Thursday, June 8, 2023

IBN HIBBAN

Beliau adalah Abu Hatim Muhammad bin Hibban bin Ahmad bin Hibban bin Mu'az bin Ma'bad bin Sahid bin Murrah bin Saad bin Yazid bin Murrah bin Zaid bin Abdullah bin Darim bin Malik bin Hanzalah bin Malik bin Zaid bin Manat bin Tamin bin Mur bin "Ad bin Tobikhah bin Ilyas bin Madhar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan At-Tamimi Ad-Darimi Al-Busti.

Sumber-sumber sejarah sepakat menyebutkan bahawa Ibn Hibban dilahirkan di satu kota bernama Bust yang terletak antara Herat dan Ghaznah dalam negeri Afghanistan (hari ini).Tahun kelahirannya di anggar antara tahun 270H hingga 279H.Umur hidupnya menjangkau 80 tahun. Dia banyak mengembara mencari hadis dari Isbijab (satu bandar di Asia Tengah) hingga ke Isklandariah, Mesir. Dia menghabiskan sekitar 40 tahun untuk mengembara mencari ilmu sehinggalah akhirnya di pulang ke Bust dan meninggal di sana pada tahun 354H.

Ibn Hibban sendiri menyatakan dalam Muqaddimah Sahehnya bahawa dia telah mengambil ilmu daripada lebih dua ribu guru. Antara gurunya ialah:

  • Imam An-Nasa-i
  • Syeikhul Islam Abu Ya'la Al-musili 
  • Ibn Khuzaimah
Antara muridnya ialah:
  • Abu Abdullah Al-Hakim An-Nisaburi
  • Ibn Mandih 
  • Daru Qutni
  • Al-Khitobi
  • Ghanjar Al-Bukhari
Sewaktu Ibn Hibban di Nisabur, dia telah ditimpa fitnah tuduhan sebagai Zindiq. Ini berawal dari soalan yang ditanya kepadanya tentang apakah itu Nubuwwah. Dia menjawab bahawa Nubuwwah itu adalah Ilmu dan Amal. Jawapan ini dibantah oleh tokoh wu'az (Penceramah pemberi nasihat-kalau hari ini macam ustaz selebriti)) dan mereka menuduh Ibn Hibban mengatakan bahawa kenabian itu boleh dicapai dengan banyaknya ilmu dan banyaknya amal. Ini bertentangan dengan konsep kenabaian  sebagai insan pilihan Allah dan ia bukan kasbiah (usaha). Ia adalah wahbiyyah (anugerah). Hal ini sampai ke pengetahuan Khalifah Abbasiyyah dan dia diminta disiasat . Jika benar, halal darahnya. Namun, siasatan membebaskan Ibn Hibban daripada tohmahan itu. Pun begitu reputasinya telah ditajrih dan dia dihalau dari Nisabur. Maka dia berpindah ke Sijistan. Fitnah yang melengkarinya tetap mengekorinya. Maka dia balik Bust dan tinggal di sana hingga mati.

Fitnah ke atas Ibn Hibban ini adalah disebabkan perkataannya itu yang disalah fahami. Mereka mendengar Ibn Hibban menyebutkan bahawa kenabian itu adalah ilmu dan amal lalu difahami dengan tafsiran sendiri bahawa Ibn Hibban mengatakan bahawa sesiapa yang banyak ilmu, banyak amal boleh jadi nabi. Sikap menghukum orang berdasarkan perkataannya tanpa penjelasan telah berlaku sejak zaman Ibn Hibban hinggalah ke zaman kita. 

Imam Az-Zahabi ketika mempertahankan Ibn Hibban dalam kenyataannya menyebutkan bahawa perkataan bahawa kenabian itu adalah iman dan amal yang diucapkan Ibn Hibban membawa maksud bahawa kesempurnaan sifat kenabian adalah pada iman dan amalnya. Ia seperti hadis nabi yang menyebutkan bahawa "Haji itu adalah Arafah". Bukanlah bermakna haji dan arafah adalah dua perkara yang sama. Arafah itu hanya pelengkap kepada haji. Tanpa arafah (yakni wuqufnya) , maka haji tidak sempurna. Demikian maksud perkataan Ibn Hibban. Namun, ia disalahtanggapi. Ini kerana perkataan yang sama jika diungkapkan oleh para ahli falsafah atau zindiq, ia membawa maksud bahawa untuk mendapat kenabian seseornag perlu mencapai tahap ilmu dan iman yang tertentu. Ini tentulah salah dan kufur.

