Monday, October 3, 2022

ABDUL MUTALIB DATUK NABI MUHAMMAD SAW

Abdul Mutalib adalah datuk Nabi Muhammad SAW. Namanya sebenarnya adalah Syaibah Al-Hamd bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan

Abdul Mutalib dilahirkan di Madinah. Ayahnya Hashim telah berkahwin dengan ibunya yang bernama Salma binti Amru An-Najjariyyah Al-Khazrajiyyah, seorang wanita dari Bani An-Najjar, iaitu satu cabang daripada kaum Khazraj. Kerana Hashim  itu seorang ahli perniagaan, dia selalu membuat perjalanan dagang ke utara dan Selatan. Musim dingin ke Syam dan Musim Panas ke Yaman. Dialah orang Quraisy yang mula mencipta tradisi perjalann itu sehingga disebut dalam Al-Quran mengenai kebiasaan itu iaitu Surah Quraisy.  Dalam satu perjalannya, dia bertemu jodoh dengan gadis Madinah yang bernama Salma bt Amru. Berkahwinlah mereka dan dapatlah seorang anak lelaki yang diberi nama Syaibah. Itu kerana waktu dilahirkan, rambutnya sudah ada uban. 

Hasyim tinggalkan anak dan isterinya itu pergi berniaga di Syam, sampai ke Gaza. Di sana dia meninggal dan dikebumikan. Lalu, saudara kandung Hashim, namanya Mutallib, datang ke Madinah. Anak saudaranya Syaibah diambilnya dan dibawa balik ke Makkah. Waktu sampai di Makkah, orang melihat ada budah yang dibawa Mutallib. Mereka sangka itu adalah hamba yang dibeli Mutallib. Mereka pun sebutkannya Abdul Mutallib. Mutallib kemudiannya menceritakan bahawa anak kecil itu adalah anak Hasyim, saudaranya yang meninggal di Gaza. Dia bawa balik kerana tidak mahu anak saudaranya membesar keseorangan di kabilah yang bukan asalnya.

Abdul Mutallib membesar dengan asuhan bapa saudaranya. Dia pemuda yang berbakat dan dihormati di Makkah. Kalibar kepimpinannya terserlah. Bila pakciknya Mutallib meninggal, dia mengambil alih pejagaan urusan Rifadah dan Siqayah urusan beri makan dan minuman kepada para rombongan penziarah haji yang datang ke Makkah saban tahun.  Tugas ini merupakan tugas leluhurnya sejak Qusai lagi.

Abdul Mutallib menghadapi kesukaran besar dalam tugasnya, terutama pada musim kemarau di mana air-air telaga di sekitar Makkah kering. Kerana itu fikirannya selalu terbayangkan telaga Zam Zam yang dikatakan ada di Makkah zaman datuk neneknya yang terdahulu tapi hilang. Hinggalah Allah mendatangkan mimpi kepadanya tempat yang harus digali untuk menemukan semula telaga Zam Zam itu. Dia dibantu oleh seorang anaknya yang bernama Al-Haristh. Dengan kehendak Allah dia berjaya menemuinya. 

Setelah ditemui telaga Zam Zam itu, ramailah orang mahu mendapat hak ke atas sumber mata air itu juga. Abdul Mutallib tidka punya kekuatan mempertahankan haknya kerana anak lelakinya cuma seorang. Itulah sebabnya dia bernazar kalau dia dapat 10 anak lelaki, seorang akan dikorbankan.  Abdul Mutallib dan pihak-pihak yang bertikai menuju ke Syam untuk bertemu seorang bijak yang boleh menyelesaikan pertikaian atas telaga Zam zam itu. Namun, dalam perjalanan mereka sesat. Masa di padang  pasir, mereka hampir mati kekurangan bekalan air. Di situ mereka bersepakat untuk masing-masing gali lubang untuk tempat mayat masing-masing . Lubang Abdul Mutallib keluar air. Melihat keajaiaban itu, mereka semua gembira  kerana selamat dan akurlah mereka bahawa telaga Zam-Zam di Makkah adalah menjadi hak Abdul Mutallib.

Abdul Mutallib menajdi pemimpin Kota Makkah yang disegani. 50 hari sebelum lahirnya nabi Muhammad SAW, Abrahah raja negeri Yaman telah menyerang Makkah dengan tujuan untuk meruntuhkan Ka'abah. Peristiwa ini memperlihatkan bagaimana sikap dan keyakinan Abdul Mutallib dalam menghadapi ancaman ke atas negerinya. Akhirnya Allah selamatkan Makkah dan Abrahah bersama tenteranya dimusnahkan oleh burung yang membawa batu-batu panas untuk dilemparkan ke atas mereka.

