Wednesday, September 27, 2023

Muzaffiruddin Kukuburi


Beliau adalah putera kepada pemerintah Kota Irbil, Zainuddin Ali bin Baktakin.  Beliau lahir pada 27 Muharram tahun 549H. Beliau membesar di bawah didikan ayahnya itu dan ayahnya melantik guru-guru yang berkebolehan untuk mendidik Muzaffiruddin Kukuburi. 

Gelaran Kukuburi pada namanya membawa maksud " Serigala Hijau" kerana keberanian dan keunggulannya.

Pada ketika kematian ayahnya, usianya baru 14 tahun. Dia menggantikan ayahnya sebagai pemerintah Irbil. Namun, kerana usianya masih muda, kendali pemerintahan dipegang oleh wasi ayahnya yang bernama Mujahiduddin Qaimaz. Bila menganjak dewasa , Muzaffiruddin Kukuburi menuntut agar dia diberi wewenang sepenuhnya, tetapi Mujahiduddin Qaimaz keberatan, malah, dia mengalihkan kuasa kepada adik Muzaffiruddin Kukuburi yang bernama Zainuddin Yusuf.

Maka, Muzaffiruddin Kukuburi pun lari ke Mosul dengan harapan mendapat bantuan mengambil semula kekuasaannya yang hilang. Raja Mosol, Saifuddin Ghazi II tidak mahu membantunya kembali berkuasa di Irbill, lalu ditawarkan kepada Muzaffiruddin wilayah Haran sebagai ganti. Maka, antara tahun 569H hingga 578H, Muzaffiruddin Kukuburi pun mentadbir Haran bagi pihak raja Mosul.

Dalam keadaan demikian, nama Salehuddin Al-Ayubi menjadi terkenal kerana penglibatan dan misi peperangannya melawan pasukan Salib. Dia mahu mengumpulkan sokongan raja-raja Islam di wilayah Syam untuk menyertainya menghalau pasukan Salib daripada Baitul Maqdis. Maka seruan Salehuddin disambut oleh Muzaffiruddin Kukuburi dan dia membawa Haran keluar dari Mosul dan pindah walak kepada Salehudiin. Demikian juga Zainuddin Yusuf, adiknya, membawa Irbil walak kepada Salehuddin.

Muzaffiruddin menyertai Salehuddin Al-Ayubi dan menjadi orang kuatnya. Salehuddin Al-Ayubi menyayanginya lalu dikahwinkan dengan adik perempuannya yang bernama Rabi'ah Khatun.

Muzaffiruddin Kukuburi menyertai Salehuddin dalam peperangan penting melawan Pasukan Salib. Peristiwa taktik membakar hasyish (Sejenis daun yang memabukkan) dan membiarkan asapnya ditiup angin kepada tentera Salib dan membuatkan kekalahan teruk Salib dalam peperangan, adalah dikatakan buah fikiran Muzaffiruddin Kukuburi

Muzaffiruddin Kukuburi sentiasa berada di samping Salehuddin Al-Ayubi dalam misi peperangan melawan pasukan Salib sehinggalah Salehuddin Al-Ayubi mencapai perjanjian damai dengan Richard The Lion Heart, raja Inggeris pada bulan Sya'ban 588H. Selepas itu Muzaffiruddin Kukuburi pulang ke negerinya dan kemudian mengambil alih kekuasaan ke atas Irbil bila adiknya meninggal pada tahun  586H. Di Irbil, Muzaffiruddin Kukuburi memperlihatkan kehebatannya pada sisi yang lain selain medan perang. Dia menjadi pentadbir yang cemerlang dan memasukan kegembiraan serta kepuasan di hati rakyat Irbil dengan pembinaan pelbagai kemudahan buat rakyat seperti hospital, memajukan lapangan pertanian dan perniagaan. Sementara dia sendiri mengambil jaklan hidup yang zuhud dan berpada.



Muzaffiruddin Kukuburi  memerintah Irbil agak lama iaitu lebih 50 tahun. Sehinggalah dia meninggal pada usia 82 tahun, iaitu hari Rabu 14 Ramadhan tahun 630H. 

Muzaffirudin Kukuburi mewasiatkan sebelum dia meninggal agar jasadnya dikebumikan di Makkah. Ketika dalam perjalanan membawa jenazahnya untuk dikebumikan di Makkah, rombongan pembawa jenazahnya mendpaat khabar bahawa di Makkah sedang mengalami masalah kekurangan air. Maka jenazahnya di bawa berpatah balik dan akhirnya menuju ke Kufah. Lalu dia dikebumikan berhampiran dengan maqam Saidina Ali bin Abi Talib.

Baca: Islamstory

Sumber: Islamonline

No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....