Tuesday, January 10, 2023

Alp Arsalan

Alp Arsalan, nama sebenarnya adalah Dhiyaudunya waddin Abu Syuja' Muhamamd Alp Arsalan bin Daud bin Mikail bin Saljuk bin Daqqaq. Beliau adalah pemerintah kedua Kesultanan Saljuk. Beliau menggantikan pakciknya, Tughrul Bek yang dianggap sebagai pengasas kerajaan Saljuk. Beliau lahir pada tahun 425H.  Semasa Tughrul Bek menerajui kerajaan Saljuk, Alp Arsalan menjadi gabenor kerajaan Saljuk yang mentadbir Khurasan dan kawasan semberang sungai. Dia mewarisi posisi itu daripada ayahnya (Jughrai Bek) Daud bin Mikail (Saudara kandung Tughrul Bek) yang meninggal pada tahun 1059M.

Alp Arsalan mempunyai seorang wazir yang hebat bernama Nizamul Muluk At-Tusi. Apabila Tughrul Bek meninggal pada tahun 455H=1063M, beliau tiada anak untuk mewarisinya. Berlaku situasi cekcok dalam pemerintahan yang kemudiannya dapat dikuasai oleh Alp Arsalan, berkat kebijakan dan kecekapan wazirnya Nizamul Muluk dalam menyusun siasat. Alp Arsalan naik tahta dan beliau seorang yang kuat peribadinya, bersemangat juang untuk Islam dan cintakan jihad. Beliau berhasrat untuk meluaskan Islam ke wilayah-wilayah yang sedang dikuasai oleh kerajaan Kristian Byzentain. Setelah 6 tahun beliau menstabilkan kekuasaan dalam negeri, barulah nampak dasar luarnya.

Alp Arsalan naik menjadi Sultan Saljuk pada 8 Ramadhan 455H bersamaan 4 Sept 1063 M. Beliau mewarisi wilayah yang luas dari pantai Turkistan hingga ke Sungai Dajlah. Beliau bukan terus mendapat kekuasaannya. Beliau terpaksa berdepan dengan cabaran dari dalam keluarganya sendiri. Setelah Tughrul Bek meninggal wazirnya yang bernama Abu Nasir Al-Kandari berkira-kira untuk mengangkat seorang saudara bukan sekandung Alp Arsalan yang bernama Sulaiman  menjadi pengganti Tughrul Bek. Sulaiman itu masih kanak-kanak dan tujuan wazir itu tidak lain adalah memerintah atas nama Sulaiman. Maka Alp Arsalan segera berangkat dari Khurasan menuju ibu kota Saljuk di Array dan menguasainya. Wazir berserta Sulaiman dipaksa mengakui kekuasaannya. Setelah itu Alp Arsalan terpaksa berdepan pula dengan Qotalmusy bin Israil, pakciknya yang merasakan dia lebih layak mewarisi kerusi kepimpinan. Konflik dengan pakciknya itu membawa kepada peperangan di satu kawasan berdekatan Kota Array dan dimenangi oleh Alp Arsalan. Ancaman Qotalmusy akhirnya hilang apabila dia mati terbunuh pada 456H/1063M.

Setelah itu , beberapa tahun Alp Arsalan disibukkan dengan misi memadamkan pemberontakan beberapa wilayah untuk melepaskan diri daripada pusat pemerintahan. Pemerintah daerah Kirman dan lain-lain terlibat dalam menyokong penderhakaan kabilah-kabilah Turkman yang biasa dengan aktiviti rompakan dan rampasan. Pakciknya Baiju di Herat juga cuba melepaskan diri dan mewujudkan wilayah merdeka. Alp Arsalan berjaya menghadapi semuanya dan akhirnya menyatukan kerajaannya menjadi kuat dan padu.

Setelah kerajaannya stabil, itulah masanya dia menumpukan perhatian ke wilayah-wilayah bersempadan yang berada di bawah kekuasaan Bayzantine. Penaklukan dibuat ke wilayah Armenia, Georgia dan sepanjang sempadan Rom. Kaisar Rom pun bertindakbalas menyerang kawasan Syam dan menakluk Aleppo. Alp Arsalan mengirimkan anaknya Maliksyah memimpin pasukan tentera merampas kembali Aleppo. Pasukan Maliksyah juga berjaya menguasai hingga ke Baitul Maqdis.

Alp Arsalan memimpin pasukan Saljuk melawan pasukan Byzabtine yang dipimpin oleh kaisar Romanus Jalinus pada bulan Zulkaedah 463H ke dalam perang yang terkenal dinamakan Perang Manzikert. Pasukan Saljuk memenangi perang ini walaupun jumlahnya kauh lebih kecil berbanding jumlah pasukan Byzantine. Malah kaisar Romanus Jalinus sendiri ditawan dan Kerajaan Bayzantine terpaksa membayar tebusan yang sangat mahal untuk kebebasannya iaitu 10 juta keping emas.. Bahkan, kerajaan Byzantine sesudah perang itu terikat dengan perjanjian  yang menuntut mereka membayar jizyah kepada kerajaan Saljuk. Mereka juga minta perjanjian damai selama 50 tahun dan menyerahkan wilayah-wilayah yang telah dikuasai Saljuk dari tanah Byzantine.

Alp Arsalan tidak sempat lama di atas tahta menikmati hasil pencapaiannya. Kira-kira setahun lebih selepas Peperangan Manziket, Alp Arsalam telah terbunuh di tangan seorang yang membalas dendam dan usianya ketika itu baru 44 tahun. Kekuasaannya dilanjutkan oleh anaknya Maliksyah.

Rujukan: https://ar.wikipedia.org/

Baca : Artikal Islamweb

(Akan bersambung)

No comments:

Post a Comment

IMAM 'AMIR AS-SYA'BI

 Nama sebenarnya ialah Amir bin Syarahil bin Abd bin Zi Kibar Abu Amru Al-Hamdani As-Sya'bi Al-Kufi Ahli Sejarah berbeza pendapat tentan...