Thursday, September 29, 2022

PERANG DIR AL-JAMAJIM

 Di antara yang terbunuh dalam Perang Dir Al-Jamajim ialah ayah kepada Ibn Abi Laila.

Perang yang dinamakan Perang Dir Al-Jamajim adalah sebuah perang penentuan antara Pasukan Kerajaan Bani Umayyah dengan pasukan Pemberontakan yang dipimpin oleh Abdurrahman bin Al-Asy'ast. Ia berlaku pada tahun 83H.

LATAR BELAKANG

Bumi Iraq adalah bumi yang sentiasa bergegar dengan perlawanan terhadap Bani Umayyah. Mewarisi semangat perlawanan sejak zaman Ali bin Abi Talib dan dissuburkan pula dengan tumpahnya darah Hussain di bumi Karbala, penduduk Iraq selalu "buat hal" terhadap legasi daulah Bani Umayyah. Untuk itulah, pemerintah Bani Umayyah meletakkan gabenor yang berwatak keras untuk menguruskan negeri yang liar dan tidka mahu tunduk ini. Antaranya ialah Hajja bin Yusuf As-Tsaqafi yang disebutkan sebagai " Taghut Zaman Itu". Kekejamannya serta tindakan sadisnya membuatkan ramai membencinya, termasuk para ulama di kawasan itu.

Namun, Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi seorang yang cerdik dan putar alam. Orang yang pintar panjang akal dan ada sahaja jalan keluarnya, dalam bahasa Arab disebut "daha". Telah jadi sebutan bahawa yang paling daha' kalangan orang Arab dalam sejarah , disebut "duhatul Arab" itu ada 4. Mereka adalah Mu'awiyah bin Abi Sufyan, Al-Mughirah bin Syu'bah, Amru bin Al-As dan Ziyad bin Abihi. Walau Hajjaj tidak tersenarai dalam empat orang ini, kemampuan "daha' "nya tidaklah boleh diketepikan.

Untuk melestarikan siasat politiknya di bumi Irak agar mereka tidak bangkit melawan kerajaan, selain tegas dan keras, dia juga menyibukkan mereka dengan perang jihad membuka wilayah-wilayah di sebelah Timur. Para sejarawan yang membuat penilaian adil atas Hajjaj ada menyebutkan bahawa langkah-langkah Hajjaj yang mengirimkan bala tentera jihad ke wilayah-wilayah kafir dan menancapkan Islam di sana adalah antara jasa Hajjaj yang bukan kepalang. Jika ia jadi pahala di sisi Allah SWT, mungkin ia menjadi sebab kemaafan Allah atas kezalimannya. Urusan adalah milik Allah SWT di akhirat!

Antara tokoh hebat dan terbilang lagi berkaliber yang disibukkan dengan perang jihad ini adalah Abdurrahman bin Muhammad bin Qais bin Al-Asy'ast. Walaupun Hajjaj tidak menyukainya kerana ketenarannya, dia mengambil pendekatan berhemah dengan melibatkannya dalam memimpin pasukan jihad. Dia dihantar ke wilayah Sind untuk mengajar Raja Ratbil yang telah membuat onar ke atas orang Islam di sana. Abdurrahman Al-Asy'ast memimpin pasukan menggempur wilayah-wilayah bangsa Turki dan dapat menguasai banyak kawasan. Raja Ratbil mengajar berdamai, namun  Abdurrahman Al-Asy'ast enggan melayan ajakan tersebut. Sehinggalah gempuran pasukan jihad kaum muslimin dihentikan  seketika berikutan perubahan musim sejuk. Hajja yang mengetahui penangguhan itu membantah dan memerintahkan agar Abdurrahman Al-Asy'ast meneruskan dan mengancam kalau tidak ikut arahannya, dia akan dipecat.

