Sunday, February 19, 2023

PENGASAS KERAJAAN AGHLABIYYAH: IBN AGHLAB

Dulu....di utara Afrika, wilayah yang hari ini dinamakan dengan Algeria, Tunisia dan Libya, pernah memerintah sebuah kerajaan yang dinamakan Daulah Aghlabiyyah. Malahan, kerajaan ini turut berkuasai di perairan laut Mediteranian mencakuoi beberapa wilayah yang hari ini berada di bawah Itali seperti Pulau Sicily dan Pulau Sardinia. Kerajaan ini berdiri selama 112 tahun bermula tahun 184H hingga tahun 296H. Dalam tempoh lebih 100 tahun itu, terdapat 10 orang raja yang memerintah. Raja-raja itu adalah keturunan pengasasnya yang bernama Abu Abdullah Ibrahim bin Al-Aghlab bin Salim bin 'Iqal bin Khafajah At-Tamimi. Kita sebut namanya sebagai Ibn Al-Aghlab sahaja.

Ibn Al-Aghlab ini seorang yang memiliki keperibadian yang unggul. Pada dirinya ada kepahlawanan, kesolehan, kealiman, hafaz Al-Quran, kepenyairan dan dia merupakan murid kepada Imam Al-Laith bin Sa'ad.

Allamah Ibn Uzari Al-Murakeshi dalam kitabnya Al-Bayan Al-Maghrib Fi Akhbar Al-Andalus Wal Maghrib (MS 92-93) menyebutkan sifat-sifat mulia yang ada pada Ibn Al-Aghlab ini dan menyifatkan tidak pernah muncul di Utara Afrika seorang pemimpin yang lebih elok sirahnya serta lebih berbelas kasihan kepada rakyat serta bersatu semua kabilah di bawahnya lebih daripada Ibn Al-Aghlab.

Bapanya yang bernama Al-Aghlab bin Salim adalah orang penting dalam gerakan Abbasiyyah dalam rangka menggulingkan Bani Umayyah. Dia bergiat di wilayah Marw di bawah Abu Muslim Al-Khurasani. Apabila Khalifah Abu Jaafar mahu membunuh Abu Muslim Al-Khurasani, dia menjadi kalangan yang menyokong daa membantu Abu Jaafar. Ketika Khalifah Abu Jaafar mengirimkan pasukan tentera ke Utara Afrika pada tahun 144H dipimpin oleh jeneral Muhammad bin Al-Asy'ath Al-Khuza'i, maka Al-Aghlab bin Salim ikut serta dalam ketumbukan itu. Dia adalah orang kanan kepada Ibn Al-Asy'ath. Bila berjaya memadamkan pemberontakan di sana, Al-Aghlab dilantik jadi gabenor di Tobna (terletak dalam negeri Algeria sekarang) pada tahun 148H. 

Kemudian, kekacauan meletus lagi akibat olah para Khawarij.  Ibn Al-Asy'ath dikalahkan dan Qairawan dikuasai Khawarij. Dalam perang itu gugur Ibn Al-Asy'th. Al-Aghlab yang cuba membebaskan Qairawan  kemudiannya, juga mati terbunuh. Ia mati terbunuh dalam perang melawan pemberontakan Al-Hasan bin Harbin Alkindi


Asal keturunan Ubaidilah Al-Mahdi

Disebutkan kisah dalam Al-Kamil Fittarikh oleh Ibn Al-Athir: Apabila Abdullah bin Maimun Al-Qoddah meninggal, anaknya yang bernama Ahmad mengaku bahawa dia adalah keturunan Aqil bin Ali bin Abu Talib. Kemudian, setelah beliau, anaknya yang bernama Muhammad diangkat menjadi imam kepada oleh para pendakwah Syiah Ismailiyyah. Muhammad meninggalkan dua anak bernama Ahmad dan Hussain. Hussain itu kemudiannya berpindah dan tinggal di Salmiyyah di Kota Homs. Husssain ini dianggap sebagai wasi dan pemimpin oleh para Syiah Ismailiyyah di Yaman dan juga di Maghrib. Mereka selalu berutusan surat dengannya.

Hussain ini telah berkahwin dengan seorang janda cantik kepada seorang tukang besi yahudi yang telah meninggal. Janda itu aa seornag anak lelaki yang cantik parasnya seperti ibunya juga. Maka, Hussain sangat menyayangi anak lelaki itu dan mendidiknya  sehingga besar kedudukannya di sisinya. Di kalangan sesetengah pendakwah Syiah Ismailiyyah, mereka peraya bahawa Hussain tidak meninggalkan anak, akan tetapi dia telah mewasiatkan kepimpinan kepada anak Yahudi si tukang besi itu yang namanya adalah Ubadillah. Hussain telah menurunkan kepadanya segala rahsia dakwah kumpulan, memberikannya harta, memperkenalkannya kepada orang-orang setia dengannya serta mengahwinkannya dengan puteri pakciknya yang bernama Abu Syalaghlagh.

