Tuesday, February 28, 2023

Takah-takah kebangkitan kerajaan Al-Murabitun

Kita mulakan dengan kisah seorang bernama Yahya bin Ibrahim. Kita panggil dia amir Yahya bin Ibrahim sebab dia seorang pemimpin kaum. Pemimpin adalah Amir. Dia adalah pemimpin kabilah Jaddalah, salah satu cabang dari Kabilah Sonhajah. Dia merasa risau melihat kabilahnya yang mengalami kemerosotan pemikiran, keimanan dan akhlak Islami. Di situ dia menginginkan sebuah Islah bagi mengangkat martabat serta menyelamatkan bangsanya. Namun, dia sendiri tidak mampu melakukannya dan memerlukan bantuan dan inspirasi. 

Kerana itu, dia mengadakan rehlah melakukan ibadah haji ke Makkah pada tahun 429H .Selesai ibadah haji dan dia pulang, dia melencong ke Kota Qairawan. Di sana dia bertemu dengan seorang ulama Mazhab Maliki bernama Syeikh Ibu Imran Al-Pasi. Dia tertarik dengan curahan ilmu dari Syeikh Abu Imran Al-Pasi itu dan berlakulah pertukaran pandangan antara dia dan Syeikh. Syeikh Abu Imran Al-Pasi menitipkan surat bersama Amir Yahya bin Ibrahim kepada seorang muridnya di Suoussa yang bernama Wajjaj bin Zalwu Al-Lumti. Surat itu mengandungi gesaan agar membantu amir Yahya bin Ibrahim dalam misi islahnya itu dan menjadikannya sebagai ladang pahala buatnya. Maka Syeikh Wajaj pun bentangkan hal itu kepada para muridnya. 

Seorang muridnya yang bernama Abdullah bin Yasin bin Mukuk Yasin bin Ali Al-Juzuli telah menyanggupi untuk mengikut amir Yahya bin Ibrahim pulang ke negerinya untuk berdakwah di sana. Pada mulanya dia disambut dan diraikan. Ramailah orang datang menutut ilmu daripadanya termasuk tokoh-tokoh agama kalangan kabilah Al-Jazuli  dan juga Sonhajah. Ada banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam pengamalan agama masyarakat. Di sinilah Syeikh Abdullah Yasin perlu punya tekad dan keberanian untuk membetulkannya. Misalnya, di kalangan masyarakat di sana ketika itu, mereka berkahwin lebih daripada 4 orang wanita. Ini tentu menyalahi Syarak dan Syeikh Abdullah Yasin merasa wajib membetulkannya. Ada banyak hal lain yang bertembung dengan pengajaran Syeikh Abdullah Yasin.

Demikianlah sunnah dakwah para nabi. Ia tidak berjalan di atas permaidani merah. Akan sentiasa ada musuh.

Ada seorang bernama Jauhar bin Sahim. Dia dan pengikutnya telah menghasut agar Syeikh Abdullah Yasin dihalau keluar dan dia berjaya membangkit amarah masyarakat dengan hasutan-hasutannya. Rumah Syeikh Abdulalh Yasin dirobohkan dan dia serta murid-muridnya terpaksa lari meninggalkan tempat tingal mereka dan pergi jauh.

Namun, adakah Syeikh Abdullah Yasin menyerah dalam menghadapi pendakian curam dalam dakwahnya ini? Apakah dia tersungkur dalam menghadapi suasana yang sedemikain sukar?

Tidak, dia adalah seorang dai'i yang berjiwa kental. 

