Friday, September 23, 2022

Graviti Kuasa Menghambat Persaudaraan

Kerajaan Bani Abbasiyyah ditegakkan atas mayat-mayat yang bergelimpangan. Ia didirikan hasil sebuah revolusi berdarah yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Bani Umayyah pada tahun 138H. Telah berlaku perang saudara yang menelan korban di sana sini. Perang saudara sebangsa iaitu antara anak-anak bangsa Quraisy. Bukanlah jauh nasabnyanya Bani Umayyah itu dengan Bani Abbasiyyah.

Orang yang namanya Umayyah itu adalah anak kepada Abdus Syams yang merupakan salah seorang daripada anak Abdul Manaf bin Qusai. Abdul Manaf itu juga ada anak-anak lain iaitu Hasyim, Al-Mutallib dan Naufal. Dari anaknya yang bernama Hasyim itu lahir Abdul Mutallib. Abbas yang menjadi punca keturunan Bani Abbasiyyah adalah salah satu anak Abdul Mutallib. Abdullah ayahanda Nabi juga anak Abdul Mutallib. Demikian Abu Talib ayahhanda Saidina Ali , juga anak anak Abdul Mutallib. Keturunan Ali itu disebutkan sebagai Alawiyyin.

Maka hubungan darah antara Bani Abbasiyyah dan Bani Umayyah bertemu pada Abdul Manaf. Umayyah adalah anak Abdus Syams yang merupakan anak Abdul Manaf. Maka Umayyah itu cucu Abdul Manaf. Oleh kerana Hasyim juga anak Abdul manaf, maka Abdul Mutallib menjadi cucu kepada Abdul Manaf. Dengan itu dikatakanlah Abbas itu cicit kepada Abdul Manaf.

Walaupun ada hubungan darah yang begitu dekat, itu tidak menghalang dua salasilah ini bertembung dan berenggut dalam persaingan kuasa. Perlumbaan untuk jadi ornag yang punya kuasa , bukan satu hal yang baru bagi keduanya. Sejak zaman nenek moyang mereka lagi, hal itu telah menjadi satu persaingan. Ketika itu persaingan mereka adalah dalam soal pengurusan Makkah dan juga Masjidil Haram.

Lihatlah apa yang berlaku dalam sejarah. Bila Dinasti Bani Umayyah tumbang pada tahun 132H, apa yang berlaku?

Naiklah Abdullah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutallib menjadi khalifah pertama. Dia adalah cicit kepada Abdullah bin Abbas (Ibn Abbas) , insan hebat yang mendapat berkat doa Rasulullah. Seorang sahabat nabi yang digelar Hibrul Ummah. Ahli dalam tafsir yang tiada tolak bandingnya.

Cicitnya itulah yang jadi khalifah pertama Bani Abbas dengan gelaran Abu Al-Abbas Abdullah As-Saffah.

Namun, fitnah kekuasaan sangat dahsyat. Ia tidak mengenal keturunan siapa dan siapa lawannnya. Walau cucu ulama besar ummat Muhammad, walau lawannya adalah anak-anak kerabat sendiri, kerana secebis kekuasaan yang direbuti, berlakulah tragedi bersejaran yang tidak dilupakan sepanjang zaman. Bahkan, angkara murka yang dilakukan melekat pada namanya. Digelar "As-Saffah" yang difahami kebanyakan orang yang membaca sejarah sebagai " penumpah darah".

Bila tewasnya Bani Umayyah dan rebahlah daulah mereka, pasukan Bani Abbasiyyah mengambil tindakan penuh dendam. Sadis dan tidak berperi kemanusiaan. Semua yang bertalian darah dengan Umayyah jadi buruan. Ditangkap dan dibunuh. Demikian sejarah menceritakan kepada kita. Sebuah "Massacre" dilakukan ke atas sebuah keluarga besar para penguasa yang berdiri di atas panggung kuasa hampir selama 100 tahun.