Kata Abu Qosim Al-Abyadh Al-'Alawi dan lain-lain, begitulah asal mulanya perkaitan antara Ubaidillah dengan Hussain. Kemudiannya, Ubaidillah pun membuat nasab keturunannya iaitu Ubaidillah bin Al-hasan bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Musa bin Ja'far bin Muhammad bin Ali bin Al-Hussain bin Ali bin Abu Talib.

Ubaidillah Al-Mahdi ini telah menjadi buruan kerajaan Abbasiyyah. Khalifah ketika itu ialah Al-Muktafi. Maka Ubaidillah Al-Mahdi serta anaknya yang ketika itu masih kanak-kanak bernama Abu -Qasim Nizar( Kelak namanya Al-Qaim), melarikan diri dan bersembunyi di Mesir. Dia menyamar sebagai saudagar.  Gabenor Mesir waktu itu ialah Isa An-Nusyari*. Dia mendapat surat arahan daripada khalifah agar menangkap orang yang disifatkan rupanya seperti Ubaidillah itu.

* Isa An-Nusyari datang bersama Muhammad bin Sulaiman Al-Katib, jeneral perang yang dihantar oleh khalifah Abbasiyyah untuk menamatkan kekuasaan keluarga Tuluniyyah di Mesir.

Akan tetapi ada para pegawai Isa An-Nusyri sendiri merupakan Syiah Ismailiyyah. Mereka menyelamatkan Ubaidillah dan menyuruhnya meninggalkan Mesir. Ubaidillah Al-Mahdi hampir tertangkap, tetapi dengan kelicikannya dia dapat selamat hingga sampai ke wilayah Maghrib. Pada ketika itu Ziyadatullah dari kerajaan Aghlabiyyah adalah pemerintah Utara Afrika. Dia juga cuba untuk menangkap Ubaidillah Al-Mahdi.  Ubadilllah Al-Mahdi akhirnya jatuh ke tangan gabenor Sijilmasah, Al-Yasa' bin Midar  yang walak kepada Ziyadatullah.

Namun, tak lama berselang Abu Abdullah As-Syia'i dan pasukannya telah berjaya menyelamatkan serta membebaskan Ubaidillah Al-Mahdi.

Friday, February 17, 2023

Abu Abdullah As-Syi'i (M: 298H)

Beliau adalah orang yang merintis jalan pertama ke arah terbentuknya kerajaan Fatimiyyah. Nama sebenarnya adalah Al-Hussain bin Muhammad bin Zakaria dan terkenal dengan panggilan Abu Abdillah As-Syi'i atau Al-Mu'allim. Beliau berasal dari Son'aa , Yaman. Sewaktu kecil dia belajar dengan Ibn Hausyib, seorang tokoh besar tabi'in, perawi hadis dan Maula (hamba) kepada Asma' bin Yazid Al-Ansari dan mendapat faedah daripada ilmunya.

Beliau meninggalkan Yaman dan pergi ke Makkah untuk mencari sokongan bagi dakwah Syiah. Di  Makkah, pada musim haji, dia menemui beberapa orang yang berasal dari kabilah Katamah, satu kabilah yang berasal Afrika Utara. Dia  mengajak mereka kepada mazhabnya, mazhab Syiah Isma'iliyyah dan mereka menyambutnya. Kemudian, bersama rombongan haji Katamah itu, Abu Abdullah As-Syi'i pergi ke Maghrib.Di sana dia melancarkan dakyah kepada kabilah Katamah agar membai'ah Al-Mahdi dan dia tidak menyebutkan nama siapakah Al-Mahdi itu. 

Bermodalkan sokongan kepada Imam Al-Mahdi itu, dia mendapat sokongan ramai kalangan kabilah Katamah. Sesiapa yang tidak menyokong untuk membai'ah Al-Mahdi diperangi sehingga semua kabilah Katamah tunduk kepada Al-Mahdi yang dijanjikannya itu.

Pada waktu itu ada sebuah kerajaan yang berdiri di Afrika Utara iaitu Kerajaan Aghlabiyyah. Pemimpinnya bernama Ibrahim bin Ahmad bin Aghlab. Perihal Abu Abdullah As-Syi'i itu sampai kepadanya. Namun dia diberitahu bahawa Abu Abdillah As-Syi'i itu tidak mengancam keutuhan kerajaan. Dia hanya seorang sufi yang menghabiskan masa dengan beribadat. Lalu dibiarkan. 

Namun, lama kelamaan pengaruh Abdullah As-Syi'i menjadi kian besar sehingga dia dapat menguasai satu kota bernama Mailah dengan aman. Apabila hal itu terjadi, Ibn Aghlab mengiirimkan pasukan 20 ribu tentera yang dipimpin oleh anaknya, Al-Ahwal untuk memerangi Abu Abdullah As-Syi'i dan penyokongnya. Abu Abdullah As-Syi'i dan para pengikutnya dikalahkan dan mereka lari berlindung di Pergunungan Ikjan dan di sana dia membangunkan kota yang dinamakan Darul Hijrah. Lalu ramailah orang datang dan tinggal di sana. Dari situ, kemudiannya Abu Abdullah As-Syi'i dan para pendokongnya dari kabilah Katamah  menguasai satu demi satu kawasan sehingga jatuhlah Qairawan ke tangan mereka. Rajanya waktu itu yang bernama Ziyadah Al-Aghlab III digulingkan.