Pelbagai pilihan di depannya. Balik semula kepada gurunya Syeikh Wajjaj? Mengadu kepadanya? Atau mencari lokasi dakwah yang lain? Pergi ke Sudan dan berdakwah di sana pula. Ada beberapa pandangan sejarawan mengenai situasi di persimpangan itu. Namun, menurut seorang sejarawan bernama Al-Bakri, ketika Syeikh Abdullah bin Yasin berkira-kira hendak berhijrah ke kawasan lain meneruskan dakwahnya, amir Yahya bin Ibrahim nerayu kepadanya agar terus kekal dalam misi asal mereka. Misi melakukan Islah di kalangan masyarakat Al-Jazuli. Maka di cadangkan agar mereka pergi ke sebuah pulau di kuala sungai Senegal yang mengalir ke Laut Atlantik. Kata amir Yahya Ibrahim:

" Ayuhlah kita tinggal di sana, kita makan apa yang halal dari tumbuhannya dan hasil lautnya. Kita beribadat di sana sehinggalah kita mati".

Usul itu diterima oleh Syeikh Abdullah bin Yasin. maka dia bersama 7 orang murid setianya mula tinggal di pulau itu. Dia dan muridnya membentuk ribat dan membangunkan kehidupan penuh ubudiyyah di sana. Selama 3 bulan kemudian, hal itu pun mula tersebar. Lalu ramailah yang berminat untuk menyertainya. Berbondong-bondonglah orang datang untuk menghirup gerimis keimanan di pulau yang berwalikan Abdullah bin Yasin.

Syeikh Abdullah bin Yasin pun membenihkan tarbiah buat mereka. Jumlah mereka pun mencecah 1000 orang dan kesetiaan dan walak mereka pun menjadi bulat terhadap Syeikh Abdullah bin Yasin. Fasa ini, Syeikh Abdullah Yasin pun menekankan peri pentingnya jihad. Pendekatan dalam menghadapi para penderhaka kepada Syariat Allah adalah diberi peluang bertaubat. Jika degil, siaplah menghadapi libasan pedang para Murabitun. Dengan cara ini, banyaklah kelompok yang menjadi duri dan tunggul-tunggul berceracak dalam medan dakwah dapat dibasmi.

Syeikh Abdullah bin Yasin satu ketika berkata kepada para Murabitun:

" Kita telah sampaikan hujjah kepada mereka dan kita sudah peringatkan. Kita sudah  sampai ke peringkat diuzurkan. Lalu berjihadlah dan perangilah mereka dengan berkah Allah!".

Amir Yahya bin Ibrahim menjadi tangan kanan Syeikh Abdullah bin Yasin dalam kerja-kerja jihad an perang ini. Syeikh Abdullah bin Yasin adalah pemimpin kerohanian dan amir Yahya bihn Ibrahim adalah pemimpin kepolitikan. Dalam menggalas tugas besar ini, amir Yahya bin Ibrahim pun meninggal dan Syeikh Abdullah bin Yasin memerlukan seornag yang lain menjadi pemimpin dalam menggerakkan pasukan.

Maka dilpilihnya seorang dari kabilah Lamtunah yang bernama Yahya bin Umar Al-Lamtuni untuk memimpin pasukan perang.

Kabilah Judalah pada mulanya mahu pemimpin pengganti di kalangan kabilah Judalah juga. Tetapi Abdullah bin Yasin menolak konsep peralihan kepimpinan sedemikian. Peralihan kepimpinan adalah secara Syura. Semua kabilah bermesyuarat dan ketika itu ketokohan Yahya bin Umar Al-Lamtuni menonjol. Seorang pemimpin dari kabilah Lamtunah. Maka dialah yang diangkat mengetui kabungan kabilah-kabilah Sonhajah.

Kabilah Sonhajah dikenali juga sebagai Kabilabh Al-Mulathimin (Kabilah yang berkerudung muka)

Dalam satu misi peperangan jihadnya dalam tahun 448H, Yahya bin Umar telah gugur syahid. Syeikh Abdullah bin Yasin sebagai imam dan syeikh Murabitin menunjukkan saudara kepada Yahya iaitu Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni untuk mengambil alih urusan perang dan jihad para Murabitin. Beliau seorang yang saleh lagi lagi warak.  Beliau mengangkat anak saudaranya yang bernama Yusuf bin Tasyafin menjadi pembantunya dalam urusan tersebut.

Yusuf bin Tasyafin inilah nanti kelak akan muncul sebagai tokoh besar pendiri kerajaan Murabitun yang hebat.