Tidak dibiarkan putera Bani Umayyah hidup kerana hidupnya mereka dilihat bakal menjadi ancaman di masa depan. Untuk sebuah misi kekuasaan yang penuh ketamakan dan kegelojohan, kerisauan dan cengkaman, maka tindakan membunuh semua yang berpeluang menjadi ancaman telah dilakukan.

Hanya, Allah menghendaki yang lain. Manusia boleh merancang tetapi rancangan Allah mengatasi semuanya. Ada seorang Putera Bani Umayyah yang bernama Abdurrahman bin Muy'awiyah bin Hisyam bin Abdul Malik, berjaya menyelamatkan dirinya. Dia menyelinap membawa nyawanya dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Melintasi sungai, gunung ganang, padang pasir, lembah dan juga lautan. Hinggalah dia dapat bermuqim di sebuah wilayah bernama Abdalus. Allah hadiahkan buatnya sebuah kepercayaan untuk memimpin sebuah daulah. Daulah yang menggantikan daulah yang rebah. Itulah Daulah Bani Umayyah Damsyik digantikan dengan Daulah Bani Umayyah Andalusia.

Mengenai Bani Abbas itu, fitnah kekuasaan tidak hanya menebarkan asap berbau darah pada tokoh bernama Abdullah itu. Ia kemudiannya berlanjutan ke zaman adik sebapanya yang bernama Abu Jaafar Al-Mansur Abdullah bin Muhammad bin Ali. Ibunya adalah hamba berketurunan Barbar yang berasal dari Afrika Utara dan bernama Salamah. Salamah itu beranakkan anak Muhammad bin Ali yang dinamakan Abu Jaafar Al-Mansur Abdullah yang kita kenalio sebagai khalifah kedua Bani Umayyah ini.

Bila dia naik tahta, dia meneruskan agenda pembasmian pesaing. Dia membunuh Abu Muslim Al-Khurasani, seorang panglima pasukan Bani Abbasiyyah berasal Parsi yang sangat berpengaruh dan berjasa sebagai pendiri kerajaan. Dia juga berperang dengan pasukan pakciknya sendiri, Abdullah bin Ali sehingga dapat menawannya dan memenjarakannya hingga mati. Seterusnya, dia juga membasmi golongan Alawiyyin dan menumpaskan pemberontakan Muhammad An-Nafsu Az-Zakiyyah, seorang keturunan Bani Hasyim yang disanjung lagi soleh.

Demi sebuah kuasa, manusia sanggup lakukan apa sahaja. Demi mempertahankannya, manusia sanggup hilang segalanya kecuali kuasa. Biarlah hilang keluarga. Biarlah hilang syurga sekalipun, mansia sanggup. Kuasa itulah syurga segera yang didambakan. Syurga akhirat itu cuma sebuah khabar dan imanlah yang akan meletakkan nilainya.

Maka, tidak hairanlah kenapa kita lihat manusia bergolak gadai kerana merebut kuasa. Kita yang menyaksikan peristiwa sejarah seperti ini, ambillah pelajaran. Tidak perlu kita mencela dan menghina mereka yang telah melang lang kehormatan akhiratnya demi kuasa yang diraih. Itu telah berlalu dna mereka pun telah hilang kuasa. Kuasa itu hanya pinjaman sebentar. Kini mereka sudah merenyam di alam kubur, Tidaklah kita tahu apa bentuk ganjaran yang mereka dapat. Allah itu maha mengazab dan Dia juga maha pengampun.

Itu adalah hak Allah untuk mengazab para pelahap kuasa dalam sejarah atau mahu mengampunkan mereka.

.

No comments:

Post a Comment

Duriiyaah alʻyṭh-Ulama Wanita Penulis Kitab Fekah

 Aku jarang jumpa kitab yang dikarang oleh seorang tokoh ilmuan perempuan. Banyak kitab rujukanku adalah hasil karya tokoh ulama lelaki sama...