Imam Syiah Isma'iliyyah waktu itu berada di Salamiyyah, Syria. Sampai khabar kepada Abu Abdillah As-Syi'i tentang kewafatan sang Imam dan anaknya Ubaidillah Al-Mahdi menggantikan posisi Imam Syiah Isma'iliyyah. Maka Abu Abdillah As-Syi'i mengirimkan utusan memaklumkan kejayaan dakwahnya di Utara Afrika. Lalu datanglah Ubaidillah Al-Mahdi memungut hasil kerja keras bertahun-tahun Abu Abdullah As-Syi'i. Tahun 296H kerajaan Aghlabiyyah dilenyapkan dan Ubaidillah Al-Mahdi pun dibai'ah oleh orang ramai sebagai khalifah.  Maka kerajaan yang terbina itu dinamakan oleh sejarawan Islam sebagai Kerajaan Ubaidiyyah. Ada yang menamakannya terus dengan kerajaan Fatimiyyah walaupun sebenarnya nama Fatimiyyah itu digunakan secara rasmi setelah penerusnya berjaya masuk ke Mesir.

Pengaruh dan ketaatan kabilah Katamah kepada Abu Abdullah As-Syi'i ini tidak disenangi oleh Ubaidllah Al-Mahdi. Dia pun mengarahkan dua orang suruhannya yang bernama 'Urubah bin Yusuf dan Habbasah bin Yusuf  untuk membunuh Abu Abdillah As-Syi'i dan juga seorang lagi saudara lelakinya yang bernama Abu Al-Abbas. Abu Abdullah As-Syi'i ketika bertanya mengapa dia hendak dibunuh, mereka berkata:

" Orang yang engkau suruh kami taat kepadanya, memerintahkan kami membunuhmu!".

Pada tahun 298 Abu Abdullah As-Syi'i pun mati dibunuh. Maka demikianlah berakhirnya riwayat Abu Abdullah As-Syi'i.  Dia dibunuh di sebuah kota bernama Riqadah, berhampiran dengan Qairawan. Seorang yang membuka jalan kepada naiknya kerajaan Ubaidillah Al-Mahdi, akhirnya menjadi korban. Kesetiaannya dicurigai. Madu yang dia hidangkan, tuba yang dia dapat. Sesungguhnya kekuasaan, pemberontakan dan revolusi menyimpan misteri yang tidak pernah dapat difahami sepenuhnya.

Benarlah kata-kata orang cerdik pandai: REVOLUSI MEMAKAN ANAK-ANAKNYA!


Al-Aziz Billah, Khalifah Daulah Fatimiyyah Yang Ke-5

Al-Aziz Billah, namanya adalah Nizar bin Ma'ad bin Ismail. Beliau naik menjadi khalifah Fatimiyyah di Mesir setelah kematian ayahnya Al-Mu'iz Li Dinillah. Pada masanya, diwujudkan jawatan wazir khalifah dan wazir pertamanya adalah Yusuf bin Kallas.

Beliau lahir pada tahun 344H (Sumber: Siyar A'lam)

Beliau menggantikan ayahnya naik tahta pada tahun 365H

Al-Aziz Bilah seorang yang banyak membangunkan Mesir.  Dialah yang membina istana Lu'luah

Al-Aziz telah berkahwin dengan seorang wanita Nasrani yang bermazhab Milkaniyyah (mazhab Geraja Qostantin). Dengannya dia dapat anak perempuahn yang dikenali sebagai Siti Al-Malik Melalui pengaruh isterinya, dia melantik dua saudara lelaki isterinya itu sebagai Mitran (Jawatan seperti Qadi  dalam kristian). Mereka adalah  Uristus (Sebagai Mitran di  Baitul Maqdis) dan Arsaniyus (Mitran di Kaherah). Untuk puterinya yang bernama Siti Al-Malik itu dibina untuknya istana khusus dan diberikan kemewahan yang melimpah ruah

Al-Aziz Billah memerintah selama 21 tahun dan meninggal di Belbes, Timur Mesir pada 28 Ramadhan 386H ketika usianya 44 tahun.

Anaknya Al-Hakim Bi Amrillah menggantikannya.


(Akan dikemaskini satu masa nanti-InsyaAllah)

Thursday, February 16, 2023

Bertapaknya Kerajaan Fatimiyyah di Mesir.

Tahun 297H, Kerajaan Abbasiyyah yang dipusat di Baghdad mengirimkan panglima perang berbangsa Turki, namanya Takin ke Mesir. Penghantaran ini adalah untuk menstabilkan Mesir yang baru bebas dari cengkaman Kerajaan Tuluniyyah yang telah pernah membebaskan diri dari kerajaan Abbasiyyah. Tugas panglima Takin adalah memastikan Mesir sentiasa berada di bawah kekuasaan kerajaan Abbasiyyah.

