Bani Asad merupakan salah satu kabilah tua Arab Adnaniyyah yang mempunyai kedudukan dalam rumpun Mudhar. Mereka dinasabkan kepada:
Asad bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin Adnan.
Mereka bukan cabang Quraisy, tetapi mempunyai hubungan nasab yang jauh dengan Quraisy melalui rumpun Mudhar dan keturunan Adnan.
Bani Asad pada zaman Jahiliah terkenal sebagai salah satu kabilah yang mendiami kawasan Najd, khususnya wilayah yang terletak di bahagian tengah Semenanjung Arab. Kawasan penempatan mereka berubah-ubah mengikut zaman, termasuk kawasan yang berkaitan dengan Najd, al-Qasim dan sekitarnya, serta kawasan-kawasan yang menjadi laluan antara Iraq dan Hijaz.
Kedudukan geografi ini mempunyai kesan terhadap sejarah mereka. Bani Asad bukan sekadar sebuah kelompok kecil yang hidup terasing, tetapi terlibat dalam hubungan, persaingan dan peperangan dengan beberapa kabilah besar yang berada di sekeliling mereka.
Seperti kebanyakan kabilah Arab Najd, kekuatan mereka banyak bergantung kepada kekuatan nasab, solidariti kesukuan (‘asabiyyah), keberanian dalam peperangan, penguasaan kawasan padang pasir serta kemampuan melindungi kelompok dan harta mereka.
Nasab yang paling hampir dengan mereka adalah Bani Kinanah, Haun, Huzail, Tamim dan Muzainah.
Kabilah ini menarik untuk dikaji kerana sejarahnya memperlihatkan kepelbagaian watak dan pengalaman dalam sejarah Arab-Islam. Daripada Bani Asad lahir sahabat-sahabat Nabi ﷺ seperti ‘Ukkashah bin Mihsan, tetapi lahir juga tokoh seperti Tulayhah bin Khuwaylid al-Asadi yang pernah mendakwa kenabian dan menentang pemerintahan Islam sebelum kembali kepada Islam.
Ppada zaman Rasulullah SAW, mereka datang dalam satu rombongan masuk Islam. Tetapi kemasukkan mereka ke dalam Islam itu menimbulkan tanggapan kalangan mereka bahawa mereka telah berjasa kepada Islam kerana masuknya mereka ke dalam Islam tanpa perlu diperangi sebagaimana kabilah-kabilah lain. Hal inilah, yang menurut sebahagian besar mufassirn menjadi sebab nuzul ayat 17 Surah Al-Hujurat.
يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا ۖ قُل لَّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلَامَكُم ۖ بَلِ اللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلْإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (17)
“Mereka menganggap telah berjasa kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah: Janganlah kamu menganggap berjasa kepadaku dengan keislaman kamu. Bahkan Allah-lah yang melimpahkan kurnia kepada kamu dengan memberi petunjuk kepada iman, jika kamu benar.”
Surah Al-Hujurat: 17
Dalam Perang Futuhat ke wilayah Parsi zaman Khulafa' Ar- Rasyidin, Bani Asad memainkan peranan penting. Dalam Perang Al-Qodisiyyahm Bani Asad terlibat aktif. Seramai 3000 tentera adalah dari kalangan mereka. Antaranya adalah Dhirar bin Al-Azwar.
Bani Asad pernah membentuk dan memimpin kerajaan Maizidiyyah yang memerintah sebahagian Iraq dan bertahan selama 1 kurin setengah .
No comments:
Post a Comment