Abu Bakar bin Umar memimpin dengan baik sekali. Banyak bandar baru jatuh ke tangannya. Bandar Taroudant yang dikuasai golongan Khawarij Al-Bajliyyah nisbah kepada Ali bin Abdullah Al-Bajli juga dapat ditakluki. Golongan Khawarij ini wujud sejak zaman Ubaidillah Al-Mahdi Al-Fatimi lagi dan menjadi saingan kuat kepadanya. Para pengikutnya menwarisi pegangannya dan bertapak di Taroudant. Maka sebahagian besar kawasan Maghrib telah dapat dikuasai tentera Murabitun yang dipimpin oleh pemimpinnya yang bernama Abu Bakar bin Umar Al-Lamtuni.

Syeikh Abdullah bin Yasin menjalankan tugasnya berdakwah ke kota-kota yang belum takluk kepada Murabitun dengan cara dakwah bis silmi. Dia telah mendapat persetujuan kabilah-kabilah yang pelbagai di Aghmat untuk taat kepada Abu Bakar bin Umar.

Perjalanan menancapkan kesatuan dan wehdah di wilayah Maghrib ini bukanlah mudah. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi. Salah satu halangan besar yang terpaksa dihadapi adalah penentangan kabilah Barghawata. Mereka adalah kabilah besar yang menguasai bahagian besar dari Maghrib.

Barghawata ini asalnya adalah percampuran kabilah-kabilah Barbar yang berbagai-bagai dan menjadi pengikut kepada seorang nabi palsu bernama Saleh bin Tarif yang tinggal di Tamesna, satu kota di Maghrib.  Beliau mengaku nabi pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Asal beliau adalah satu kota bernama Barnat di Andalus. Maka pengikut Saleh bin Tarif itu dikenali sebagai Barnati. Maka di kalangan orang Arab disebut dengan lahjah Arab sebagai Barghawati.

Saleh bin Tarif itu adalah seorang yang asalnya  Yahudi , tinggal di Barnat, Andalus. Kemudian dia berhijrah ke Timur dan mempelajari bermacam ilmu sihir. Lalu dia berdomisil di Tamesna, Maghribi. Di sana masyarakatnya tenggelam dalam kejahilan. Maka Saleh bin Tarif menampilkan diri sebagai orang Zuhud dan mendakwa dirinya sebagai nabi dan membawa syariat baru. Peristiwa dia mendakwa jadi nabi itu berlaku sekitar tahun 125H. 

Inilah masyarakat Barghawata yang telah terfitnah dengan ajaran palsu Saleh bin Tarif dan keturunannnya. Kehidupan orang Islam di sana menjadi hina dan seperti buih laut. Perang dan pembunuhan menjadi lumrah. Apabila pasukan Murabitun menguasai Tamesna, syariat Islam ditegakkan dan najis ajaran sesat nabi palsu yang lepas itu itu dapat disamak.

(Rujuk: Nabi Palsu Saleh bin Tarif)

Dalam perang melawan kaum Barghawata inilah Syeikh Abdullah bin Yasin mendapat kecederaan yang mengakibatkannya gugur syahid. Tahun itu ialah 451H. 

Maka kepimpinan sepenuhnya berada di tangan Abu Bakar bin Umar. Beliau seorang memang layak memimpin. Hidupnya sibuk dengan jihad. 

Pada satu ketika dia diminta bantuan oleh kalangan penduduk kawasan padang pasir. Mereka telah terjerumus dalam pergaduhan sesama mereka. Demi meleraikan pergadunah tersebut , dia bertolak ke sana dengan separuh tentera Murabitun ke sama dan kepimpinan baki Murabitun di Sijilmasah diserahkan kepada Yusuf bin Tasyafin. Inilah titik di mana Yusuf bin Tasyafin menapak kejayaan dalam kepimpinannya sehingga pencapaiannya mengatasi seniornya sendiri.