Tahun 297 H juga menyaksikan naiknya ke atas tahta kekuasaan seorang yang bernama Ubaidillah Al-Mahdi di wilayah Utara Afrika. Beliau menjadi pemerintah pertama kerajaan Ubaidiyyah yang pada masa-masa berikut bertukar jenama menjadi kerajaan Fatimiyyah.

Mesir menjadi sasaran perebutan kuasa. Ubaidilalh Al-Mahdi yang telah memacakkan kekuasaannya di Utara Afrika tidak melihat masa depan yang cemerlang di wilayah tersebut untuknya. Di sana, tokoh-tokoh ulama Maliki menjadi batu penghalang buat Ubaidillah menebarkan kuasanya. Dalam masa yang sama, Mesir menawarkan peluang cerah untuk menjadi pusat sebuah pemerintahan yang berjaya. Ia straregik dari segi perdagangan dan juga keagamaan. Mesir adalah laluan para pedagang untuk ke perairan laut merah dan siapa yang memegang Mesir akan dapat menguasai ketiga-tiga tanah suci Islam. 

Tahun 302H, iaitu 5 tahun selepas Ubaidillah Al-Mahdi naik tahta, satu pasukan tentera Ubaidillah yang dipimpin oleh panglimanya yang bernama Habbasah bin Yusuf Al-Katami Al-Amazighi berjaya menguasai wilayah Burqah ( Cyrenaica- Wilayah sebelah Timut Libya hari ini) yang bersempadan dengan barat Mesir.

Panglima Takin di Mesir menyedari bahaya yang sedang mengancam Mesir lalu menggerakkan pasukan untuk berhadapan dengan kemaraan pasukan Ubaidillah itu. Di sana meletus perang dan pasukan panglima Takin tewas. Maka, tentera Ubadillah Al-Mahdi mara sehingga ke Iskandariyyah. Panglima Takin mengirim permohonan bantuan ke Baghdad. Khalifah Al-Muqtadir dari Daulah Abbasiyyah pun mengirinkan pasukan tentera bantuan dan sekali lagi perang meletus dan korban yang banyak berjatuhan dari kedua-dua belah pihak. Namun, dalam perang kali ini, tentera Abbasiyyah menang dan tentera Ubaidillah Al-Mahdi yang dipimpin Habbasah tewas. Iskandariyyah dapat diselamatkan dan wilayah Burqah diambil kembali. Habbasah terpaksa berundur balik ke Maghribi dalam keadaan kalah teruk. 

Ini adalah cubaan pertama kerajaan Ubaidiyyah untuk berkuasa di Mesir. Cubaan yang gagal.

Ubaidillah Al-Mahdi tidak menyerah dengan kegagalan itu. Lima tahun kemudian satu pasukan yang lebih besar terdiri daripada tentera puak Katamah, Arab Afrika dan Bangsa Barbar dikirimkan. Pasukan ini dibantu oleh armada laut terdiri daripada 100 buah kapal. Anak Ubaidillah Al-Mahdi yang merupakan putera mahkotanya, bernama Abu Qosim Al-Qaim (Al-Qaim bi Amrillah) memimpin pasukan itu. Pasukan ini telah berjaya mengalahkan pasukan Abbasiyyah dan menguasa Barat Mesir, termasuk Iskandariyyah.Jatuh juga ke tangan tentera Ubaidillah kawasan Al-Fayyum dan As- So'id.

Namun, kerajaan Abbasiyyah tidak duduk diam. Ketenteraannya diperkemas dan pasukan Ubaidillah yang dipimpin anaknya itu dihadapi semula dan dua tahun kelepas kejayaan tentera Ubaidillah Al-Mahdi itu, kekalahan pula datang bertandang. Tentera Abbasiyyah berjaya menghalau tentera Al-Qaim. Maka, sekali lagi mereka menghadapi kegagagalan dan pulang ke Maghrib.

Menjelang tahun 332H, Mesir diperintah oleh Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid (Kerajaan Al-Ikhsyidiyyah). Kerajaan ini sangat cekap mentadbir Mesir dan keadilan rakyat ditegakkan. Namun, ada pendengki yang iri. Mereka bersekongkol dengan Ubaidiyyah. Ubaidiyyah pun kirim pasukan untuk menguasai Mesir sekali lagi. Ini kali ketiga. Akan tetapi Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid  tidak lalai. Dia telah pun bersedia dengan kemungkinan ancaman Ubaidiyyah. Perang berlaku di daerah Buhairah, barat laut Mesir dan pasukan Ubaidiyyah lagi sekali dapat dikalahkan!

