi.

Demikian catatan-catatan yang boleh ditemui dalam sumber-sumber sejarah untuk mengenali Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini. Walaupun penafian bahawa dia sahabat nabi menjadi sikap rata-rata tokoh sejarah, namun perwatakannya yang rajib beribadat tidak dibohongi. Ibn Kathir( M: 774H) menyebutkan dalam Al-Bidayah Wan Nihayah:

كان عبد الله بن وهب الراسبي قد قحلت مواضع السجود منه من شدة اجتهاده وكثرة السجود، وكان يقال له: ذو البينات

"ِAbdullah bin Wahab Ar-Rasibi itu, telah kering kamatu tempat sujudnya lantaran banyak dan bersungguh-sungguhnya dia sujud dan dia digelar Zul-bayyinat".


Namun, di kalangan Mazhab Ibadhi yang kini berkuasa di Oman, Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi adalah sahabat nabi dan mereka memujinya dan menyebutkannya dengan radhiallahu anhu. Mereka menjadikan catatan At-Tobari mengenai perlantikannya memimpin sayap tentera menyerang Parsi pada zaman Umar Al-Khattab adalah dalil bahawa dia adalah sahabat nabi yang mulia.

Wallahu A'lam!




No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....