Tuesday, October 4, 2022

Utbah bin Rabi'ah, sang pintar Quraisy yang terpedaya

Utbah bin Rabi'ah, nama penuhnya adalah Utbah bin Rabi'ah bin Abd Syams bin Abdul Manaf bin bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadhor bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Madhor bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan.

Beliau adalah kalangan pemimpin daripada Bani Abd Syams, pemuka Kota Makkah dan orang bijak Quraisy. Beliau berperwatakan lembut dan menjadi juru penyelesai kepada banyak permasalahan yang menimpa Quraisy di Kota Makkah.


Utbah dilahirkan di Kota Makkah 3 tahun sebelum Tahun Gajah. Beliau sorang yang bertubuh tinggi dan sasa. Beliau mahir dalam berkuda dan pandai membaca dan menulis. Beliau banyak pengetahuan tentang nasab dan sejarah Quraisy serta orang Arab.

Beliau orang berada . Beliau ada kebun di Taif yang pernah nabi masuk berlindung di dalamnya dan bertemu dengan penjaga kebunnya yang bernama 'Adas.

Beliau pernah berhadapan dengan nabi SAW dalam rangka menyelsaikan permasalahan gugatan dakwah nabi terhadap keselesaan orang Quraisy di Makkah. Dia mengemukakan idea-ideanya yang penuh hikmah, tenang dan bijaksana. Kononnya dia mahu jadi peneyelesai masalah seperti dia sudah selesaikan banyak masalah kaum Quraisy. 

Perkataannya kepada nabi SAW dirakamkan dalam kitab-kitab sirah:

يا ابن أخي، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالاً جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالاً. وإن كنت تريد به شرفًا سَوّدناك علينا، حتى لا نقطع أمرًا دونك. وإن كنت تريد به ملكًا ملكناك علينا. وإن كان هذا الذي يأتيك رِئْيًا تراه لا تستطيع رده عن نفسك طلبنا لك الطب، وبذلنا فيه أموالنا حتى نبرئك منه، فإنه ربما غلب التابع على الرجل حتى يُداوى منه. وكان عتبة يقدم هذه العروض وهو يرى أنه يقدم أكبر تنازل قد حدث في تاريخ مكة كلها

Dalam perang Badar pada tahun ke-2 H, Utbah ikut serta berperang bagi pihak kafir Quraisy. Sebenarnya, pada ketika sampai khabar selamatnya kafilah dagang Abu Sufyan, dia telah ajak tentera-tentera yang sedang menuju Madinah itu berpatah balik. Namun, kedegilan dan kesombongan Abu Jahal( Juga kebodohannya), menyebabkan tentera itu meneruskan misi mereka. Maka Utbah pun ikut juga.

Disebutkan dalam hadis mengenai perang tanding dalam peristiwa Perang Badar:


أخرج أبو داود في سننه وأحمد في مسنده وغيرهما عن حارثة بن مضرب عن علي قال: تقدم يعني عتبة بن ربيعة وتبعه ابنه وأخوه فنادى من يبارز فانتدب له شباب من الأنصار فقال من أنتم؟ فأخبروه، فقال: لا حاجة لنا فيكم، إنما أردنا بني عمنا. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: قم يا حمزة قم يا علي قم يا عبيدة بن الحرث. فأقبل حمزة إلى عتبة وأقبلت إلى شيبة واختلف بين عبيدة والوليد ضربتان فأثخن كل واحد منهما صاحبه، ثم ملنا إلى الوليد فقتلناه واحتملنا عبيدة. 
قال الشيخ الألباني: صحيح

Utbah menjadi salah seorang daripada 3 wakil tentera Quraisy dalam perang tanding sebelum bermulanya perang terbuka. Perang tanding (Mubarazah) itu adalah antara:

1) Utbah bin Rabi'ah VS Hamzah bin Abdul Mutallib
2) Syaibah bin Rabi'ah VS Ubaidah bin Al-Harith
3) Al-Walid bin Utbah VS Ali bin Abi Talib

Catatan: Menelaah rekod sejarah, kita menyimpulkan bahawa usia Ali bin Abi Talib sewaktu Mubarazah dalam Perang Badar itu adalah 20 tahun .


Hamzah dan Ali bin Abi Talib dengan mudah membunuh lawan kedua-duanya. Namun Ubaidah bin Al-Harith kepayahan melawan Syaibah bin Rabi'ah. Ubaidah tekena tikaman dan libasan Syaibah dan jatuh. Hamzah dan Ali menolong dan mereka membunuh Syaibah bin Rabi'ah. Ubaidah bin Al-Harith luka parah dan dia mati syahid ketika tentera Islam telah menang dan dalam perjalanan balik Madinah.Dia dikebumikan di satu tempat bernama Assofraa'.

Catatan: Ubaidah bin Al-Harith adalah sepupu Rasulullah SAW. Al-Harith ayahnya adalah putera Abdul Mutallib bin Hashim.

Anak Utbah bin Rabi'ah seorang di pihak kaum Muslimin ketika itu. Namanya Abu Huzaifah bin Utbah. Mulanya dia minta izin daripada Rasulullah untuk masuk perang tanding melawan ayahnya, tetapi Rasulullah tidak benarkan. Hindun bin Utbah, saudara perempuannya merangkap isteri kepada Abu Sufyan menempelaknya dalam rangkap Syair:

الأحول الأثعل المشؤوم طائره     أبو حذيفة شر الناس في الدين 
أما شكرت أبًا ربَّاك من صِغَرٍ    حتى شَبَبْتَ شبابًا غير محجون؟


Sang Ahwal dan Asyghal yang sial tercela     Abu Huzaifah sejahat-jahat manusia dalam agama (agama nenek moyang)
Tindakkah engkau berterimaksih kepada bapamu yang membelamu sejak kecil
Hingga engkau dewasa menjadi pemuda yang tidak mahjun

الأحول=orang yang mata hitamnya membulat di kelilingi mata putih
 الأثعل= orang yang giginya bertindih, tak tersusun rapi.

Hindun membuat celaan fizikal ke atas saudara kandungnya Abu Huzaifah untuk menambahkan pedasnya hija'nya.

Abu Huzaifah itu sendiri mati syahid dalam Perang Al-Yamamah melawan nabi Palsu Musailamah Al-Kazzab.



No comments:

Post a Comment

Imam Mak-hul ( مكحول )

Nama penuhnya adalah Makhul bin Abdullah . Dikenali juga Makhul bin Abi Muslim Al-Huzali. Disebutkan juga namanya ialah Syahrab bin Syazil b...