Monday, December 4, 2023

IBNU AL-ATHIR


Pendahuluan:

Mendengar nama Kitab Al-Kamil Fi At-Tarikh,  maka bagi orang rajin memutala'ah peristiwa sejarah akan kenal nama pengarangnya iaitu  Ibnu Al-Athir. Para Pencita sejarah, kalau tak kenal Ibn Al-Athir, maka perlu dipertanyakan kepadanya, daripada mana dia belajar sejarah. Apakah sejarah itu buah fikiran sendiri atau hasil bacaan koleksi peristiwa sejarah yang telah dikumpulkan oleh ulama-ulama hebat di masa lalu. Jika sejarah hanyalah terjahan ijtihad sendiri, maka kita akan mendapati banyak sekali kelompongannya. Apatah lagi kalau sejarah dirujuk kepada laman-laman yang tidak dapat dipertanggunjawabkan secara akademik seperti  laman Wikipedia ataupun Britanicca.

Kata orang, pelajar universiti pun bila buat assignment berkaitan sejarah, akan merujuk kepada sumber-sumber primari dan tidak akan menjadikan wikipedia atau Britanicca seabgai sandarannya, apatah lagi kalau para professor di menara kartaksis!

Maka, Al-kamil Fi At-Tarikh adalah sumber primari dalam riwayat sejarah dan layak diletakkan sebagai nota rujukan dalam pembikinan sesebuah tesis. Justeru, wajar kita mengenali tokoh besar yang menghasilakan ensiklopedia sejarah yang hebat ini.

Beliau adalah Ibn Al-Athir Al-Jazari. Nama penuhnya adalah Izzuddin Abul Hasan Ali bin Muhammad bin Abdul Karim Al-Jazari Al-Musoli As-Syaibani. Beliau lahir pada 4 Jamadil Akhir tahun 555H di sebuah pulau yang dalam sejarah Islam disebut sebagai Jazirah Ibn Umar yang terletak dalam daerah Syarnaq iaitu di sebelah Timur Laut Anatolia. Dalam bahasa Turki disebut Cizre). Tidak dapat dimuktamadkan siapakah Ibn Umar yang menjadi awal nama penempatan tersebut. Ada yang mengatakan ia merujuk kepada Yusuf bin Umar As-Tsaqafi yang pernah menjadi gabenor negeri Iraq. Ada yang mengaitkan ia dengan nama Abdul Aziz bin Umar yang berasal daripada Barqa'id, Mosul yang telah membinanya. Kata Ibn Khalikan, dalam beberapa catatan sejarah ia dikaitkan juga dengan dua orang anak Umar yang bernama Aus dan Kamil dan dia tidak dapat mencari sumber pasti siapakah mereka itu.  

Gelaran Al-Jazari pada nama Ibn Al-Athir adalah nisbah kepada Jazirah Ibn Umar. Dia hidup sezaman dengan zaman Salahuddin Al-Ayubbi.

Beliau mendapat didikan agama yang kuat hasil perhatian ayahnya dan sejak keciil dia telah menghafaz Al-Quran. Bila dia bersama keluarganya berpindah ke  Mosul, di sana dia mendapat peluang mendalami ilmu dari tokoh-tokoh ulama di sana seperti Abu Al-Fadl Abdullah bin Ahmad, Abu Al-Faraj Yahya As-Tsaqafi dan kemudian dia merantau ke Baghdad dan Damsyiq untuk menuntuk ilmu dari tokoh-tokoh ulama di sana sebelum dia kembali ke Mosul dan mengisi masanya dengan mengarang kitab.

Antara kitab-kitab yang dihasilkan oleh Ibn Al-Athir:

1) Al-Kamil Fi At-Tarikh-12 Jilid . Kitab ini menceritakan sejarah sejak zaman awal hinggalan zaman kemunculan Islam. Kemudian, dari zaman awal Islam sehinggalah tahun-tahun pada zaman hidupnya dan berakhir pada tahun 628H. Beliau menggunakan metode penceritaan sejarah berdasarkan tahun.Ia menyentuh peristiwa-peristiwa sejarah di sebelah Timur maupun Barat Dunia Islam selama 7 kurun lebih.