Tahun 334H, Muhammad bin Thughuj Al-Ikhsyid meninggal dan anaknyanya Anujur menggantikannya. Walaupun begitu kekuasan sebenar di tangan Kafur Al-Ikhsyid, bekas hamba kepada Muhammad bin Tughuj Al-Ikhsyid. Sehinggalah Kafur Al-Ikhsyid menguasai sepenuhnya selepas kematian Anujur dan memegang kendali Mesir hingga tahun 357H.  Selama tempoh itu, kerajaan Ubadiyyah tidak berani menyerang Mesir kerana pemerintahan Kafur yang cekap dan kuat. Mata-mata Ubaidiyyah sentiasa di Mesir dan mereka tidak menemui ruang kelamahan yang boleh mereka gunakan.

Apabila Kafur Al-Ikhsyid meninggal tahun  357H, maka mata-mata Ubaidiyyah di Mesir melaporkan bahawa batu penghalang telah tiada dan itulah masanya pemerintah kerajaan Ubaidiyyah di Tunisia waktu itu, Al-Mu'iz Li Dinillah, mengambil Mesir. Beliau mulai naik tahta pada tahun 341H *. Mereka meyifatkan bahawa Kafuur adalah batu hitam (hajaral aswad) yang menjadi benteng penghalang hasrat menakluki Mesir . Kini hajaral aswad telah tiada maka peluang terbuka luas untuk Mesir ditakluki.

* Urutan Khalifah Fatimiyyah Sebelum Al-Muiz: 1) Al-Mahdi-2) Al-Qaim-3) Almansur-4) Al-Muiz.

Selepas Kafur meninggal, tiada waris keluarga Ikhsyidi yang layak. Maka, wazir Abu Al-Fadhli Jaafar bin Al-Furat yang memegang kendali pemerintahan. Beliau tidak cukup kuat untuk menguasai tentera dan menyelesaikan masalah ekonomi dan politik Mesir yang bergolak. Inflasi juga meningkat di Mesir. Beberapa kalangan warga Mesir yang sesak nafas dengan masalah ekonomi ini,  mengirimkan utusan kepada Al-Mu'iz Li Dinillah untuk datang ke Mesir dan menguasainya. Wazir Abu Al-Fahdli juga berdepan dengan pembangkang kerajaan yang diketuai oleh Ya'akob Kallas yang menjawat jawatan setiausaha Dewan yang merupakan asal Yahudi Iraq yang masuk Islam dan mendapat jawatan di zaman Kafur. Wazir cuba menangkapnya , akan tetapi dia dapat melarikan diri ke Utara Afrika dan bergabung dengan Al-Mu'iz. Beliau yang pernah berada dalam pentadbiran Mesir mendedahkan kelemahan ketenteraan Mesir.

Ya'kob bin Kallas ini menurut sumber-sumber disifatkan Yahudi yang memeluk Islam dan mengikut mazhab Syiah ISmailiyyah. Dia kemudiannya dilantik menjadi menjadi menteri kerajaan Fatimiyyah di Mesir dan terus menjawat jawatan itu sehingga ke zaman anak Al-Muiz iaitu Al-Aziz.

Panglima tentera kerajaan Ubaidiyyah yang bernama Jauhar bin Abdullah Ar-Rumi As-Soqli memimpin pasukan tentera memasuki Mesir pada 15 Rabi'ul Awal 358H. Pemerintah Ubaidiyyah sewaktu itu, Al-Mu'iz Lidinilllah telah membelanjakan dana yang banyak untuk kejayaan tentera ini iaitu 24,000,0000 dinar emas. Beberapa sumber sejarah menganggarkan jumlah tentera Daulah Ubaidiyyah  ini  mencecah 100 ribu anggota. Al-Muqrizi menyeb utkan bahawa angkatan tentera yang sedemikian besar disambut kedatangannya oleh pemuka-pemuka Mesir dan tidak pernah ada tentera sebesar itu yang menginjak bumi Mesir sejak tentera Iskandar Al-Maqdumi manaklu Mesir dengan tenteranya. Tentera Al-Muiz lah yang memecah rekodnya.

Pada Sya'ban 358, Jauhar As-Soqli menakluki Mesir. Beliau memasuki Masjid Jamik Amru bin Al-As dan merasmikan penambaan lafaz baru dalam azan iaitu " Hayya 'Ala Kharil Amal" sebagaimana sifat azan Syiah. Doa-doa dalam khutbah pun dibacakan untuk Al-Mu'iz dan tidak lagi Khalifah Abbasiyyah. Beliau mengasaskan sebuah bandar baru di utara Fustat dan diberi nama Al-Mansuriyyah. Nama itu ditukar menjadi Kaherah apabila Al-Muiz tiba. Lalu, dijemputlah Al-Muiz yang ketika itu sedang di Tunisia untuk datang ke Mesir dan beliau menyahutnya dengan penuh gembira. Puji-pujian pun dikumandangkan para penyair kepadanya seperti penyair bernama Muhammad bin Hani' Al-Andalusi. Kata Beliau:


يقول بنو العباس قد فُتحت مصر … فقُل لبني العباس قد قُضي الأمر

وقد جاوز الإسكندرية جوهرٌ … تطالعه البشرى ويقدمه النصر


Dua tahun setelah terbangunnya kerajaan Fatimiyyah di Mesir, Jauhar As-Saqli pun dipecat dari semua kedudukannya dan dia tidak lagi diberi peranan dalam pemerintahan sehinggalah dia meninggal tahun 384H. Jika ditoleh ke belakang, apa yang dilakukan oleh Al-Mu'iz ke atas jauhar As-Soqli adalalah ulangan sejarah apa yang dibuat oleh datuknya Ubaidillah Al-Mahdi ke atas pendakyah utama yang membawa penubuhan kerajaan Ubaidiyyah iaitu Abu Adullah As-Syi'i.

