Sunday, February 19, 2023

ALI BIN ISA BIN MAHAN

Pemimpin yang memegang jawatan lalu memperkayakan diri adalah pemimpin yang buruk dan tidak layak berada pada posisi kepimpinan. Ia hanya akan merosakkan negara dan kelak di akhirat akan berdepan dengan soalan yang amat sukar jawapannya. Sepanjang sejarah ramai sekali pemimpin yang sedemikian. baik pemimpin yang kafir maupun yang beriman. Soal tamak harta dan melahap harta negara , ini merentas agama dan kepercayaan.

Kali ini kita sentuh satu nama yang pernah menjawat jawatan gabenor kerajaan Abbasiyah di wilayah Samarkand. Namanya adalah Ali bin Isa bin Mahan (M; 195H). Beliau adalah seorang gabenor kerajaan Abbasiyyah pada zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid dan anaknya Al-Amin. Tahun 180H, dia dilantik oleh Harun Ar-Rasyid jadi gabenor di Khurasan , namun 2 tahun kemudian, apabila Harun Ar-Rasyid hantar anaknya Al-Makmun ke Khurasan, dia dijadikan pembantu Al-Makmun.

Pada tahun 190H, di Samarkand bangkitlah pemberontakan Rafi' bin Al-Laith. Ali bin Isa bin Mahan cuba memadamkan pemberontakan itu tetap dia dikalahkan oleh Rafi' bin Al-Laith. Ini membuatkan Khalifah Harun Ar-Rasyid menjadi marah. Lebih-lebih lagi apabila Khalifah mendapat tahu kezaliman dan kekerasannya terhadap rakyat serta tidak memuliakan pemimpin setempat. Ditambah pula laporan tentang kekayaannya yang melampau yang telah dihimpunkannya sepanjang dia menjawat jawatan sebagai gabenor. 

Maka, pada tahun 192H, dia dipecat dari jawatannya. Dia dipenjara dan hartanya diselongkar dan dirampas. Dikatakan hartanya berjumlah 80 juta. Apabila harta-hartanya dikumpulkan, didapati semuanya berjumlah tunggangan 1500 unta. Semuanya dirampas oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid Tempatnya digantikan dengan Harthamah bin A'yun.

Catatan Selingan:

1) Rafi' bin Al-Laith yang memberontak itu, pada zaman Al-Makmun jadi khalifah, dia telah kembali taat kepada kerajaan dan Al-Makmun memaafkannya.

2) Harthamah bin A'yun, ketika konflik antara Al-Amin dengan Al-Makmun memuncak dia mengambil pendekatan lunak dan cuba menyelamatkan nyawa Al-Amin dari dibunuh. Sikapnya ini menjadi punca dia dituduh tidak setia kepada Al-Makmun dan ditambah mpula menteri kepada Al-Makmun yang bernama Al-Fadhlu bin Sahal As-Sarkhasi tidak menyukainya. Maka Harthamah dijebloskan ke penjara dan mati di dalamnya. Dikatakan Al-Fadhli bin Sahal, sang menteri itulah yang meracuninya dalam penjara.

Namun, bila Al-Amin anak Harun Ar-Rasyid jadi khalifah pada tahun 193H, dia membebaskan Ali bin Isa bin Mahan dari penjaran. Hartanya yang dirampas turut dikembalikan. bahkan dia dikembalikan posisi gabenor di Ar-Ray, Asfahan, Hamdan dan Nahawand.

Dulu masa hayat harun Ar-Rasyid, dia telah membuat surat bai'ah khalifah sesudahnya. Dia menetapkan penggantinya adalah Al-Amin, kemudian  Al-Makmun  dan seterusnya Al-Muktamin. Tindakan Harun Ar-Rasyid ini telah membawa negara ke kancah perang saudara kemudiannya. Al-Amin telah dihasut oleh Ali bin Isa bin mahan serta wazirnya yang bernama Al-Fadhlu bin Ar-Rabi' untuk memecat Al-Makmun dan Al-Mu'tamin dari senarai Putera Mahkota dan menggantikannya dengan anak sendiri iaitu Musa yang digelar An-Natiq Bilhaq. Al-Amin telah menurut nasihat keji itu yang kemudiannay memakan diri sendiri.

Al-Makmun yang berkuasa di wilayah Khurasan tidak boleh menerima tindakan Al-Amin. Dia bangkit menentang. Al-Amin pun kirimkan pasukan tentera 40 ribu personal dengan gari dari perak dengan tujuan membelenggu Al-Makmun. Tentera itu dipimpin oleh Ali bin Isa bin Mahan.

Ketika itu, askar Al-Makmun berada di Kota Marw dengan jeneralnya yang bernama Tahir bin Al-Hussain. Dia bukan bandingan Ali bin Isa bin Mahan yang tamak harta. Tahir bin Hussain seorang yang berani, bijak dan cekap.  Dia menghadapi tentera Ali bin Isa bin Mahan dengan tentera tak sampai 4 ribu orang. Pun begitu tenteranya menang dan Ali bin Isa dapat dibunuh. Kepalanya diarak dalam negeri dan ini menyebabkan warga Iraq menjadi gerun.

Gerun sambil menunggu perang saudara yang akan menelan Kota Baghdad!

No comments:

Post a Comment

A'sya bin Qais , penyair yang hampir masuk Islam .

A'sya adalah gelaran kerana matanya yang rabun. Kalimah A'sya dalam bahasa Arab bermaksud seorang yang tidak nampak di malam hari ....