Abu Bakar bin Umar sebelum pergi melanjutkan perjuangan di daerah padang pasir, dia menceraikan isterinya Zainab An-Nafzawiyyah dan mewasiatkan agar Yusuf bin Tasyafin menikahinya selepas habis iddah. Ini kerana dia ke medan jihad yang dia mencari syahid di sana. Maka tidak wajar dia meninggalkan isterinya yang masih muda dan cantik dalam keadaan tergantung tidak bertali. Inilah sikap tidak cintakan dunia yang dimiliki oleh peribadi Abu Bakarbin Umar.




Monday, February 27, 2023

PEMBERONTAKAN AZ-ZANJI

Setelah khalifah Abbasiyyah yang bergelar Al-Muntasir Billah meninggal kerana dibunuh oleh kelompok orang Turki dalam istana khalifah, tangkapan pun dibuat ke atas orang-orang yang rapat dan setia dengan Khalifah Al-Muntasir.  Antara orang yang rapat dengan Al-Muntasir adalah seorang lelaki Parsi yang bernama Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Ali bin Isa bin Zaid bin Ali bin Al-Hussain bin Ali bin Abi Talib (Nasabnya ini dipertikaikan oleh sesetengah sejarawan Islam). Dia dipenjarakan bersama orang-orang lain yang ditangkap.Keadaan ini menimbulkan kekacauan dalam negeri. Sekelompok pasukan tentera bangun memberontak dan memecahkan penjara dan membebaskan tahanan termasuklah Ali bin Muhammad.

Orang yang bernama Ali bin Muhammad inilah kemudiannnya mengemudi pemberontakan panjang yang dinamakan Pemberontakan Az-Zanji. Ia berlangsung antara tahun 255-270H.

Ali bin Muhammad meninggalkan Baghdad dan pergi ke Samanraa. Seterusnya menuju ke Bahrin dan  mengasaskan gerakan pemberontakan di sana. Az-Zanji merujuk kepada golongan hamba yang berasal afrika. Mereka Di bawa sebagai pekerja di ke ibu kota pemerintahan dan jumlah menjadi ramai. Zaman itu perdagangan hamba rancak sekali. 

DINASTI AS-SOFARIYYAH

Dinasti atau keluarga pemerintahan ini dinisbahkan kepada seorang yang bernama Ya'kob bin Al-Laith As-Soffar. Gelaran As-Soffar itu merujuk kepada perusahannya sebagai tukang tembaga. 

Sumber-sumber menyebutkan bahawa Ya'kob bin Al-Laith berasal dari daerah pergunungan Sas di Timur Parsi.

Bermula kisahnya, dia dan saudaranya Amru bin Al-Laith turut serta dalam peperangan melawan Khawarij bersama Saleh Al-Muttawa'i. Mereka berperang bersama Saleh Al-Muttawa'i sehinggalah matinya Saleh Al-Muttawa'i. Tempat Saleh Al-Muttawa'i kemudiannya digantikan oleh Dirham bin Al-Hussain Al-Muttawa'i. Kedua beradik tadi terus setia dalam perjuangan membanteras gerakan khawarij bersama ketua yang baru itu. Dirham telah melantik Ya'kob menjadi pemimpin atas askarnya. Para pemimpin yang bersama Dirham melihat Yaakob lebih layak daripada Dirham , maka mereka mengangkat Yaakob sebagai pemimpin mereka. Dirham pun jadi pengikutnya. Di bawah kepimpinan Yaakob, kawasan-kawasan baru dapat dikuasai. Kawsan yang dulunya di bawah kekuasaan Dinasti Tahiriyyah dirampas hinggalah akhirnya seluruh khurasan jatuh ke tangannya. Khalifah Al-Mu'taz pun berkenan melantiknya sebagai penguasa di daerah yang telah diambilnya. Maka Ya'kob pun mengirinkan hadiah-hadiah kepada khalifah Al-Mu'taz. Setelah itu pada zaman khalifah Al-Mu'tamid dia terus mengirnkan hadiah tahunan bernila 5 juta dirham.