Abdurrahman Al-Asy'ast pun mengumpulkan pemimpin-pemimpin kaum di kawasan Iraq serta pemimpin -pemimpin batalion tenteranya dan kabilak-kabilah Arab. Dia menyatakan permasalaha Hajjaj itu. Dia atas kebencian yang telah sedia ada, bagai damar dihulr ke api, mereka pun menggesa agar perintah Hajjaj tidak ditaati. Seorang ketua kabilah bernama 'Amir bin Wasilah Al-Kinani dengan lantang menyarankan agar kesepakatan diambil untuk memecat Hajjaj. Orang ramai pun menyokong dan ia menjadi gerakan massa. Bila sokongan sudah meluas, suara-suara menuntut Hajja berundur pun berdengung dengan nada yang lebih berani agar dipecat juga Khalifah Abdul Malik bin Marwan dan digantikan dengan dengan Abdurrahman Al-Asy'ast. Pada tahap ini kesepakatan sudah tidak jitu kerana sebahagian ulama dan fuqaha melihat hal itu tidak wajar kerana pemikiran politik pada saat itu masih kental meletakkan syarat kepemimpinan hendaklah berbangsa Quraisy sedangkan Abdurrahman Al-Asy'ast bukan asal Quraisy, sebaliknya dia berasal kabilah Yamaniyyah. 

Pada tahap gerakan politik menyingkirkan Hajjaj, mereka sepakat!

Menangani semangat pemberontakan itu, Mahlab bin Abi Safrah yang ada di Khurasan ada menasihatkan Abdurrahman Al-Asy'ast agar mengurungkan niatnya atas dasar memelihara darah kaum muslimin. Namun,Abdurrahman Al-Asy'ast sudah tidak dapat dihentikan lagi. Lalu, Mahlab bin Abi Safrah memberi nasihat kepada Hajjaj agar sabar menghadapi kebangkitan orang Iraq kerana menurut wawasan politiknya, orang Iraq itu hanya "hangat-hangat tahi ayam". Mulanya panas tapi akhirnya akan sejuk. Semangat mereka tidak lama dan tunggu hingga semangat itu menurun, baru ambil tindakan. Namun, Hajjaj dengan kengkuhannya, manakan mahu berlunak seperti itu.

Dia kirimkan utusan kepada khalifah, minta bantuan personal. Lalu dikirmkan bala tentera untuk Hajjaj. Abdurrahman Al-Asy'ast sendiri, tenteranya mencapai jumlah yang besar iaitu 33 ribu tentera berkuda dan 120 rib tentera pejalan kaki. Ramai para fuqaha di Iraq berdiri di belakang Abdurrahman Al-Asy'ast. Kerana itu pemberontakan ini juga dikenali sebagai pemberontakan para Qurra'.

Pemberontakan ini berlangsung sengit beberapa lama dan Khalifah Abdul Malik memikirkan jalan keluarnya. Maka diutuskan satu usul kepada Abdurrahman bin Al-Asy'ast:

إن كان يرضيكم خلع الحجاج عنكم خلعناه، وجعلنا مكانه محمد بن مروان، وأن يكون عبد الرحمن بن الأشعث أميرًا على أي بلد يحب

"Jika kamu mahu kami pecat Hajjaj, maka kami akan pecatnya dan kami gantikannya dengan Muhammad bin Marwan. Abdurrahman bin Al-Asy'ast bila jadi amir di mana-mana negeri yang dia mahu".


Hajjaj tidak menerima idea itu dan menasihatkan khalifah tentang tipudaya ahli Iraq. Abdurrahman Al-Asy'ast sendiri sudah cenderung untuk mengikut usul khalifah tetapi kebanyakan para turus tenteranya sudah dibakar semangat dan merasakan khalifah Abdul Malik dalam posisi lemah dan patit ambil kesempatan itu untuk melenyapkannya.

Inilah yang membawa kepada perang terakhir yang dinamakan Perang Dir Jamajim yang makan korban yang ramai dan kalahlah Abdurrahman bin Al-Asy'ast

Catatan : Pada mulanya perjuangan mungkin lillah. Tiada kepentingan peribadi. Namun, hati selalu berbisik. Lama-kelamaan niat boleh berubah. Datanglah kehendak-kehendak bahimiyyah yang memesongkan niat perjuangan. Inilah yang merebahkan ramai pahlawan di pentas sejarah. Hubaya-hubaya. Hendaklah selalu tawadhuk dalam perjuangan. Pemimpin hendaklah menetapkan hati dan tidak harus mengikut suara-suara sumbang yang sebenarnya ibarat rengkikan para dubuk sewaktu singa mendapatkan mangsangya.


Sumber cerita:wiki

No comments:

Post a Comment

Duriiyaah alʻyṭh-Ulama Wanita Penulis Kitab Fekah

 Aku jarang jumpa kitab yang dikarang oleh seorang tokoh ilmuan perempuan. Banyak kitab rujukanku adalah hasil karya tokoh ulama lelaki sama...