Friday, February 17, 2023

Abu Abdullah As-Syi'i (M: 298H)

Beliau adalah orang yang merintis jalan pertama ke arah terbentuknya kerajaan Fatimiyyah. Nama sebenarnya adalah Al-Hussain bin Muhammad bin Zakaria dan terkenal dengan panggilan Abu Abdillah As-Syi'i atau Al-Mu'allim. Beliau berasal dari Son'aa , Yaman. Sewaktu kecil dia belajar dengan Ibn Hausyib, seorang tokoh besar tabi'in, perawi hadis dan Maula (hamba) kepada Asma' bin Yazid Al-Ansari dan mendapat faedah daripada ilmunya.

Beliau meninggalkan Yaman dan pergi ke Makkah untuk mencari sokongan bagi dakwah Syiah. Di  Makkah, pada musim haji, dia menemui beberapa orang yang berasal dari kabilah Katamah, satu kabilah yang berasal Afrika Utara. Dia  mengajak mereka kepada mazhabnya, mazhab Syiah Isma'iliyyah dan mereka menyambutnya. Kemudian, bersama rombongan haji Katamah itu, Abu Abdullah As-Syi'i pergi ke Maghrib.Di sana dia melancarkan dakyah kepada kabilah Katamah agar membai'ah Al-Mahdi dan dia tidak menyebutkan nama siapakah Al-Mahdi itu. 

Bermodalkan sokongan kepada Imam Al-Mahdi itu, dia mendapat sokongan ramai kalangan kabilah Katamah. Sesiapa yang tidak menyokong untuk membai'ah Al-Mahdi diperangi sehingga semua kabilah Katamah tunduk kepada Al-Mahdi yang dijanjikannya itu.

Pada waktu itu ada sebuah kerajaan yang berdiri di Afrika Utara iaitu Kerajaan Aghlabiyyah. Pemimpinnya bernama Ibrahim bin Ahmad bin Aghlab. Perihal Abu Abdullah As-Syi'i itu sampai kepadanya. Namun dia diberitahu bahawa Abu Abdillah As-Syi'i itu tidak mengancam keutuhan kerajaan. Dia hanya seorang sufi yang menghabiskan masa dengan beribadat. Lalu dibiarkan. 

Namun, lama kelamaan pengaruh Abdullah As-Syi'i menjadi kian besar sehingga dia dapat menguasai satu kota bernama Mailah dengan aman. Apabila hal itu terjadi, Ibn Aghlab mengiirimkan pasukan 20 ribu tentera yang dipimpin oleh anaknya, Al-Ahwal untuk memerangi Abu Abdullah As-Syi'i dan penyokongnya. Abu Abdullah As-Syi'i dan para pengikutnya dikalahkan dan mereka lari berlindung di Pergunungan Ikjan dan di sana dia membangunkan kota yang dinamakan Darul Hijrah. Lalu ramailah orang datang dan tinggal di sana. Dari situ, kemudiannya Abu Abdullah As-Syi'i dan para pendokongnya dari kabilah Katamah  menguasai satu demi satu kawasan sehingga jatuhlah Qairawan ke tangan mereka. Rajanya waktu itu yang bernama Ziyadah Al-Aghlab III digulingkan.

Imam Syiah Isma'iliyyah waktu itu berada di Salamiyyah, Syria. Sampai khabar kepada Abu Abdillah As-Syi'i tentang kewafatan sang Imam dan anaknya Ubaidillah Al-Mahdi menggantikan posisi Imam Syiah Isma'iliyyah. Maka Abu Abdillah As-Syi'i mengirimkan utusan memaklumkan kejayaan dakwahnya di Utara Afrika. Lalu datanglah Ubaidillah Al-Mahdi memungut hasil kerja keras bertahun-tahun Abu Abdullah As-Syi'i. Tahun 296H kerajaan Aghlabiyyah dilenyapkan dan Ubaidillah Al-Mahdi pun dibai'ah oleh orang ramai sebagai khalifah.  Maka kerajaan yang terbina itu dinamakan oleh sejarawan Islam sebagai Kerajaan Ubaidiyyah. Ada yang menamakannya terus dengan kerajaan Fatimiyyah walaupun sebenarnya nama Fatimiyyah itu digunakan secara rasmi setelah penerusnya berjaya masuk ke Mesir.

Pengaruh dan ketaatan kabilah Katamah kepada Abu Abdullah As-Syi'i ini tidak disenangi oleh Ubaidllah Al-Mahdi. Dia pun mengarahkan dua orang suruhannya yang bernama 'Urubah bin Yusuf dan Habbasah bin Yusuf  untuk membunuh Abu Abdillah As-Syi'i dan juga seorang lagi saudara lelakinya yang bernama Abu Al-Abbas. Abu Abdullah As-Syi'i ketika bertanya mengapa dia hendak dibunuh, mereka berkata:

" Orang yang engkau suruh kami taat kepadanya, memerintahkan kami membunuhmu!".

Pada tahun 298 Abu Abdullah As-Syi'i pun mati dibunuh. Maka demikianlah berakhirnya riwayat Abu Abdullah As-Syi'i.  Dia dibunuh di sebuah kota bernama Riqadah, berhampiran dengan Qairawan. Seorang yang membuka jalan kepada naiknya kerajaan Ubaidillah Al-Mahdi, akhirnya menjadi korban. Kesetiaannya dicurigai. Madu yang dia hidangkan, tuba yang dia dapat. Sesungguhnya kekuasaan, pemberontakan dan revolusi menyimpan misteri yang tidak pernah dapat difahami sepenuhnya.

Benarlah kata-kata orang cerdik pandai: REVOLUSI MEMAKAN ANAK-ANAKNYA!


No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....