Selepas Yaakob, saudaranya Amru meneruskan pemerintahan. Namun, pada tahun 287H, dia kalah dalam perang dengan kerajaan Samaniyyah dan ditawan.Beberapa pemimpin dari keluarga Sofariyyah meneruskan pemerintahan yang makin mengecil dan melemah sehinggalah tamat pada tahun 299H semasa Amru bin Yaakob jadi raja.

Sunday, February 26, 2023

TAHIR BIN AL-HUSSAIN, JENERAL PERANG AL-MAKMUN

Tahir bin Al-Hussain juga dikenang sebagai pengasas dinasti Tahiriyyah di Khurasan yang berlangsung antara tahun 205H hingga 258H

Khalifah Al-Amin putera Khalifah Harun Ar-Rasyid dengan isterinya Siti Zubaidah naik tahta khilafah selepas kematian Harun Ar-Rasyid. Sebelum meninggal dunia pada tahun 193H, Khalifah Harun Ar-Rasyid telah membuat surat wasiat untuk menetapkan penggantinya. Dia telah menyusun penggantinya bermula daripada Al-Amin , kemudiannya Al-Makmun dan kemudian Al-Mu'tamin.  Pada Masa Al-Amin naik menajdi khalifah, Al-Makmun telah diberi kuasa oleh Harun Ar-Rasyid sebagai gabenor atas wilayah Khurasan.  Al-Makmun ini adalah anak pertama Harun Ar-Rasyid. Cuma dia bukan anak Hasyimiyyah seperti Al-Amin. Al-Makmun adalah anak kepada hamba Harun Ar-Rasyid yang berbangsa Parsi. Nama ibu Al-Makmun itu adalah Marajil. Sementara Al-Amin pula adalah anak kepada Zubaidah binti Abu Jaafar Al-Mansur, khalifah kedua Abbasiyyah.

Apabila Al-Amin naik tahta, dia dipegarui oleh wazirnya yang bernama Al-Fadhlu bin Ar-Rabi' agar melucutkan jawatan Al-Makmun dan digantikan dengan anaknya yang bernama Musa bin Al-Amin dan digelar An-Natiq Bil Haq. Hal itu masuk ke fikiran Al-Amin dan dia pun memecatkan Al-Makmun. Tentu sekali perbuatannya itu mencetus kemarahan Al-Makmun.

Dua beradik sebapa berlainan ibu itupun berperanglah antara satu sama lain. Al-Amin mengirmkan pasukan tentera yang ramai dengan dipimpin oleh Ali bin Isa bin Mahan ke Khurasan. Ali bin Isa ini memang menyimpan dendam kepada penduduk Khurasan kerana dahulu, di zaman Harun Ar-Rasyid dia diadukan penduduk Khurasan kepada khalifah sehingga dia ditangkap dan dipenjarakan. Jumlah tenteranya melebihi 40 orang. Sementara Al-Makmun yang ada di Khurasan mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Tahir bin Al-Hussain dengan tenteranya hanya sekitar 4 ribu orang sahaja. Pertempuran berlaku di Ar-Ray.

Di sinilah nama TAHIR BIN AL-HUSSAIN menjadi tokoh penting. Dengan kecekapan, keberanian serta tekadnya yang jitu, tenteranya yang sedikit itu dapat mengalahkan tentera Khalifah Al-Amin.Ali bin Isa bin Mahan terbunuh. Kekalahan askar Al-Amin membawa kepada penguasaan bandar-bandar di Parsi oleh pasukan tentera Tahir bin Al-Hussain seperti bandar Al-Ahwaz, Ar-Ray, Al-Wasit dan Al-Mada-in. Kemudiannya tenteranya menyerbu Iraq dan mengepung Kota Bagdad. Tahir bin Al-Hussain sendiri telah berjaya membunuh Al-Amin pada tahun 198H.