Revolusi memakan anak-anaknya. Ulang kembali kata-kata itu agar anda memahami dengan baik pengalaman-pengalaman sejarah.


Meneliti kisah penguasaan kerajaan Fatimiyyah ke atas Mesir ini, kita perlu faham bahawa kekuatan dan kecerdikan adalah unsur yang penting menentukan kejayaan sesebuah pemerintahan. Kelekaan dan ketidaksiagaan ketenteraan adalah punca jatuhnya pemerintahan. Sementara itu, tidak dilupakan, kecekapan mata-mata dan maklumat merupakan unsur yang banyak membantu tembusnya Fatimiyyah ke jantung Mesir dan kejayaannya menyingkir penguasaan Abbasiyyah ke atsnya. Maka, dicatatlah bahawa Al-Muiz Li Dinillah adalah khalifah Fatimiyyah yang pertama memacakkan namanya di bumi Mesir. Dia mewarisi kerajaannya kepada keturunannya sehinggalah datang takdir Allah yang sentiasa menukar ganti pemegang kendali kerajaan di tangan sesiapa yang Dia kehendaki!

Kerajaan Fatimiyyah itu akhirnya ditumbangkan oleh Salehuddin Al-Ayyubi pada tahun 567H/1171M. Khalifah terakhirnya adalah Al-'Adhid Li Dinillah.

Allah la ilaha illa HU...


Rujukan Bacaan: Al-Jazeera


Catatan Tambahan:

  1. Al-Mu'iz Lidinillah , selepas dia masuk ke Mesir, dia cuma sempat 2 tahun 9 bulan memerintah. Tempoh pemerintahannya keseluruhan termasuk sewaktu di Maghrib ialah 23 tahun.
  2. Pengganti Al-Mu'iz adalah anaknya Al-Aziz Billah






Tuesday, February 14, 2023

Ibn Al-Rawandi Sang Mulhid


Namanya Abu Hasan Ahmad bin Yahya bin Ishak Al-Rawandi, lahir di Rawand iaitu satu tempat di antara Asfahan dan Kashan pada tahun 210 H . Beliau dikatakan berketurunan Yahudi.


Pendidikan awalnya di bandar Rayy. Tiada catatan jelas tentang siapa gurunya. Namun, ketika dia di bandar Rayy, dia berada di jalan Islam yang lurus. Ini dapat dikenal daripada hasil dua karyanya pada masa itu iaitu: Al-Ibtida' wal I'adah dan Al-Asma' Wal Ahkam.

 
Dia bertukar-tukar aliran. Pada mulanya beliau merupakan salah seorang tokoh ulama Muktazilah. Namun , kemudian dia mencemuh muktazilah dan mengarang sebuah kitab bertajuk "Fadhihatul Muktazilah" untuk tujuan itu. Kitab itu adalah jawapan balas kepada kitab karya Jahiz yang bertajuk "Fadhilah Muktazilah". Beliau kemudiannya menganut fahaman Syiah dan mengarang sebuah kitab bertajuk "Al-Imamah". Kemudian, pertemuannya dengan Abu Isa Al-Warraq, seorang mulhid,  mengubah sudut pandangannya. Beliau menjadi seorang freethinker dan zindik yang tercatat namanya dalam sejarah Islam dengan sifat tersebut.


Ketika dia berpindah dan berdomisil di kota Baghdad yang ketika itu merupakan pusat pemerintahan, kota pemikiran dan kebudayaan, jalan hidupnya pun berubah.

Dalam setiap fasa kehidupannya itu, dia banyak mengarang kitab. Namun kitab-kitab karyanya telah luput  dan yang masih ada hanya dua sahaja iaitu "Al-Ibtida' wal I'adah" dan " kitab Al-Farandi". Kitab-kitab tulisannya  yang bertebaran itu dapat diketahui kebanyakan berdasarkan kitab lain yang dikarang oleh tokoh-tokoh yang membuat kritikan balas atasnya seperti kitab Al-Intisor karya Abu Husain Al-Khayyat yang merupakan radd kepada kitab "Fadhihah Al-Muktazilah". Dengan cara demikianlah kitab yang telah luput dalam peredaran zaman diketahui wujudnya. Kitab Az-Zamrud karya Ibn  Ar-Rawandi telah hilang. Dalamnya penuh dengan perlecehan terhadap  rukun Islam dan kenabian. Ini diketahui kerana petikan di dalamnya disebutkan dan dikeritik dalam kitab Al-Majalis Al-Muaydiyyah oleh Ismail Al-Muaydi.