Bagi para peneliti buku-buku sejarah, ada kewaspadaan terhadap satu unsur yang disebutkan sebagai "tasyayyu' ". Maka Al-Kamil  karya Ibn Athir ini tidak terlepas daripada pengaruh tersebut sungguhpun Ibn Al-Athir bukanlah seorang yang dilihat sebagai Syi'ah. Hanya, kelonggarannya dalam beberapa bahagian dalam kitabnya menyebabkan ia mirip kepada anasir tasyayyu'. Sesiapa yang membaca catatannya mengenai sejarah kerajaan Ubaidiyyah, akan menyedari sikap  positif Ibn Athir terhadap dakwaan bahawa keturunan penguasa mereka adalah bersambung kepada rasulullah SAW. Padahal, mengenai dakwaan salasilah para Ubaidiyyah itu sampai kepada Ali dan Fatimah telah dinafikan ramai kalangan ulama ali sunnah dan Ubaidillah Al-mahdi itu disebutkan sebagai berketurunan Yahudi Yaman iaitu Maimun Al-Qaddah. Namun Ibn Athir menyebutkan keturunan mereka tanpa kritikan dalam Al-Kamil. Demikian pula ketika Ibn Al-Athir mebentangkan peristiwa-peristiwa fitnah dan pertelagahan zaman sahabat, dia membawakan riwayat-riwayat mereka yang memusuhi sahabat. Di sini ada kecacatan dalam perekodan Al-Kamil oleh Ibn Al-Athir.

Komentar oleh:Fatwa Islamweb


2) Usdul Ghabah Fi Ma'rifati As-Sahabah-mengandungi biodata seramai kira-kira  7554 orang  sahabat nabi. Nama-nama sahabat yang dibentangkannya mengikut susunan abjad.

3) Al-Lubab Fi Tahzibil Ansab

4) At-Tarikh Al-Bahir Fi Ad-Daulah Al-Atabikiyyah


Baca: Youm7.com


Selepas pulang dari pengembaraannya dalam menuntut ilmu di Skota-kota Islam di Syam dan juga Iraq, dia bermukim di Kota Mosul dan hidup sebagai penulis. Dia menjauhi sebarang jawatan di samping pemerintah dan dia mewarisi kekayaan yang membolehkan dia hidupo senang dan tidak terganggu melaksanakan minatnya. Rumahnya di Kota Mosul menjadi tempat bekumup para pelajarnya serta para pelawat. Demikianlah kehidupannya dengan dunia ilmu dan penulisan sehnggalah wafatnya. 

Ibn Al-Athir meninggal pada bulan Sya'ban tahun 630H=1232M pada usia 63 tahun. Beliau dikebumikan di Mosul.


Perhatian:

Gelaran Ibn Al-Athir itu juga dipakai oleh dua tokoh ulama yang lain iaitu:

1) Majduddin Al-Mubarak yang lahir pada tahun 544H. (Maka dia lebih tua daripada Ibn Al-Athir yang kita bicarakan). Dia juga lahir di Pulau Ibn Umar , sama seperti Ibn Al-Athir yang kita bicarakan di atas. Dia menjawat jawatan penjaga Khazanah dalam pemerintahan Sultan Saifuddin Zinki, penguasa Mosul  pada tahun 556H. Kemudian dia mengetuai Dewan Insya' di bawah pemerintahan MUjahiduddin Qaimaz ( Ayah Muzaffiruddin Kukuburi). Meninggal tahun 606H. Antara kitabnya ialah: Manal At-Talib Fi Syar Thiwal Al- Gharaib dan Al-Badi' Fi Al-Ilmi A;-Arabiyyah, An-Nihayah Fi Gharibil Hadis, Jami;ul Usul Fi Hadis Ar-rasul,Al-Insaf Fil Jam'i Bainal Kasyfi Wal Kassyaf Fittafsir, Tajridu Asma'i Sahabah dan As-Syafi Fi Syarh Musnad As-Syafie.




2) Dhiauddin Nasrullah -Juga kelahiran Pulau Ibn Umar. Dikenali dengan gelaran Ibn Al-Athir Al-Katib. Dia lahir tahun 558H. (Maka dia lebih muda daripada Ibn Al-Athir yang kita  bicarakan di atas). Pernah menjawat jawatan Kadi bagi Sultan Salehuddin dan kemudian menjawat jawatan menteri di bawah Sultan Al-Afdhal bin Salehuddin. Namun, dia melepaskan jawatannya berikutan krisis politik yang terjadi dan dia beralih menjadi Katib Dewan Insya' bagi kerajaan Nasiruddin Mahmud bin Izzuddin Mas'ud di Mosul. Meninggal tahun 637H. Antara kitab yang ditinggalkannya ialah: Rasail Ibn Al-Athir, Al-Murasso' Fil Adabiyyat dan Al-Istidrak Fi Raddi 'Ala Ibn Ad-Dahhan.

Catatan: Nasiruddin Mahmud bin Izzuddin Mas'ud adalah salah seorang pemerintah dari keluarga Zinki di Mosul yang berkuasa antara tahun 615H hingga 631H.

Maka, tiga orang yang digelar Ibn Al-Athir ini adalah mereka yang pernah hidup dalam garis masa yang sama. Hanya berbeza tahun lahir dan tahun mati. Justeru, apabila kita membaca mana-mana kitab yang dinisbahkan kepada Ibn Al-Athir, maka semak dan teliti, Ibn Al-Athir manakah yang dimaksudkan sebagai pengarangnya.


Tambahan :

Semak: https://islamic.alfehrest.org/2011635.5/states/45

No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....