Namun, setelah kejayaan itu dan Al-Makmun naik menjadi khalifah, hubungan Tahir bin Al-Hussain dengan khalifah Al-Makmun tidak berjalan mulus. Ada kecurigaan antara keduanya. Tahir minta agar dia ditugaskan ke Khurasan. Al-Makmun bersetuju dan dia pun diangkat jadi wakil khalifah di Khurasan pada tahun 205H. Akan tetapi Al-Makmun memasang pengintip kerana bimbang Tahir akan membawa Khurasan merdeka daripadanya.

Pada 20 jamadil Akhir tahun 207H, hari Jumaat, Tahir bin Al-Hussain telah melakukan sesuatu yang menimbulkan tuduhan atasnya menderhaka kepada Al-Maklmun. Dia tidak mendoakan untuk khalifah di atas mimbar sewaktu khutbah sebagaimana kebiasaannya. Mata-mata Al-Makmun menyampaikan berita itu kepada khalifah dan pada hari itu juga Tahir bin Al-Hussain ditemui mati dalam kamarnya.

Ada desas desus mengatakan kematiannya disebabkan diracun oleh orang-orang Al-Makmun. Ada yang menyebutkan matinya Tahir adalah disebabkan demam. Hanya Allah yang tahu apakah hakikat sebenar.

Selepas itu, posisi Tahir bin Al-Hussain digantikan dengan gabenor baru iaitu anak Tahir bin Al-Hussain bernama Talhah (208-213H).Dengan itu pemerintahan wilayah Khurasan berada di tangan keluarga Tahir bin Al-Husain. Mereka memerintah dengan bebas, namun pada nama, mereka berada di bawah kekuasaan Bagdad. Dari semasa ke semasa mereka terlibat mengirimkan pasukan bantuan untuk misi ketenteraan khalifah. Ketika bangkt memberontak Nasir bin Syabsin di Utara Aleppo, Abdullah bin Tahir memmimpin pasukannya ke sana dan menawan Nasir bin Syabsin dan menyerankannya kepada khalifah. Pada masa Al-Mu'tasim jadi khalifah, beliau juga bertindak bagi pihak khalifah memadamkan pemberontakan di Tibristan. Pemerintahan keluarga Tahir bin Al-Hussain ini disebutkan sebagai Kerajaan Tohiriyyah. Mereka terus berdiri sebagai sebuah pemerintahan yang taat kepada khalifah Abbasiyyah. Seramai 4 orang penguasa lagi selepas Tahir bin Al-Hussain. Kedudukan mereka berakhir pada masa Muhamamd bin Tahir bin Abdullah bin Tahir bin Al-Hussain pada tahun 258H . Dengan itu, naik dinasti baru dengan nama Kerajaan Sofariyyah.



Jatuh Kerajaan Buwaihiyyah naik Kerajaan Saljuqiyyah

Buwaih hanyalah seorang lelaki berbangsa Parsi yang menyara hidup sebagai nelayan negeri Dailam yang terletak di Barat Parsi) (Seletan Laut Qazwin). Nama penuhnya adalah Abu Syuja' Buwaih bin Fanasru. Dia dikatakan keturunan raja-raja Parsi di zaman silam. Dia ada tiga anak lelaki yang dinamakan Ali, Hasan dan Ahmad yang terlibat dalam ketenteraan seornag pemimpin  di Dailan yang bernama Makan bin Ali. Mereka bertiga meningkat prestasi dan kemudian meninggalkannya dan bergabung pula bersama Madawij bin Ziyad yang lebih berkuasa ke atas Dailam. Mereka menjadi pendokongnya pada mulanya tetapi akhirnya menentangnya pula serta terlibat dalam pembunuhannya.