Barangkali, sebahagian kitab yang dihumbankan ke dalam sungai Dajlah semasa penyerbuan tentera Mongol itu adalah kitab-kita yang penuh racun dan kekufuran seperti karya Ibn Ar-Rawandi ini. Itulah cara Allah menghapuskannya dan menyelamatkan iman ummat.

Ibn Al-Jauzi berkata: Tokoh Zindiq dalam Islam itu ada tiga iaitu:
  1. Ibn Al-Rawandi
  2. Abu Hayyan Al-Tauhidi
  3. Abu Al-A'laa Al-Mi'rii 
Ibn Taimiyyah mengatakan beliau seorang Zindiq. Imam Az-Zahabi dalam Siyar menyifatkannya sebagai Mulhid.

Sumber sejarah menyebutkan bahawa Ibn Al-Rawandi mati sekitar tahun 250H . Berdasarkan catatan ini, usianya ketika mati adalah sekitar 40 tahun. Dia mati dalam keadaan terbuang dan bersembunyi dalam kalangan orang-orang Yahudi di saat Islam berkembang menguasai alam.

Imam Az-Zahabi setelah menyebutkan turjumah Ibn Al-Rawandi dalam Siyarr menamatkannya dengan satu ayat:

لعن اللهُ الذكاءَ بلا إيمانٍ ورضيَ اللهُ عن البلادةِ مع التقوى 
 
"Allah melaknat orang cerdik yang tiada keimanan dan Dia Redha orang bodoh yang bertakwa".


Bagi yang bersikap insaf dan adil, akan menghargai apa yang dilakukan oleh para tokoh muktazilah yang melawan racun yang disebarkan oleh para Mulhid dalam sejarah . Mulhid seperti Ibn Rawandi. Abu Hussain Al-Khayyat, walaupun seorang Muktazilah, dia berjasa dalam mematahkan karya Ilhad Al-Rawandi. Malah, jika kita telusuri, bukan sedikit para Muktazilah yang bangkit membela Islam dengan rasa penuh cemburu demi agama seperti cemburu sang hud-hud.


Tokoh Muktazilah, Abu 'Ali Al-Jaba-i antara yang bangkit mengkritik karya-karya Ar-Rawandi dan itu telah dinukilkan oleh Ibn Al-Jauzi dan Imam Ibn Kathir menyebutkan mengenainya dalam Al-Bidayah Wan Nihayah (11/405)




Friday, February 10, 2023

Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi

Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi adalah nama tokoh Khawarij yang muncul buat pertama kalinya dalam sejarah. Ulama sejarah bernama Imam Abu Muzaffar Al-Asfarayini menyebutkan firqah Khawarij pertama yang muncul dalam sejarah adalah selepas majlis Tahkim pada tahun 38H. Firqah Khawarij itu dikenali sebagai Al-Mahkamah Al-Ula. Dari kalangan tentera Saidina Ali bin Abi Talib telah keluar kelompok yang tidak menyetujui tindakannya menerima perdamaian dengan Saidina Mu'awiyah yang ditandai dengan termeterainya Tahkim di Daumatul Jandal. Mereka mengasingkan diri ke Haruriyyah dan kumpulan ini dikenali juga sebagai Khawarij Haruriyyah. Jumlah mereka mencapai angka sekitar 12 ribu orang. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Al-Kawwa' dan Syibs bin Rib'i.  Saidina Ali telah pergi menemui mereka dan berlaku hujah menghujah. Abdullah bin Al-Kawwa' sedar kesilapannya dan kembali taat kepada Saidina Ali. Ikut bersamanya sejumlah 1 ribu Khawarij yang bertaubat. 

Namun, bakinya terus berdegil. Mereka berkumpul di Nahwawan di bawah pimpinan Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi dan seorang lagi yang dikenali sebagai Hurqus bin Zuhair Al-Bajli (Zul Tsadyah). Kumpulan ini telah membunuh  Abdullah bin Khabab bin Al-Irth serta keluarganya  dengan kejam. Beliau adalah anak kepada seorang sahabat nabi SAW. Khawarij banyak membuat kerosakan dan pembunuhan kejam ke atas orang yang tidak sependapat mereka.

Perbuatan mereka itu menyebabkan Saidina Ali bin Abi Talib memimpin pasukan seramai 4 ribu orang. Saidina Ali dengan kemahiran dan ketinggian ilmunya, telah berhujjah dengan puak Khawarij sehingga dia mampu membuatkan 8 ribu orang Khawarij Nahrawan menyesal dan bertaubat dan kembali taat kepadanya. 8 ribu baki Khawarij tetap dalam kebatilan mereka dan merekalah kumpulan yang diperangi Saidina Ali kemudiannya. Saidina Ali berkata:

Tidak akan terbunuh kalangan kita melainkan 10 orang dan tidak akan selamat dari kalangan mereka melainkan 10 orang.