Negeri Yaman selepas Abrahah tewas telah dapat dikuasai oleh Saif Zi Yazan. Pada usia nabi Muhammad 2 tahun, Abdul Mutallib bersama Umayyah bin Abdus Syams, Abdullah bin Jad'an, Asad bin Abdul Uzza, Wahab bin Abdul Manaf (bapa Aminah) dan Qusai bin Abduddar telah mewakili Makkah membuat lawatan ke Yaman bertemu dengan Saif Zi Yazan. Tujuan mereka adalah menyatakan penghargaan atas perlantikannya sebagai raja Yaman.  Ketika itulah Saif Zi Yazan telah bertemu secara 4 mata dengan Abdul Mutallib dan mengkhabarkan kepada Abdul Mutallib hasil kajiannya dalam kitab-kitab silam. Bahawa dari keturunan Abdul Mutalib, akan muncul seorang pemimpin agung yang mengubah sejarah dan jadi imam buat manusia hingga kiamat.

Mungkin kerana khabar yang dia dengar daripada Raja Saif Zi Yazan inilah, maka Abdul Mutallib sangat membnerhatikan nabi serta menyayanginya. Dia pernah berkata satu hari kepada anak-anaknya di bawah bayang Ka'abah. Ketika itu Nabi Muhammad masih kecil. Dia datang dan duduk atas tempat khas Abdul Mutallib. Para bapa saudaranya cuba menghalang kerana mereka sendiri pun tidak duduk atas tempat ayah mereka kerana memuliakan ayah mereka. Kata Abdul Mutallib kepada anak-anaknya sambil menggosok belakang nabi yang diletakkan di sisinya:

دعوا ابْني، فو الله إنَّ لَهُ لَشَأْنًا

"Biarkan anakku ini, jangan dihalang. Sesungguhnya dia akan memiliki perkara besar"

Anak-Anak Lelaki  Abdul Mutallib ialah :

  1. Al-Harith-Anak sulung dan mati masa hayat ayahnya. Anak-anaknya ialah: Auf, Abdullah, Abu Sufyan, Umayyah,  Rabi'ah, Naufal, Abdul Mutallib dan Arwa.
  2. Abu Talib-Pengganti kepimpinan ayahnya. Anak-anaknya ialah Talib, Jaafar, Ali,Ummu Hani, Jammanah.
  3. Dhirar-Mati sebelum kenabian dan tiada pewaris.
  4. Az-Zubair- Seorang penyair dan mati sebelum kenabian serta tiada pewaris.
  5. Abdul Uzza (Abu Lahab)-anak-anaknya adalah Utbah, Utaibah, Mu'tab dan Durrah.
  6. Al-Ghaidaq-Mati sebelum kenabian.
  7. Al-Muqawwam-
  8. Qosam-mati kecil
  9. Hajal-dikatakan namanya adalah Al-Mughirah dikatakan ada anak bernama Qurrah bin Hajal.
  10. Abbas-masuk Islam dan ada anak yang ramai: Al-Fadl, Abdullah, Ubaidillah, Qosam, Ma'bad, Abdurrahman, Kathir, Al-Harith, Tamam, Ummu Habib, Sufiyyah, Aminah.
  11. Hamzah-Mati syahid dalam perang Uhud-anaknya Ya'la, 'Ammarah, 'Amir dan Fatimah
  12. Al-Awam-Ibunya adalah Halah bt Wuhaib bin Abdul Manafbin Zuhrah bin Kilab. Wuhaib dan saudara Wahab ayah Aminah(bonda Rasulullah SAW)
  13. Abdullah-Ayah nabi Muhammad SAW.
  14. Abdul Ka'bah-Mati sebelum kenabian dan tiada pewaris.

Abdul Mutallib juga ada anak perempuan iaitu;

  1. Ummu Hakim Al-Baidho'-Nenek Saidina Othman bin Affan sebelah ibunya.
  2. Atiqah- Ibu Abdullah bin Abi Umayyah
  3. Barrah-Ibu Abu Salamah bin Abdul Asad Al-Makhzumi
  4. Umaimah-Ibu Abdullah bin Jahsyin dan Zainab bt Jahsyim (ummul mukminin)
  5. Arwa- Ibu Tulaib bin Amru
  6. Sofiyyah-Ibu Zubair Al-Awwam
  7. Jamanah

Sumber- suber sejarah menyebutkan bahawa anak-anak Abdul Mutalib yang melahirkan keturunan adalah Abu Talib, Al-Harith, Abbas, Abu Lahab dan Abdullah. 

Abdul Mutallib meninggal pada tahun 578M pada usia 78 tahun dan dikebumikan di Makkah.

Baca: Wiki

No comments:

Post a Comment

Imam Mak-hul ( مكحول )

Nama penuhnya adalah Makhul bin Abdullah . Dikenali juga Makhul bin Abi Muslim Al-Huzali. Disebutkan juga namanya ialah Syahrab bin Syazil b...