Madawij bin  Ziyad itu mendakwa ruh Sulaiman bin Daud menguasai tubuhnya dan dia duduk di atas katil dari emas dan dikelililingi oleh tentera-tentera dari bangsa Atrak. Dia mendakwea mereka itu adalah bangsa jin sebagaimana Nabi Sulaiman ada tentera dari bansga Jin.Dia merendahkan orang sekelilingnya sehingga akhirnya dia dibunuh oleh mereka dalam bilik mandi.
-Ziyarid Dynasty
- Dia Keturunan raja-raja Sasan. Cita2nya dan menghidupkan kembali Daulah Sasaniyah dan mengembalikan Budaya Parsi serta agama Zoroaster.
-Dengan jalan itu, dia mahu menamatkan kekuasaan Kerajaan Abbasiyah.
-Pemimpin yang tidak men jaga maruah bawahan ankhirnya menguindang pengkhianatan. 
-Anak-anak Buwaih yang saat itu mempunyai posisi berpengaruh dalam askarnya yang merencana pembunbuhannya.
-Selepas itu anak-anak Buwaih dapat menguasai Dailan dan seterusnya kawasan yang luas dalam wilayah Parsi.
Madawij digantikan oleh saudaranya yang bernama Syamkir bin Ziyad

Tahun 322H, Ali bin Buwaih telah berjaya menguasai Syiraz dan menghalau keluar gabenor Abbasiyyah di sana yang bernama Yaqut. Dengan itu, seluruh wilayah Parsi tunduk kepadanya. 

Khalifah Abbasiyyah ketika itu adalah Ar-Radhi Billah. Beliau adalah khalifah ke-10 dalam susunan khalifah Abbasiyyah. Namanya adalah Abul Abbas Muhammad bin Al-Muqtadir bin Al-Mu'tadhid bin Al-Muwaffiq bin Al-Mutawakkil bin Al-Mu'tasim bin Harun Ar-Rasyid

Ali bin Buwaih meninggal tahun 338H dan meninggalkan sebuah kerajaan Syiah yang kuat di sebelah Timur.

Pada tahun 440H, Daulah Buwaihiyyah dibawah kepimpinan Al-Malikurrahim. Dizamannya, kerajaan Buwaiiyyah mengalami kelemahan dan dalam masa yang sama ada kekuatan baru sednag mara bangkit. Mereka adalah Daulah Saljuqiyyah. 

Pada tahun 447 H, Tugrul Bek dari kerajaan Saljuqiyyah menguasai Baghdad dan dengan itu lenyaplah kerajaan Buwaihiyyah setelah memerintah selama 113 tahun dengan jumlah raja 11 orang bermula Mu'izuddaulah Ali bin Buwaih hingga Al-Malikurrahim.

Rujuk: 


Tuesday, February 21, 2023

Nabi menolak untuk menikahi Ummu Hani

Ummu Hani' adalah anak kepada Abu Talib. Dia juga adalah anak kepada Fatimah binti Asad isteri Abu Talib. Selain dia, anak-anak Fatimah binti Asad adalah Ali, Talib, Aqil dan Ja'afar At-Toyyar. Nama sebenar Ummu Hani' adalah Fakhitah. Pada masa sebelum Islam, nabi SAW pernah melamarnya tetapi Abu Talib tidak menerimanya dan menganwinkannya dengan Hubairah bin Abi Wahab Al-Makhzumi.

Jawapan Abu Talib kepada nabi sebagai alasannya menolak pinangan nabi SAW:

 يا ابن أَخِي إِنَّا قَدْ صَاهَرْنَا إِلَيْهِمْ، وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ


Dengan Hubairah itu, Ummu Hani mendapat anak-anak yang bernama Hani', Ju'dah, Umar dan Yusuf.

Ummu Hani' memeluk Islam pada tahun pembukaan Kota Makkah. Rasulullah melamarnya setelah dia berpisah dengan suaminya kerana keislamannya itu. Namun, Ummu Hani' menolaknya atas alasan dia ada anak-anak yang perlu dijaga. Kemudian, setelah masalah anaknya selesai, dia datang menemui Rasulullah SAW dan menawarkan untuk jadi isteri Rasulullah SAW. 