Sepatutnya, sesuai dengan keilmuan dan kesolehan Ibn Hibban itu, para pendengarnya hendaklah bersangka baik dan cuba memahami maksudnya dahulu sebelum membuat kesimpulan yang salah. Namun, kerana kedengkian dan burujk sangka merajai kepala, mereka terus menyerang Ibn Hibban.

Perhatikan dan bandingkan dengan apa yang berlaku hari ini kepada tokoh-tokoh hadis.

Ibn Hibban berkata: 
 النبوة العلم والعمل

Para wu'az yang (yang ungkin terganggu sumber mereka kerana ramai pergi belajar kepada Ibn Hibban dan mula kurang ke ceramah mereka) membuat kesimpulan dengan mengatakan:

يقول إبن حبان أن النبوة مكتسبة


Perangai macam ini terus ada. Lain yang tokoh ucap, lain yang ditafsirkan. 

Misalnya seorang tokoh kata Allah di atas langit. Maka tokoh itu dikatakan telah berakidah mujassimah kerana mengatakan Allah bertempat. Tokoh itu tidak sekali-kali mengucapkan bahawa Allah bertempat. Dia mengatakan Allah di langit kerana meniru apa yang disebutkan dalam nas Quran dan Hadis. Namun, orang yang ada penyakit kebencian kepada tokoh itu akan menyimpulkan mengikut pemahamannya. Tokoh itu dikatakan mujassimah kerana mendakwa Allah mengambil tempat dilangit! Hakikatnya yang mengatakan tokoh itu mujassimah, dia sendirilah mujassimah kerana dalam tasawwurnya, kalau Allah di langit, Allah berjihah dan berhad. Allah berjisim. Secara tidak sedar, fikirannya telah menyamakan Allah dengan makhluk. Makhluk , kalau dikatakan berada di atas gunung, maka itu bermakna dengan mengambil ruang dan tempat. Apakah Allah hendak disamakan dengan makhluk bila dikatakan Allah di langit??? Haihata haiha....

ما أشبه الليلة بالبارحة

Pengalaman pahit yang menimpa Ibn Hibban itu menimpa juga Imam Bukhari. Ia juga menimpa Imam Ibn Taimiyyah. Bahkan sebelum mereka, pernah dialami oleh Waqi' Ibn Jarrah. Kerana perkataan yang disalahtanggapi, mereka ditimpa mehnah. 


Imam  Malik pernah menyatakan :

إذا قال الرجل قولًا يحتمل الكفر من تسعة وتسعين وجهًا، ويحتمل الإيمان من وجه واحد حملناها على الإيمان
" Apabila seorang lelaki berkata dengan satu perkataan yang boleh diandaikan kufur atasnya pada 99 hujjah, tetapi ada keimanan buat pada satu hujjah, maka anggaplah dia beriman!".

(Kata-kata ini direkodkan dalam Atlasul Muhaddisin, oleh Sami bin Abdullah Al-Maghluth , ms 76)

Seorang yang bernama Yahya bin Amar ketika ditanya oleh Abu Ismail Al-Harawi, apakah dia pernah melihat Ibn Hibban. Maka Yahya bin Ammar menyatakan bahawa dia sendiri terlibat dalam penghalauan Ibn Hibban dari Sijistan. Ini kerana Ibn Hibban mebawa akidah menafikan had dan jihah bagi Allah. Akidah orang ramai waktu itu Allah SWT ada hah dan Jihah sebagaimana yang disebutkan dalam nas, tetapi Ibn Hibban menafikan adanya.

Ibn Hibban banyak menulis karya namun sebahagian besar karyanya hilang berikutan peredaran zaman. Antara karyanya yang masih kekal hingga kini:

a) Assirah An-Nabawiyyah Wa Akhbarul Khulafaa
b) Al-Majruhin Minal Muhaddisin
c) Raudhatul Uqalaa Wa Nuzhatul Fudhalaa...
d) Saheh Ibn Hibban; At-Taqasim Wal Anwa'
d) Masyahir Ulama Al-Amsor







No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....