Dalam Perang itu, mati terbunuh Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi dalam perang tanding. Manakala Hurqus bin Zuhair lari menyembunyikan diri tetapi dapat ditangkap dan dibawa kepada Saidina Ali lalu dihukum bunuh.

Maka, tokoh bernama Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini menurut ulama Sunni dan Syi'ah adalah orang yang tiada Sabqah( keawalan masuk Islam), tiada Suhbah (persahabatan dengan nabi) dan tiada Fiqh( kefahaman dalam agama). Sumber-sumber sejarah tidak merekodkan namanya sebagai sahabat Nabi. Hanya, catatan oleh At-Tobari (M: 310H) dalam kitabnya Tarikh Ar-Rusul Wal Muluk menyatakan bahawa pada zaman khalifah Umar,  beliau mengirimkan bala tentera bantuan ke Parsi dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas dan dalam pasukan bantuan itu turut serta Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi. Khalifah Umar memesan kepada Saad bin Abi Waqqas agar menyerahkan pimpinan antara sayap tenteranya kepada Abdulalh bin Wahab Ar-Rasibi. Rekod sejarah ini menyebabkan ada kalangan tertentu menghujahkan bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini sahabat nabi kerana Umar Al-Khattab tidak menyerahkan pimpinan tentera pada zamannya melainkan kepada sahabat nabi.

Kitab-kitab sirah tidak merekodkan mengenai Abdullah bin Wahab A-Rasibi mengenai apa-apa penglibatannya dalam lapangan politik atau lainnya selain apa yang dicatat oleh At-Tobari. Namanya seolah-oleh tidak penting disebut dan dia bukan siapa-siapa dalam tempoh antara terbunuhnya Umar Al-Khattab hinggalah kisah Khawarij di zaman Ali bin Abi Talib. Apa yang ada dalam catatan Imam Zahabi (M: 748H) menerusi kitabnya Mizanul I'tidal, beliau menyatakan bahawa Abdulllah bin Wahab Ar-Rasibi ini "adrakal jahiuliyyah" (sempat hidup zaman jahiliyyah). Sementara Ibn Hajar Al-Asqalani (M;852) dalam kitabnya Al-Isobah Fi Tamyizis Sohabah menyebutkan bahawa beliau ada idrak yang difahami sempat hidup zaman nabi yang mungkin bertemu nabi dan masuk Islam.

Ibn Hazmin (M:456H) menyatakan dalam kitabnya Jamharatul Ansabil Arab bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi bukan kalangan sahabat tetapi kalangan Tabi'in dan diangkat menjadi pemimpin khawarij lalu terbunuh pada hari Nahrawan. Beliau lebih tegas lagi menyifatkan tentang Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini dalam kitabnya Al-faslu Fil Milali Wal Ahwa' Wan Nihal dengan mengatakan bahawa dia adalah seorang Badwi totok yang tiada kebaikan sama sekali.

Ibn Abi Ya'la (M: 526H) menyebutkan dalam Tobaqat Al-Hanabilah mengenai perkataan Ibn Abbas ketika dia datang kepada puak Khawarij dan berhujjah dengan mereka. Katanya:

أتيتُكُم من عندِ صحَابَةِ النَّبيِّ مِنَ المهاجِرينَ والأنصارِ… ولَيسَ فيكُم منهُم أحَد

" Aku datang kepada kalian dari para sahabat nabi kalangan Muhajirin dan Ansar dan mereka itu tiada di kalangan kamu seorang pun".

Kata-kata menunjukkan bahawa Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi bukan kalangan sahabat nabi.

Demikian catatan-catatan yang boleh ditemui dalam sumber-sumber sejarah untuk mengenali Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi ini. Walaupun penafian bahawa dia sahabat nabi menjadi sikap rata-rata tokoh sejarah, namun perwatakannya yang rajib beribadat tidak dibohongi. Ibn Kathir( M: 774H) menyebutkan dalam Al-Bidayah Wan Nihayah:

كان عبد الله بن وهب الراسبي قد قحلت مواضع السجود منه من شدة اجتهاده وكثرة السجود، وكان يقال له: ذو البينات

"ِAbdullah bin Wahab Ar-Rasibi itu, telah kering kamatu tempat sujudnya lantaran banyak dan bersungguh-sungguhnya dia sujud dan dia digelar Zul-bayyinat".


Namun, di kalangan Mazhab Ibadhi yang kini berkuasa di Oman, Abdullah bin Wahab Ar-Rasibi adalah sahabat nabi dan mereka memujinya dan menyebutkannya dengan radhiallahu anhu. Mereka menjadikan catatan At-Tobari mengenai perlantikannya memimpin sayap tentera menyerang Parsi pada zaman Umar Al-Khattab adalah dalil bahawa dia adalah sahabat nabi yang mulia.

Wallahu A'lam!




IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...