Ketika itu Rasulullah menolak kerana telah turun ayat Quran yang melarang baginda menikahi melainkan wanita yang berhijrah bersama Rasulullah SAW sedangkan Ummu Hani' bukan kalangan Muhajirat. (Rujuk: Al-Isobah Fi Tamyizis Sohabah: ms85)

Firman Allah SWT dalam Surag Al-Ahzab, ayat 50:


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا (50)


Maksudnya:

Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kawinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikaruniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mau mengawininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Sunday, February 19, 2023

MAZHAB KHAWARIJ IBADHI

Khawarij adalah satu aliran dalam Islam yang mula menampakkan dirinya selepas peristiwa Tahkim. Bermula dengan kelompok Al-Mahkamatul Ula, Khawarij berkembang dan berpecah kepada pelbagai firqah. Antara Firqah Khawarij yang muncul madalah Firqah Ibadhi. Firqah ini dinisbahkan kepada Abduulah bin Ibadh. 

Sesetengah penyelidik menyebutkan bahawa Khawarij Ibadhi ini bermula daripada para pengikut Jabir bin Zaid Al-Azdi, seorang yang berguru dengan Ibn Abbas serta meriwayatkan hadis daripada Saidatina Aisyah r.a. Beliau merupakan Imam dalam tafsir dan hadis di kalangan Tabi'in. Beliau tinggal di Basrah. Pada masa Hajjaj bin Yusuf menekan keluarga Mahlab bin Abi Safrah, mereka menjadikan Jabir bin Zaid sebagai tempat rujukan mereka  dalam menggerakkan penentangan kepada kezaliman Hajjaj.  

Ada pendapat mengatakan bahawa Abdullah bin Ibadhilah yang perancang sebenar aliran ini. Ada yang mengatakan bahawa nama Ibadhi itu adalah dipopularkan oleh bani Umayyah kerana hendak mengelakkan nisbah mazhab ini kepada seorang tabi'in yang mulia.


Abdullah bin Ibadh  merupakan seorang yang berasal dari Bani Tamim yang menghuni Yaman. Dia lahir pada zaman khalifah Mu'awityah dan meninggal pada akhir zaman Abdul Malik Marwan.

Kaum Ibadhi merujuk kitab Hadis yang tunggal di kalangan mereka iaitu kitab " Al-Jami'u As-Saheh Musnad Imam Ar-Rabi'  bin Habib". Mereka menganggap kitab hadis ini adalah yang paling Saheh selepas Al-Quran.

Di kalangan Ahli Sunnah, kewujudan insan bernama Ar-Rabi' bin Habib Al-Azdi yang menghuni Basrah pada kurun ke-2 Hijrah seperti  yang dikatakan Ibadhi itu diragukan. Apalagi ada Musnad yang disandarkan kepadanya. Dalam kitab-kitab rijal yang dikarang oleh kalangan ulama Ahli Sunnah, tiada nama Ar-Rabi' bin Habib Al-Azdi itu, padahal telah menjaid ihtimam para ulama dalam bidang ilmu hadis mencatat semua tokoh perawi dengan sifatnya.

Maka watak Ar-Rabi' bin Habib Al-Azdi ini adalah fiksyen dan kitab Hadis yang disandar kepadanya itu bukan ditulis pada zamannya dan ia ditulis kemudian dna disandarkan namanya.

Pada hari ini, kerajaan Oman meletakkan Ibadhi sebagai mazhab negara. Para mufti Oman adalah orang-orang yang bermazhab Ibadhi. Mengikut perangkaan terbaru, 70 peratus penduduk Oman adalah di atas mazhab Ibadhi.

Para pengikut Ibadhi juga ada di beberapa tempat lain seperti di Pergunungan Nufusah dan Zuwarah di Libya, Pulau Djerba di Tunisia, Wadi Mizab di Algeria, Kepullauan Zanzibar di Tanzania, Mali dan juga di Paris, ibu negara Perancis.

(Sambung kemudian)


Bacaan: Memahami erti Khawarij di zaman moden

IMAM SARAKHSI ULAMA YANG DIPENJARA DALAM PERIGI BUTA

Kisah Imam Sarakhsi, seorang fakih mazahab Hanafi dipenjarakan adalah satu kisah yang membawa kita kagum dengan kuasa ilmu. Ia juga beri kit...